Saya kongsikan sebuah lagi karya cerpen hasil nukilan anak saudara Amy Sharimie di blog ini. Pasti anda akan suka membacanya. Percayalah...
Cerpen Remaja
Tajuk : Di hujung pelangi
Kelam
kabut Marisa masuk ke kelas apabila bunyi loceng menandakan waktu rehat sudah
pun tamat. Kalut dia mencari latihan matematik yang diberikan Cikgu Masri
tempoh hari. Pucat lesi mukanya apabila menyedari latihan itu belum siap. Ah,
kenapa harus dia terlupa untuk menyiapkan latihan tersebut!
‘Alamak…matilah aku kali ni.. latihan 2.1 muka surat 56
belum siap lagi rupanya,’ katanya mengeluh, sambil membelek buku latihan yang
dijumpai bawa laci meja . Terbayang dia denda yang akan diberikan oleh Cikgu
Masri kepadanya nanti. Semalam dia tidak dapat menyiapkan latihan itu kerana
dia perlu menghadiri sesi latihan untuk pertandingan bahas yang diadakan 3 hari
lagi. Masanya agak terhad sejak kebelakangan ini, sibuk dengan pelbagai
aktiviti ko–kurikulum. Cepat-cepat dia meminjam buku rakannya Zaldie.
“Nah, kan aku dah cakap jangan tangguh kerja tu, tapi
kau degil.. kan sekarang kelam kabut salin kerja aku ni..,”ujar Zaldie sambil
menyerah bukunya kepada Marisa. Dia masih boleh bersyukur kerana rakan
sekelasnya itu masih sudi meminjamkan dia buku latihannya. Ah, berbaloikah
kerja yang dilakukannya itu!
“Alah..sekejap saja ni..empat soalan lagi yang belum
siap..,” pantas jari jemari Marisa menyalin satu persatu jawapan dari buku
latihan Zaldie itu.
“Amboi–amboi bila tak siap kerja baru nak cari aku
ya..nanti bila dah jumpa buah hati kau
si Hanif tu dah tak ingat aku lagi..ya lah kan.. siapalah aku ni tempat
mesin fotostat saja..” nada suaranya agak merajuk. Bagi Zaldie gadis
dihadapannya kini cukup pakej sebagai gadis menawan, apatah lagi pernah
menyandang gelaran Ratu Muslimah di sekolah mereka. Tetapi Marisa agak dingin
dengan lelaki yang cuba meluahkan perasaan mereka. Hanif pelajar sekelas dengan
Marisa, sudah berapa kali mengutus surat namun tidak sepucuk pun dibalas
olehnya.
“Hish..apa yang kau mengarut ni Zaldie.. nanti aku
belanja makan ais krim. Nah, ambil balik buku kau ni. Terima kasih banyak mesin
fotostatku!” Marisa tersenyum sambil menghulurkan buku latihan itu. Zaldie
hanya mencebik. Zaldie agak lembut berbanding rakan-rakan lelaki yang lain,dia
suka membantu dan gemar menyakat kawan-kawan perempuannya.
Selang beberapa minit Cikgu Masri masuk ke kelas sambil
membawa rotan sebesar jari yang tidak pernah ditinggalkannya apabila masuk
mengajar. Kecut perut pelajar olehnya yang memang terkenal dengan denda yang
pelik. Nasib baiklah tidak ibu bapa yang datang membuat aduan mengenai
perbuatan gurunya itu! Kalau tidak nahas juga cikgunya yang seorang itu!
Maklumlah ibu bapa sekarang ni, begitu memberikan hak dan tumpuan kepada anak
mereka dan bukannya sudi mendengar apa yang dikatakan oleh seseorang guru
tersebut! Nasiblah!
Petang itu selesai solat Asar, sedang Marisa duduk
berehat di biliknya, dia diberitahu malam ini ada latihan perbahasan lagi
dengan rakan-rakan sepasukannya yang terdiri daripada pelajar senior tingkatan
6. Marisa kebingungan sama ada hendak pergi atau tidak kerana dia perlu
menghadiri kelas tambahan Matematik yang diadakan Cikgu Masri malam ini juga.
Marisa berkira-kira sendiri.
“..Lusa dah nak bertanding, bila lagi nak bersedia ni..?
Hmm..lepas ni apalagi denda Cikgu Masri kat aku ni?” Spontan ligat otaknya
membayangkan wajah bengis gurunya itu. Pernah dia didenda bersama 2 orang rakan
sekelasnya berdiri di hadapan perhimpunan sambil berikrar dan disaksikan
guru-guru serta para pelajar. Malu juga dia ketika itu gara–gara tidak masuk ke kelas dan tidak dapat
menyiapkan latihan yang diberikannya dengan segera kerana mengikuti
pertandingan syarahan Majlis Tilawah Al–Quran. Cikgu Masri pantang apabila
pelajar-pelajarnya tidak menyegerakan tugasan yang diberikannya walau apa jua
alasan yang diajukan. Pernah juga Marisa dimarahi di hadapan rakan-rakannya
kerana menggunakan waktu prep untuk mengadakan latihan kawad Persatuan Puteri
Islam, dia sebagai pengerusi bertanggungjawab meminta kebenaran dengan warden
bertugas kebetulan hari itu Cikgu Masri adalah warden bertugas. Teruk juga dia
dimarahi ketika itu. Tidak cukup dengan denda, ceramah percuma pasti tidak
dilupakan, terpaksalah seisi kelas menadah telinga untuk mendengar apa sahaja
yang ingin diperkatakan oleh guru mereka itu. Setitik nila rosak susu sebelanga
apabila seorang pelajar membuat kesalahan pasti yang lain turut terkena
tempiasnya.
Malam ini, Marisa terpaksa mengorbankan kelas tambahan
itu kerana memikirkan dia sebagai pembahas kedua perlu banyak persediaan untuk
berhujah dan membidas pihak lawan. Dia mahu megharumkan nama sekolahnya dengan
tampil sebagai pembahas terbaik tahun ini. Marisa redha apa sahaja denda yang
akan dijatuhkan kepadanya nanti dan pastinya Zaldie menjadi mangsanya menyalin
segala kerja sekolahnya. Dia tersenyum sendiri. Bingkas dia bangun menuju ke
bilik air untuk membersihkan badan.
* *
*
Marisa merupakan anak sulung 2 orang adik beradik. Sejak
kebelakangan ini fikirannya agak bercelaru. Berita yang baru sampai ke
telinganya benar-benar membuatkan dia runsing memikirkannya.
‘Hai…ibu kahwin kali ketiga.. Apa lagi yang mengganggu
janji ibunya itu?” Keluhnya pelahan. Begitulah yang di khabarkan oleh neneknya tempoh hari. Entah mengapa
fikirannya lebih tertumpu kepada berita itu. Sejak kecil lagi dia kurang
diberikan perhatian apatah lagi oleh ibu kandungnya sendiri. Sebaik lahir dia
dipelihara oleh neneknya di kampung. Ibunya ke bandar mencari kerja. Bapa..?
Dia tidak sempat menatapi dengan lebih dekat wajah seorang ayah. Apatah lagi
mengenali bapanya dengan lebih rapat lagi dan merasai kasih sayang seorang
bapa. Jauh panggang dari api. Bapanya telah lama menghilangkan diri. Ibunya
pula sekali sekala sahaja datang menjenguk di kampung. Marisa dan adiknya
seperti anak yatim piatu saja layaknya apa tidaknya ibu bapa ada tapi tidak
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anak. Dia dan adiknya dipelihara oleh
neneknya yang hanya berjaja kuih muih secara kecil–kecilan. Hasil daripada
jualan itulah neneknya menyara Marisa dua beradik. Jasa neneknya itu tidak akan
dilupai hingga akhir hayat. Sehinggalah Marisa diterima masuk di sekolah agama
yang berasrama penuh ini. Tahun ini Marisa akan menduduki Sijil Pelajaran
Malaysia. Tapi..entahlah emosinya agak terganggu dek masalah keluarga yang
tidak pernah surut. Lepas satu-satu lagi menimpa yang membuatkannya agak
tertekan.
Kali pertama ibunya berkahwin dengan bapanya,
rumahtangga mereka tidak berkekalan akibat sikap bapanya yang panas baran dan
tidak mempunyai persefahaman dengan ibunya. Mereka bercerai ketika Marisa masih
kecil dan tidak mengerti apa-apa. Marisa amat kesal kerana ibunya tidak
serik-serik berkahwin lagi untuk kali kedua, 4 tahun yang lepas. Lebih malang
lagi jodoh ibunya dengan warga Indonesia sehinggalah anak yang dilahirkan
ibunya iaitu adik tiri Marisa tidak mempunyai surat beranak pengesahan
warganegara Malaysia. Aduhai…remuk redam hati Marisa apatah lagi ibunya jarang
memberikan perhatian dan memberi perbelanjaan mereka adik beradik. Selang tiga tahun kemudian ibunya berpisah
lagi. Hal ini membuatkan Marisa agak trauma dengan perkahwinan sehingga dia
tidak melayan laki–laki yang cuba menghampirinya. Harapan Marisa ibunya akan
insaf dan akan membela mereka adik beradik dengan penuh kasih sayang walau
tiada lelaki di sisi. Ternyata ibu Marisa tidak betah hidup sendiri, di
saat-saat dia akan menghadapi peperangan minda, ibunya mencipta onar lagi kali
ketiga!
Puas dia menasihati ibunya tapi ibarat mencurah air ke
daun keladi. Neneknya sudah berbuih mulut menasihati dan menghalang perkahwinan
itu. Tapi ibu Marisa mengendahkannya. Marisa amat kecewa dengan tindakan ibunya
itu. Pekerjaan ibunya pun tidak dapat menjamin ekonomi keluarga. Sehinggalah
sanggup menggadai maruah diri dengan tinggal bersekedudukan dengan lelaki yang
bukan muhrim dan bukan beragama Islam. Masya-Allah... inilah dugaan hidup yang
terpaksa dilaluinya. Marisa amat sayangkan ibunya kerana tanpa ibunya dia tidak
akan berada di muka bumi ini. Namun apakan dayanya hanya seorang anak yang
tidak mampu membuat apa–apa. Dia tidak sanggup menghadapi kenyataan ini. Tapi
dia sedar hidup mesti berani terima
kenyataan. Perasaan malu memang ada, dia sebagai pelajar sekolah agama tapi
ibunya tidak mampu di bimbing sudah terpesong agak jauh. Bapanya..? Usah
cerita, hilang tanpa berita, mati tanpa kubur, tanpa nisan sebagai tanda. Haram
menghulurkan nafkah kepada anak-anak, lepas bebas tidak bertanggungjawab.
Marisa lebih suka hidup berdikari di asrama.
Hidupnya dibelenggu dengan pelbagai masalah. Hendak
mengadu dengan siapa..? Nenek..? Tidak! Marisa tidak ingin membebankan neneknya
lagi. Setiap kali dia menghadapi pelajaran, dia tidak dapat menumpukan sepenuh
perhatian, pasti fikirannya melayang memikirkan perihal ibunya. Dia tidak tahu
bagaimana untuk menyedarkan ibunya lagi. Marisa cuba berlagak ceria di hadapan
rakan-rakannya dan merahsiakan apa yang terbuku di dada, tetapi dalam hatinya
hujan tak berhenti, entah bila cerah bertandang. Kebahagiaan keluarga amat
dinanti. Benarlah kata orang, setitik kasih keluarga takkan sama selaut kasih
manusia. Jauh di sudut hatinya mengharapkan ibunya kembali ke pangkal jalan. Mengasihi
anak–anak setulus hati!
“Hoi mak cik..! Takkan baru sekejap aku tinggalkan kau
dah termenung. Oo..ingatkan Hanif ya..” Sergah Malina sambil ketawa mengekek
melihat reaksi Marisa dikejutkan, berkerut dahi Marisa dibuatnya. Serta merta
akalnya yang berserabut seribu itu
terhenti setakat itu sahaja.
“Ya Allah..Kau ni Mal..Terkejut aku tau!” Marisa
mengurut dadanya kerana teperanjat, dicubitnya lengan Malina. Sudahlah penat
dia menunggu sejak tadi, kini disergah
pula oleh rakannya itu.
“Aduh..sakitlah Risa… Maaf ya buat kau tertunggu-tunggu,
bukan apa banyak pula kerja aku kat kelas tu!”Ujar Malina sambil menggosok
lengannya yang dicubit Marisa. Marisa hanya tersenyum melihat telatah rakannya
itu.
“Hmm..itulah kau buat aku terkejut lagi, dahlah mari kita
naik asrama. Kita dah agak lewat ni, nanti pagar dikunci pula,” ajak Marisa
kapada Malina.
“Baiklah, tuan puteri pengarang jantung hati Panglima
Hanif,ha..ha..,”merah padam muka Marisa dek gurauan Malina. Pantas jarinya
mencubit lengan Malina sehingga mengadu kesakitan rakannya itu. Mereka berjalan
beriringan menuju ke asrama puteri sambil ketawa riang.
Malina merupakan sahabatnya yang agak rapat dan boleh
dipercayai. Malina suka mengenakan dia dengan Hanif, jejaka tinggi lampai dan
mempunyai perwatakan menarik. Tetapi langsung tidak menarik minatnya terhadap
lelaki itu.
* * *
Cikgu Masri sudah
berapa kali bertanya kepada Marisa mengenai keputusan peperiksaan percubaannya
agak merosot. Sebagai guru kelas dia perlu peka terhadap masalah para
pelajarnya.
“Marisa Adnan,
jumpa saya selepas waktu kelas nanti,” ujar Cikgu Masri serius.
Marisa hanya mengangguk perlahan sambil membelek kertas markah ujian
Matematiknya yang memperolehi markah
agak rendah berbanding rakan-rakannya yang lain. Dia agak malu dengan markah
begitu, namun dia sedar selama ini dia kurang menumpukan perhatian kepada
pelajaran di kelas.
Berat langkahnya menuju ke bilik guru untuk bertemu
degan dengan Cikgu Masri. Pelbagai persoalan yang timbul dibenaknya. Dia cuba
mencipta alasan apabila ditanya nanti. Marisa menarik perlahan kerusi dihadapan
meja Cikgu Masri setelah Marisa memberi salam dan disuruh duduk. Guru yang
berusia tiga puluh lima tahun itu tenang menuturkan kata-katanya. Namun
mengundang resah di hati Marisa. Cikgu Masri faham apa yang bermain di fikiran
Marisa dia cuba bercakap secara diplomasi dengan pelajarnya itu. Dia tahu
Marisa dirundung masalah, masakan keputusannya merundum jatuh. Dia takut Marisa
kecundang dalam peperiksaan sebenar nanti. Marisa agak keberatan membuka pekung
di dada namun kesungguhan Cikgu Masri untuk membantunya membuatkan dia rasa
terharu. Satu persatu diceritakannya kepada Cikgu Masri, ada sebak dalam nada
yang diucapkannya. Cikgu Masri cuba membantu pelajarnya itu. Dia mahu Marisa
muncul sebagai salah pelajar terbaik
dalam peperiksaan SPM.
“Saya harap bermula hari ini, awak akan melupakan
sementara apa yang sedang berlaku! Awak mesti menumpukan perhatian awak kepada
pelajaran awak, Marisa! Semua pelajar ada masalah tersendiri tetapi hanya orang
yang tahu mengendalikan masalahnya sahaja yang akan berjaya! Saya harap pelajar
itu adalah awak!” kata–kata Cikgu Masri menunu obor semangatnya untuk terus
menggapai kejayaan dalam hidupnya!
Sejak dari itu Marisa telah berubah dia tidak lagi
memikirkan perihal ibunya dia menjalani kehidupannya sebagai seorang pelajar
atas dorongan kawan–kawannya dan Cikgu
Masri sebagai mentornya.
Peperiksaan SPM bermula, Marisa menjawab dengan tekun
dan penuh keyakinan. Baginya masalah biar tertinggal dahulu yang penting masa
depannya terjamin dengan kejayaan yang akan diperolehinya nanti.
Hari yang
ditunggu–tunggu telah tiba, keputusan
SPM diumumkan hari ini. Marisa berjaya menjadi pelajar terbaik di samping
rakan-rakannya yang lain seperti Zaldie, Malina dan ramai lagi. Dia amat
bersyukur kerana semangatnya hampir luntur tetapi atas asuhan, bimbingan dan
sokongan semangat Cikgu Masri dia berjaya memperolehi 10A1. Marisa mengucapkan
jutaan terima kasih kepada gurunya itu. Gurunya hanya tersenyum gembira kerana
anak didiknya berjaya.
Ketika Marisa dan
Malina hendak melangkah keluar daripada pagar sekolah tiba–tiba satu suara menegurnya dari belakang.
“
Assalamualaikum..Risa, tahniah aku ucapkan pada kau.” ujar Hanif sambil
merenung gadis di hadapannya. Serba salah Marisa, dia memberi isyarat kepada
Malina agar berlalu dari situ dahulu. Dia tersenyum kepada Hanif.
“Waalaikumsalam..terima
kasih Hanif, awak pun tidak kurang hebatnya 7A1, tahniah saya ucapkan juga.”
Hanif hanya menganguk perlahan ada debar dalam hatinya begitu juga dengan
Marisa. Terasa berat mulutnya untuk meluahkan kata-kata.
“Sekian lama saya
menanti jawapan dari awak… sudikah awak jadi teman saya,” bergetar suaranya
mengharap sesuatu daripada Marisa. Marisa juga agak terkejut dengan pertanyaan
itu.
“Saya sudah lama
jadi teman awak tapi hanya sebagai sahabat
biarlah kasih yang ada tu di simpan di sudut hati. Pertemuan di tangan
Tuhan, perjalanan hidup kita masih jauh Hanif. Saya minta diri dulu.” Marisa
hanya tersenyum, Hanif tersenyum pahit, ada kekeruhan di wajahnya.
Marisa berpaling dan terus beredar dari situ. Dalam
hatinya mengharapkan Hanif bertemu dengan gadis yang lebih baik daripadanya.
Dia masih belum bersedia untuk menyandang gelaran yang diminta oleh jejaka di
hadapannya itu. Marisa masih menanti sinar bahagia keluarganya yang belum
kunjung tiba. Dia teringat kata-kata pujangga, kadang-kadang Allah hilangkan
matahari dan kita tercari-cari di manakah sinarnya, kadang-kadang Allah
sembunyikan bulan dan kita menunggu di manakah cahayanya. Rupa-rupanya Allah
nak hadiahkan pelangi indah dan Marisa menanti dengan penuh sabar di hujung
pelangi.
Bacalah ya.Link...http://meeckamaysara.blogspot.com
No comments:
Post a Comment