Thursday, April 5, 2012

Cerpen : Kota Praja Nusa Jaya

Assalamualaikum wt. wb.

Cerpen ini bukan cerpen terbaru. Saya sudah hantarkan cerpen ini untuk Encik Jasni Matlani (JM) untuk bengkel Pemantapan Karya di Kundasang pada tahun 2011. Harap-haraplah cerpen ini sudah siap untuk cetakan. Saya belum bertanya mengenai status cerpen ini. Namun, pembaca boleh menikmati sedikit kelainan di dalam cerpen nukilan saya ini. Oh ya, cerpen ini juga sudah saya panjangkan menjadi novel remaja. Ia akan disiapkan tidak lama lagi. InsyaAllah. Terima kasih.


Kota Praja Nusa Jaya

Apabila sahaja pokok mahubi itu disentuh oleh tangan Abdul Mukmin, tubuh Adawiyah  bagaikan diasak-asak masuk ke halaman sebuah rumah yang sungguh indah dan sangat besar. Dari jauh mereka meredah hutan dan semak samun tadi, Adawiyah tidak ternampak sedikit pun kelibat sebuah rumah seperti yang sudah terpamer di hadapan matanya kini. Matanya hanya dijamu dengan kehijauan dan semak samun.
Entah kuasa ajaib apa yang sudah menolak, dia jadi musykil kepada Abdul Mukmin, kawan baik yang membawanya ke kota praja Nusa Jaya ini. Mulutnya juga seperti digam dengan gam gajah untuk bertanya mengenai rumah dan kawasan sekitarnya yang begitu indah dan bersih. Adawiyah memang sudah pasti tentang tujuannya ke sini tetapi dia tidak menyangka Abdul Mukmin telah membawanya ke tempat yang salah ataupun dia sendiri yang salah pendengaran.
         Dari jauh mereka berjalan selepas kereta sewa yang mereka bawa hanya ditinggalkan setakat jambatan gantung yang menghubungkan kota praja Nusa Jaya  ini dengan jalan besar. Sambil berjalan, mereka bercerita tentang masa depan dan pembangunan kemodenan yang terlalu terburu-buru meninggalkan sesiapa yang lambat. Sungguh indah tempat yang baru dilihatnya, tidak pernah dia bertemu tempat seindah ini di Kuala Lumpur, kota kelahirannya.
         “Seperti ada petir yang menolak kita tadi,” Abdul Mukmin menggeleng. Mulutnya dimuncungkan dan keningnya terangkat. Adawiyah tetap ragu.
         “Kenapa aku rasa macam ada petir atau kuasa lain yang menolak aku masuk ke tempat ini. Tapi, bukan tangan kau Mukmin!” lantang Adawiyah membawa isu yang  mendatangkan sambutan dingin kepada Abdul Mukmin kawan sekelasnya di Universiti Malaya sejak tiga tahun setengah yang lalu.
         “Aku yang tolak kau,” Mahu juling mata Adawiyah mendengar jawapan Abdul Mukmin. Adawiyah menggeleng. Dia masih menolak alasan itu. Malah, akalnya masih waras walaupun kepenatan belum hilang sejak pagi dia keluar dari rumah ayahnya di Taman Damansara Height.
         “Aku boleh rasa antara tangan manusia dan kuasa luar biasa Mukmin! Kau jangan nak tipu aku,” tujahnya geram. Abdul Mukmin mengangkat bahu. Itu bermakna Abdul Mukmin tidak mahu memanjang bicara.
         “Katamu, kau mahu melawat rumahku dan buat kajian tesis di sini. Nah, di sinilah tempatnya. Kenapa pula kau anggap aku tipu?” kata-kata Abdul Mukmin memotong semua keanehan yang baru dialaminya. Mulutnya terasa dizipkan dengan sendirinya.
         “Mari tuan puteri, silakan naik ke rumahku yang tak seindahnya ini,” Mata Adawiyah bersinar-sinr melihat tangga rumah Abdul Mukmin. Siapakah yang tidak gila melihat lantai tangga yang berkilauan seperti intan berlian disusun sempurna. Batu marmar di rumahnya sudah hilang kilaunya kalau dibandingkan dengan  tangga rumah Abdul Mukmin ini. Malah, Adawiyah seperti tidak sampai hati hendak menjejaki anak tangga pertama itu. Sangkanya rumah Abdul Mukmin adalah rumah papan beratapkan nipah. Apatah lagi jalan masuk ke kawasan perkampungan ini terlalu jauh dari jalan bandar. Sungguh tidak pernah Adawiyah menduga begini hebatnya kawasan rumah dan sebuah kampung yang didakwa Abdul Mukmin. Jauh mengalahkan rumahnya sendiri di kawasan perumahan orang-orang kaya di Kuala Lumpur!
Bukan itu sahaja, apabila matanya terpaksi kepada pasirnya yang memutih bagaikan mutiara dan halusnya seperti tepung keluaran Adabi itu, sekali lagi mata tirus bak sirihnya terpesona. Begitu juga rumput hijau berkilauan bagaikan zamrud. Seumur hidup Adawiyah, dia tidak pernah melihat keganjilan yang terdapat di luar kawasan rumah Abdul Mukmin itu. Matanya seakan tidak kesap memandang semua benda baru daripada pengalamannya.
         “Adawiyah sudah hilang suara, termangu semacam? Apa hal?” Suara Abdul Mukmin mengembalikan dia ke alam nyata namun tetap tidak membunuh rasa takjubnya. Adawiyah menarik nafas berat sekali. Dia membunuh topik awal dan memulakan keseronokannya berada di sekitar rumah Abdul Mukmin yang sedikit misteri dan cukup memberikan warna baru dalam hidupnya.
         “Cantiknya rumah kau Mukmin, tentu banyak duit yang ayah kau habiskan untuk membina rumah begini, aku bagaikan berada di rumah raja-raja zaman dahulu,” Abdul Mukmin ketawa kecil. Tangannya terus menarik tangan Adawiyah yang terkaku dingin di anak tangga pertama itu.
         “Ayah ibu aku dah tak ada, yang ada ni nenek aku,” jawab Abdul Mukmin. Terlopong mulut Adawiyah.
            “Maaf, maafkan aku,” kata Adawiyah terasa bersalah. Selama ini dia ingin tahu tentang keluarga Abdul Mukmin. Nama Mukmin pun antik, macam nama orang dulu-dulu. 
         “Jangan buat macam ni lah Mukmin, aku benar-benar terkejut. Semuanya baru apabila aku sampai di sini,” ucap Adawiyah jujur.
         “Tak ada bezanya, dua-dua pun rumah. Rumah kau di Kuala Lumpur lebih hebat lagi,” Adawiyah mencemikkan pipinya. Terbayang rumah dua tingkat di Kuala Lumpur. Namun rumah yang baru dijejakinya ini berganda nikmatnya.
         “Kau selalu buat kejutan kepada aku Mukmin, tapi kejutan di sini memang menghilangkan semua keghairahan aku terhadap Kuala Lumpur,” Abdul Mukmin tersengih. Langkahnya panjang dan Adawiyah tidak dapat memijak sepenuhnya anak-anak tangga yang dirasakannya seperti intan berlian itu. Adawiyah bimbang kalau-kalau batu-batu permata berharga itu akan pecah dan menyusahkan Abdul Mukmin. Tapak kakinya bagaikan tidak jejak ke bumi.
         “Kenapa kau jalan macam penguin?” bulat mata Adawiyah. Abdul Mukmin memerhatikan seluruh pergerakannya. Dia begitu sayang hendak memijak lantai tangga. Lantas dia bertapak seperti biasa di anak tangga berbatu permata itu.
         “Hah!” Abdul Mukmin mentertawakannya. Dia berdiri kukuh di atas dunia tersendiri.
         “Aku rasa bimbang kalau-kalau batu-batu itu pecah,” Batinnya masih berkelabung cuba ditahannya agar dia boleh mempercayai rumah yang indah dan permai itu adalah rumah keluarga Abdul Mukmin. Kusut akalnya seketika.
         “Silakan masuk Adawiyah,” seorang perempuan tua dan seorang adik perempuan Abdul Mukmin sudah sedia menanti di depan pintu.
         “Silakan masuk Adawiyah jangan malu-malu,” seorang perempuan agak tua. Rambutnya memutih dan bersanggul tinggi ditutupi selendang ungu menyambut kedatangan mereka berdua. Kebaya panjang labuh hingga ke lutut dan ditutup di bahagian dada dengan pin kerongsang menyerlahkan keayuan seorang tua seperti nenek itu. Kain batik tenunan Bandung itu juga cukup seirama dengan kebayanya. Adawiyah sempat menilai. Dia memang peminat pakaian tradisional yang disuntik kemodenan.
         “Apa khabar nek?” Adawiyah terus menyalami tangan tua itu. Tangan tua itu masih pejal bukan seperti tangan orang tua yang lain. Tidak ada tanda-tanda wanita tua itu sudah tua kecuali rambutnya bertukar warna putih. Akalnya pelik seketika.
         “Silakan duduk Adawiyah,” kata Abdul Mukmin berbahasa. Mereka duduk di atas permaidani merah jambu dan berbatukan batu-batu permata di sekelilingnya. Gatal sahaja tangan Adawiyah ingin menarik sebiji daripada batu permata nilam itu. Dia duduk bersimpuh sopan di sisi nenek.
         “Inilah nenek Kebayan,” hampir terbeliak mata Adawiyah mendengar ‘Nenek Kebayan’. Bagi tanggapannya Nenek Kebayan hanya muncul dalam cerita-cerita rakyat atau dongeng olahan ibunya sewaktu kecilnya dulu. Rupanya Nenek Kebayan muncul di rumah Abdul Mukmin. Adawiyah terasa dia mimpi.
Adawiyah mendengar suara seperti berbisik-bisik di sekelilingnya. Adawiyah pura-pura berpaling ke kiri dan ke kanan. Tidak ada kelibat sesiapa. Kemudian dia terdengar suara berdehem berkali-kali. Meremang bulu romanya seketika.  Adawiyah pasti suara itu bukan suara Abdul Mukmin. Suara siapa? Soalnya dalam hati.
         “Hmmm,” Adawiyah berdehem juga. Dia menoleh ke belakang. Seluruh bulu romanya tegak berdiri. Seperti seekor gergasi muncul di depannya. Badannya tinggi, rambutnya jarang-jarang dan panjang.  Matanya pula merah memandang Adawiyah. Adawiyah pasti makhluk itu bukan kerubian iaitu dari golongan malaikat. Adawiyah berasa keselamatannya terancam apabila terpandang makhluk tersebut. Kuss, semangat!
         “Adawiyah, mari nenek bawa Adawiyah masuk bilik. Tentu Adawiyah penat,” kata Nenek Kebayan. Jantung Adawiyah beberapa kali dipalu.
          “Hah!” Adawiyah memandang wajah Abdul Mukmin. ‘Falsafah apakah yang cuba dikajinya di sini kalau semua kejutan menunggunya di sini?’ soalnya dalam hati.
         Semakin banyak keanehan yang tidak tertilik oleh akal pemikirannya saat itu. Tiba di pintu bilik sekali lagi Adawiyah terperangah. Batu-batu permata pelbagai kualiti dan nama bersusun sempurna di atas katil. Katil itu pula diperbuat daripada emas dan bukannya kayu jati seperti perabot kayu jati yang sering ditempah oleh ibunya. Alangkah berharganya katil itu. Kalau dibawanya beberapa biji sahaja batu-batu permata itu, dia sudah tidak perlu bersusah payah menghabiskan sarjana mudanya hujung tahun ini. Namun dia membuang jauh-jauh akal sesatnya itu.
         “Adawiyah rehat dulu ya. Abdul Mukmin sudah lama khabarkan kepada kami yang Adawiyah nak siapkan kajian tesis di sini ya,” Adawiyah hanya mampu mengangguk namun tidak tersengguk. Dia sudah terpesona dengan senyuman Nenek Kebayan walaupun gedebuk jantungnya masih bertandang.
         Seusai Nenek Kebayan keluar, Adawiyah mengambil telefon bimbitnya. Dia mahu matikan telefonnya. Di kampung pedalaman begini mustahil dia boleh menghubungi ibu bapanya di Kuala Lumpur. Namun dia sungguh terkejut sekali lagi. Signal sungguh besar di kota praja Nuja Jaya  ini. Sungguh luar biasa terkejut Adawiyah. Benarlah, kawasan pedalaman sekarang sudah cukup kemudahannya dan bukan seperti sangkaannya.
         Adawiyah terus menekan nombor Abdul Mukmin. Sudah dihafalnya. Dia hendak membawa Abdul Mukmin keluar jalan-jalan di sekitar rumahnya. Abdul Mukmin sudah menyambutnya di muka pintu.
         “Jomlah kita turun ke bawah Mukmin, sayangnya aku tidak bawa kamera nikon DSLR aku, kalau tak kita boleh abadikan kenangan di sini,” kata Adawiyah. Abdul Mukmin tenang sahaja mendengar kata-katanya.
         “Tak apa, lain kali kau boleh datang lagi, aku sedia menunjukkan jalan,” Abdul Mukmin membuka peluang. Adawiyah gembira.
         “Banyak rahsia yang tersirat di sini Mukmin. Mungkin tak cukup satu minggu kita buat kajian di sini,” kata Adawiyah. Abdul Mukmin tersengih. Cermin matanya ditolak ke atas dengan jari kelingkingnya.
         “Cukuplah tuan puteri. Kita sudah rangka jadual yang ketat. Kalau tak, kita akan terlepas waktu untuk menghantar tesis kita pada tarikh yang sepatutnya,” Adawiyah mengerti akan kebimbangan Abdul Mukmin dan kecermatan lelaki itu mengatur waktunya. 
       Kata Abdul Mukmin, waktu itu seperti pedang yang boleh memancung manusia. Dia mula terkenangkan Profesor Sin Maraja, seorang peminat fanatik pasukan Manchester United. Beliau sangat kedekut dengan masa. Kalau terlewat seminit pun sudah diletakkannya lewat dan markah sudah dipotongnya dua puluh peratus.
         Tiba di kawasan belakang rumah Abdul Mukmin, sekali lagi jantung Adawiyah bagaikan terlompat keluar. Kebun buah yang cukup lengkap dengan segala jenis buah-buahan tempatan di kota praja Nuja Jaya   ini. Bukan kebun itu yang menakjubkannya tetapi buah mangga, buah jambu, ciku, buah rambutan, buah tarap dan buah durian kelihatan berkilauan bersinar-sinar bagaikan batu permata pelbagai warna. 
     Adawiyah menelan liurnya sendiri tatkala terpandangkan buah rambutan kegemarannya sedang ranum di tangkainya. Kalaulah dia boleh memetik sendiri buah itu, alangkah seronoknya!
         “Mukmin, aku nak petik sebiji buah rambutan tu, boleh tak? Dah lama aku tak makan buah rambutan,” Adawiyah meminta keizinan. Abdul Mukmin menggeleng.
         “Tak boleh buat sesuka hati di sini, nanti kau tak dapat balik ke Kuala Lumpur Adawiyah,” Adawiyah kecut perut kalau akan selamanya berada di kota praja Nuja Jaya  ini.
         “Sampai begitu sekali anehnya di sini,” Susul Adawiyah. Berkerut dahinya. Abdul Mukmin hanya tersengih seperti kerang busuk. Memang lelaki itu seperti menyimpan misteri. Namun, Adawiyah tidak tahu misteri apakah yang dimaksudkan.
         “Tunggulah kalau nenek sudi memetik buah yang kau mahu apabila kau balik nanti, sabarlah ya,” kata Abdul Mukmin pula. Dalam terpaksa Adawiyah mengangguk.
         “Kau tak teringin nak makan?” Abdul Mukmin menggeleng. Adawiyah dibungkus hairan. Buah-buahan di kebunnya itu semuanya meraih intimnya.
         “Kau jangan lupa niat kita datang ke sini Adawiyah. Kita nak buat kajian tentang gong dan peralatan muzik di kota praja Nusa Jaya  ini! Kita cari ilmu di sini, bukan cari buah!” Abdul Mukmin mengingatkannya. Adawiyah pula mengangguk, mula mengenang tujuan asalnya ke sini. Adawiyah terus menelan liurnya. Alangkah sedapnya!
         “Memang banyak keanehan di sini,” kata Adawiyah lalu memandang pasir yang halusnya macam tepung Adabi tadi. Dia merasanya dengan tangan.
         “Aku nak khabarkan dengan kawan-kawan mengenai keseronokan dapat tinggal di sini,” kata Adawiyah dengan mata bercahaya. Abdul Mukmin hanya tersenyum.
         “Semuanya biasa-biasa saja Adawiyah, bagi saya tak ada yang unik pun di sini. Sejak kecil saya sudah di sini sebelum sampai ke Kuala Lumpur,” kata Abdul Mukmin menghulurkan mukadimahnya.
         “Di sini, di mana sekolah yang paling hampir?” Adawiyah teringat akan kesunyian rumah Abdul Mukmin. Hanya satu-satunya rumah di sini. Mata  Abdul Mukmin terbuntang.
         “Aa...ada, tidak jauh dari sini, hari-hari aku jalan kira-kira setengah kilometer jaraknya,” bergetar suara Abdul Mukmin. Adawiyah tidak membantah sebab banyak perkara tidak termasuk dalam bucu pengetahuannya. Malah, dia sedar Abdul Mukmin lebih bijak daripada pelajar lain di dalam kelasnya.
         “Mukmin, ada sesiapa lagi tak yang tinggal di rumah kau tu selain kita?” Adawiyah memancing Abdul Mukmin membuka cerita. Abdul Mukmin menggeleng.
         “Benar? Hanya kita?” Abdul Mukmin mengangguk.
         “Apa yang kau nampak?” Abdul Mukmin resah dan seperti menyimpan sesuatu. Mungkin ada ikatan yang bakal terurai dengan sendirinya.
         “Tak adalah, aku tanya saja,” kata Adawiyah ingin menutup pertanyaannya. Namun Abdul Mukmin ternyata sudah maklum akan sikapnya. Tetapi atas setiap pertentangan itu, Adawiyah harus memujuk hatinya. Kota praja Nusa Jaya  terlalu mengujakan dan memberi impak berjuta kepada perjalanan hidupnya.

***

“Adawiyah, kita kena balik sekarang,” Abdul Mukmin memberi arahan. Jarang sekali menunjukkan ketegasan kepadanya.
           “Kenapa terburu, kajian kita belum mula,” Adawiyah giat melipat selimutnya. Matanya baru sahaja terbuka sejak lenanya semalam. 
         “Nanti kita buat apa yang patut, mungkin kota praja Nusa Jaya  bukan tempat yang sesuai,” berkerut dahi Adawiyah.
         “Dulu kau kata Nusa Jaya  paling sesuai sebab ada kilang alat-alat muzik tradisional,” tambah Adawiyah menguatkan hujah mengingatkan Abdul Mukmin yang mungkin terlupa.
         “Sudah jangan banyak cakap, kau siap sekarang. Kalau tak aku kena pergi dulu,” Abdul Mukmin sudah menyandang begnya. Sejurus Adawiyah mengemas barangnya meskipun masih banyak perkara yang hendak ditagihnya. Abdul Mukmin sudah bergerak ke ruang tamu.
         Adawiyah berkerut dahi. Suara yang didengarnya semalam bukan dongeng semata. Yatin Ketua gergasi Mantaraga memang merancang sengketa. Abdul Mukmin pula adalah pewaris takhta Kerajaan Hambaliung yang dicari dan bakal dihapuskan. Adawiyah memang berasa terancam dan tidurnya gundah diganggu suara Yatin bertengkar dengan Nenek Kebayan.
         “Cepatlah Adawiyah, aku lihat kau sudah tenggelam di buana lain,” Suara Abdul Mukmin mengembalikan dia ke dunia realiti. Hilang rancangan sengketa.
         Selesai memasukkan barang-barangnya, Adawiyah menyandang begnya di bahu. Pintu bilik yang dihuni, dikatup perlahan. Dia mengejar Abdul Mukmin yang bergerak ke pohon mahubi.
         “Awas kau Adawiyah! Kau sudah memusnahkan rancangan aku! Nanti kau akan terima balasannya!” kata Yatin mengeluarkan tanduknya dan matanya merah menyala. Adawiyah terhenti seketika dan dia menggeleng. Matanya bertembung dengan mata merah Yatin yang kembang amarahnya.
Tangannya cepat-cepat disambar Abdul Mukmin yang bergerak pantas di hadapannya. Setelah menyentuh pohon mahubi, mereka sudah terkeluar menghadap jambatan gantung yang mereka lalui semalam. Kota praja Nusa Jaya  bagaikan sebuah mimpi yang tidak habis. Kesalnya memanjang sepanjang jalan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Abdul Mukmin pula sudah hilang pertimbangan dan ketenangan sepanjang perjalanan. Apakah punca sengketa? Soalannya berkubur di dalam monolognya.

Iramanis, KK, 24-25 Dis 2010. 

No comments: