Tuesday, August 28, 2012

Flora


Cerpen Remaja

Tajuk: Flora


            “Flora, saya nak jumpa kamu pada pukul 10.00 pagi nanti!” suara lunak Cikgu Elisa mengejutkan Flora yang sedang terkial–kial menyiapkan latihan matematik yang diberikan.
Reseptor derianya yang peka secara otomatik berputar memikirkan segala punca yang menyebabkan Cikgu Elisa yang sedang berdiri di hadapannya itu memanggilnya secara tiba–tiba. Kebetulan pukul 10. 00 pagi adalah waktu rehat bagi mereka. pantas matanya menyoroti Cikgu Elisa yang sudah pun bergerak dan kelihatan kemas dengan baju kebaya merah hatinya pada hari itu.
            Pelajar Tingkatan Satu Alfa yang berjumlah 44 orang itu pun sudah diburu seribu satu macam persoalan. Mereka berpandangan sesama sendiri apabila mendengar namanya disebut oleh mulut mungil milik Cikgu Elisa itu. dia tidak menyangka namanya akan dipanggil oleh cikgu yang cantik manis itu. biasanya Cikgu Elisa akan memanggil nama Ibrahim, Johan atau Diana gadis Dusun yang bermata kuyu itu untuk membantunya menghantar buku–buku ke bilik guru. Seketika itu kehairanan para pelajar Tingkatan Satu Alfa bercambah dan bertukar menjadi ejekan, cebikan bibir dan lontaran kata –kata yang menyakitkan hatinya, sebaik sahaja Cikgu Elisa melangkahkan kakinya keluar dari kelas itu.
            Flora sangat terasa hati dengan tindakan drastik rakan–rakan sekelasnya termasuk Diana, gadis manis yang sekampung dan suku Dusun sepertinya. Tetapi dia sedar Diana adalah gadis Dusun Tanaman yang jauh lebih sempurna berbanding dirinya. Sedangkan dirinya hitam manis dan bukan seperti gadis Dusun yang lain. Seketika itu juga dia ingin menangis tetapi dia malu dan bimbang diejek lagi.
            “Bah, jaga kau Flora! Itulah kau selalu ponteng sekolah. Siapa suruh kau pemalas datang sekolah!” Anita di sebelahnya yang bersebelahan kampung dengannya berbisik kepadanya. Flora tidak memberi reaksi dengan kata-kata rakannya itu. Namun hatinya juga sudah dipancing takut dengan panggilan Cikgu Elisa sebentar tadi. Cikgu Elisa setahunya juga guru dari suku Dusun Tatana benar-benar menimbulkan rasa yang menakutkan dalam dirinya.
            “Flora, aku tahu kenapa Cikgu Elisa nak jumpa kau! Kau selalu curi baju kawan-kawan kau di asrama kan! Jangan-jangan Cikgu sudah tahu tindakan kau yang suka mencuri tu!” Johan bersuara lantang menguja kesabarannya. Dia ingin benar mencubit bibir lantang menyuarakan kata–kata yang menyenangkan hatinya itu.
            “Itulah siapa suruh kau jadi pencuri!” suara Donny pula memecah disambut hilai tawa rakan–rakannya yang lain. Menggigil tubuh Flora mendengar tuduhan itu. Hanya dijelingnya Donny. Sebenarnya dia mahu sahaja melempang muka atau tubuh Donny dengan buku teks matematiknya tetapi terpaksa ditahannya. Nanti lain kes pula timbul. Mahu tidak mahu dia diam sahaja.
            “Barangkali badan kau busuk Flora! Cikgu Elisa tidak tahan mencium bau badan kau tu! Jangan-jangan dia mahu bagi minyak wangi tak?” sekali lagi kata-kata Johan bangat memperlinya.
            “Hey…Johan, Donny! Jaga mulut kau sikit ya! Aku ni miskin-miskin pun tidak kacau orang tau! Jangan kau pandai-pandai tuduh ya! Jangan-jangan kau yang pencuri!” suara hilai tawa rakan-rakannya hilang bersama teriakannya. Dia benar-benar terasa terbeban dengan apa yang baru dikatakan oleh rakan-rakannya itu.
            “Kau ingat air telaga di kampung Batu Empat tu bersih sangat? Kau pun bau juga! Kau ingat badan kau tak  bau, Johan, Danny!” jawabnya lagi. Dia ingin menangis sejak namanya disebut oleh Cikgu Elisa apatah lagi dengan ejekan kawan-kawannya. Airmatanya terlalu murah apabila mendengar sindiran rakan-rakan sekelasnya yang nakal dan tidak bertimbangrasa itu.
            ‘Kenapalah Cikgu Elisa nak jumpa aku? Aku mana ada salah! Tapi mana tahu dia nampak kesalahan yang aku lakukan? Tetapi kenapa bukan guru disiplin yang panggil aku?’’ soalnya dalam hati, ketika Cikgu Aziman sudah tercegat di depan kelasnya.  Cikgu Aziman meletakkan semua buku yang baru dibawanya dari bilik guru.
            ‘Ah, aku janji tak akan cakap apa-apa dengan Cikgu Elisa.’ Bisik hati Flora lagi. suara Cikgu Aziman yang sering dikaitkan dengan Cikgu Elisa tidak lagi mendapat perhatiannya. Malah senyum dan suara lantang Cikgu Elisa amat menarik perhatiannya. Sesekali suara Cikgu Elisa melintas di akal fikirnya.
            “Kalau kamu ada masalah Flora, jangan sekali=kali malu berjumpa dengan Cikgu! Ini tidak cikgu perhatikan kamu diam dan termenung saja apabila cikgu mengajar! Macam ada sesuatu yang mengganggu kamu! Entah-entah kamu ada boyfriend tak?” suara Cikgu Elisa muncul lagi dengan pandangannya yang menarik. Flora sekali lagi terkejut dengan perkataan ‘boyfriend’. Perkataan itu pun tidak difahaminya ini kan pula mengamalkannya. Lagipun, kalau satu kelas tidak menyukainya, siapa yang hendak menjadi ‘boyfriend’nya? Jijik dia dituduh begitu.
            Hai buntu fikiran aku! Kenapa pula aku menjadi takut sedangkan aku tidak buat apa-apa yang salah dengan Cikgu Elisa tu? Tapi dari nada suara wanita muda itu seperti menyimpan sesuatu! Ah, biarkanlah, sabarlah hati, waktu rehat jam 10.00 pagi sudahpun dekat. Buat apa aku nak takut! Bisik Flora sendirian. Dia benar-benar tidak dapat memfokuskan apa yang sedang diajarkan oleh Cikgu Aziman. Dia hanya mencatatkan sedikit nota yang diberikan tetapi tumpuannya gagal ditumpahkan kepada Cikgu Aziman yang mengajar penuh dedikasi di hadapannya.
            “Hai, kamu Flora, fahamkah dengan apa yang cikgu ajarkan?” Sekali dia diserang rasa terkejut dengan pertanyaan Cikgu Aziman yang spontan. Dia terpinga-pinga dan menggelengkan kepalanya.
            “Sa..saya tak apa-apa Cikgu! Saya ok!” jawabnya perlahan-lahan.
            “Tapi dari muka awak tu macam ada masalah!” jawab lelaki yang hampir sebaya dengan Cikgu Elisa itu,  bezanya Cikgu Aziman nampak lebih matang disebabkan kulit Cikgu Aziman yang lebih gelap.
            Ketika loceng rehat dibunyikan, hati Flora semakin tidak keruan. Dadanya berdebar kencang. Baju kurungnya basah oleh peluh. Akalnya mendesah tidak selesa. Pelbagai pertanyaan muncul dalam benaknya. Apa yang sebenarnya Cikgu Elisa mahu?
            ‘Kenapa ya Cikgu Elisa nak berjumpa dengan aku? Persoalan itu masih memenuhi benaknya ketika dia menapakkan langkah-langkah kecilnya menuju ke bilik guru yang bertentangan dengan Kelas Satu Alfa itu. Entah-entah Cikgu Elisa sudah tahu yang Flora pernah mengambil biskut dan baju kurung kesayangan Rozana, anak saudara Cikgu Elisa dua minggu yang lalu. Atau dia telah tahu yang dirinya pernah mengambil wang saku kepunyaan Rozana yang sebelum ini tidak diketahuinya anak saudara Cikgu itu. tapi, kalau pasal itu pastilah Cikgu Amri, warden asrama yang menghukumnya bukan Cikgu Elisa.  Kata Elisa memujuk hatinya yang resah. Peluh renik bagaikan hujan lebat semakin membasahi tubuhnya.
            ‘Entahlah, apakah yang akan dibincangkan oleh Cikgu Elisa, dia tidak tahu!’ bisiknya lagi apabila berada di hadapan bilik guru. Gementar tubuhnya menjadi-jadi.
            Perasaan sedih dan terkilan pun asa. Selama ini tidak ada sesiapa yang mempedulikannya. Semenjak ibu bapanya meninggal dunia ketika dia berumur lima tahun akibat kemalangan jalan raya, hanya neneknya sahaja yang memberikan perhatian kepadanya. Pakcik-pakciknya selalu memarahinya kerana dirinya dianggap menyusahkan mereka. Dia cukup terkilan dengan hal yang berlaku.
            “Selamat pagi Cikgu Elisa!” kata Flora sambil memandang wajah tenang Cikgu Elisa yang sedang duduk memeriksa buku-buku latihan. Ketenangan wajah Cikgu Elisa semakin menakutkannya.
            “Selamat pagi. Duduk di kerusi tu Flora!” kata Cikgu Elisa tipis. Dia masih meneruskan kerjanya. Flora semakin kehairanan dengan tindakan Cikgu Elisa.
            “Hmm…kenapa cikgu panggil saya?” tanya Flora perlahan. Suaranya gugup.
            “Tentulah ada hal cikgu panggil kamu Flora. Kalau tidak buat apa cikgu nak panggil!” jawab Cikgu Elisa, perlahan tetapi Flora terasa sesuatu dengan suara lunak Cikgu Elisa itu.
“Kenapa kamu tidak pernah lulus dalam ujian bulanan yang diadakan Flora? Tengok, markah ujian bulanan kamu bulan ni hanya 36 peratus! Baguskah macam ni? Bukan sebulan tapi setiap kali ujian kamu tidak dapat menjawab! Malah kamu tidak pernah menunjukkan usaha untuk lulus dalam peperiksaan!” tukasnya perlahan tetapi suaranya begitu menyucuk di liang pendengaran Flora.
Rasanya dia ingin menangis di hadapan guru Matematiknya yang selalu mengambil berat tentang dirinya. Setahunya hanya neneknya sahaja mempedulikannya. Tetapi neneknya sudah tua.
“Flora, dalam kelas kamu termenung dan suka menyendiri! Kamu ada masalah? Apa sebenarnya yang berlaku? Kamu tidak pernah memberi perhatian setiap kali cikgu masuk ke kelas dan mengajar! Kenapa? Kamu ada ‘boyfriendkah? Takkan baru Tingkatan Satu sudah ada kawan lelaki?” soal Cikgu Elisa bertalu. Flora menggeleng-gelengkan kepalanya.
Lama juga guru muda yang baru setahun mengajar di sekolahnya itu memandangnya. Flora tidak mampu membalasnya. Dia hanya tertunduk ke lantai. Perkataan kawan lelaki cukup menyakitkan hatinya. Mengingati Johan dan Donny sahaja dia begitu sakit hati dan dilanda malu dengan ejekan bertalu rakan sekelasnya itu. Inikah pula berkawan dengan budak-budak lelaki yang menyakitkan hatinya itu. Kalaulah Cikgu Elisa tahu apa yang terjadi kepadanya!
            “Boleh tak kalau Flora ceritakan masalah Flora, mana tahu kalau-kalau cikgu dapat membantu…” Cikgu Elisa menyambung bicaranya. Flora masih terdiam dengan pertanyaan cikgunya itu. Guru ini selalu mengambil berat tentang dirinya.
            Perkataan masalah yang disebut oleh Cikgu Elisa juga amat menyentak sanubarinya. Benarlah telahan Flora betapa selama ini Cikgu Elisa selalu memerhatikan dirinya, malah membuat penilaian terhadap dirinya. Sesekali Flora menarik nafas perit dengan pertanyaan Cikgu Elisa yang dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya. Seketika perasaan malu pula yang menyerbu hatinya.
            “Saya tidak ada masalah cikgu. Saya sama macam orang lain!” antara dengar dengan tidak Flora bersuara. Sebenarnya dia tidak tergamak hendak berbohong kepada Cikgu Elisa tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu guru muda itu terlalu memfokuskan dirinya.
            “Flora saya faham kedudukan kamu. Jangan kamu nak berselindung lagi. Ni ada laporan mengenai diri kamu. Saya sedang memegangnya dan akan membuat laporan tentang hal ini!” bagai hendak terbakar perasaan Flora dengan apa yang baru ditunjukkan oleh Cikgu Elisa yang berkening hitam itu.
            “Flora, untuk pengetahuan kamu, dulu cikgu masa kecil pun miskin juga tahu! Tapi cikgu menjadikan kemiskinan sebagai faktor pendorong untuk maju dalam pelajaran bukan gagal dalam pelajaran tau! Cikgu belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga cikgu masuk universiti! Kamu tak mahu masuk universiti macam cikgu, tolong keluarga menjadi orang berguna?” suara cikgu Elisa membakar semangatnya. Dia teringat neneknya yang sudah tua yang tidak berdaya melakukan apa-apa. Pelbagai penyakit menimpa nenek. Penyakit kencing manis, darah tinggi dan berkudis di kakinya. Sukar sekali keadaan neneknya. Hendak menunggu bantuan badan kebajikan yang hanya RM60.00 sebulan? Apakah semua itu mencukupi untuk membiayai dia dan seorang adik lelakinya yang masih kecil? Hatinya berkeliwang bertanya-tanya sendiri.
            “Saya tidak ada apa-apa masalah Cikgu. Tapi…saya rasa rendah diri kerana kawan-kawan di kelas mengejek saya kerana saya miskin, baju saya  buruk dan saya tidak mampu membeli barang-barang berjenama macam mereka cikgu! Tapi, saya juga macam orang lain, ingin belajar!” perlahan Flora membuka ceritanya. Sebak membumbui dirinya.
            “Jangan peduli cakap-cakap mereka. takkan cakap-cakap mereka yang menyebabkan Flora tidak mahu belajar. Sepatutnya Flora mesti berusaha membuktikan Flora boleh berjaya macam orang lain yang mampu! Biarlah orang tidak tahu tentang kemiskinan kita, kesusahan kita tapi yang penting Flora sentiasa bersemangat untuk belajar! Orang Dusun tidak pernah putus asa Flora!” Cikgu Elisa masih mencungkil semangatnya. Dia pula semakin bersemangat dengan kata-kata perangsang gurunya itu.
            “Saya tidak ada sesiapa lagi di dunia ini cikgu! Saya ada nenek dan adik saja. Pak cik-pakcik saya selalu memukul saya. Mereka kata saya dan adik menyusahkan mereka! Itulah sebabnya saya tidak ada tempat mengadu! Saya sangat sedih!” Flora menyambung ceritanya.
            “Sekarang kamu tinggal di mana Flora?” tanya Cikgu Elisa lagi.
            “Saya tinggal di asrama cikgu. Setiap hujung bulan saya balik ke rumah nenek di Batu Empat, Jalan Bundus!” jawab Flora seperti menahan esaknya. Mata Cikgu Elisa tetap memerhatikannya.
            “Baik, saya mahu sekarang, kamu tak usah fikir benda lain lagi. Mulai sekarang kamu hendaklah belajar. Kerana pihak sekolah sedang memikirkan bantuan dan biasiswa yang akan diberikan kepada kamu. Cikgu juga akan membantu kamu setiap bulan ya. Jangan susah. Kamu akan dibantu!” Flora sangat gembira dengan berita yang baru diberitahu oleh cikgu Elisa. Dia sangat gembira dengan berita itu.
            “Terima kasih cikgu. Saya seperti baru mendapat ibu bapa yang telah meninggal tiga tahun yang lalu!” jawab Flora dengan gembira dan senyuman yang terukir di bibirnya.
            “Sama-sama. Flora boleh jumpa cikgu kalau ada masalah ya! Cikgu sedia membantu kamu! Sekarang kamu boleh balik ke kelas ya. Jangan peduli lagi dengan kata-kata kawan-kawan yang mengejek kamu!” jawab Cikgu Elisa lagi. Flora bagaikan mendapat semula ibunya yang telah meninggal dunia kerana kemalangan. Senyuman manis cikgu nya itu mengingatkan dia kepada ibunya yang berkulit cerah dan selalu memujuknya. Kini dia sudah ada dengan Cikgu Elisa yang baik hati. Mungkin Tuhan mendengar permohonannya.  

Daily Express, 1996

No comments: