Tuesday, April 3, 2012

Cerpen: Hilang

Hilang

“Apa? Hilang?”
 “Ya hilang!” jawab adikku tenang. Seperti dia sudah tahu akan kehilangan yang bakal berlaku dan sudah berlaku. Aku mengerutkan dahiku. Hairan dengan apa yang berlaku dan bagiku ia tidak sepatutnya berlaku kepada seorang lelaki yang sudah mencapai usia hampir dewasa. Masalahnya pula lelaki itu adalah abangku, Jaini.  
“Hilang ke mana?” soalku terpinga. Mataku sudah membulat. Mengetahui kehilangan itu memburu rasa bimbangku. Mungkin aku adalah  orang terakhir mengetahui hal ini.
“Setakat ini tidak ada yang tahu ke mana dia! Kami pun sedang menghubungi dia.” Ucap Rafi, adik lelakiku.
“Betul?” aku masih memohon kebenaran akan kehilangan itu. Adikku Rafi mengangguk.
“Takkanlah dia sanggup pula menghilangkan diri!” pintasku. Aku baharu sahaja berbincang dengannya mengenai perniagaannya yang sedang dibangunkannya dan lesen yang telah dibuatnya. Kenapa pula dia tiba-tiba menghilangkan diri dengan beraninya?
“Itulah yang berlaku! Hakikat yang sebenarnya!” bukan itu yang ingin kudengar. Aku ingin mendengar abangku yang seorang itu berkata yang baik-baik atau meninggalkan pesan. Namun belum ada pengesahan dari adikku itu. Rafi mengecilkan mulutnya menjadi lonjong dan berfikir panjang.
“Sukar diduga! Dia keluar sehelai sepinggang tanpa ada apa-apa cakap. Kami bercerita macam biasa dan naik kereta kancilku pun macam biasa. Dia turun pula di Kampung Air ketika kali terakhir dia tumpang keretaku,” aku bertambah sedih dengan perkhabaran itu.
“Maknanya, tak ada perkelahian antara kamu?” Rafi menggeleng.
“Langsung tidak ada pertengkaran!” jawab Rafi.
“Oh!” aku kesal. “Mungkin dia masih di sekitar Kampung Air? Ayuh kita cari dia!” Adikku Rafi geleng kepala.
“Dia takkan muncul di sana, sudah beberapa minggu kami cari dia di situ,” kata adikku Rafi.
“Tapi...” aku berubah bimbang. Baru sahaja aku tarik nafas mendengar mereka tidak bertengkar.
“Tapi apa Fi’?” soalku tidak sabar. Dadaku berombak keras secara tiba-tiba. Pasti ada yang berlaku antara mereka berdua. Fikirku sesaat sebelum adikku Rafi bersuara.
“Dia asyik marah kita semua!” kata Rafi. Membulat lagi mataku. Getaran di sumbu jantung, usah dikira kencangnya, sekencang taufan.
“Kenapa pula marah kita?” soalku. Rafi angkat bahu. Aku telaah sesuatu. Abangku Jaini memang pelik orangnya. Namun selama ini aku tidak pernah pun sampai hati hendak menceritakan kisah peliknya kepada sesiapa. Biar aku sahaja yang tahu. Usah dibongkar kepada sesiapa. Hanya menyesakkan keadaan dan menyemakkan akal.
“Dia kata kita semua gila duit!” aku tidak terkata. Hanya mulutku ternganga.
“Huh! Menghairankan kalau dia tidak mahu duit! Sampai begitu sekali dia tak mahu duit! Dulu, dia buat kerja projeknya tak mahu banyak untung! Sekarang, teruk lagi, dia tak mahu duit! Wah, banyak pula duit dia sampai cakap kita gila duit” bidaskau seolah-olah abangku Jaini itu sudah berada di depan mataku. Rafi geleng dan angkat kening.
“Duit terakhirnya diberikan kepada mak, sudah kau bagi?” soal Rafi, aku terus angguk. Laju sahaja kepalaku memberi isyarat. Wang RM500 sudah kuserahkan kepada emak dua minggu lalu. Aku memang amanah. Malah, wang tersebut kugandakan sekali lagi untuk emak. Begitu kasihku kepada emak. Aku tidak mahu pula risaukan perbelanjaannya.
“Buat apa dia cakap gila duit sedangkan dia pun ikut melabur macam kita?” kali ini Rafi angkat bahu, tanda tidak ada komen. Aku pula yang runsing. Entah apa yang berada di dalam kepala abangku yang seorang itu. Dia seorang yang pelik tetapi memang benar dia pelik. Beberapa lama kami hanya mendiamkan diri dan hanya mendengar muzik dari radio kereta kancilnya itu.
“Mungkinkah ada sesuatu yang mengganggunya sehingga dia hilang pertimbangan dan menghilangkan diri? Mungkin dia gaduh dengan binimu?” Rafi memanndang wajahku apabila ‘bininya’ dikaitkan. Lantas dia laju sahaja menggeleng.
“Mereka baik-baik sahaja, tidak ada pertengkaran sebelum dan selepas ini! Mereka akrab macam adik beradik! Kali terakhir mereka makan sup daging di rumah! Aku pula pergi kerja!” jawab Rafi. Aku garu kepalaku yang tidak gatal. Apa faktor terdekat yang menyebabkan dia bertindak di luar dugaan?
“Tidak nampak keanehan? Binimu pun tak nampak?” soalku seperti seorang penyiasat mencari pesalah, Rafi pantas menggeleng. Aku kesal kerana setiap persoalanku tidak kena pada tempatnya. Akalku berputar 360 darjah memikirkan soalan lain yang berkaitan.
“Dia jarang meluahkan perasaannya yang paling halus kepada kami. Dia tidak pernah menceritakan kisah putus tunangnya dan putus kasihnya kepada kami! Dia menyimpannya sendiri!” jawab Rafi. Aku terkedu. Pasti abangku itu terlalu sugul dalam hatinya namun tidak ada sesiapa yang mahu mempedulikan soal itu.
“Tapi...”
“Tapi apa? Kau selalu buat aku suspens!” Rafi ketawa.
“Biniku selalu suruh dia kahwin!” jawab Rafi pula.
“Apa reaksi dia?” Rafi ketawa secubit.
“Perempuan semua sama! Dia takut antara mak atau kakak sulung kita tak suka dengan calon pilihannya! Akhirnya dia pilih untuk tidak berkahwin! Tapi dia ada kawan perempuan!” jawab Rafi pula. Aku tidak fikir hal itu akan menjadi kaitannya. Ia benar-benar di luar topik perbincangan kami.
“Kau tahu pula?” soalku sebelum aku membincangkan soal lain.
“Biniku yang cerita! Itu lah sebabnya dia pilih bujang!” jawab Rafi lagi. Aku dan Rafi bersilang dengan ketawa. Namun hatiku tetap gundah bagai digaru-garu.
“Memang kita semua mengabaikan dia walaupun dia sudah dewasa begitu!” jawabku pula. Aku masih memikirkan abangku Jaini. Wajahnya di mataku berdiri dengan megah sambil memandangku dengan senyum sinisnya.
“Jangan menyalahkan diri! Kita masing-masing sibuk dengan kerja dan urusan masing-masing!” aku angguk lemahh tetapi pandanganku jauh. Jauh memikirkan abangku yang tidak pernah memperlihatkan pancaran dalaman hatinya. Lelaki itu tabah dan menyimpannya sendirian. Kasihan dia!
“Pada pandanganku, bukan itu yang menyebabkan dia menghilangkan diri,” aku buka fail ramalanku. Rafi buka mata luas-luas.
“Pasal apa pula, aku hilang idea sudah ni,”
“Memang ada sebab lain, bukan yang kita fikirkan. Tuduhannya itu hanya alasan untuk mengaburi pandangan kita. Sebenarnya dia ada masalah dalaman,” jawabku. Rafi angguk dan memikir sesuatu.
Mataku hampir juling memikirkan abangku itu. Dia sudah menjadi bertambah aneh sehinggakan aku yang cekap membaca menjadi tidak tahu membaca tingkahnya. Aku sebenarnya buta. Buta membaca tingkah abangku yang seorang itu. Alangkah dangkalnya seorang adik seperti aku kerana menjadi pembaca yang tidak sabar dan penilai yang tidak benar mengenai abang sendiri. Akhirnya aku tergolong ke dalam golongan yang pelik dan aneh! Aku tiba-tiba ketawa sendiri!
“Kenapa kau ketawa?” soal Rafi.
“Aku rasa aku bodoh!” kataku sungguh-sungguh. Rafi senyum mengejekku. Dia memperlahankan larian kereta Kancilnya.
“Jangan salahkah diri! Kita kena fokus dengan kerja kita dan masa depan kita. Kalau kita asyik fikirkan kesalahan kita, tak siap projek-projek kita,” pujuk Rafi. Aku angguk.  
“Aku tak mengenal abang sendiri! Sebenarnya dia ada masalah peribadi, tetapi aku sendiri tidak pernah peduli!” seperti seorang kaunselor pula aku mula melihat masalah peribadi yang dialami abang yang menyebabkan dia memperolehi kemurungan sehingga menghilangkan diri.
“Hmmm,” itu sahaja jawapan Rafi adikku. Aku pandang ke depan. Masa depan sudah kelam kalau mengingati abangku yang sudah tidak kami temui.
“Mungkin juga! Selama ini kita lihat dia gembira apabila bersama-sama dengan kita tetapi kita tidak tahu apa yang sebenarnya dalam hatinya!” tambahnya. Aku semakin diburu kesal.
“Aku kesal kerana akhir-akhir ini aku terlalu sibuk dengan tugasku sendiri. Aku lihat pun sibuk dengan dirinya sendiri. Siapkan projek dia, buat proposal untuk syarikat kami. Macam-macam projek kami nak kejar, ” Jawabku. Rafi menggeleng. Pandangannya ke depan.
“Sudah kuberitahu dan kularangkan kau, jangan menyalahkan diri! Kalau kau yang gila kerananya, siapa mahu tanggung?” Aku angguk. Adikku tidak tahu perasaanku terhadap abangku itu. Kami amat rapat sewaktu kecil. Namun semakin meningkat dewasa kami semakin memencilkan diri dan menjadi tidak rapat pula! Itulah yang kukelas, jelas aku kesal!
“Jangan banyak termenung! Kita kena banyak berdoa!” kata Rafi lagi. Aku angguk sahaja. Belajar untuk reda dengan ketentuanNya.
“Kita mohon kepada Allah,” Rafi angguk.
“Apakah dia masih hidup?” Rafi angguk.
“Kami sahkan dia masih hidup!” kata Rafi lagi. Aku tidak setuju dengan andaian itu.
“Dia sudah kahwin?” soalku. Rafi memandangku sekilas.
“Entah! Mungkin belum!” jawab Rafi pula.
“Mungkin sudah!” kataku pula. Kami bermeditasi sendiri. Jawapan sebenar tetap tidak ada.
“Biarlah dia kahwin! Bagus juga tu!” aku angguk.
“Mak tak rindukan dia?” soalku mengingati emak.
“Rindu! Sangat rindu,” kata Rafi.
“Ayah macam mana, tak mencari?” Rafi angguk. Aku berasa sungguh kasihan.
“Ayah cari dia! Ayah makin tenat kalau tanya dia, aku pun hairan dengan abang kita macam tu! Pelik!” kata Rafi. Aku angguk tetapi aku tetap kasihankan abangku Jaini.  
“Tambah-tambah lagi dia sakit sekarang ni!”
“Telefon dia boleh dihubungi?”
“Kadang-kadang! Tapi dia tak angkat!” kata Rafi.
“Hantar sms ja! Katakan ayah tak sihat,” Rafi angguk.
“Entah apalah jawapannya. Dia suka merapu!” tambah Rafi.
“Jangan buruk sangka!” dalam keadaan terdesak begini aku tidak mahu Rafi tuduh abangku itu merapu pula.
“Yang benar!” jawab Rafi.
“Apa kita buat sekarang? Takkan biarkan begitu sahaja?” soalku. Rafi pandang aku dan kami saling berpandangan.
“Lapor polis!” usulku.
“Banyak prosedur!” jawab Rafi pula. Aku terlopong. Terkejut dengan jawapan itu.
“Kita kena buat laporan polis! Ada apa-apa berlaku, kita sudah laporkan, tak ada penyesalan lagi. Ayuh, kita ke balai polis,” desakku. Rafi geleng dan pandang ke depan seperti askar sedang berbaris di padang, tidak pernah pandang belakang.
“Tak boleh, kita kena bincang dengan semua ahli keluarga yang lain dulu,” jawab Rafi. Aku pegang tangan kirinya. Aku pandang dia kejap, mohon belas.
“Kita tak boleh biarkan benda ni, kalau ada apa-apa berlaku kepada dia macam mana? Siapa yang akan tahu? Kalau kita lapor polis, polis akan cari dia untuk keluarga kita,” gesaku lagi. Rafi pandang aku. Sebagai kakak, dia sepatutnya mendengar usulku. Namun, dia geleng berkali-kali.
“Kita bincang dulu, jangan tindak melulu! Ada abang lagi, ada kakak! Kita tak boleh buat keputusan!” aku cubit tangannya. Dia mengaduh kesakitan.
“Kasihan pula dia kalau kita biarkan dia hilang macam tu saja!”
“Dia bukan budak-budak!” mudahnya alasan Rafi.
“Baiklah hari Ahad kita berkumpul di kampung. Kita panggil semua orang balik kampung untuk selesaikan hal ni,” jawab Rafi membuat keputusan sebelum aku turun  dari keretanya dan membeli barang kuinginkan. Kepalaku masih bingung. Kalau barang hilang aku boleh terima, alasannya sikapku lalai. Kalau abangku Jaini hilang, apakah alasannya? 
***
Mungkin kah tidak hilang? Mungkinkah abangku sengaja menghilang demi meredakan sebuah pergolakan perasaannya? 







No comments: