Yang kuada hanya seberkas jiwa yang punya sekecil cinta sebesar harap, yang kumimpi hanya dikau yang memberikan makna ke dalam kehidupan di taman kesementaraan ini, yang kurindu hanya dikau yang sentiasa yang tidak pernah kalah juang menemani aku di belantara hidup ini, yang kuimaginasi dalam karung inginku setiap saat setiap tika hanya hadirmu memimpin tangan lemahku ke perlembahan kita destinasi impi kita, yang kukulum dalam karam doaku ini hanya kebahagiaan kau menakhodai perjalanan ini, yang kunanti hadir dalam susuk-susuk harapku hanya paduan zikrullah kita terangkat kudus ke langit tujuh tanpa sehelai lapispun. Yang kuperlukan hanya siraman air rahmat ke atas destinasi kota kita.
Yang kupuji hanya Allah yang sentiasa tanpa putus menumpahkan nikmat dan menumpangkan alamnya untuk aku dan kau berehat sebentar di dalamnya. Ya Allah redailah penginapan sementara kami di tamanMu ini.
Posted by: NoorainieOthman, Kota Kinabalu.
25.6.12/10.05pm
Noraini Bt Osman @ Noorainie telah menulis beberapa buah novel Melayu iaitu; Keringatmu Yang Mengalir (2001), Gendala (2003), Impian Nabila (2004), Kembali Sebutir Mutiara (2008), Perjalanan Maisharah (2008) Menemui Mantarissa (2009), Saiful Muluk dan Badrul Muluk (2010)
Wednesday, June 27, 2012
Tuesday, June 26, 2012
Catatan Sang Pencatat Yang Terluka
Ini catatan sang pencatat yang terluka jiwanya...
hendak ke mana kubawa surat hati ini
tidak tertanggung rasanya namun kepada siapa
sekeping keluhan ini terluahkan... apa yang ada hanyalah
kepingan-kepingan putih yang masih sudi meminjamkan
ruang dadanya untukku persembahkan catatan duka.
Sang pembaca, jangan kasihan aku. Aku tidak pernah minta
gaunku berdarah duka dan wajahku pucat tanpa sehelai seri.
Benar aku memang terluka, namun darah yang mengalir tak terlihat
mengalir di mana-mana lekukan tubuhku, entah di mana saktinya,
aku cuma membawa saratnya luka yang kutanggung ke mana-mana.
Aku takut bandar yang kududuki ini tidak mampu lagi menampung duka
yang selamanya singgah di tubuh koma tabah ini.
Kukhabarkan pada angin yang mengancam, bawalah surat dukaku ini
ke mana-mana sahaja. Aku mimpi bahagia...
Posted by: NoorainieOthman, 25.6.12/9.29pm
Kota Kinabalu.
Monday, June 25, 2012
Jangan katup pintu kemaafan
Jangan katup pintu kemaafan, aku masih perlu ketuk pintu keredaanmu. Kini aku masih bertenggek di ruang jendela kesilapan semalam. Mungkin khilaf semalam belum cukup terampun hanya bicara maaf.
Jangan katup pintu kemaafan, aku perlu ketuk pintunya dengan kasihmu.
Aku menanti dalam dilema.
Noorainie Othman
Kota Kinabalu.
20.6.12
Teks Ucapan Majlis Penutupan Karnival Akademik 2012
Teks Ucapan yang pernah saya tulis.
Teks Ucapan Alu-aluan Majlis Penutupan Karnival Akademik 2012
Asssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Mutiara. Yang Berhormat _____________________, Yang Berbahagia ________________, Yang Dihormati Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Bhaif bin Bar, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Encik Afendy Hj. Ramlee, ketua-ketua panitia, ustaz-ustaz, ustazah-ustazah, guru-guru dan murid-murid yang disayangi.
1. Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan berkat izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama hadir bagi meraikan sebuah majlis yang amat bermakna, iaitu Majlis Perasmian Penutupan Karnival Akademik bagi tahun 2012. Saya amat gembira menyaksikan semua guru dan murid berkumpul di dalam dewan ini untuk sama-sama menjayakan majlis penutupan karnival akademik yang dilaksanakan dengan sambutan yang amat baik dari semua guru dan murid-murid pada setiap tahun.
2. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan Guru Besar Datin Florence Kouju telah berjaya mengilhamkan Karnival Akademik ini sejak 2010. Karnival Akademik ini adalah acara tahunan dan ini adalah karnival yang ketiga diadakan sejak tahun 2010. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua Ketua-ketua Panitia, ahli jawatankuasa Karnival Akademi dan murid-murid yang telah bertungkus-lumus sejak minggu lalu untuk menjadikan karnival ini terlaksana dengan jayanya.
Tuan-tuan dan puan-puan serta murid-murid sekalian,
3. Program Karnival Akademik ini diadakan dengan matlamat untuk mendedahkan murid dengan beberapa aktiviti di bawah unit kurikulum. Murid-murid juga diharapkan akan mendapat pengalaman baru berdasarkan pemerhatian mereka di gerai-gerai pameran. Gerai-gerai pula terdiri daripada 14 gerai pameran. Pameran telah diadakan sepanjang minggu ini iaitu 18 Jun hingga 21 Jun 2012. Semua murid berpeluang melawat ke gerai-gerai pameran bersama-sama dengan guru.
4. Antara objektif karnival akademik ini diadakan adalah sebagai satu aktiviti kemuncak setelah semua panitia mengadakan Minggu Panitia. Di samping itu, ia juga memberi penghargaan kepada murid-murid yang telah menghasilkan kerja amali atau projek dengan cemerlang.
5. Sekolah ingin melihat murid boleh menjadi contoh atau role model kepada pelajar lain. Dalam bidang kurikulum, pelbagai perkara dipelajari dari patuh kepada arahan guru-guru sehinggalah membina kesepaduan kumpulan menerusi kesabaran, ketetapan masa, bertolak ansur, bekerjasama dan sebagainya. Pihak sekolah juga sentiasa mendukung hasrat KPM dengan sentiasa responsif terhadap keperluan pelajar ke arah pemupukan dan membina bakat bagi murid yang berkecenderungan memilih kerjaya mereka dalam apa jua bidang. Demi untuk merealisasikan hal ini karnival akademik juga turut mengadakan beberapa pertandingan iaitu pertandingan Scrabble atau Sahibba dan Pesta Pantun bagi murid-murid Tahap 2.
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. Pihak sekolah juga berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama yang baik daripada Pihak PIBG di sekolah ini atas sumbangan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang dalam pertandingan yang diadakan sepanjang berlangsungnya Karnival Akademik ini.
7. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil daripada PPD iaitu Encik __________ di atas kesudian beliau hadir pada majlis ini. Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua ketua-ketua panitia, ahli jawatankuasa kerja yang terlibat, guru-guru, murid-murid yang membantu serta semua pihak yang membantu menjayakan Karnival Akademik ini. Saya ada sebuah pantun untuk pasukan kerja yang telah memastikan majlis ini berlangsung dengan jayanya.
Berkejar-kejaran ombak di laut,
Menyentuh pantai pasirnya bersih;
Budi tuan kelak disebut-sebut,
Kerja selesai dan terima kasih.
8. Seterusnya, bagi mengakhiri ucapan saya ini, saya memohon kemaafan jika sepanjang perbincangan sehingga berlangsungnya majlis penutupan Karnival Akademik ini terdapat kekasaran dan kepincangan. Dan, saya akhiri juga ucapan saya dengan dua rangkap pantun.
Pohon sirih pohon selasih,
Tumbuh merimbun di hujung laman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Menjadi kenangan sepanjang zaman.
Ular lidi menyusur rotan,
Menyusur jati ke dalam paya;
Banyak budi tuan semaikan,
Semoga tumbuh menyinar dunia.
Sekian wabilahitaufiqwalhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian dan terima kasih.
Posted by: noorainie othman
Pergilah kau...
Andai kau pernah berjanji, jangan kau pernah menyebut kisah kau dan aku lagi. Kau sudah mengakrab sumpah di anak gegendangku lebih sepuluh tahun berlalu. Andai sahaja kau pernah berjanji untuk memilikiku, mungkin itu cuma angan-angan bersama angin dingin di pergunungan dan berlalu di depanku, bukan cita-cita pahlawan yang ingin menakluk sebuah negeri. Andai saja kaupernah mengirimi salam perkasihan buatku, mungkin itu hanya imaginasi seorang pendusta yang ingin berlari bersama tsunami dan akhirnya tersungkur dizalimi sumpah angin yang mengamuk. Aku menekuri pergimu dan merenung sisa tsunami yang berpusar-pusar di mana-mana.
Aku selalu sahaja reda dengan tulus anganmu di relung atmaku. Kusimpan kemas-kemas dalam jurus-jurus waktu yang pernah hadir sedetik itu. Aku selalu sahaja menyembunyikan di wajah siang dan di muka malam. Aku rela malah reda biarpun hanya berpandangan di angin tsunami.
Pergilah kau pada haluan yang sudah kaucipta. Pergilah kau, pergilah dengan rela tanpa ikatan janji. Pergilah kau...pergilah jangan pandang lagi. Pergilah kau...pergi, jangan kenang lagi. Anggaplah sumpahmu sudah bertukar hala pabila sahaja sang sang nakhoda sudah mengangkat sauh kapal dan bersedia untuk bergerak dan berlabuh di pelabuhan asing kelak. Pergilah kau...pergilah, anggap sahaja titik hitam itu sudah terpadam apabila angin tsunami sudah menerbangkan kasih di celahan nafas remaja itu.
Pergilah kau ke mana-mana pelabuhan sahaja andai itulah tertakrif di nawaitu seorang lelaki seperti engkau! Anggap sahaja aku adalah lalang yang rapuh jika diterbangkan angin tsunami.
Pergilah kau...aku hanya rindukan dendangan burung yang berkicau memanggil namaku. Sungguh, aku pelarian di dalam hatiku sendiri.
Posted by: NoorainieOthman
Izinkan Aku
Izinkanlah aku menatap wajahnya
ketika mataku masih belum berkabus
ketika senduku belum bermula
dan pandanganku padanya belum berubah.
Izinkan aku menatap wajahnya
ketika hatiku masih tulus untuknya
dan ketika cintaku memang tertakdir untuknya
Ya Allah, izinkan kebaikan-kebaikan itu
menjadi tatapan mataku
pada ketika pandanganku belum ditarik kembali.
Izinkan aku.
Sekitar Pesta Pantun Peringkat Sekolah Maisharah Ben
Posted by: NoorainieOthman
Para Pemantun sedang berentap |
Maisharah sedang menerima hadiah dari Guru Besar. |
Pemantun terbaik sekolah |
Para pemantun sedang berentap pada 22.6.12 yang lalu |
Posted by: NoorainieOthman
Saturday, June 23, 2012
Lelaki Tanpa Cinta
Lelaki tanpa cinta
Duduk menghadap minuman
Sambil membuka cerita
Mengenai perasaan dan cinta
Dia sekujur tubuh tanpa cinta
Siapakah yang sudi mengajarnya erti
cinta?
Serentak itu kami ketawa
Lelaki itu hanya tahu memberi
Di hatinya memang nol cinta
Hanya memikul tanggungjawab
Dia tetap mengakui hidupnya kosong
cinta
Dia hidup dalam juzuk yang tersendiri
Di maya ini.
Kami saling berpandangan
Apakah benar dakwaan
Atau sekadar kumpulan sendaan
Yang melazatkan makanan pagi di dewan
santapan!
Promenade
Hotel, KK- 4-6Mei 2012.
Gambar di Brunei
Inilah sahaja gambar kenangan sewaktu menjejak Brunei |
Api Marak di Semporna
Esok hari Ahad, sesuai sekali saya kongsikan sebuah cerpen yang baru siap ini. Cerpen ini hanya impian penulis sendiri dan rekaan semata-mata. Jika tertarik dengan cerpen, komen dialu-alukan untuk tujuan pembaikan diri penulis sendiri. TK.
***
Rumah kayu tanpa
cat di atas air itu berapi. Api lahir di celah-celah lipatan zaman remaja akhir
anak-anaknya. Api marak tiba-tiba tanpa dapat dia menghalangnya. Sekian lama
rumah buruknya itu aman damai dan sepi. Hanya sesekali ombak laut Sulu itu
memercikkan air ke lantai rumahnya itu. Api, rumah buruknya berapi! Api! Api!
***
Empat orang anak
lelakinya melanjutkan pelajaran ke peringkat mengagumkan seorang ibu tua
sepertinya. Ada yang ke luar negara. Ada yang di dalam negara. Semua anaknya
membanggakannya. Keluar dari pintu rumah buruknya ini. Namun, apa yang
mengocakkan api semakin marak apabila anak keduanya, Johari. Johari lah yang
mencipta lonjakan api di rumah dan di hatinya. Johari yang baru balik dari
Amerika menggelojakkan amarah di dada kecilnya ini.
“Membawa
balik orang putih sama dengan membawa penjajah balik ke rumah kita! Membawa
penjajah balik sama dengan menjajah ketenangan aku di sini. Aku tak suka orang
putih tu! Sampai mati aku tak suka!” jauh pandangannya, melepasi laut lepas. Geram,
kesal, benci dan marah silang-menyilang di dalam dirinya. Setiap kerjanya juga
tidak pernah siap asyik terbakar oleh api maraknya. Sudah hampir seminggu
marahnya begini.
“Apa
masalahnya? Sudah jodoh mereka! Biarkanlah mereka nikah! Pernikahan mereka akan
menambahkan keturunan kita! Keturunan kita akan berkembang! Cucu-cucu kita pasti
comel-comel belaka! Kau tak suka?” hampir dia meluat, bila-bila masa dia akan
muntah! Muntah darah dan muntah air mata!
“Bukan
jodoh dia kalau begitu! Anak yang tak sedar diri sudah memalukan aku dan
keluarga kita semua di Semporna ni! Aku tak rela!” bidasnya geram. Tidak pernah
dia marah-marah. Tambahan pula penyakit tinggi darah dan kencing manisnya
menyebabkan dia dilarang marah-marah oleh doktor yang merawatnya. Malah, Johari
anak kesayangannya. Tidak pernah dia memarahi anak kesayangan dan sumber
kebanggaannya selama ini. Semua ahli keluarganya di bumi Semporna sudah basah
oleh bangganya.
“Tak
ada malunya! Anak kau tu membawa pembaharuan! Membawa tuah! Membawa perpaduan!”
jelak semakin jelas di hatinya. Dia tidak akan menerima semua kata itu. Dia
sudah berjanji akan mengahwinkan anak lelakinya yang baru balik dari Amerika
itu akan dikahwinkan dengaan Johana, anak sepupunya. Mampukah dia mendapat malu
bertimpa-timpa kelak? Aduh, bagaimana?
“Tak
ada yang baru! Tak ada tuah! Hanya menyusahkan dan membawa kesusahan kepada anak
aku!” rakan yang dilawannya bercakap itu ketawa. Bertambah marak api di
dadanya.
“Penjajah
sudah menakluki negara kita berpuluh-puluh tahun lamanya. Tidak sepatutnya dia
membawa balik gadis penjajah cap orang putih itu. Pasti ada idealogi penjajah
dalam niatnya! Aku ni faham sangat gaya penjajah!” tukasnya lagi. Api bagaikan
membakar dadanya.
“Tidak
ada masalahnya! Tutup buku lama, buka buku baru! Penjajah sudah balik ke
negaranya dan sekarang negara kita hidup makmur! Penjajah takkan datang semula
ke sini! Tak ada gunanya mereka menjajah! Negara kita negara berdaulat!” tambah
suara yang sering menyindirnya. Dia bertambah geram!
“Vietnam
masih dijajah! Kau tak tahu?” tukasnya lagi. Rakannya bercakap ketawa
berdekah-dekah. Hatinya bagai ditikam-tikam dengan belati.
“Askar
Amerika sudah balik secara berperingkat!”
“Mereka
tetap penjajah!”
“Mereka
dah bertaubat!”
“Jangan
kau nak ajar aku tentang taubat! Penjajah takkan pernah bertaubat! Mereka akan
mencari jalan lain bagaimana menjajah kita semula! Salah satunya dengan cara
yang Johari bawa nilah! Aku tak mahu keturunan aku nikah dengan anak penjajah!
Sampai mati aku tak rela! Noktah!” Sampai begitu sekali geramnya. Wajah manis
Johana menari-nari di matanya. Air matanya bergenang seketika. Selama ini dia
tidak pernah marah-marah dan menunjukkan keras hatinya.
“Jangan
cakap merapu! Kita terima sesiapa sahaja. Manusia sama sahaja di sisi Tuhan.
Mungkin orang putih itu lebih baik dari kita! Siapa tahu?” dia mencemikkan
bibirnya. Tetap tidak puas hati. Sudah terang lagi bersuluh! Takkan dapat
diterimanya pendapat bodoh itu.
“Orang
putih kau cakap baik? Apa jenis manusia kau! Kat mana kau belajar ni?” rakan
yang dilawannya bercakap ketawa lagi. Di mana lucunya? Dadanya semakin berapi!
Apinya marak menjulang jauh melintasi banjaran Kinabalu memanjang ke gunung
Kinabalu!
“Kita
tak tahu lagi! Tengok dulu! Uruskan dulu hal anak kau tu! Redai dulu pernikahan
mereka! Jangan kecoh-kecoh, orang kampung tak patut tahu! Malu kita!” kali ini dia
ketawa. Apakah rakannya itu buta dan pekak? Janjinya kepada Johana sudah
mencapai empat tahun. Tahun ini sepatutnya dia akan menikahkan anaknya dengan
bakal menantu pilihannya, Johana. Ke mana hendak disembunyikan wajahnya dengan
perjanjiannya itu?
“Johari
memang anak tak sedar diri! Disuruh belajar, dia bawa balik bini pula! Anak tak
masuk diajar!” tegang rahangnya. Rakannya hanya mendengar, tidak mencelah
sedikitpun.
“Tak
tahu sudah nikah atau belum tapi tinggal serumah! Apa yang sudah berlaku kepada
Johari, sudah hilang agama atau hilang pedoman! Dia tak ingat aku sudah
menghantar dia ke sekolah agama kecil-kecil dulu!” dia menumpahkan
kemarahannya. Hancur luluh hatinya, tidak dapat digantikan dengan yang lain!
“Itulah
masalahnya! Kita harus betulkan kesilapan ini! Kita uruskan pernikahan mereka
cepat-cepat! Jangan biarkan mereka terus berkelana dengan dosa-dosa begitu!”
sekali dia mencemikkan bibirnya.
“Kita
menanggung dosa tapi aku tak mahu nikahkan mereka! Aku mahu pisahkan mereka!
Orang putih itu mesti disuruh balik ke Amerika!” cadangnya keras. Tidak mungkin
dia akan bertolak ansur dengan orang putih yang merampas tempat Johana.
“Kau
nak pisahkan mereka? Sampai hati kau memisahkan dua nyawa yang sedang
berkembangnya cinta!” dia angguk. Dia memang sampai hati. Makin marak api
marahnya.
“Habis?”
“Habis
apa?”
“Kalau
perempuan dah mengandung?”
“Takkan
mengandung! Anak aku belum kerja lagi! Nak makan apa kalau mereka nikah nanti?
Makan batu? Aku ni bukannya kaya nak tanggung mereka! Hidup aku pun ditanggung
oleh orang lain!” jelasnya. Dia mahu penyokong.
“Elok
kita nikahkan mereka, supaya lepas dosa-dosa kering kita! Rumah ni pun dah
panas macam dalam api neraka! Kalau kita hantar dia pulang, bertambah pula
masalah dan dosa kita nanti!” suara itu menjengah lagi, menentangnya bukan
menyokong cadangannya. Mahu sahaja api yang marak itu ditelungkupkan ke
kepalanya. Baru padan mukanya!
“Kau
jangan ajar aku! Budak penjajah tak elok jadi keturunan aku! Dia hendak
menjajah anak aku dan keluarga kita di Semporna ini. Aku tak mahu perempuan
penjajah itu nikah dengan Johari!” jawabnya tangkas.
“Bukan
penjajah! Itu dah jodoh Johari! Sudah terakad sejak azali! Kahwin campur kan
mengembangkan lagi keturunan kita!” suara itu berulang-ulang di anak
telinganya. Marak api bagai menyimbah ke mukanya. Dia semakin geram.
“Belum
habis perempuan di Semporna ini kau tahu? Jodoh itu bagaikan rezeki, boleh
dicari di mana-mana tetapi bukan orang putih itu!” tegasnya.
“Belajar
lah menerima budaya baru! Jangan terlalu bangga dengan budaya sendiri, belum
tentu kita lebih baik dari mereka!” suara itu bagaikan menyindirnya. Dia memang
tidak tahan melihat anaknya Johari membawa balik orang putih itu.
“Ini
bukan budaya baru! Ini penjajahan baru! Aku takkan terima!” jelasnya lagi.
“Awak ni yang terlalu degil! Perempuan degil
macam awak ni layak mendapat menantu degil macam orang putih tu!” getir. Ombak
kecil di dadanya bagaikan membesar menjadi tsunami!
“Aku
mesti bertegas dalam hal ini!” jawabnya.
“Jangan
terlalu mempertahankan budaya dan adat sendiri kalau anak awak tu sudah sah-sah
buat maksiat!” pedih pendengarannya. Sukar diterima kenyataan itu. Mungkinkah
itu tuduhan untuk memburukkan anaknya Johari? Sedikitpun dia tidak akan
menerima kata-kata itu. Anaknya Johari seorang anak yang berdisiplin.
“Saya
takkan terima budaya palsu itu.”
“Awak
terlalu hendak bercakap mengenai penjajah! Orang putih bukan penjajah dia bakal
isteri Johari!” tegas suara itu. Tegang wajahnya.
“Kau
hanya tahu bercakap! Kau tak tahu perasaan seorang ibu macam aku yang menunggu
anak balik setelah belajar bertahun-tahun di luar negara!” ucapnya meluahkan
perasaan. Anak kesayangannya bakal menjadi jurutera tersohor. Tidak mungkin dia
akan membenarkan anaknya itu bernikah dengan orang putih itu.
“Aku
tahu! Benda sudah jadi! Tak usah dibiar perkara ini! Johari harus dinikahkan
dengan segera!”
“Halau
orang putih dari bumi Semporna ni! Bumi di sini pun seakan sudah berasap tebal!
Sesak nafas aku!” jawabnya.
“Jangan
bercakap macam orang tak ada iman!” tegas dia diperkecilkan.
“Inilah
keputusan aku! Sampai mati aku takkan terima penjajah baru ke rumah aku ini!
Dulu mereka datang mengkristiankan orang-orang di sini! Sampai kita jadi pelarian!
Kita lari ke Selatan Filipina, kau tak ingat? Hasilnya apa?” dia berjeda. Air
matanya sudah membanjiri wajahnya.
“Usah
diingat. Akhirnya kita kembali ke negara ini, penjajah sudah balik ke
negaranya!” rakannya itu menambah darjah kemarahannya.
“Sampai
hari ini kita dicop sebagai orang asing di bumi sendiri! Kita dicop sebagai
pendatang asing! Sampai kini pun kita masih dicop sebagai pendatang asing! Kau
tak ingat atau sengaja tak mahu ingat?” soalnya marah berapi-api. Api sudah
menular di dada kecilnya.
“Orang
putih tu tak salah! Tak adil kita salahkan dia! Dia bukan penjajah! Kita pun
tak salah!” pujuk rakannya itu.
“Dia
penjajah! Kau yang tak mahu akui hal itu! Mentang-mentang budak itu lawa,
kulitnya mulus, jadi kau buta-buta terima orang putih tu! Eh, tak ingin aku
begitu!” Dia memang tidak izin menerima
penjajah dalam hidupnya yang pendek ini.
“Kau
ni sudah gila barangkali! “ ejeknya kepada rakannya itu. Rakannya itu pula
ketawa berdekah-dekah. Mentertawakan kedegilannya.
“Terimalah
kenyataan, Johari bakal nikah dengan orang putih!” dia hampir sahaja termuntah
dengan kenyataan itu. Dia menahan perasaannya. Lebih banyak dia bercakap,
semakin pening kepalanya dan hendak termuntah pula.
“Jangan
terlalu menentang hasrat anak, akhirnya dia akan pergi meninggalkan kau untuk
selama-lamanya. Mana satu yang kau pilih, anak atau kau akan ditinggalkan
beribu-ribu batu jauhnya?” dia menggeleng. Jauhnya Amerika Syarikat itu, tidak
dapat dibayangkan kejauhannya itu. Selama ini pun dia hanya menahan perasaannya
apabila anaknya itu tidak balik selama empat tahun lamanya. Sakit pening
anaknya tidak lagi diketahuinya. Sesalnya dia!
“Kau
mengugut aku?”
“Tidak!
Pernikahan itu lebih memudahkan daripada menghalau orang putih itu.
Menghalaunya sama lah kau menghalau anakmu sendiri!” dia terduduk sendirian. Dia
tidak boleh menerima kedua-dua kenyataan. Kedua-duanya menyakitkan!
Akhirnya, api
yang membara menyebabkan pandangannya gelap!
***
“Mak? Apa sudah
jadi ni mak?” jirusan air di mukanya menyebabkan dia tersedar. Gadis ayu di
sisi anaknya itu sedang ralat mengurut tubuhnya yang terkedang! Dia menutupkan
matanya semula. Berharap kenyataan itu tidak muncul lagi di matanya. Api marak
di wajahnya!
***
“Bangun mak!
Bangun mak! Api dah marak mak! Api mak! Api!” Suara Johari sekali lagi
mengegaukan rasanya.
“Biarlah api membakar tubuh mak ni
Johari!” balas emak lemah.
“Mak, api membakar rumah kita, kalau
mak tak cepat-cepat keluar dari sini mak! Cepat mak!” kata Johari.
“Biarlah api membakar mak! Mak rela
daripada kau kahwin dengan orang putih tu!” sahutnya lagi.
“Ha! Kahwin? Siapa nak kahwin mak?”
dia membuka matanya besar-besar. Benarkah tidak ada sesiapa yang kahwin?
Mimpikah dia? Oh, tidak! Api sudah membakar rumahnya dan perkampungan di
Semporna ini! Tubuhnya yang sudah kepanasan dek api sudah dicempung oleh
Johari, anak kesayangannya. Benarkah tidak ada orang putih itu? Dia menutup
matanya dan memegang leher anaknya itu sekejap-kejapnya!
Noorainie
Othman, KK, 5-12 Mei 2012
Api Sengketa Masih Marak
Boleh lagi kau menjejakkan kakimu
duduk bersila, berlebaran senyum
dan membuka cerita
sedangkan api sengketa masih marak
laut hati berkocak bergelombang
meski hilang percaya
meski hilang kuasa
meski hilang hak
meski hilang maruah
ombak rusuh tetap ada
api masih menyala
namun kau seenaknya tumbuh kasih
menyulam silaturrahim
yang kausendiri kocak
yang kausendiri kocok
yang kausendiri perosokkan
hari ini kau menjejakkan kakimu
selangkah
demi melihat penonton menonton majlis
persandingan anakmu
bulan hadapan!
Buruknya nawaitu!
kk-kepayan-kp/ 17-18 mei 2012
Bagai Kali Pertama
Bagai kali pertama
Kita duduk bertentangan mata
Bagai kali pertama kita berbicara
kita berbual meluahkan rasa
Setelah dicempung sengketa sekian purnama
Terasa duka lenyap semua
Ditelan anjung langit tujuh
lapisnya
Terasa rindu menindih-nindih
pabila mengenang semua cerita lalu
Ia terlalu mengelit duka
Tanpa rencana hubungan terjalin mesra
Seperti sediakala
Kita mengongsi cerita
duduk semeja mengurai kisah
bicara harga sekeping geran tanah
tergadai di kuala sengketa
bagai menelanjang maruah
tanpa rela
tanpa tawa
tanpa suka
hanya seyogia.
Sayang, semua pergolakan berlaku
Telah memadam bara kasih sayang
meluputkan rindu dendam
Yang dulunya terjalin indah
dalam simpulan silaturrahim
namun, perginya ayahanda ke kampung abadi
dugaan datang bertali renta
Sengketa dan dendam silang tingkah-meningkah
Tanpa sedar seorang ahli waris
Yang jumud kemanusiaan
Telah membaca kesilapan kita
Merencana masa depan sendirian
Dengan dada angkuh dan wajah sombong
Mengagung jasa-jasanya sendiri
Terhadap pak tua yang dulu dipeliharanya
Asal saja ratusan ribu itu memenuhi poketnya
Ritma kelu, debar gelisah, tulus akur
Merungkai jumud tamak
Pergilah harta, jungkirkan hormat dan tendang maruah
Anak-anak yatim menatap silu
Hak bersama dijarik sembilu.
Haruskah terus menjejak tirai kemaafan
maruah carik diinjak-injak tak keruankan
Tidak terjahit luka-luka berkelabaran
Lukanya dalam tak sirna dek detik dan pengalaman
Bersipongang di sekujur tubuh kebencian
menjenguk tabir persaudaraan yang berdarah.
Kini kita lapan bersaudara
Menakluk akur hilang daya lumpuh suara
Demi merdekakan langkah canggung di atas penyembelihan maruah!
18 Feb – 21 Jun 2011, 12 Mei 2012
Pada hari ulang tahunmu
Suamiku,
Pada hari menyambut
ulang tahun kelahiranmu
Aku tidak punya
hadiah
Untuk kupersembahkan
padamu
Sebagai tanda nilai
cinta antara kita
Kerana bagiku nilai
cinta itu
Tidak mampu
kunilaikan
Dengan wang berjuta
Atau barang berharga
Aku tidak tahu
mengapa
Demikian mahalnya
cinta berbanding
Dengan barang berjuta
harganya.
Maafkanlah aku
suamiku.
Aku memang tidak
bergurau
Hadiahku hanya
cintaku untukmu.
Pada kesempatan yang
tidak selalu hadir ini
Aku ralit mendoakanmu
Agar kauterus
memimpin tangan naifku ini
Demi bersama-sama
mendidik
Tunas-tunas cinta
kita
Menuju jalan petunjuk
bagi
Mengabadikan kejayaan
Di taman
kesementaraan ini.
Suamiku,
Kutitipkan sekuntum
doa untukmu
Agar sentiasa jua kau
memperolehi
Sejuta berkat,semurah rezekidan sentiasa
di bawah payung rahmat
Di sisimu seindah
tautan kudus cinta
Untuk selama-lamanya.
Suami,
Moga Allah jua
membalas
Seluruh kesabaranmu
Menghadapi hangat
dugaan sepanjang perjalanan
impian cinta kita
terlaksana.
Selepas Zohor,
23.6.12
Thursday, June 21, 2012
Petua 1
i. Kempiskan perut
Limau kasturi dan kapur makan dicampurkan. Sapukan di perut pada setiap malam.
Buat beberapa kali. InsyaAllah.
Noorainie
Limau kasturi dan kapur makan dicampurkan. Sapukan di perut pada setiap malam.
Buat beberapa kali. InsyaAllah.
Noorainie
Betapa
Betapa terasa mewahnya hidup di Kota Kinabalu. Aku hanya menatap jutaan manusia yang mencari sesuap nasi di Kota Jakarta dengan tangan terletak di dagu. Sesungguhnya menjejak kota Jakarta itu aku seperti menjejaki laman yang dihuni semut-semut yang mencari sumber gula. Mahupun begitu, aku tetap terasa terpinggir berada di Bandar Seri Begawan di mana pemerintahnya menaungi rakyatnya dengan sekujur kasih sayangnya. Bahagianya menyelinap ke seluruh urat darah melihat tawa mereka bergema di seluruh ruang cinta!
Aku tersisih di pelusuk kasih kekasihnya.
Motivasi
Pekerjaan yang susah jika dilakukan dengan teliti dan tekun akan menjadi mudah. Jangan hanya merungut, merungut tidak akan menyelesaikan masalah tetapi akan menyebabkan kerja-kerja menjadi sukar. Betapa sukarnya hidup ini.
Wednesday, June 20, 2012
Panduan Penyediaan Teks Ucapan
Sedikit panduan menulis teks ucapan alu-aluan
Tiba-tiba saya diminta menyediakan teks ucapan. Gelabah saya tak tentu rasa walaupun dengan rasa bersalah saya menyetujui hendak menyediakan teks ucapan tersebut untuk majlis Penutupan Karnival yang akan berlangsung pada keesokan harinya. Dah suntuk tu! Huh, kerja-kerja, buat kerja kerah idea walaupun diminta menyediakannya dalam waktu yang suntuk! Huh, sendiri yang mengerah diri sendiri. Kalau tak, benda tu tak siap lah alamatnya! Tak, mesti siap! (Bercakap kepada diri sendiri!)
Prapersediaan dalam menyediakan teks ucapan
Sebagai penulis teks ucapan, anda harus mengetahui beberapa perkara sebelum menyediakan teks ucapan. Perkara yang perlu anda ketahui ialah:
i. Untuk siapakah teks ucapan itu disediakan?
Sebagai penulis teks ucapan, anda perlu mengetahui orang yang akan membaca teks tersebut. Hal ini demikian kerana teks ucapan yang ditulis mesti selari dengan jawatan, perawakan dan latar belakang pendidikan orang tersebut.
ii. Siapakah audiens yang mendengar ucapan tersebut?
Penulis teks ucapan perlu mengetahui audiens yang mendengar ucapan tersebut sebelum mula menulis teks ucapan tertentu. Hal ini demikian kerana teks ucapan yang ditulis perlu juga sesuai dengan tahap pengetahuan audiens. Jika teks yang ditulis untuk disampaikan kepada audiens yang dalam golongan pelajar sekolah menengah, maka laras bahasa yang digunakan mestilah sesuai dengan tahap pemikiran pelajar sekolah menengah. Dengan kata lain, penulis teks ucapan mestilah memastikan bahawa teks yang ditulis sesuai dengan tahap pemikiran audiens yang akan mendengar ucapan tersebut.
iii. Siapakah tetamu yang akan hadir?
Tetamu yang akan hadir juga perlu diambil tahu oleh penulis teks ucapan. Oleh itu, penulis teks ucapan perlu mendapatkan nama tetamu dengan tepat berserta jawatan dan kedudukan tetamu mengikut peringkat yang ditetap-kan oleh pihak penganjur. Dengan mengetahui tetamu yang akan hadir, penulis teks ucapan dapat menyusun bahagian kata alu-aluan tersebut mengikut protokol dan hal ini dapat memastikan tiada pihak yang berkecil hati kerana nama mereka tidak disebut atau tersalah panggilan hormatnya.
iv. Apakah tujuan majlis tersebut?
Tujuan majlis juga perlu diketahui oleh penulis teks ucapan. Tujuan majlis penting dalam penulisan teks ucapan. Teks ucapan alu-aluan terutamanya perlu menyentuh tujuan majlis tersebut diadakan. Jadi, jika penulis teks ucapan tidak mengetahui tujuan majlis diadakan, maka longgarlah isi teks ucapan yang ditulis.
v. Berapa lamakah ucapan tersebut perlu berlangsung?
Setiap teks ucapan yang ditulis bergantung pada masa yang diperuntukkan oleh penganjur. Teks ucapan yang baik ialah teks ucapan yang dapat mengikut masa yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Jadi, penulis teks ucapan perlu mengetahui masa yang ditetapkan oleh penganjur bagi setiap teks ucapan yang diperlukan. Sebagai contohnya, jika masa yang diperuntukkan selama lima minit untuk tamu kehormat menyampaikan ucapan, maka teks yang ditulis hendaklah dalam lingkungan 10 muka surat bersaiz setengah A4 yang ditaip dengan tulisan bersaiz 16 dengan langkauan dua baris.
vi. Apakah bahan atau maklumat yang perlu dicari?
Bahan atau maklumat yang perlu dicari bergantung pada majlis. Jika majlis yang akan dilangsungkan berkaitan dengan sambutan kemerdekaan, maka bahan atau maklumat yang perlu dicari mestilah berkaitan dengan kemerdekaan atau semangat patriotisme.
Maklumat lanjut berkenaan buku Koleksi Contoh Teks Ucapan Berserta Panduan Asas Penulisan Teks Ucapan ini boleh didapati di www.books.perintis. com.my atau sila berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303.
Dipertik daripada www.idhamlim.blogspot.com
Jangan
Jangan sisihkan aku jauh dari cintamu.
Ya Allah, lembutkan hatinya untuk terus
memegang amanahMu
memberikan aku cinta
seumur usianya.
Noorainie
Jangan
Jangan biarkan watikah akal
diburu nafsu
nanti bicara bisu
digegau ragu
menangis tiada lagu.
Noorainie
Perjalanan Ke Brunei 1
Keinginan untuk ke negara Brunei Darul Salam menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Apatah lagi apabila kakak ipar mempelawa saya pergi ke negara berdaulat itu. Pada 15 Jun 2012 hasrat saya hampir tercapai. Alhamdulillah jua saya panjatkan kepada Ilahi atas limpahan rahmat dan kasih sayangNya dapatlah saya menjejaki salasilah nenek moyang saya di sana. Bukan tidak pernah ke negara Brunei, saya pernah ke sana pada 3 Jun 2011. Tetapi saya hanya singgah semalam di sana dan menginap di sebuah hotel. Saya tidak berjalan ke mana-mana kecuali ke rumah saudara di sebuah flat menempatkan pekerja-pekerja istana Sultan Brunei.
Lebih kurang jam 7 27 malam kami bergerak ke Sipitang-Sindumin untuk pemeriksaan emegresen yang pertama. malangnya, tidak sempat. Pemeriksaan pertama itu sudah sampai lebih kurang jam 9.30 malam, kami baru tiba di pekan Sipitang. Perjalanan ke Sindumin mengambil masa kira-kira setengah jam lagi. Abang saya pula menahan kelaparan. Kami takut tidak sempat tiba di Sindumin. Mahu atau tidak, kami tidak banyak pilihan. Kami harus bermalam di pekan Sipitang. Kami mencari bilik hotel. Semua hotel sudah penuh. Hendak mencari saudara pada waktu tengah malam ini, rasanya tidak patut. Mahu atau tidak, apakah pilihan yang ada? Mencari bilik hotel. Itu sahaja. Syukur, bilik di Hotel Esplanad masih kosong. Ia berdepan dengan pantai. Kawasannya memang strategik dan cantik. Kebetulan malam, kami tidak dapat menikmati indahnya pemandangan.
Kira-kira jam 6.55 pagi, dengan cahaya matahari yang menyerlah cantik, kami bertolak ke Sindumin dengan menaiki Frontier Nissan dengan adik dan abang saya sekeluarga menaiki Dmax. Kami pun bertolak ke Sindumin dan akan singgah di Lawas.
Sekian dulu untuk pengembaraan pertama.
Noorainie.
Epilog Buat Bahasaku
Bahasaku
Betapa
getirnya pengalamanmu bahasa Melayuku
Untuk
berdiri megah di pentas ibunda
Jalanmu
berliku
Sukarnya
berpencak
Sukarnya
bergerak
Sukarnya
bersuara
Mudahnya
dipatahkan tanduk
Mudah
pula dipermainkan
Oleh
becoknya agenda PPSMI
Kini
terwar-war pula
Dengan
bangga
Lahirnya
sekolah Inggeris
Bagi
menggantikan Sekolah kebangsaan
Di
dalamnya memacu bahasa Melayuku
Betapa
getirnya pengalamanmu bahasa Melayuku
Betapa
rusuhnya perasaan
Betapa
tergamaknya kelolaan
Sanggup
menidakkan perlembagaan
Sanggup
melukakan bahasa ibunda sendiri
Di
pentas negara
Yang
lingua franca digunakan
Di
seluruh dunia.
Betapa
getirnya perjalanan bahasa Melayuku
Entah
bilakah berakhirnya pancaroba
Cubalah
mengerti.
kk-kp,
18-19Mei2012/2137
Tumbuhkan
Tumbuhkan imaginasi dalam tubuhmu. Ia mengubah dunia.
Tuesday, June 19, 2012
Kasih
Serlahkan kasih sayang
aku gubahkan sekuntum bunga rindu
Ikatan
Kemaskan ikatan perjuangan
warkah-warkah cabaran
menanti di depan pintu tugasan
kukuhkan tali silaturrahim
jalinan persaudaraan terasuh indah
dan musuh yang mengendap
di selimut senyap
kian kendur mahunya
walaupun dendam kian tajam.
Jika
Jika kutahu menjadi orang itu atas itu bisa menyakiti,
aku pasti duduk menyelami kekurangan.
Jika kutahu menjadi orang bawah itu rupanya hanya picisan
aku rela dihina berkali-kali
jika di atas timbangan kelak begitu tinggi nilainya.
Kerenah
Kerenah
Kadang-kadang sebagai orang atas, sang diri lupa tentang siapa diri dan siapa orang bawah. Orang bawah dijeriti, dijelingi, ditengkingi, dimarahi tanpa menjejaki sekian perasa yang terlibat di dasarnya. Memanglah enak memarahi dan menengking sang diri dipandang gagah dan sangat berkuasa. Kadang-kadang sebagai orang atas yang memegang tampuk kuasa sang diri menganggap diri lah raja dan raja segala-galanya. Walhal di sisi orang yang paling atas, sang diri itu lebih kurang sama sahaja dengan orang bawah yang menyeret kesakitan saban waktu. Walhal di sisi Yang Agung Al Khalik, sang diri tidak tahu siapa yang lebih di atas. Tanya lah diri, tanyalah Pencipta, kerana sang diri di bawah dan di atas hanya memangku segugus tanggungjawab dan seberkas amanah di akhirnya nanti kita ditimbang di atas timbangan yang sama rata.
Kadang-kadang sebagai orang atas, sang diri lupa tentang siapa diri dan siapa orang bawah. Orang bawah dijeriti, dijelingi, ditengkingi, dimarahi tanpa menjejaki sekian perasa yang terlibat di dasarnya. Memanglah enak memarahi dan menengking sang diri dipandang gagah dan sangat berkuasa. Kadang-kadang sebagai orang atas yang memegang tampuk kuasa sang diri menganggap diri lah raja dan raja segala-galanya. Walhal di sisi orang yang paling atas, sang diri itu lebih kurang sama sahaja dengan orang bawah yang menyeret kesakitan saban waktu. Walhal di sisi Yang Agung Al Khalik, sang diri tidak tahu siapa yang lebih di atas. Tanya lah diri, tanyalah Pencipta, kerana sang diri di bawah dan di atas hanya memangku segugus tanggungjawab dan seberkas amanah di akhirnya nanti kita ditimbang di atas timbangan yang sama rata.
Kadang-kadang sebagai orang atas, sang diri lupa tentang siapa diri dan siapa orang bawah. Orang bawah dijeriti, dijelingi, ditengkingi, dimarahi tanpa menjejaki sekian perasa yang terlibat di dasarnya. Memanglah enak memarahi dan menengking sang diri dipandang gagah dan sangat berkuasa. Kadang-kadang sebagai orang atas yang memegang tampuk kuasa sang diri menganggap diri lah raja dan raja segala-galanya. Walhal di sisi orang yang paling atas, sang diri itu lebih kurang sama sahaja dengan orang bawah yang menyeret kesakitan saban waktu. Walhal di sisi Yang Agung Al Khalik, sang diri tidak tahu siapa yang lebih di atas. Tanya lah diri, tanyalah Pencipta, kerana sang diri di bawah dan di atas hanya memangku segugus tanggungjawab dan seberkas amanah di akhirnya nanti kita ditimbang di atas timbangan yang sama rata.
Sesekali 2
Sesekali aku ingin meluruhkan seluruh kekusutan
yang bercantum dengan lara
di luar daerah ketahananku
mendindingi dugaannya.
Sesekali aku ingin mengumpilkan seluruh kepedihan
yang berkurung dengan peristiwa-peristiwa berdarah
di luar kawasan kekuatanku
mendampingi tohmahannya.
Lepaskan aku,
aku pingin terkuaknya pintu tulus dan
jendela tenang
buat menterjemah tabah.
Kota Kinabalu, Sabah
19.6.12
Subscribe to:
Posts (Atom)