Friday, September 21, 2012

Sajak: Di Tengah Dewan


Sekian lama tidak memperbaharui isian di dalam blog ini. Akhirnya saya memecahkan belenggu itu. Inilah yang dapat saya kongsikan untuk kali ini. Semoga kita semua mendapat kebaikan daripada sajak yang saya tuliskan kali ini. 

Di Tengah Dewan

Kita bukan siapa-siapa
Duduk memaku diri
Berdiri tak memangku perhatian
Hawa panas runsing bagai kehilangan
Duduk berdiri duduk berdiri
Berpusing-pusing sambil melihat anak-anak
Bercakapan sesama sendiri
Ada yang tekun meminjamkan telinga
Bagaikan cendekiawan
Dahi berkerut, wajah berkumisan
Lidah bergelut kelu memahami lembaran-lembaran ayat
Hati tak sealiran dengan duduk
Mimik tak seangkatan dengan mata
Ritma tak seiringan  dengan rendeng ucapan
Yang lahir dari mulut paradoks
Yang membikin rentak agenda
Akhirnya kemurungan menjala
dan menerima seadanya demi renta tugasan.

Kita bukan siapa-siapa di sini
Sekadar sekujur jasad
Kaku di kerusi plastik
Bagaikan kipas-kipas di dinding
Yang tidak pernah berhenti
Mendengar kicau arahan dan juzuk telunjuk.

Kita bukan siapa-siapa di sini
Sekadar berdiri santai
Mengisi periuk nasi buat keluarga
Bagaikan gambar-gambar perhiasan
bergantungan di sekitar dewan
Kaku, bisu dan bosan
Menatap persembahan wajah-wajah plastik
Di dalamnya amukan lelucon
Yang tidak bertepian.

Begitulah diri kita
Perut bergendang berpesta
Hati bergelut berirama
Perasaan usah dikanvaskan
Gunung resah ombak rusuh
Di sisi ucapan para paradoks
Dan  di tengah-tengah susunan aktiviti bicara
Yang  sangat membeban minda
Duduk di tengah dewan
Sekadar memaku wasilah mencatu sopan.

Rabbana,
Bilakah berakhir tiupan sangkakala?
Aku mimpi selembar tenang selepas itu. 

Kk – 17 Mei 2012, 9 pm – 10.58pm

No comments: