Cerpen
Tajuk: Kahwin
“Bila kau hendak kahwin dengan dia, Mah? Ke hulu ke hilir dengannya,
kau laratkah menanggung dosa kering begitu? Mak dan bapa ni malu tak terkisah! Manusia
apa kau ni Mah! Sudah tua tapi masih tak sedar akan dosa! Dosa kau dulu tu
belum kira lagi, ni dah cari dosa baru! Macamana lagi mak nak ajar kau nak?”
berdesing anak telingaku mendengar ungkapan emak. Aku tidak menyangka emak akan
sewenangnya menyatakan hasrat hati yang berselirat itu tambahan dengan wajah
lesu di hadapannya ini.
Mahu sahaja aku memarahi mulut lancang emak yang menuduh
aku yang bukan-bukan. Bulat mataku menatap wajah tua itu. Baru sahaja aku
meletakkan punggungku di atas sofa merah hati, aku terus diserbu dengan
kata-kata yang menyakitkan malah meluruhkan tangkai jantungku yang semakin kuat
berdenyut ini, adakah patut? Tidak sepatutnya emak menyambut kedatanganku
dengan kata-kata itu meskipun aku bukanlah anak kesayangannya. Aku benar-benar
terhenyak letih dengan hentakan kata emak.
Ayah duduk di hujung ruang tamu sambil menghadap
televisyen bagaikan pura-pura tidak mendengar patah demi patah ungkapan
menyakitkan emak. Ayah buat-buat tidak tahu apa yang sedang berlaku. Dadaku
berkecamuk di dalam hanya Tuhan sahaja yang mengerti. Wajah kelat emak
kupandang sekilas. Marah benar pula emak kepadaku, tiba-tiba sahaja meletupkan
amarahnya. Tidak terjangka di akalku dia akan marah demikian rupa pada hari
kedatanganku ke kampung ini. Entah dari siapakah dia mencungkil cerita, sukar
hendak kutelah.
Petang itu, aku baru sahaja balik dari Kota Kinabalu, aku mengambil cuti dua
hari demi untuk melepaskan rindu kepada emak dan ayah yang sudah lama tidak
kulawati. Entah kenapa rindu dendamku membuak untuk emak dan ayah yang hanya
tinggal berdua itu tetapi lain pula onar yang kuterima. Tahukah emak betapa
rindu menjelma di dadaku ini?
“Lelaki tu sudah
masuk Islam kah belum Mah? Kau jawab betul-betul! Kau jangan nak permainkan
semua orang di sini, aku tak suka! Aku tak mahu anak aku buat hal yang tak
senonoh di bandaraya tu! Aku tak tahu tapi Tuhan tahu Mah!” aku memandang
kehairanan wajah emak. Tiba-tiba sahaja menyuarakan tentang lelaki di
hadapanku. Punggungku belum pun panas dan perutku yang lapar belum pun kenyang dan
air pun belum menitik di bibirku ini namun dia sudah membalun aku dengan
perangai lamanya. Membiarkan anak-anak kenyang dengan kata-katanya. Sungguh
tidak patut wanita setuaku ini dikatakan begitu. Fikirku agak tersinggung.
Namun, aku cuba
meredakan keadaan.
“Lelaki mana pula ni mak? Tak faham saya mak cakap
apa. Tiba-tiba sahaja mak menghambur dan marahkan saya! saya penat ni mak!” kataku sambil lewa walaupun rasa
terkejut masih menakluki aku. Beg hitamku kuletakkan di birai pintu masih di
situ. Mukaku berkerut dengan telatah emak yang tidak berubah. Tahukah emak aku
adalah wanita dewasa sepertinya juga. Telah dua kali ditinggalkan suami dan
akhirnya terduduk lesu di pinggir pintu rumah emak ini.
“Lelaki mana kata
kau, tu lah ‘jantan’ yang kau bawa balik hari tu! Pakai kopiah konon tapi
rupanya belum masuk Islam! Jantan apa tu namanya? Mak bapaknya mana dan dari
mana asal usulnya? Aku ni sudah tak tahan dengan cacian orang tahu tak?” sahut
emak lagi sambil duduk mendepani aku di sofa merah hati itu. Berbulu telingaku mendengar ungkapan emak.
Sesungguhnya aku hanya sekadar kenalan baru buat lelaki itu apabila pertama
kali aku masuk ke syarikat keselamatan itu. Sepatutnya emak berterima kasih
kepada lelaki itu kerana mengenalkan anaknya ini kepada ketua di syarikat yang
baik dan seterusnya membantu aku bekerja di syarikat keselamatan itu. Ini
tidak, emak mengutuk lelaki itu pula. Hairan aku dengan sikap emak yang tanpa
usul periksa! Aku tidak mahu mengetahui siapakah yang punya angkara, tetapi
kesal mengusuti akalku ini.
“Entah! Kenapa pula
mak sebut dia, Mah bukan nak kahwin dengan dia! Dia kan rakan sekerja Mah! Kami hanya kawan
biasa saja mak! Tak ada pun merancang nak kahwin! Dari siapa mak dengar
cakap-cakap yang tak baik ni mak? Saya tahu jaga diri mak! Dua kali terkena,
cukuplah. Saya tak akan ulangi lagi mak!” kataku perlahan, menarik nafas yang
semput di hujung dadaku ini. Emak masih tidak percaya dengan pernyataan itu.
Aku hanya memberitahu dia perkara yang sebenar. Kalau emak tidak percaya itu
terpulang kepada dia.
“Yang kau tak tahu asal usul bangsa orang tu kenapa? Yang tak bekerja tetap
itulah yang kausuka! Aku hairan betul dengan citarasa kau ni Mah! Dulu si
Baharuddin yang gemuk tu pun tak ada kerja tetap juga! Yang kedua ni pun sama
juga! Lelaki begitu juga yang kau suka! Mak betul-betul tak tahulah dengan
nasib yang menimpa kau ni! Tak serik-serik dengan kesusahan! Kasihan mak tengok
kau ni tapi kau yang tak tahu nak cari laki yang baik!” kata emak dengan lebih
panjang lebar. Aku tergegau dengan katanya. Tidak menyangka tengah hari yang
masih menyala ini emak masih menuduh aku yang bukan-bukan.
“Mak, itu namanya takdir! Kenapa mak nak menolak takdir
dan segalanya sudah berlalu! Saya pun tak mahu nak menyebut hal tu lagi, tapi
mak suka-suka nak sebut benda yang dah berlalu! Tapi, saya sebut sekali lagi,
antara saya dengan lelaki tu tak ada apa-apa, hanya kawan biasa!” kataku dengan
marah yang bertumpuk di hati. Perkara yang sudah kututup dari diari lamaku, cuba
diselak kembali. Entah kenapa sikap emak yang suka mengungkit perkara yang
sudah lepas.
“Kawan, kawan! Sejak dulu kawan saja yang kausebut!
Kawan tu juga yang kau kahwin! Mak sudah faham dengan kau ni, Mah! Jangan lagi
kau nak cakap yang bukan-bukan kepada mak! Jangan kali ini pun kau nak
memalukan mak! Cukuplah sekali kau malukan mak dengan kahwin di tempat orang! Ada ayah, tapi ayah kau
buat macam tunggul di rumah ini! Entah, nak jadi apa kau ni Mah! Dah tu tak
sampai beberapa tahun, dah cerai! Tu yang aku sudah tak mahu masuk campur
urusan kau! Kali ni aku nak ingatkan saja!” kata emak lagi. Emak memang suka mengungkit
perkara yang tidak dapat kujelaskan.
Aku benar-benar tertekan dengan sikap emak. Elias,
lelaki yang emak maksudkan itu yang kebetulan kubawa pulang ke kampung dua
bulan yang lepas untuk berjumpa dengan mereka, memang disambut dengan baik pada
mulanya tetapi apabila emak mengetahui Elias tidak ada pekerjaan tetap emak
mula berasa berang dengan diriku. Aku berasa malu dengan apa yang menimpa
kemudiannya. Emak benar-benar sudah dapat membuat aku lebih menjadi malu. Apakah
yang dia mahukan dalam hidup anak-anaknya sebenarnya?
“Kenapa kau diam?
Memang seumur hidup kau nak hidup susah rupanya! Kau tak ingat selama kau
tinggal dengan suami kau yang sebelum ni kau hidup susah nak! Kenapa kau tak
serik-serik lagi? Kalau mak, dah begitu lama tertekan, cukuplah sekali itu
sahaja. Baik lagi mak balik kampung dan kerja di sini, jaga anak-anak yang kian
membesar! Kau tu apa nak jadi, asyik tunggu kerja di bandar tu dengan gaji yang
tak seberapa! Sudah-sudahlah tu Mah! Hentikan lah perangai buruk kau tu! Telinga
mak ni sebenarnya sudah penuh dengan cercaan orang terhadap kau, tapi kau macam
tak tahu malu!” tekan emak lagi.
Aku menundukkan kepalaku. Rambutku yang kubiar panjang
separas bahu itu kubiarkan lepas. Malah, rambut hadapanku yang agak panjang,
kubiarkan sahaja. Ia akan menutup air mataku yang berkumpul dengan banyak di
birai mataku. Elias yang kebetulan baru kukenali dan ingin mengenali ibu bapaku
ketika itu tidak kutahu di manakah lelaki itu. Lelaki dusun itu begitu jujur
hendak mengenali keluargaku walaupun aku sudah berterus-terang kepadanya yang
aku pernah bernikah sebelum ini. Aku juga telah mempunyai dua orang anak dari
bekas suamiku. Salahkah aku berterus-terang kepadanya? Aku ingin agar dia
berfikir semula jika dia mempunyai hasrat hendak menikahiku dalam waktu
terdekat ini. Namun, duda anak dua itu hanya mendiamkan dirinya dengan senyuman
yang dikulum penuh makna. Salahkah aku berterus terang kepadanya?
“Mak, saya bukannya
nak kahwin dengan dia! Tak ada perancangan pun kami nak kahwin! Kami hanya sahabat,
rakan sekerja mak! Kebetulan Mah balik ke kampung hari tu kami nak bercuti dan
dia teringin nak berkenalan dengan mak dan ayah. Bukan niat Mah nak mengulangi
kehidupan yang lalu mak tetapi entahlah, kalau dia yang nak jumpa mak dan ayah,
takkan saya nak marah dia pula!” kataku perlahan sebelum air mataku mengalir
lancar di tebing pipiku ini.
Aku tidak tahan dengan kata-kata emak namun itulah
hakikat yang terpaksa kuterima. Bukan mudah menjadi seorang janda dalam usia
semuda ini. Namun, aku tidak menjadikan alasan janda sebagai tiket untuk
menuntut belas kasihan daripada sesiapa, walaupun dari ahli keluargaku
sekalipun.
“Ah tak percaya aku
dengan kau tu Mah! Dah hampir tiga puluh lima
umur kau, mak dah masak dengan perangai kau tu! Kalau kau dah bawa lelaki tu
pulang ke rumah ni mesti ada sesuatu yang akan berlaku!” kata emak lagi. Mata
yang dijerut kedut itu sangat tajam memaku tingkahku. Kelu rasanya lidahku,
tidak sanggup mendengar ucapan emak.
Aku seperti kehilangan kata. Aku tahu emak memang sudah
masak dengan diriku ini tetapi aku berani berkata bahawa lelaki yang kubawa
balik ke rumah emak ini adalah sahabatku sahaja. Aku pun sudah berjanji dengan
lelaki yang bekerja sebagai Ketua Pengawal Keselamatan di sebuah syarikat
swasta itu agar dia tidak perlu menanam niat menikahiku. Lagipun kami berlainan
agama meskipun dia sudah menggunakan nama Islam dalam pergaulan seharian.
Namun, dia memberitahuku yang dia belum memeluk agama Islam meskipun
bertahun-tahun dia sudah menggunakan nama itu, Elias!
Dia sukakan nama Elias itu, itulah sebabnya dia menggunakan nama itu sejak bertahun lamanya. Malah, sejak dia menceraikan isteri Dusunnya dia sudah tidak menggunakan nama asalnya Alwinleo. Aku pun hairan kenapa dia tidak mahu menggunakan namanya yang diberikan oleh ibu bapanya itu,mungkin dia menyenangi agama Islam. Tidak pernah sesekali aku bertanya kenapa. Antara kami hanya berhubung kerana pekerjaan kami yang sama di bangunan Wisma Merdeka itu. Percayakah emak kalau kuberitahu kepadanya demikian?
Dia sukakan nama Elias itu, itulah sebabnya dia menggunakan nama itu sejak bertahun lamanya. Malah, sejak dia menceraikan isteri Dusunnya dia sudah tidak menggunakan nama asalnya Alwinleo. Aku pun hairan kenapa dia tidak mahu menggunakan namanya yang diberikan oleh ibu bapanya itu,mungkin dia menyenangi agama Islam. Tidak pernah sesekali aku bertanya kenapa. Antara kami hanya berhubung kerana pekerjaan kami yang sama di bangunan Wisma Merdeka itu. Percayakah emak kalau kuberitahu kepadanya demikian?
Aku pandang wajah emak yang dikelilingi kedut itu. Tambahan
pula dia semakin mengerutkan keningnya ketika melihat ke arahku yang ada
masalah aku. Aku tahu dalam diam emak
begitu sayangkan aku walaupun aku telah mengecewakan hatinya namun aku juga
tidak berhasrat hendak mengecewakannya kali ini. Aku tidak menganggap Elias
adalah bakal suamiku walaupun dia mengikuti aku ke kampung ku. Aku tidak
menganggap Elias itu adalah kekasihku walaupun kami menyewa bilik di bumbung
yang sama. Aku sedar hakikat hidupku. Aku hanya menganggap dia sebagai sahabat
dan rakan karibku tempat aku melepaskan perasaanku. Tidak pernah lebih daripada
itu. Entahlah kalau Elias mempunyai perasaan yang lain kepadaku. Itu bukan
urusanku untuk mengetahuinya. Cukuplah kalau sekali aku memberitahunya yang aku
adalah janda bekas diceraikan oleh dua orang suami.
Apa yang penting sekarang aku mula belajar kehilangan
seorang yang bernama lelaki selepas aku suamiku, Baharuddin hampir tiga tahun
yang lalu selepas aku melahirkan anak kedua kami. Dia pergi tanpa khabar. Aku
berserah sendiri tetapi sebenarnya aku lebih banyak menunggu kehadirannya
semula dalam hidupku ini. Tetapi, aku tidak tahu di manakah dia! Sampai kini
dia tidak pernah muncul!
“Percayalah Mah kali ni mak! Mah merayu! Jangan terlalu
menyiksa batin Mah! Mah bekerja sekarang pun semata-mata untuk anak-anak Mah
yang dua orang tu! Tak ada niat Mah nak kahwin lagi. Biarlah Mah janda
sampai….”
“Sudahlah Mah, janganlah kau nak mengaku yang
bukan-bukan depan mak ni! Mak ni tahu dah, malah dah masak dengan perangai kau
tu! Satu lagi ceraikan kau, satu lelaki lagi kau ambil! Bukan pandai nak serik!
Mak pun tak faham sudah dengan anak sendiri! Malah, seolah-olah mak tak pandai
nak didik anak sendiri! Mak malu nak! Kenapa kau tak macam anak mak yang lain?
Berkahwin dan hidup bahagia macam orang lain? Kau tak teringin nak bahagia?”
kata mak lagi. Merintih jiwa tua itu memikirkan tindakanku. Ah, aku tidak
sengaja menyakiti hatinya. Kalau dia terasa aku sewajarnya memohon ampun.
Mata emak yang cengkung itu kupandang. Benarkah wanita
tua di depanku itu berasa malu dengan tindakanku? Emak memang serius hendak
mengata aku ingin bernikah dengan lelaki dengan yang kubawa balik ke kampungku
ini. Emak bagaikan dapat membaca hatiku ini. Padahal aku tidak berniat hendak
kahwin lagi selepas sahaja Tamrin menceraikan dengan talak satu. Lelaki
keturunan Bugis yang mengaku bekerja tetap di Syarikat Telekom itu benar-benar
menyakitkan hati kalau cuba-cuba kuingati. Dia juga mengaku yang dirinya bujang
walhal isterinya masih berada di Tawau dengan dua orang anak perempuan. Tidak
pernah aku mengingatinya lagi. Aku sudah menganggap dia sudah mati. Aku
benar-benar sakit hati dengan tipu daya lelaki itu. Entah kalau aku berjumpa
sekali lagi, mungkin dia akan kubunuh! Biarkan aku ditangkap oleh polis,
asalkan hatiku puas kerana termakan kata-kata lelaki penipu itu dua tahun lebih
yang lalu!
“Kalau mak tak mahu percaya, terpulanglah! Tetapi saya
memang tidak mahu bernikah lagi mak! Cukuplah dua kali tu Mah menderita mak!
Mah tak mahu kahwin lagi, percayalah! Tapi kalau mak tak mahu percaya pun
terpulanglah! Esok Mah balik! Takut kalau lama-lama di sini Mah ni akan lebih
memalukan mak! Kasihan mak!” kataku perlahan tetapi nada suaraku agak tegas.
Beg pakaianku yang masih berada di pintu rumah kupandang. Beg itu akan berada
di situ kerana esok pagi aku akan balik semula ke Kota Kinabalu.
“Memanglah kau sudah menconteng arang ke muka aku, kau
tahu tak? Kau sepatutnya tak bawa lelaki yang bukan muhrim balik ke rumah nii!
Kau asyik nak conteng dosa ke dalam diri kau! Aku pun tak tahu nak cakap apa
dengan kau ni Mah! Aku tak percaya kalau kau tak faham dosa pahala langsung!
Dulu aku didik kamu dengan ajaran agama walaupun anak aku ramai! Ayah kau ajar
mengaji tapi sampai sekarang kau masih tak faham-faham nak! Entahlah, kenapa
anak mak yang seorang ini begini hidupnya!” kali ini emak sudah beraku dan
berkau dengan aku.
Aku terkilan juga dengan kata-kata emak tetapi
kata-katanya itu ada benarnya. Entah kenapa aku tidak berkeras untuk membawa
Elias balik ke rumah ayah ini. Ya, sepatutnya aku tidak membawa Elias ke rumah
ayah ini nanti apa orang kampung cakap kepada emak dan ayah. Apatah lagi aku
sudah dua kali berkahwin. Tentu tak manis kalau membawa lelaki balik ke rumah.
Entah kenapa aku tergamak membawa lelaki Dusun itu ke kampungku ini! Entah
kenapa! Aku tiba-tiba berasa menyesal dengan apa yang berlaku tetapi mungkin
sudah disuratkan aku membawa Elias yang baru kukenali itu ikut balik ke kampung
di bumi aku dilahirkan dan dibesarkan.
“Mak memang selalu nak cari pasal dengan Mah! Mak selalu
cari kesalahan Mah! Mentang-mentanglah Mah ni tak ada pelajaran, mak
perlekehkan anak mak ini! Anak mak yang lain tak pula mak benci sangat! Tapi
kenapa Mah ini mak benci sangat! Mah tak tahu apa kesalahan Mah yang tak boleh
diampunkan! Sedangkan Tuhan pun mengampunkan hamba-Nya inikan pula mak
sendiri!” kataku mula berasa sendu. Mataku kukesat dengan lenganku.
Sebentar tadi sendu itu sudah surut tetapi apabila
mengenangkan emak yang selalu meleteriku dan tidak menyokong segala tindakanku
menyebabkan aku mula teringat yang emak
memang tidak menyukai anak ketiganya ini. Malah, aku terasa selama hampir empat
puluh tahun umurku ini, aku masih menganggap emak melayan aku macam anak tiri!
“Astaqhfirullah al’aziim…apa yang sudah jadi dengan kau
ni nak? Mak tak pernah bezakan anak-anak mak! Kenapa kau anggap mak perlekehkan
kau? Mak sayangkan semua anak mak nak tulah sebabnya mak mahu anak mak ni ubah
sikit perangai tu! Jangan terburu-buru memilih jodoh nak!” kata emak pula. Aku
sudah tidak mahu menerima kata-kata emak. Malah aku membenci emak kerana
membezakan kasih sayangnya selama ini. Barangkali kerana sikap emak yang membezakan kasih
sayangnya menyebabkan kehidupanku menjadi berantakan dan tidak seperti anak-anak
emak yang lain. Entah kenapa emak menjadi begitu. Selama ini aku begitu
terseksa dengan kasih emak yang tidak rata. sesungguhnya pengakuan emak itu tidak lagi termasuk dalam senarai kepercayaanku. Emak sering menipu aku! entah siapa aku ini di dalam pandanganya?
No comments:
Post a Comment