Friday, July 13, 2012

Lontaran kata itu


Kadang-kadang, 
kuterdengar lontaran kata-katamu
suara sinis menyengat hati 
dan menumbang keyakinan
dalam perjalanan sementara menuju keabadian
kadang-kadang kuterdengar lontaran kata-katamu
terlalu menghukum dan penuh kekejaman 
menusuk ranjau tabah
menggoyah taklik janji
penuh menyakitkan dan menyumbang kemarahan
namun jika kuteliti makna abadi dan sebuah janji 
dengan sekerat tabah yang masih tersisa
kupendamkan jua 
remuk dan kekusutan
mungkin inilah bahagianku 
untuk Jumaat pagi yang mulia ini
mungkin esok berlalu tenang
tanpa terdengar lontaran kata yang menggoyah iman
namun ia cukup untuk aku
meneruskan perjalanan seketika menuju keabadian ini. 



Alhamdulillah, kalau sahaja hari ini 
sebuah deria mulut bisa berkata-kata
menyakitkan hati, kuungkapkan syukur
mana tahu esok lain pula bahagiannya. 


Pasti, tak terlupa aku mengucapkan terima kasih
kerana sebuah lontaran kata itu 
bukan sahaja maknanya menghukum
tetapi juga hujan-hujan ujian
yang menegakkan lagi ketabahan
di sisi bunga-bunga keindahan
menepis kegelisahan 
bagi meneruskan perjalanan fana ini
sehingga ke garis masa yang penghabisan. 


Kalau sahaja ada ruang kemaafan
kerana naifnya tingkah ini
kumujurkan di sini, berikanlah kemaafan
rungkaikanlah sakit hatimu dan lontarkanlah kebaikan
moga kita diberikan kemuliaan dan teduh rahmatNya. 


Postedby: NoorainieOthman, KK,13.7.12

2 comments:

Norgadis Labuan said...

Kata-kata yang indah...

noraini-osman.blogspot.com said...

Entah lah, datangnya dari hati,sesuatu yang menyakitkan kunukilkan dalam sajak