Cerpen ini sudah lama saya siapkan tetapi saya tidak menghantar ke mana-mana pun penerbitan. Mungkin tahap kualiti tidak sebaik cerpen yang lain tetapi saya berusaha memperbaikinya dari semasa ke semasa. Harap Terhibur walaupun saya bukan penghibur....
Cerpen
Tajuk: Tangisan
Karya : Noorainie Othman
Betapa jiwanya tertekan amat dengan
apa yang berlaku pada ketika ini. Tidak ada sesiapa yang mampu
mempertahankannya lagi hatta sebuah undang–undang juga sudah tidak mampu
memutarkan kebenaran lagi. Dia benar–benar diburu bayangan ngeri apabila
mengingati pesta besar–besaran yang diadakan oleh puak Mastoi yang berkedudukan
tidak jauh dari tempat tinggalnya. Maut bagaikan sudah memanggilnya tatkala
terdengar bunyi–bunyian tidak jauh dari rumahnya. Hancur hatinya mengenangkan
pesta yang ditujukan buat dirinya itu! Lebih hancur hatinya apabila mereka
telah merancang kematiannya dengan cara yang paling ngeri untuk membalas
rumpunan dendam yang bermaharajalela sekian
lama itu!
Ngerinya mengalahkan sebuah kematian yang bakal tiba di sisi hayatnya!
Ayahnya hanya memandangnya sayu, namun
pandangan sayu itulah yang terlalu menghambat emosi remajanya pada ketika ini.
Barangkali kalau ibunya masih hidup, keadaan dirinya tidak begini, malah lebih
terurus. Bagaimana Mukhtar Mai anak gadis kelahiran Meerwala Jatoi di daerah
Multan ini menghadapi kehidupannya selepas menerima ancaman demi ancaman dalam
usianya yang belum pun menjejak dua puluhan? Mukhtar Mai lebih kecewa dengan
apa yang sedang berlaku kepadanya kini berbanding perbuatan empat lelaki empat
tahun yang lalu!
Mengingati semua laki–laki ganas yang pernah meninggalkan parut duka dalam
hidupnya ini, dia sekali lagi terluka, malah berduka selamanya. Namun, lukanya
lebih menyirap apabila pembebasan keempat–empat lelaki itu. Entah kenapa
undang–undang yang telah dicipta amat mudah pula diperkotak–katikkan oleh
pihak–pihak tertentu yang menyebelahi lelaki yang telah menjahanamkan dirinya.
Dia benar–benar kecewa. Mahkamah Tinggi Pakistan yang telah memberikan kata
putus untuk memenjarakan keempat laki–laki itu, kini telah bebas sebebasnya.
Dia seribu kali lebih menderita apabila memikirkan kegembiraan laki–laki dan
puak Mastoi telah yang mengadakan pesta pembebasan itu. Alangkah terlukanya
seorang gadis yang kehilangan hak dan harga diri sepertinya ini.
“Oh, Tuhan saya tidak mahu hidup lagi! Saya tidak mahu meneruskan kehidupan
lagi. Saya menerima ancaman bunuh berkali–kali. Mereka juga telah mewar–warkan
akan ‘menghilangkan’ kehidupan saya daripada kawasan ini! Saya ingin mati,
ayah!”
Pada malam pembebasan keempat–empat laki–laki jalang itu dia menghunuskan
keputusan dalam dirinya. Sesungguhnya dia tidak sanggup menghadapi semua
keganasan yang bakal berlaku itu seorang diri. Dia belum cukup kuat menghadapi
pembebasan mereka apatah lagi apabila empat tahun yang lalu, mereka telah
dijatuhkan hukuman bunuh, namun hari ini detik ini dia terpaksa menghadapi
kekejangan keterkejutan itu apabila mereka datang dengan dendam yang berkobar!
Bagaimanakah dia menghadapi semuanya sendirian? Alangkah sukarnya kehidupan ini
apabila undang–undang manusia menjadi permainan hidup bagi mereka yang suka
mempersendakan kehidupannya?
“Bersabarlah nak! Kematian dengan cara membunuh diri sangat jauh menyimpang
daripada dalam agama kita nak! Bersabarlah nak. Yakinlah Allah akan membantu
orang –orang yang teraniaya!”
Ayah penyaksi kebejatan anak gadisnya itu ternyata lebih tabah berbanding
dirinya yang menerima musibah ini. Empat
tahun yang berlalu bukan satu jangka masa yang panjang bagi dirinya yang
menerima tamparan yang paling hebat dalam kejadian malam itu. Ia sangat
menyakitkan! Malah, terlalu mencelakakan! Terlalu menyakitkan penodaan itu!
Kalau lah dia mempunyai waktu untuk melarikan diri pada malam laknat itu,
alangkah baiknya, dia tidak akan menerima hukuman dunia yang paling berat
seperti hari ini!
“Saya tidak yakin lagi hendak hidup ayah! Saya rasa
hidup saya disembelih ayah? Ayah tidak menanggung bebannya, tapi Mai ayah! Mai
yang menghadapinya!” jawabnya menjuakkan kata –kata yang selama
beberapa ini memburu kalung takutnya. Wajah sayu ayah dipandangnya tegang. Dia
benar –benar kehilangan tegar untuk menghadapi suasana genting ini keseorangan.
“Jangan menyalahkan takdir anakku. Kita semua merasai apa yang sedang
berlaku ini. Banyakkan berdoa dan fikirkan sesuatu yang positif yang akan
berlaku kepadamu kini!”
“Nasib cerah bagaimana, ayah? Bukankah nasib malang sedang mengejar saya!
Hidup seribu kali lebih malang berbanding kehidupan gadis –gadis lain di Multan
ini ayah! Bukankah maut hendak mengambil nyawa saya, ayah! Apa lagi harapan
yang tinggal kepada saya?” soalnya seperti berputus asa kepada apa yang berlaku
kepadanya. Ayah di hadapannya hanya menggeleng –gelengkan kepalanya.
“Jangan berputus asa terhadap kematian nak. Kalau kita berputus asa
terhadap kehidupan ini, maka syaitan akan bertempik gembira dengan apa yang kau
lakukan nak! Sedarlah nak! Ugutan bukan bermakna maut, lihat sinar rembulan
yang setiap hari menyinarkan cahayanya. Bukankah kau juga harus bangkit
daripada kemurungan itu, seperti semalam, langit mendung dan bulan tenggelam?”
Dia sedar pihak berkuasa yang sentiasa mengawasi dinding rumah kayu mereka
ini pun belum tentu akan memberikan ketenteraman seratus peratus kepada ancam
ugut yang mengusik tenangnya kini. Dia tuntas bimbang dengan apa yang sedang
bergolak. Tambahan pula negara yang sedang didudukinya ini pula bukanlah sebuah
negara yang benar –benar selamat untuknya memperjuangkan harga diri dan hak
–hak kewanitaannya. Apatah lagi beratus –ratus wanita dan anak gadis menjadi
mangsa rogol di sini. Dia benar –benar ngeri namun, di negara inilah dia telah
menumpangkan hayatnya selama ini sekalipun tempatnya berteduh ini. Dia sedar
apa yang berlaku.
Dia ingin menangis namun bertahun –tahun ini dia telah menangis dan air
mata bukan lagi pelerai lega yang selalu menemaninya beberapa tahun lalu. Ah,
berapa ratus orang kah gadis muda sepertinya ini yang menghadapi gelodak rasa
sepertinya ini tetapi berapa orang kah di antara mereka yang membawa keganasan
pihak lelaki yang mengkal akalnya kepada pihak berwajib yang sesungguhnya? Dia
menghayun persoalan yang mencengkam pemikirannya selama ini namun semuanya
tetap tidak akan mendapat jawapan total daripada dirinya.
Mukhtar Mai hanya mampu menelan bilah–bilah derita itu apabila mengingati
sengketa yang bermula lebih empat tahun yang lalu. Satu ketika adik lelakinya
dituduh mencabuli seorang gadis puak Mastoi dan sebagai galang gantinya,
dirinya menjadi mangsa. Dirinya terpaksa dikorbankan dalam sebuah peristiwa
menyayat hati yang tidak mungkin akan terlepas dari simpulan kenangan hidupnya.
Empat laki–laki berwajah binatang itu memperlakukan dirinya seperti binatang
dengan berganti –ganti dan ayahnya menjadi penonton yang setia dengan senapang
di kepala! Adilkah semua yang telah berlaku? Tanpa bukti dan tanpa hak, dirinya
dijadikan mangsa dalam sebuah pesta jalang itu, akhirnya dia terpaksa tunduk
kepada keadaan itu!
Namun, demi
sebuah sisa harga diri yang telah terkoyak rabak itu, Mukhtar Mai bangun
membuka langkah dalam diam. Dia tidak mahu haknya sebagai wanita yang
diperkotak–katikkan. Cukuplah
undang –undang negaranya itu sendiri
yang menyebabkan mereka gadis dan wanita tertindas di negara sendiri.
Dengan sedikit azam dan kekuatan yang ada, dia bangkit membuka cerita di
lelembar undang –undang yang sedia tergubal itu. dia mendakwa mereka di
Mahkamah Anti Keganasan dan mendapat
mereka semua bersalah. Namun dua tahun kemudian, Mahkamah Tinggi Lahore
membatalkan keputusan Mahkamah Anti Keganasan itu. Sesuatu yang menjadikan
tidurnya berbantalkan sengsara dan berselimutkan derita yang amat. Layakkan
seorang gadis muda sepertinya menggalas beban yang seberat itu menjelang hari
jadinya yang kedua puluh ini? Bukankah kematian sedang mengintainya, memburunya
dengan cara yang paling ngeri sekali! Mukhtar Mai menghembus nafas payah,
tangkal perih menguasainya. Tanjak kekuatan benar –benar tidak terbukti dalam
hidupnya ini.
Muhktar Mai meneliti bukti–bukti yang pernah diutarakannya kepada Mahkamah
Anti Keganasan di tengah wilayah Punjab itu empat tahun yang lalu. Pembebasan
lelaki itu bagaikan dirinya yang telah membohongi pihak Mahkamah Keganasan
Remaja! Hatinya terdera amat! Namun dia benar–benar terjebak ke sungai sebak
dengan apa yang baru menimpa ketenangannya selama ini. Walaupun dia belum
mendapat tenang yang membahagiakannya selepas trauma yang masih bergayut di
pintu hidupnya ini, namun dia tetap boleh menarik nafas lega dengan penangkapan
ke atas mereka dan menunggu beberapa bulan daripada Mahkamah Agung Pakistan,
dia benar–benar terdera dengan nasib yang menimpa! Kalaulah
boleh waktu itu diundurkan kembali, alangkah baiknya!
************
Dia berikrar akan tetap mempertahankan
haknya yang sudah tidak mempunyai hak! Dia berikrar akan meneguhkan keyakinan
dan jati dirinya di medan percaturan dendam yang belum menemui titik penghujung
ini lagi. Dia telah berjanji akan mempertaruhkan tangkal keberanian dan tuntas
yakinnya demi menguburkan sungai sebaknya selama ini. Dia menyergap rumpun
keyakinan betapa tombol azam yang sudah dibangunkannya kini akan mampu menyepuh
duka yang selama ini berkunjung di tubir hati mudanya ini. Dia juga berjanji
akan pasrah dengan keputusan yang tetap diambil oleh laki–laki merengkuh haknya
namun untuk kali kedua ini dia telah mendirikan janji untuk mempertahankan
haknya, malah bukan berdiri di atas kemajuan sendiri tetapi dirinya cuba
membentangkan cara–cara agar gadis–gadis sepertinya yang ternoda kesuciannya
dengan cara yang paling ganas, akan melakukan kaedah yang sama seperti dirinya.
Dia berharap tindakan sulungnya ini bakal melonjakkan suluh kejayaan kepada
insan–insan terpedaya seperti dirinya ini pada masa –masa akan datang.
Bukan
niatnya mempertahankan harga diri yang kian terkoyak, namun dia sebenarnya cuba
merobohkan tembok tekal yang berdiri di antara garis –garis kekal yang mendarah
daging dalam undang–undang negara perang ini. Dia tetap bersyukur kerana masih
terus menjadi warga Meerwala Jatoi di daerah Multan ini yang tetap kental
menghadapi bongkah–bongkah waktu yang membebankannya. Dia berjanji akan terus
menjadi guru paling berdedikasi di daerah ini walaupun dia sebenarnya terpaksa
berhadapan dengan sekian banyaknya tentangan untuk menunjal harga keyakinan
dirinya yang dibangunkan dalam sukar ini. Selingkar usia berdarah ini harus
diteruskan dengan perca–perca kekuatan dan bukannya ketakutan!
“Terimalah
lelaki itu, Mai. Dia ikhlas ingin memperisterikanmu!” sayup benar suara ayahnya
pada malam yang semakin larut itu.
“Wajarkah
dia menerima diri Mai yang bukan Mukhtar Mai yang dulu, ayah? Mai sudah
tercemar!” jawabnya perlahan. Dia benar–benar merasa tidak layak untuk menjadi
Mukhtar Mai yang dulunya memiliki sekental kekuatan dan sumur jati diri dalam
yang sentiasa mengalir dalam dirinya.
“Dia
ikhlas!” jawab ayahnya mengulangi apa yang selalu dikatakannya. Ayahnya hanya
menunggu anggukannya. Dalam suram cahaya lampu minyak tanah dia hanya
tersenyum. Ada sirah–sirah kegembiraan bertindih dalam pahit yang menetas
perlahan. Kalaulah ayahnya memahami!
No comments:
Post a Comment