Monday, April 2, 2012

Karya Yang Berharga

Salam,


Saya bersyukur membaca karya yang berharga buat kesekian kalinya, sangat berharga, sebuah novel buah tangan Dato' Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara yang tersohor. Novelnya yang bertajuk "Rentung" saya nikmati dengan sepintas lalu dan saya baca berulang kali. Sejak remaja dulu, saya memang sering-sering membaca novel Dato' Shahnon Ahmad, contohnya, Ranjau Sepanjang Jalan, novel yang paling terkenal dan banyak dihebohkan. Setelah saya membaca novel Rentung berulang-ulang kali akhirnya saya membuat sedikit catatan yang mungkin berguna di kemudian hari, kalau bukan hari ini atau esok kegunaannya. Mana tahu kan!


Saya menggunakan teori personaliti waja untuk penerapan nilai bagi melihat sejauh mana keberkesanan novel Rentung ini. 
         Shatte dan Reivich (2002) menyebutkan bahawa teori personaliti waja adalah kemampuan untuk bereaksi secara sihat dan produktif ketika menghadapi rintangan atau trauma.
     Semaun merupakan watak dari novel Rentung yang mempunyai sikap yang tabah dan berhati waja. Walaupun banyak halangan dan tuduhan yang dihadapinya, Semaun tetap tabah dan bertekad untuk mempertahankan hak milik yang memang menjadi miliknya sejak nenek moyangnya lagi. Bagi diri Semaun, dia harus tabah dan banyak bersabar menghadapi dugaan demi keluarganya seperti adiknya Semek yang masih muda dan ayahnya yang baru sahaja meninggal dunia.
Pak Senik pula merupakan individu  yang menjadi ketua kampung yang penyabar dan tidak mudah melenting apabila rancangannya ditolak mentah-mentah oleh Semaun. Bagi Pak Senik, Semaun harus dipujuk dan diberitahu dengan baik mengenai cadangannya yang baik demi untuk menebus kemiskinan yang mereka hadapi di kampung itu. Perkara ini ditunjukkan dalam muka surat 34-35.
“Menolong kita?” tengking Semaun sambil ketawa mengejek. “Kau kata dia datang menolong kita? Barangkali hari sudah mau kiamat.” Ms 34-35
Pak Senik pula sentiasa memiliki sikap mendekati di mana dia berkemampuan untuk bertemu dengan penduduk kampung Banggul Derdap di mana ia memerlukan keberanian dan kekuatan dalam diri. Petikan dari muka surat 43 menunjukkan keberanian sikap Pak Senik mendekati keluarga Pak Kasa dan anak lelakinya Semaun.
“Ketetapan itu penting bagi Pak Senik. Dia ingin menyampaikan pada pihak yang patut menimbangkannya. Kalau cadangan itu diterima oleh Semaun itu bererti tanda baik bagi seluruh kampung Banggul Derdap. Dan itulah yang diinginnya selama ini. Tetapi kalau ditolak mentah-mentah, Pak Senik tidak berbuat apa-apa lagi. Hanya satu langkahan sahaja yang akan diambilnya...”ms 43
Pak Senik mempunyai peraturan emosi di mana dia mampu bertenang ketika berada di dalam keadaan tertekan dan dapat mengawal emosi untuk membina hubungan dengan orang lain.
“Anak buahnya waktu itu pasti bersorak-sorak riuh di tengah sawah. Kelapangan dada anak buahnya bererti kelapangan dadanya juga. Dan waktu itulah Pak Senik ingin melihat gelagat Pak Kasa dan Semaun. bendang mereka tandus waktu itu. Dia hanya ingin melihat dengan mata kepala sendiri. Dia ingin melihat muka Pak Kasa dan Semaun yang mati-matian pantang menjijak kepala tuk nenek moyang itu.” Ms 51
         Pak Senik juga mempunyai sikap bouncing back atau melantun kembali iaitu mampu bangkit dari kesulitan yang dialami ketika kehilangan anggota keluarga. Semaun berasa terpanggil untuk memohon maaf kerana keterlanjurannya menolak mentah-mentah rancangan Pak Senik untuk menanam padi dua kali setahun. Pak Senik pula dengan mudah dan murah hati telah menguruskan pengebumian kematian Pak Kasa ayah Semaun. Dia seolah-olah berasa tidak ada apa-apa krisis yang telah berlaku antara mereka. Segala-galanya telah dilupakan demi untuk perpaduan masyarakat Kampung Banggul Derdap.
            “Semaun serba terharu. Ucapan terima kasih yang sewajibnya diucap itu tidak terucap. Tak terdaya hendak berkata apa-apa lagi. Wang itu dikembalikan kepada ibunya. Ibunya menyambut dan memasukkan ke dalam koceknya.
        “Terima kasih,” ucapnya memandang ke arah muka Pak Senik. Pak Senik mengangguk kepala sahaja.” Ms 71
           Pak Senik seorang individu yang amat mudah memaafkan walaupun dengan individu yang lebih muda daripadanya. Walaupun ada anasir jahat yang cuba mengapi-apikan hubungannya dengan Semaun namun dia bertahan dan bersabar demi untuk perpaduan masyarakat di Kampung Banggul Derdap itu. Segala-galanya terlihat melalui petikan di bawah;
            “Pak Senik tidak mahu berbalah lagi. Apakah yang akan terjadi kepada mayat itu kalau kedua tetamu itu berkeras hati? Dia bersama Semaun pasti tak sanggup mengusungnya. Untuk menyerah pada Semaun supaya dipikulnya? Dan merekapun menjalankan tugas mereka hingga tamat...”ms 74.
         Begitulah mulianya hati Pak Senik. Dia masih boleh berdamai dan mendamaikan penduduk di kampungnya sesuai dengan tugasnya sebagai pemimpin di kampung tersebut. Pak Senik juga sesuai dijadikan ‘role model’ atau contoh terbaik di Kampung Banggul Derdap itu.
         Pak Senik juga merupakan individu yang berpersonaliti waja iaitu optimis. Pak Senik sentiasa bersikap optimis yang dia dapat memujuk Semaun dan mendamaikan penduduk kampung yang sentiasa bertelagah di kampungnya itu. Dia juga akhirnya mengetahui siapakah dalang yang menjadi menjadi pengganggu ketenteraman di Kampung Banggul Derdap itu. Dogol yang sudah dikenalpasti sebagai manusia yang berhati busuk di kampung tersebut. Namun, Pak senik yang bersikap pemaaf dan lembut hati tidak akan menghalau Dogol keluar dari kampung itu. Sikap pemaaf dan pengasih Pak Senik itu terlihat melalui petikan di bawah ini;
         “Walau bagaimanapun Dogol tidak boleh dibuang. Dia sudah lama menginap di Kampung Banggul Derdap ini. Ini kampungnya dan tanahairnya. Ini Pak Senik sedar. Sesuatu helah perlu dicari agar Dogol menyedari keadaan semula. Dan, alangkah puas hati Pak Senik kalau kemesraan antara Semaun dan Dogol boleh dirapatkan semula. Kalau lah dapat menyatukan semula dua orang gergasi ...” Rentung muka surat 124.
             Pak Senik sentiasa memiliki harapan yang kampung yang diketuainya itu akan berada dalam keadaan aman damai seperti dahulu dan Pak Senik percaya dia boleh mengatur kehidupan penduduk di kampung itu agar menjadi lebih baik pada masa depan. Begitulah kepercayaan dan sikap optimis yang ditanamkan di dalam diri Pak Senik sendiri.
          Semaun mempunyai sikap mengatasi atau overcome seperti yang disebut oleh Reivich dan Shatte (2002) iaitu kemampuan seseorang individu mengatasi rintangan seperti kemiskinan dan kehilangan ibu bapa. Semaun menggantikan ayahnya menjadi ketua keluarga apabila ayahnya Pak Kasa meninggal dunia. Dia harus tabah dan menjadi pelindung kepada ibunya yang sudah tua dan adik perempuannyanya, Semek yang masih muda. Dengan adanya sikap mengatasi segala rintangan yang ditanamkan di dalam diri Semaun, maka dengan mudah dan berhati-hati dia menghadapi cabaran hidup yang melandanya. Sikap dan kepercayaan Semaun yang tertanam kukuh itu terdapat di dalam petikan di bawah;
            “Rancangan Dogol hendak membakar rumahnya dan memalukan maruahnya akan dilupakan. Padanya tersembunyi satu azam yang lebih besar, azam untuk hidup dengan penuh ketenteraman dan azam untuk hidup sebagai manusia biasa. Tugasnya kepada keluarga sudah melebihi sekarang. Bapanya yang selama ini menjadi tunjang sudah tidak ada. Ibunya sudah tua. Dan adiknya Semek memerlukan jagaan yang rapi.” Ms 127         
           Menurut Papalia, Olds dan Feldman (2003) personaliti waja adalah sikap tabah dan tahan lasak yang dimiliki ketika seseorang individu berhadapan dengan situasi yang sangat kacau dan mencabar. Dalam keadaan yang tegang ini terjadi kemelut kerana Pak Kasa yang sudah lama sakit dan meninggal dunia; tetapi antara seluruh kampung hanya Pak Senik yang datang datang menolong keluarga yang dukacita itu. Dengan kelakuan ini dia memujuk hati Semaun yang sebenarnya bukan syaitan, dia ternyata seorang yang jujur dan setia, tetapi dia mahu mempertahankan tanah pusaka nenek moyangnya dan dia mahu membela adiknya Semek yang sedang remaja. Dalam pada itu Dogol menghasut orang kampungnya agar membenci Semaun dan menuduh Semaun  mencuri lembunya. Tetapi Pak senik memihak kepada Semaun dan dia menghalang orang kampung mencari bukti dahulu. Orang kampung mencari lembu yang hilang dan ternyata Dogol pula menjadi mangsa seekor harimau. Semaun pula sanggup hendak membunuh harimau itu dengan bantuan orang kampung. Tetapi dalam berjaga-jaga di atas ran, Dogol sendiri telah keluar dalam malam yang gelap hendak membunuh harimau itu supaya memulihkan maruahnya yang telah merosot. Ketika dia menengok Semaun sedang tertunggu-tunggu, dia tidak dapat tidak mahu membalas dendam, tetapi ketika ketika membidiki musuhnya dia sendiri diterkam oleh harimau yang membunuhnya sebelum harimau tersebut ditembak mati oleh Semaun.
      Grotberg (1995) mengemukakan bahawa personaliti waja dikenalpasti sebagai bangga kepada diri sendiri. Dalam novel ini lembu Dogol yang dibaham oleh harimau, jadi Dogol berasa bertanggungjawab untuk membunuh harimau yang mengganas di kampungnya itu. Dogol berasa bangga kepada kehebatan dirinya sendiri. Jadi, dia tidak mahu orang lain yang membunuh harimau yang mengganas di Kampung Banggul Derdap itu. Hal itu disebut dalam petikan di bawah;
            “Harimau menangkap lembuku. Dan akulah yang patut membunuhnya,” kata Dogol kepada isterinya yang baru pulang dari rumah orang tuanya.
            “Hendak mencari maut? Harimau itu boleh melompat sampai ke pucuk merbau,” balas isterinya.
            “Harimau itu aku patut menembak,” ulangi Dogol bagaikan balasan dari isterinya itu tidak didengar.
            “Kau mencari maut!” seru isterinya lagi. Tetapi Dogol tidak mendengarnya lagi. Dia bingkas berdiri dan berjalan keluar. Harimau itu mesti ditembaknya dulu. Lembunya telah musnah. Kini dialah yang patut menembak harimau itu. Bukan orang lain. Dengan Pak Senik...” muka surat 131.
          Grotberg dan Reivich (2002) mengemukakan kecekapan kendiri adalah kemampuan yang menunjukkan bahawa seseorang dapat memecahkan masalah yang dialami demi kejayaan. Pak Senik berasa terpanggil untuk meminta persetujuan orang kampungnya iaitu menanam padi dua kali setahun. Rancangan ini untuk meninggikan taraf ekonomi orang-orang miskin di kampungnya itu. Namun rancangannya itu ditentang habis-habisan oleh Semaun anak Pak Kasa. Pak Senik sentiasa memikirkan perkara yang terbaik untuk memecahkan masalah yang dihadapi demi untuk mencapai kejayaan di Kampung Banggul Derdap itu. Pak Senik tidak akan berputus asa. Itulah janjinya kepada dirinya sendiri. Orang yang menentang itu akan dipujuknya dengan teknik motivasi yang sangat halus.
            “Alangkah terhina kalau orang lain bersama-sama dengan keluarga usang itu. Mahu juga rasanya dia hendak memalingkan mukanya dan terus menentang pemuda kerbau jantan terluka itu, tetapi Pak Senik terasa pula kebodohannya kalau bersikap begitu. Kekejaman dunia sekarang bukan cukup ditewaskan dengan buku lima sahaja. Orang seperti Semaun perlu diajar cukup-cukup satu hari, fikir Pak Senik, tetapi bukan pengajaran melalui buku lima. Pergolakan dan kemajuan Kampung Banggul Derdap akan mudah mematahkan semangat Semaun yang membuta tuli itu suatu hari. Dan, Pak Senik menanti hari yang bertuah itu. Dia sanggup menunggu kedatangannya...”Rentung muka surat 49
         Shatte dan Reivich (2002) menyebutkan bahawa teori personaliti waja adalah kemampuan individu iaitu empati iaitu mampu membaca keadaan dan emosi seseorang. Pak Senik seorang individu yang memiliki personaliti waja iaitu dia boleh membaca keadaan dan emosi seseorang. Ketika orang kampung yang lain tidak mahu berunding dengan Semaun yang agak degil dan kuat mengganas di kampung itu, hanya Pak Senik yang berani berbuat demikian. Pak Senik datang ke rumah Pak Kasa untuk bertemu dengan Semaun. Pak Senik hendak memberitahu mengenai rancangan hendak menanam padi dua kali setahun itu. Sikap Pak Senik yang boleh membaca keadaan seseorang itu terlihat dalam petikan di bawah;
            “Adukan saja ke balai polis,” Jusoh memberi syor waktu ludahnya mendapat tempat dalam perut.
        “Kalau begitu hendaknya tak guna kita jumpa malam ni,” kata Pak Senik. Kepalanya digeleng-gelengkan ke kiri dan ke kanan. “Kita cuba mengelak pergaduhan. Pak Kasa bukan punca keganasan itu. Semaun belum tentu menakik keting lembu itu. Cuma kita menuduhnya. Kalau pun ia, dia bukan punca pergaduhan. Yang bertanggungjawab ialah keadaan mereka. Mereka tak pernah bergaul dengan orang. Mereka tak pernah muafakat dengan orang. Hal-hal luar tak pernah diambil tahu. Mereka hanya tahu keadaan di rumah mereka. Dan kitalah wajib menyedarkan Pak Kasa sekeluarga itu.” Rentung muka surat 12.
            Begitulah belas kasihan dan sikap Pak Senik yang boleh membaca keadaan sebuah keluarga di dalam kampungnya yang diterajuinya itu. Dia menasihati anak-anak buahnya agar tidak bersikap menuduh secara melulu. Pak Senik sabar orangnya. Sikap sabar sudah tertanam di dalam dirinya sejak dulu lagi.
            Konflik timbul apabila watak protogonisnya Pak Senik membawa cadangan untuk menanam padi dua kali setahun. Cadangan ini ditentang habis-habisan oleh Semaun anak Pak Kasa. Namun, Pak Senik selaku ketua kampung tidak berputus asa dan cepat mengalah dengan penentangan Semaun itu. Dia tahu ada cara lain untuk melembutkan hati Semaun yang keras itu. Watak antagonisnya pula iaitu Dogol sentiasa ingin membuat kacau dan dia tidak mahu Pak Senik dan Semaun berbaik-baik di dalam kampung itu. Malah, Dogol yang sentiasa menabur fitnah kepada Semaun di kampung itu agar nama Semaun buruk dan maruahnya jatuh. Begitulah kebencian yang ada di hati Dogol terhadap Semaun sehingga dia mahu Semaun dihalau dan rumahnya dibakar di kampung itu. Namun, Pak Senik seorang individu yang sentiasa dapat membaca keadaan dan berempati dengan apa yang berlaku. Pak Senik tidak mahu bertindak secara membuta tuli tanpa berfikir atau menyiasat apa yang berlaku di kampung itu.
            “Dia sedar dia berdiri di atas kebenaran. Sikapnya yang lembut dan menyerah kalah terhadap Semaun itu berfaedah besar. Dia juga sedar bahawa tindak-tanduknya itu tidak diingini oleh Dogol, Jusoh, Lebai Debasa dan anak-anak buahnya yang lain. Tetapi kebenaran adalah kebenaran. Kebenaran adalah kemenangan. Dan Pak Senik sanggup berada di pihak kemenangan meskipun tidak disukai oleh anak-anak buahnya.” Rentung muka surat 87-88.
           
 Rumusan

Teori personaliti waja adalah kemampuan manusia untuk menghadapi cabaran, mengatasi, menjadi lebih kuat dan tabah menghadapi rintangan dan halangan. Teori pesonaliti waja adalah kemampuan untuk mendepani masalah dan bangun menyelesaikan masalah dan kesulitan. Teori peseonaliti waja bukan suatu keajaiban, tidak hanya ditemukan dalam diri sebahagian manusia lain dan bukan merupakan sesuatu yang tidak jelas. Setiap individu manusia mempunyai kemampuan untuk memiliki personaliti waja dan setiap individu mampu belajar bagaimana mengadaptasi personaliti waja untuk mampu bangkit dari kesulitan yang dihadapinya.
 Individu yang mempunyai personaliti waja merupakan individu yang boleh bangun dari suatu keadaan yang trauma atau kritikal. Individu yang berpersonaliti waja mampu beradaptasi, bersahabat, berdikari, tidak bergantung kepada orang lain sepenuhnya dan mempunyai sikap empati yang tinggi. Menurut Shatte dan Reivich pada tahun 2002, individu yang mempunyai kepercayaan diri yang tinggi juga mempunyai harga diri yang tinggi serta memiliki daya kecekapan kendiri atau self-efficiency yang tinggi.
Dalam novel Rentung (1983) Shahnon memperlihatkan perhatiannya yang bersungguh-sungguh terhadap permasalahan hidup manusia dan masyarakat bangsanya. Beliau memperlihatkan perasaan simpati yang amat mendalam terhadap nasib golongan yang malang. Apa yang malang itu, seperti biasanya di negara kita ini adalah golongan orang kampung yang terbatas keupayaannya manusia ini diperlihatkan oleh Shahnon Ahmad dalam novelnya ini yang amat mengharukan.
Jalan cerita sederhana berjaya menunjukkan serba sedikit kekurangan atau kemiskinan yang tertonjol dalam kalangan masyarakat kampung. Desa atau kampung umpama jiwa dan nyawa kepada Shahnon Ahmad. Kehidupan desa sangat dekat dengan diri Shahnon. Dengan demikian Shahnon telah berjaya menghasilkan dengan baik segala lukisan fikirannya kehidupan masyarakat desa melalui karyanya. Tidak terlihat adanya pemaksaan. Apa yang ditulis dalam latar belakang desa ini adalah segala permasalahan masyarakat kampung yang perlu dibantu.
Pengajaran yang kita perolehi daripada novel Rentung ini ialah penulis mengajak pembaca untuk menangani keganasan (konflik) secara berhikmah dan tidak bertindak secara melulu. Keganasan tidak boleh ditangani dengan keganasan pula. Keganasan mesti diredakan dengan diplomasi, musyawarah dan sikap sederhana. Kebenaran akan muncul kemudian hasil daripada sikap yang teliti, sabar dan bijak dalam membaca keadaan sekeliling. Dalam hal ini, peranan Pak Senik selaku pemimpin nombor satu di Kampung Banggul Derdap itu telah berjaya ditonjolkan dengan baik.
Demikian serba-sedikit kupasan yang sempat saya buat mengenai novel Rentung yang teradun dari simpulan kemiskinan dan kesabaran serta pelbagai pergolakan di Kampung Banggul Derdap, Kedah ini. 

Noorainie

No comments: