Tuesday, July 10, 2012

Ke Kota Hijrah Ini

Sajak ini dicipta pada 6 Julai 2012 tengahmalamnya. Esoknya hari Sabtu saya ditelefon oleh Encik JM Yang Dipertua BAHASA untuk mendeklemasikan sajak pada Majlis Perhimpunan Ihya Muslim
anjuran Pertubuhan Kebajikan Mualaf Pantai Barat Sabah iaitu pada 7.7.12 di Dewan Tamparuli. Saya pun mencipta sebuah sajak berunsur Islam. Agak kaku dan terkedu juga apabila Encik JM menelefon saya sama saya jadi atau tidak mendeklemasikan sajak itu. Kebetulan dia masih di KL pada hari Jumaat yang lalu itu. Mahu atau tidak, suka atau tidak, saya sudah berkata mahu mencuba. Maka, terciptalah sajak "Ke Kota Hijrah Ini" yang saya deklemasikan di hadapan lebih kurang 1000 - 1500 orang Mualaf di dewan tersebut. Alhamdulillah, walaupun suara saya macam tak begitu kuat, sebab mikrofon yang tak begitu baik itu, tetapi syukur saya sudah melaksanakan tugas saya. Jangan malukan Persatuan BAHASA, bisik kawan saya. Saya pegang kata-kata itu. Inilah puisi saya.

Malam murung menjamah hati
menatang rembang senjakala tatkala tenang tatkala bimbang
menyilau hujan rahmat menitis menyirami batin
bayu keinsafan menyingkap lembut memugar arah diri
perang silang menyilang di dalam hati
hidup tanpa erti menganyam segala hal duniawi
pikul amanah ilahi watikahnya khalifah di bumi ini
sewajarnya tegakkan suluh ajaran 
dan menginjak takah-takah baru
buat menyemai peribadi insaniah
pada perjalanan singkat di taman sementara ini. 


Mari kita ke kota hijrah ini
bukitkanlah kesungguhan dan rungkaikan kekhilafan
gunungkan keimanan luruskan akidah diri
kembali ke jurus perjuangan sejati
kembali ke persada diri yang insaf
dan mewarnai dunia hakikat demi Rasulullah tercinta. 
Maka bukitkanlah jihad dan penuhilah tuntutan kota hijrah
tinggalkan rona batil dan songsang tingkah
sisipkan di kolong keinsafan. 


Sesama kita Islam tidak terhalang dari hujan ujian
bermain di pelantar dosa dan kemungkaran masa lalu
namun jihad dan janji terakad di relung hati ini kini
mari kita berangkat ke kota hijrah
tanpa sesal dan teruslah memohon
kemenangan abadi itu terasuh di taman hati ini. 


Sesungguhnya pertolongan itu sentiasa ada
buat peribadi yang meredahi sebuah kota, 
kota hijrah ini....

Bilik Eksperimen SK.Mutiara/6-7Julai2012



No comments: