Sunday, September 25, 2011

Kerja Menulis Bagi Penulis

Noorainie Mencatat;


Saya bertanya kepada diri sendiri. Menulis dan menjadi penulis itu bagaimana? Di dunia yang bahagia? Di dunia yang senang-lenang? Banyak wang? Di dunia yang banyak pergaulan dan kenalan? Oh, tidak! tidak! Kerja menulis dan menjadi penulis dunianya bukan begitu. Kerja menulis banyak sakitnya, banyak ranjaunya. Kerja menulis itu kerja yang sempit, tak cukup nafas kadang-kadang dan kerja menulis itu cukup sepi, malah terlalu sunyi! Tak dapat diukur dengan perkataan betapa sepi kerja-kerja penulisan!

Di kesempatan yang diberikan ini saya meminjam kata-kata Sdr Jong Chian Lai. Katanya, menulis itu sakit, tidak lalu makan, lelah, mengantuk, dunia yang terapung-apung, kurus, tidak terurus diri, kurang sosial, rindu bayangan, dunia sendiri, dunia mimpi dan dunia berapi. Bagi saya, kerja menulis itu memang sakit, menyakitkan, sakit hati kalau idea hilang tidak tercatat di mana atau catatan hilang, kadang-kadang, sedang-sedang sibuk tak boleh catat, idea datang, kadang-kadang, langsung tak nulis, itu lagi menyakitkan dan marahnya tentulah kepada diri sendiri. Apa tidak, penulis lain sudah jejak langit bahagia, sendiri masih duduk di rumput berhabuk dan berasap-asap dengan idea dan catatan yang belum ditaipkan ke komputer!

Kata Jong Chian Lai, menulis itu sering-seing terlupa akan isteri, anak, rakan, jiran dan diri sendiri. Bagi saya, keinginan mengerjakan penulisan itu lebih penting apatah lagi apabila tengah sibuk, idea menulis datang menyerbu!Berkejar-kejaran pula bagaikan mengejar anak namun kepala serabut dengan keinginan hendak menulis, menulis, menulis. Begitulah sibuknya dunia seorang penulis!

Menulis itu pula kata Jong Chian Lai lagi bukan macam mee segera atau mee kolok, bukan 2 minit, bukan 2 jam, bukan 24/7, bukan 2 hari, bukan 20 bulan, bukan 365 hari, bukan 2 tahun, bukan lebih 20 tahun tetapi ingatlah, sesiapa yang sudah berikrar dan bertekad hendak menjadi penulis, sebenarnya menulis itu untuk selama-lama hayat yang ada. Kalau dalam kuburan pun masih boleh memegang pena dan mencatat idea, itu kerja menulis!

Menulis itu lagi katanya, seperti mengandung 9 bulan, menulis itu mencintai semua bangsa manusia, menulis itu mencari dunia yang sukar. Saya menjadi insaf dengan tulisannya itu. Saya kagum dengan kesanggupannya menulis. Saya kagum dengan sentuhan karyanya, kadang-kadang kalau teringatkan akan iltizam dan tekadnya, saya hampir menitiskan air mata! Bukan kerana saya sedih dengan tulisannya, saya sedih kepada diri saya. Menulis sekerat masa, menulis sekerat idea. menulis sekerat azam, iltizam dan tekad. Saya insaf dan insaf. Menulis itu bukan mudah dilakukan oleh manusia biasa tetapi penulis hebat itu adalah manusia luar biasa tabah dengan impinya!

Tahniah kepada semua penulis Sabah, Malaysia dan dunia amnya, kerana sehingga ke hari ini masih tabah, gagah dan bertekad menjadi penulis dan melahirkan karya-karya agung yang kelaknya dikaji oleh anak bangsa generasi akan datang khasnya, walau penulis ada kalanya, tidak dipedulikan pada zamannya! Ini kerana kerja menulis itu dan gelaran penulis itu diperolehi setelah diri, jiwa, minda, kalbu itu beriltizam, berazam dan berikrar untuk melalui saat getir dan meredah dunia sukar! Janganlah kita melenting kalau diri tidak dipedulikan, jangan ada perkataan merajuk atau apa sahaja yang semaksud dengannya, kerana kerja menulis itu bagi seorang penulis adalah kerja sepanjang hayat dan bukan dipaksa oleh sesiapa! Anggaplah semua kata-kata, kejian, umpatan itu sebagai angin lalu atau letakkan di bawah tapak kaki, kelak kalau kita bergerak setapak lagi, habislah semua kata-kata itu hendaknya!

*PS- Maaf Sdr Jong Chian Lai kerana meminjam kata-kata untuk kemajuan diri dan sesiapa sahaja yang berikrar menjadi penulis apapun genre! Terima kasih juga atas motivasi,bimbingan dan dorongan semasa di Miri, Dialog Teluk Ke VII Dis 2010 yang lalu.Terima kasih juga kepada sesiapa sahaja yang membantu mempermudahkan kami semasa di Miri, Swak hujung tahun lalu. (nama tak tersebut di sini, izinkan saya)

Friday, September 23, 2011

Aksi

Noorainie Osman mencatat;

Aksi menimbulkan gaya. Aksi menimbulkan pelbagai reaksi. Aksi memberi pelbagai impak dan implikasi. Mari kita tontoni pelbagai aksi.