Friday, April 6, 2012

Kenangan bersama Ayah Datang Lagi

Pelbagai idea berasaskan "ayah" dapat kuhasilkan. Novel yang bertajuk "Ayah: Keringatmu Yang Mengalir" kutulis berdasarkan sebuah novel dengan tajuk yang sama. Cerpen dan novel remaja tersebut memang ada rezeki telah memenangi hadiah beberapa kali di peringkat negeri Sabah. Mungkin memang rezeki ayah, novel yang berkisarkan 90% kisah ayah itu mendapat perhatian dari penilai novel tersebut sehingga saya akhirnya dinobatkan sebagai Penulis Muda Harapan Negeri Sabah 2004. Syukurlah, segalanya atas idea saya mengenai ayah yang begitu gigih mengerjakan kebunnya saban hari dan kecekalannya mengusahakan kebun getahnya yang masih subur sehingga hari ini, semuanya saya nukilkan di atas sebuah kertas yang dipanggil cerpen dan novel.

Bulan April 18 haribulan 2009 merupakan tarikh keramat bagi mengingati ayah yang sangat tersohor budinya terhadap saya sebagai anaknya. Kini bulan April menjelang lagi. Pasti kenangan-kenangan bersama ayah lebih menajamkan ingatan ketika ayah masih hidup. Sebulan sebelum meninggal dunia, saya dan suami melawat ayah di kampung Kepayan Kuala Penyu. Ketika itu, ayah sakit kerana terjatuh. Saya melawatnya pada suatu petang. Alangkah gembiranya ayah. Sungguh gembira ayah memandang anak perempuannya ini, namun senyuman itu sirna seketika apabila anak-anak buah hati ayah tidak ikut bersama. Akhirnya saya memujuk ayah untuk membawa ayah ke rumah kami. Saya mahu menghantar ayah ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Sebelum dibawa ke rumah kami, ayah terjatuh dari katil. Kaki ayah patah, kata doktor. Rupanya itulah kali terakhir ayah tersenyum gembira dan ceria bersama kami. Selepas itu ayah sudah tidak sihat dan akhirnya tidak sedar lagi. Beberapa minggu ayah di hospital. Kemudian, seminggu ayah dimasukkan ke Hospital Kuala Penyu. Tidak lama kemudian, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital itu.

Itulah kenangan terakhir saya bersama ayah. Semuanya yang indah-indah belaka. Kenangan hadir lagi. Sewaktu kecil saya pura-pura penat sewaktu balik dari kebunnya di Kg Jangkit. Ayah akan 'menyikut' atau mengangkat saya di belakangnya. Saya sungguh gembira, diangkat ayah dan tak perlu penat-penat berjalan balik ke rumah. Oh, sungguh indah kenangan itu. Dengan baju yang agak lusuh kami ke kebun dan memungut sekerap getah yang telah kering dan dikumpulkan di dalam sebuah karung. Ayah adakan pertandingan lagi. Karung siapa yang cepat penuh, ayah akan beri hadiah. Sungguh seronok musim kanak-kanak saya, pasti takkan sama dengan anak-anak saya sekarang!
         18 April 2009 ayah pergi untuk selama-lamanya, tidak akan pernah kembali lagi untuk saya salami tangannya setiap kali bertemu ayah. Ayah sudah hampir tiga tahun bersemadi jenazahnya di Tanah Perkuburan Kampung Manggis Kuala Penyu. Allah amat menyayangi ayah lebih dari kasih sayang yang kami curahkan selama ini. Semoga roh ayahanda saya bersemadi dengan aman dan bersama umat Islam yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Alfatihah untuk ayahanda Othman bin Kari yang telah kembali ke rahmatullah. Suatu hari saya dan anak-anak ayahanda yang lain juga akan menyusul. Amiiin.
         Namun, apa yang lebih membahagiakan diri sendiri adalah kelembutan ayah sewaktu hayatnya mendidik kami menjadi manusia berguna di dunia ini. InsyaAllah.



No comments: