Wednesday, August 8, 2012

Sumpit

Aku teringin beli sumpit
sempena keberangkatanku ke pasar Miri
kulihat sumpit bergantungan di pasar Miri
Sumpit yang dijual mengait kemahuan
Pabila penjual menunjukkan cara menggunakannya.

Aku teringat pergolakan-pergolakan kecil
Bagaikan sumpit, ada sumpit-menyumpit
Di celah hidup yang kian sempit
Tidak peduli makna menghimpit dan terhimpit
Tetapi terus juga menyumpit
Dan terus juga mengungkit
Sakit menyakiti sesama sendiri
Tanpa sedar sukatan waktu
Yang semakin singkat dan
kedangkalan ilmu tidak mahu pedulikan
makna kerjasama dan perpaduan.

Aku mahu membeli sumpit
Bukan mahu turut sumpit menyumpit
Sesama mereka di gelanggang
pergolakan sumpit
sekadar sebuah koleksi peribadi dari Pasar Miri ini.

Aku tetap terkenang kisah sumpit-menyumpit
Tidak mengira lagi siapa menyepit
Tidak peduli siapa menggigit
Tidak hairan siapa menyekat
Asal menyumpit menjadi kerja harian untuk beroleh kemenangan.

Gara-gara sumpit menyumpit
Di gelanggang pergolakan sumpit
Hidup jadi sempit
Dan lebih menyakit
Terkena terkaman sumpit
Di celah-celah sumpitan
Yang memakan diri
Dan mengotorkan tamadun bangsa.

Teruslah menyumpit dan teruslah aku mencapai sumpit
kalau di sana nanti aku turut menyumpit
dan menyumpit di gelanggang sumpit.

29.12.10/Miri-Kota Kinabalu

No comments: