Esok hari Ahad, sesuai sekali saya kongsikan sebuah cerpen yang baru siap ini. Cerpen ini hanya impian penulis sendiri dan rekaan semata-mata. Jika tertarik dengan cerpen, komen dialu-alukan untuk tujuan pembaikan diri penulis sendiri. TK.
***
Rumah kayu tanpa
cat di atas air itu berapi. Api lahir di celah-celah lipatan zaman remaja akhir
anak-anaknya. Api marak tiba-tiba tanpa dapat dia menghalangnya. Sekian lama
rumah buruknya itu aman damai dan sepi. Hanya sesekali ombak laut Sulu itu
memercikkan air ke lantai rumahnya itu. Api, rumah buruknya berapi! Api! Api!
***
Empat orang anak
lelakinya melanjutkan pelajaran ke peringkat mengagumkan seorang ibu tua
sepertinya. Ada yang ke luar negara. Ada yang di dalam negara. Semua anaknya
membanggakannya. Keluar dari pintu rumah buruknya ini. Namun, apa yang
mengocakkan api semakin marak apabila anak keduanya, Johari. Johari lah yang
mencipta lonjakan api di rumah dan di hatinya. Johari yang baru balik dari
Amerika menggelojakkan amarah di dada kecilnya ini.
“Membawa
balik orang putih sama dengan membawa penjajah balik ke rumah kita! Membawa
penjajah balik sama dengan menjajah ketenangan aku di sini. Aku tak suka orang
putih tu! Sampai mati aku tak suka!” jauh pandangannya, melepasi laut lepas. Geram,
kesal, benci dan marah silang-menyilang di dalam dirinya. Setiap kerjanya juga
tidak pernah siap asyik terbakar oleh api maraknya. Sudah hampir seminggu
marahnya begini.
“Apa
masalahnya? Sudah jodoh mereka! Biarkanlah mereka nikah! Pernikahan mereka akan
menambahkan keturunan kita! Keturunan kita akan berkembang! Cucu-cucu kita pasti
comel-comel belaka! Kau tak suka?” hampir dia meluat, bila-bila masa dia akan
muntah! Muntah darah dan muntah air mata!
“Bukan
jodoh dia kalau begitu! Anak yang tak sedar diri sudah memalukan aku dan
keluarga kita semua di Semporna ni! Aku tak rela!” bidasnya geram. Tidak pernah
dia marah-marah. Tambahan pula penyakit tinggi darah dan kencing manisnya
menyebabkan dia dilarang marah-marah oleh doktor yang merawatnya. Malah, Johari
anak kesayangannya. Tidak pernah dia memarahi anak kesayangan dan sumber
kebanggaannya selama ini. Semua ahli keluarganya di bumi Semporna sudah basah
oleh bangganya.
“Tak
ada malunya! Anak kau tu membawa pembaharuan! Membawa tuah! Membawa perpaduan!”
jelak semakin jelas di hatinya. Dia tidak akan menerima semua kata itu. Dia
sudah berjanji akan mengahwinkan anak lelakinya yang baru balik dari Amerika
itu akan dikahwinkan dengaan Johana, anak sepupunya. Mampukah dia mendapat malu
bertimpa-timpa kelak? Aduh, bagaimana?
“Tak
ada yang baru! Tak ada tuah! Hanya menyusahkan dan membawa kesusahan kepada anak
aku!” rakan yang dilawannya bercakap itu ketawa. Bertambah marak api di
dadanya.
“Penjajah
sudah menakluki negara kita berpuluh-puluh tahun lamanya. Tidak sepatutnya dia
membawa balik gadis penjajah cap orang putih itu. Pasti ada idealogi penjajah
dalam niatnya! Aku ni faham sangat gaya penjajah!” tukasnya lagi. Api bagaikan
membakar dadanya.
“Tidak
ada masalahnya! Tutup buku lama, buka buku baru! Penjajah sudah balik ke
negaranya dan sekarang negara kita hidup makmur! Penjajah takkan datang semula
ke sini! Tak ada gunanya mereka menjajah! Negara kita negara berdaulat!” tambah
suara yang sering menyindirnya. Dia bertambah geram!
“Vietnam
masih dijajah! Kau tak tahu?” tukasnya lagi. Rakannya bercakap ketawa
berdekah-dekah. Hatinya bagai ditikam-tikam dengan belati.
“Askar
Amerika sudah balik secara berperingkat!”
“Mereka
tetap penjajah!”
“Mereka
dah bertaubat!”
“Jangan
kau nak ajar aku tentang taubat! Penjajah takkan pernah bertaubat! Mereka akan
mencari jalan lain bagaimana menjajah kita semula! Salah satunya dengan cara
yang Johari bawa nilah! Aku tak mahu keturunan aku nikah dengan anak penjajah!
Sampai mati aku tak rela! Noktah!” Sampai begitu sekali geramnya. Wajah manis
Johana menari-nari di matanya. Air matanya bergenang seketika. Selama ini dia
tidak pernah marah-marah dan menunjukkan keras hatinya.
“Jangan
cakap merapu! Kita terima sesiapa sahaja. Manusia sama sahaja di sisi Tuhan.
Mungkin orang putih itu lebih baik dari kita! Siapa tahu?” dia mencemikkan
bibirnya. Tetap tidak puas hati. Sudah terang lagi bersuluh! Takkan dapat
diterimanya pendapat bodoh itu.
“Orang
putih kau cakap baik? Apa jenis manusia kau! Kat mana kau belajar ni?” rakan
yang dilawannya bercakap ketawa lagi. Di mana lucunya? Dadanya semakin berapi!
Apinya marak menjulang jauh melintasi banjaran Kinabalu memanjang ke gunung
Kinabalu!
“Kita
tak tahu lagi! Tengok dulu! Uruskan dulu hal anak kau tu! Redai dulu pernikahan
mereka! Jangan kecoh-kecoh, orang kampung tak patut tahu! Malu kita!” kali ini dia
ketawa. Apakah rakannya itu buta dan pekak? Janjinya kepada Johana sudah
mencapai empat tahun. Tahun ini sepatutnya dia akan menikahkan anaknya dengan
bakal menantu pilihannya, Johana. Ke mana hendak disembunyikan wajahnya dengan
perjanjiannya itu?
“Johari
memang anak tak sedar diri! Disuruh belajar, dia bawa balik bini pula! Anak tak
masuk diajar!” tegang rahangnya. Rakannya hanya mendengar, tidak mencelah
sedikitpun.
“Tak
tahu sudah nikah atau belum tapi tinggal serumah! Apa yang sudah berlaku kepada
Johari, sudah hilang agama atau hilang pedoman! Dia tak ingat aku sudah
menghantar dia ke sekolah agama kecil-kecil dulu!” dia menumpahkan
kemarahannya. Hancur luluh hatinya, tidak dapat digantikan dengan yang lain!
“Itulah
masalahnya! Kita harus betulkan kesilapan ini! Kita uruskan pernikahan mereka
cepat-cepat! Jangan biarkan mereka terus berkelana dengan dosa-dosa begitu!”
sekali dia mencemikkan bibirnya.
“Kita
menanggung dosa tapi aku tak mahu nikahkan mereka! Aku mahu pisahkan mereka!
Orang putih itu mesti disuruh balik ke Amerika!” cadangnya keras. Tidak mungkin
dia akan bertolak ansur dengan orang putih yang merampas tempat Johana.
“Kau
nak pisahkan mereka? Sampai hati kau memisahkan dua nyawa yang sedang
berkembangnya cinta!” dia angguk. Dia memang sampai hati. Makin marak api
marahnya.
“Habis?”
“Habis
apa?”
“Kalau
perempuan dah mengandung?”
“Takkan
mengandung! Anak aku belum kerja lagi! Nak makan apa kalau mereka nikah nanti?
Makan batu? Aku ni bukannya kaya nak tanggung mereka! Hidup aku pun ditanggung
oleh orang lain!” jelasnya. Dia mahu penyokong.
“Elok
kita nikahkan mereka, supaya lepas dosa-dosa kering kita! Rumah ni pun dah
panas macam dalam api neraka! Kalau kita hantar dia pulang, bertambah pula
masalah dan dosa kita nanti!” suara itu menjengah lagi, menentangnya bukan
menyokong cadangannya. Mahu sahaja api yang marak itu ditelungkupkan ke
kepalanya. Baru padan mukanya!
“Kau
jangan ajar aku! Budak penjajah tak elok jadi keturunan aku! Dia hendak
menjajah anak aku dan keluarga kita di Semporna ini. Aku tak mahu perempuan
penjajah itu nikah dengan Johari!” jawabnya tangkas.
“Bukan
penjajah! Itu dah jodoh Johari! Sudah terakad sejak azali! Kahwin campur kan
mengembangkan lagi keturunan kita!” suara itu berulang-ulang di anak
telinganya. Marak api bagai menyimbah ke mukanya. Dia semakin geram.
“Belum
habis perempuan di Semporna ini kau tahu? Jodoh itu bagaikan rezeki, boleh
dicari di mana-mana tetapi bukan orang putih itu!” tegasnya.
“Belajar
lah menerima budaya baru! Jangan terlalu bangga dengan budaya sendiri, belum
tentu kita lebih baik dari mereka!” suara itu bagaikan menyindirnya. Dia memang
tidak tahan melihat anaknya Johari membawa balik orang putih itu.
“Ini
bukan budaya baru! Ini penjajahan baru! Aku takkan terima!” jelasnya lagi.
“Awak ni yang terlalu degil! Perempuan degil
macam awak ni layak mendapat menantu degil macam orang putih tu!” getir. Ombak
kecil di dadanya bagaikan membesar menjadi tsunami!
“Aku
mesti bertegas dalam hal ini!” jawabnya.
“Jangan
terlalu mempertahankan budaya dan adat sendiri kalau anak awak tu sudah sah-sah
buat maksiat!” pedih pendengarannya. Sukar diterima kenyataan itu. Mungkinkah
itu tuduhan untuk memburukkan anaknya Johari? Sedikitpun dia tidak akan
menerima kata-kata itu. Anaknya Johari seorang anak yang berdisiplin.
“Saya
takkan terima budaya palsu itu.”
“Awak
terlalu hendak bercakap mengenai penjajah! Orang putih bukan penjajah dia bakal
isteri Johari!” tegas suara itu. Tegang wajahnya.
“Kau
hanya tahu bercakap! Kau tak tahu perasaan seorang ibu macam aku yang menunggu
anak balik setelah belajar bertahun-tahun di luar negara!” ucapnya meluahkan
perasaan. Anak kesayangannya bakal menjadi jurutera tersohor. Tidak mungkin dia
akan membenarkan anaknya itu bernikah dengan orang putih itu.
“Aku
tahu! Benda sudah jadi! Tak usah dibiar perkara ini! Johari harus dinikahkan
dengan segera!”
“Halau
orang putih dari bumi Semporna ni! Bumi di sini pun seakan sudah berasap tebal!
Sesak nafas aku!” jawabnya.
“Jangan
bercakap macam orang tak ada iman!” tegas dia diperkecilkan.
“Inilah
keputusan aku! Sampai mati aku takkan terima penjajah baru ke rumah aku ini!
Dulu mereka datang mengkristiankan orang-orang di sini! Sampai kita jadi pelarian!
Kita lari ke Selatan Filipina, kau tak ingat? Hasilnya apa?” dia berjeda. Air
matanya sudah membanjiri wajahnya.
“Usah
diingat. Akhirnya kita kembali ke negara ini, penjajah sudah balik ke
negaranya!” rakannya itu menambah darjah kemarahannya.
“Sampai
hari ini kita dicop sebagai orang asing di bumi sendiri! Kita dicop sebagai
pendatang asing! Sampai kini pun kita masih dicop sebagai pendatang asing! Kau
tak ingat atau sengaja tak mahu ingat?” soalnya marah berapi-api. Api sudah
menular di dada kecilnya.
“Orang
putih tu tak salah! Tak adil kita salahkan dia! Dia bukan penjajah! Kita pun
tak salah!” pujuk rakannya itu.
“Dia
penjajah! Kau yang tak mahu akui hal itu! Mentang-mentang budak itu lawa,
kulitnya mulus, jadi kau buta-buta terima orang putih tu! Eh, tak ingin aku
begitu!” Dia memang tidak izin menerima
penjajah dalam hidupnya yang pendek ini.
“Kau
ni sudah gila barangkali! “ ejeknya kepada rakannya itu. Rakannya itu pula
ketawa berdekah-dekah. Mentertawakan kedegilannya.
“Terimalah
kenyataan, Johari bakal nikah dengan orang putih!” dia hampir sahaja termuntah
dengan kenyataan itu. Dia menahan perasaannya. Lebih banyak dia bercakap,
semakin pening kepalanya dan hendak termuntah pula.
“Jangan
terlalu menentang hasrat anak, akhirnya dia akan pergi meninggalkan kau untuk
selama-lamanya. Mana satu yang kau pilih, anak atau kau akan ditinggalkan
beribu-ribu batu jauhnya?” dia menggeleng. Jauhnya Amerika Syarikat itu, tidak
dapat dibayangkan kejauhannya itu. Selama ini pun dia hanya menahan perasaannya
apabila anaknya itu tidak balik selama empat tahun lamanya. Sakit pening
anaknya tidak lagi diketahuinya. Sesalnya dia!
“Kau
mengugut aku?”
“Tidak!
Pernikahan itu lebih memudahkan daripada menghalau orang putih itu.
Menghalaunya sama lah kau menghalau anakmu sendiri!” dia terduduk sendirian. Dia
tidak boleh menerima kedua-dua kenyataan. Kedua-duanya menyakitkan!
Akhirnya, api
yang membara menyebabkan pandangannya gelap!
***
“Mak? Apa sudah
jadi ni mak?” jirusan air di mukanya menyebabkan dia tersedar. Gadis ayu di
sisi anaknya itu sedang ralat mengurut tubuhnya yang terkedang! Dia menutupkan
matanya semula. Berharap kenyataan itu tidak muncul lagi di matanya. Api marak
di wajahnya!
***
“Bangun mak!
Bangun mak! Api dah marak mak! Api mak! Api!” Suara Johari sekali lagi
mengegaukan rasanya.
“Biarlah api membakar tubuh mak ni
Johari!” balas emak lemah.
“Mak, api membakar rumah kita, kalau
mak tak cepat-cepat keluar dari sini mak! Cepat mak!” kata Johari.
“Biarlah api membakar mak! Mak rela
daripada kau kahwin dengan orang putih tu!” sahutnya lagi.
“Ha! Kahwin? Siapa nak kahwin mak?”
dia membuka matanya besar-besar. Benarkah tidak ada sesiapa yang kahwin?
Mimpikah dia? Oh, tidak! Api sudah membakar rumahnya dan perkampungan di
Semporna ini! Tubuhnya yang sudah kepanasan dek api sudah dicempung oleh
Johari, anak kesayangannya. Benarkah tidak ada orang putih itu? Dia menutup
matanya dan memegang leher anaknya itu sekejap-kejapnya!
Noorainie
Othman, KK, 5-12 Mei 2012
No comments:
Post a Comment