Monday, June 25, 2012

Teks Ucapan Majlis Penutupan Karnival Akademik 2012

Teks Ucapan yang pernah saya tulis. 
Teks Ucapan Alu-aluan Majlis Penutupan Karnival Akademik 2012
Asssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Mutiara. Yang Berhormat _____________________, Yang Berbahagia ________________, Yang Dihormati  Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Bhaif bin Bar, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Encik Afendy Hj. Ramlee, ketua-ketua panitia, ustaz-ustaz, ustazah-ustazah, guru-guru dan murid-murid yang disayangi.
1. Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan berkat izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama hadir bagi meraikan sebuah majlis yang amat bermakna, iaitu Majlis Perasmian Penutupan Karnival Akademik bagi tahun 2012. Saya amat gembira menyaksikan semua guru dan murid berkumpul di dalam dewan ini untuk sama-sama menjayakan majlis penutupan karnival akademik  yang dilaksanakan dengan sambutan yang amat baik dari semua guru dan murid-murid pada setiap tahun. 
2. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan Guru Besar Datin Florence Kouju  telah berjaya mengilhamkan Karnival Akademik ini sejak 2010. Karnival Akademik ini adalah acara tahunan dan ini adalah karnival yang ketiga diadakan sejak tahun 2010. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua Ketua-ketua  Panitia, ahli jawatankuasa Karnival Akademi dan murid-murid yang telah bertungkus-lumus sejak minggu lalu untuk menjadikan karnival ini terlaksana dengan jayanya.
Tuan-tuan dan puan-puan serta murid-murid sekalian,
3. Program Karnival Akademik ini diadakan dengan matlamat untuk mendedahkan murid dengan beberapa aktiviti di bawah unit kurikulum. Murid-murid juga diharapkan akan mendapat pengalaman baru berdasarkan pemerhatian mereka di gerai-gerai pameran. Gerai-gerai pula  terdiri daripada 14 gerai pameran. Pameran telah diadakan sepanjang minggu ini iaitu 18 Jun hingga 21 Jun 2012. Semua murid berpeluang melawat ke gerai-gerai pameran bersama-sama dengan guru.
4. Antara objektif karnival akademik ini diadakan adalah sebagai satu aktiviti kemuncak setelah semua panitia mengadakan Minggu Panitia. Di samping itu, ia juga memberi penghargaan kepada murid-murid yang telah menghasilkan kerja amali atau projek dengan cemerlang.

5. Sekolah ingin melihat murid boleh menjadi contoh atau role model kepada pelajar lain. Dalam bidang kurikulum, pelbagai perkara dipelajari dari patuh kepada arahan guru-guru sehinggalah membina kesepaduan kumpulan menerusi kesabaran, ketetapan masa, bertolak ansur, bekerjasama dan sebagainya. Pihak sekolah juga sentiasa mendukung hasrat KPM dengan sentiasa responsif terhadap keperluan pelajar ke arah pemupukan dan membina bakat bagi murid yang berkecenderungan memilih  kerjaya mereka dalam apa jua bidang. Demi untuk merealisasikan hal ini karnival akademik juga turut mengadakan beberapa pertandingan iaitu pertandingan Scrabble atau Sahibba dan Pesta Pantun bagi murid-murid Tahap 2.

Hadirin yang dihormati sekalian,

6. Pihak sekolah juga berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama yang baik daripada Pihak PIBG di sekolah ini atas sumbangan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang dalam pertandingan yang diadakan sepanjang berlangsungnya Karnival Akademik ini.

7. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil daripada PPD iaitu Encik __________ di atas kesudian beliau hadir pada majlis ini. Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua ketua-ketua panitia, ahli jawatankuasa kerja yang terlibat, guru-guru, murid-murid yang membantu serta semua pihak yang membantu menjayakan Karnival Akademik ini. Saya ada sebuah pantun untuk pasukan kerja yang telah memastikan majlis ini berlangsung dengan jayanya.

Berkejar-kejaran ombak di laut,
Menyentuh pantai pasirnya bersih;
Budi tuan kelak disebut-sebut,
Kerja selesai dan terima kasih.
8. Seterusnya, bagi mengakhiri ucapan saya ini, saya memohon kemaafan jika sepanjang perbincangan sehingga berlangsungnya majlis penutupan Karnival Akademik ini terdapat kekasaran dan kepincangan. Dan, saya akhiri juga ucapan saya dengan dua rangkap pantun.
Pohon sirih pohon selasih,
Tumbuh merimbun di hujung laman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Menjadi kenangan sepanjang zaman.

Ular lidi menyusur rotan,
Menyusur jati ke dalam paya;
Banyak budi tuan semaikan,
Semoga tumbuh menyinar dunia.

Sekian wabilahitaufiqwalhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian dan terima kasih.
 Posted by: noorainie othman

1 comment:

Ashraff said...

Salam. Saya mohon untuk buat rujukan. Terima kasih