Monday, May 16, 2011

Sambutan Hari Guru

Noraini Bt Osman @ Noorainie mencatat, 

Assalamualaikum wt wb,

Syukur kepada Ilahi kerana memanjangkan lagi usia untuk menyambut Hari Guru pada tahun 16 Mei 2011. Bagi seorang guru, tidak ada perkara yang lebih menambahkan makna setelah penat lelah mengajar selain sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Pelbagai program telah diatur oleh Ketua Kelab Guru iaitu Puan Jariah pada hari yang amat berbahagia dan penuh makna ini. Antaranya, perlawanan futsal antara guru-guru wanita dan guru-guru lelaki, persembahan guru dan murid-murid, cabutan hadiah bertuah serta pengagihan hadiah dari semua murid untuk guru-guru pilihan dan kesayangan mereka. Bertuahlah guru-guru yang telah terpilih untuk menerima hadiah pada hari yang sungguh bersejarah dan berbahagia ini. Semoga Allah sentiasa memanjangkan rezeki dan kudrat guru-guru untuk menyambut Hari Guru setiap tahun. InsyaAllah.

Namun yang lebih mengujakan dan lebih memberikan pengalaman yang sangat bermakna adalah perlawanan futsal apabila kumpulan kami yang diketuai oleh Cikgu Saizanah Sinin mendapat tempat kedua dalam pertandingan futsal pagi tadi. Memang sungguh tidak disangka dan sangat mengejutkan. Siapa sangka cikgu yang tidak pernah turun ke padang, rupanya berbakat bermain futsal. Tahniah juga kepada rakan-rakan guru yang lain. Keletihan dan habis nafas di gelanggang futsal berbaloi dengan kemenangan di tempat kedua. Syukurlah kan. Peluh yang mengalir pun sangat berbaloi-baloi!

Saya juga telah mendeklemasikan puisi bersama Cikgu Roslee pada kira-kira pukul 11.00 pagi tadi. Sajak Guru Oh Guru memang sungguh menjadi pada hari ini. Nah, nikmatilah sajak keramat yang cukup mengesankan di hati saya untuk memilihnya untuk dideklemasikan. Memang sungguh hebat sajak ini!


Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979
Akhirnya, Sambutan Hari Guru pada 16 Mei 2011 diakhiri dengan perasmian Jamuan Hari Guru sumbangan Kelab Guru oleh Guru Besar dan tiga biji kek yang sungguh sedap! Hmm, yummi2, memang sungguh sedap sekali! Tahniah kepada AJK Kelab Guru kerana mengaturkan program Hari Guru yang sungguh berjaya pada hari ini. Tahniah semua guru dan Selamat Hari Guru!

No comments: