Monday, June 25, 2012

Pergilah kau...


Andai kau pernah berjanji, jangan kau pernah menyebut kisah kau dan aku lagi. Kau sudah mengakrab sumpah di anak gegendangku lebih sepuluh tahun berlalu. Andai sahaja kau pernah berjanji untuk memilikiku, mungkin itu cuma angan-angan bersama angin dingin di pergunungan dan berlalu di depanku, bukan cita-cita pahlawan yang ingin menakluk sebuah negeri. Andai saja kaupernah mengirimi salam perkasihan buatku, mungkin itu hanya imaginasi seorang pendusta yang ingin berlari bersama tsunami dan akhirnya tersungkur dizalimi sumpah angin yang mengamuk. Aku menekuri pergimu dan merenung sisa tsunami yang berpusar-pusar di mana-mana. 


Aku selalu sahaja reda dengan tulus anganmu di relung atmaku. Kusimpan kemas-kemas dalam jurus-jurus waktu yang pernah hadir sedetik itu. Aku selalu sahaja menyembunyikan di wajah siang dan di muka malam. Aku rela malah reda biarpun hanya berpandangan di angin tsunami. 


Pergilah kau pada haluan yang sudah kaucipta. Pergilah kau, pergilah dengan rela tanpa ikatan janji. Pergilah kau...pergilah jangan pandang lagi. Pergilah kau...pergi, jangan kenang lagi. Anggaplah sumpahmu sudah bertukar hala pabila sahaja sang sang nakhoda sudah mengangkat sauh kapal dan bersedia untuk bergerak dan berlabuh di pelabuhan asing kelak. Pergilah kau...pergilah, anggap sahaja titik hitam itu sudah terpadam apabila angin tsunami sudah menerbangkan kasih di celahan nafas remaja itu.


Pergilah kau ke mana-mana pelabuhan sahaja andai itulah tertakrif di nawaitu seorang lelaki seperti engkau! Anggap sahaja aku adalah lalang yang rapuh jika diterbangkan angin tsunami.


Pergilah kau...aku hanya rindukan dendangan burung yang berkicau memanggil namaku. Sungguh, aku pelarian di dalam hatiku sendiri.


Posted by: NoorainieOthman

No comments: