Sunday, September 2, 2012

Kaulah Lelaki Itu



Sajak ini saya masukkan dalam antologi Kalimantan Timur dan Sabah pada bulan Ogos yang lalu. 

Kaulah Lelaki itu

Aku memilihmu
Bukan kerana karung harta menimbun di nawaitu
Bukan kerana wang berjuta merimbun di dalam simpananmu
Bukan kerana rupa setampan Yusuf
Cukuplah kalau kau tahu
Aku memilihmu kerana terpasak sejuta keyakinan
Kau bakal mengheret aku
Ke jalan petunjuk
Di dalamnya rumah terang benderang
Dengan juzuk zikir dan tasbih
Dan kelak dekatlah aku
Ke taman asyik di dalamnya syurga abadi.

Aku tidak mahu tahu kenapa kau memilihku
Walau aku tidak terkesan hangat cinta di matamu
Cukuplah sedikit siraman mawar kasih simpati
Tertabur luhur menaungiku.
Aku sudah terkesan
Kalau sudah terbentang sejadah cinta
Ruang menuai impian kita
Meskipun di sebalik tabir cerita
Telah terbentang sejuta tentangan
Di kiri dan kanan pertautan kita
Kerana aku pilihmu
Dan kau pilihku.
Memang aku memegang sejumlah kesedaran
Aku tidak cukup surat kelayakan
Untuk menyimpan hasrat berlindung
Di bawah naungan cintamu
Apalagi berdiri teguh di sisi cintamu
Kerana aku tega menyakinkan diriku
Letaknya aku di bawah tapak kaki keluargamu.

Cukup aku mengerti
Dengan sejuta kefahaman
Diriku tidak setanding berlindung
Di ruang harapmu dan hatimu
Dan di sisi keluargamu
Mata kebencian dan kata permusuhan
Cukup sinonim
Peneman sepanjang
Perjalanan impian cinta kita.

Namun,
Kukuh aku bertahan
Dan menerima segala tohmahan
Tanpa tentangan
Kerana aku yakinkan batinku
Kaulah lelaki itu
Yang kelak memimpin
Tangan naifku
Masuk ke kamar syurga
Di dalamnya penuh ruang destinasi cinta kita.

Terima kasih suami
Kerana menerima
Diri yang serba kekurangan ini
Malah kau sentiasa hadir menutupi
Khilaf isterimu ini
Dan tetap kau berusaha
Membangun istana cinta
Tanpa merobohkan binaannya semula
Dan membiarkan seluruh lontaran kata nista
Dan juzuk kebencian manusia di kiri kanan kita
Berlalu bersama deruan waktu.

Kaulah lelaki itu,
Yang selalu meminta aku kukuh
Bertahan di pintu dugaan yang meronta.

Lepas Zohor, 23.6.12

No comments: