Monday, May 16, 2011

Panduan Umrah 2

Noraini Bt Osman @ Noorainie Othman mencatat;


Assalamualaikum wt wb, 


Bagi menambahkan ilmu saya sendiri sebagai bekalan untuk menunaikan umrah pada 24 Mei 2011 tidak lama lagi, saya menurunkan syarat-syarat wajib untuk menunaikan umrah dan beberapa topik yang kira penting. Ia saya petik dari http://msaadhamid.blogspot.com


Syarat-syarat wajib menunaikan umrah adalah sama dengan syarat wajib menunaikan haji iaitu:

1. Islam – tidak wajib bagi yang bukan Islam.
2. Berakal – tidak wajib bagi yang tidak siuman, gila, atau hilang akal – malah tidak sah umrahnya bagi yang tidak berakal.
3. Akil Baligh – tidak wajib bagi yang belum baligh.
4. Merdeka – tidak wajib bagi seorang hamba abdi.
5. Berkuasa untuk sampai ke Mekah sama ada dengan sendiri atau dengan bantuan orang lain.

Syarat tambahan bagi perempuan:

6. Dengan izin suami atau wali
7. Ditemani oleh suami/mahram/perempuan-perempuan yang thiqah (dipercayai)



Terdapat beberapa amalan sunat dalam melakukan tawaf iaitu:

1.   Berjalan kaki – kecuali sakit, maka boleh diusung atau menggunakan kerusi roda.

2.   Melakukan ramal iaitu berlari-lari anak dengan memendekkan langkah, tidak melompat pada pusingan 1, ke-2, dan ke-3 – bagi lelaki jika keadaan mengizinkan, iaitu pada tawaf yang diikuti dengan sai'e selepasnya (bukan tawaf sunat dsb.)

3.   Melakukan istilam – menjabat hajar aswad dengan tapak tangan dan kemudian mengucupnya. Jika tidak mampu, memadai dengan isyarat dengan tangan (melambai) sahaja dari jauh, kemudian kucup tapak tangan – lambai tiga kali sambil mengucapkan "Bismillahi Allahu Akbar Walillahilhamdu".  Dilakukan bagi setiap permulaan pusingan tawaf. Bagi orang perempuan tidak sunat melakukan istilam kecuali ketika lapang –  memadai dengan isyarat seperti di atas.
4.   Beristilam pada rukun Yamani – tetapi tidak mengucup tapak tangan.

5.   Memakai ihram secara ittiba' –  bagi lelaki yang mengerjakan tawaf haji atau tawaf umrah. Makruh ittiba' ketika sembahyang.
6.   Berturut-turut 7 pusingan tawaf itu. Bermakna tawaf boleh dilakukan secara tidak berturut-turut. Jika seseorang ingin membuang air kecil / air besar, bolehlah dia pergi ke tandas. Selepas itu ia bersuci dan mengambil wudhuk dan sambung semula tawaf untuk mencukupkannya menjadi 7 pusingan yang sempurna.

7.   Berzikir atau berdoa atau membaca al-quran.

8.   Khusyuk dan tawadhuk – jangan berbual-bual, menjawab telefon, mengambil gambar dsb. Rendahkan suara semasa berdoa atau berzikir.

9. Solat sunat tawaf dua rakaat setelah selesai tawaf 7 keliling dengan sempurna di belakang Makam Ibrahim – jika keadaan mengizinkan. Jika jemaah ramai, tawaflah di mana-masa sahaja di Masjidil Haram. Ada sebahagian jemaah (bukan dari Asia Tenggara) membuat kepungan dan hadangan bagi membolehkan kumpulan mereka solat dibelakang makam Ibrahim. Namun dengan melakukan sedemikian, mereka telah menghalang aliran tawaf yang sepatutnya berjalan dengan lancar.

10. Minum air zam-zam selepas solat sunat tawaf. Disunatkan ketika minum air zamzam berniat sebagai penawar dan memperolihi kebajikan di dunia dan akhirat. Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Air zamzam itu mengikut apa yang diniatkan sewaktu diminumnya.


Di antara kesalahan-kesalahan semasa tawaf ialah:

1.   Terkejar-kejar ikut mutawif takut tersesat atau ketinggalan.
2.   Membaca doa dengan suara yang nyaring sama ada bersendirian atau berkumpulan.
3.   Bercakap-cakap semasa tawaf.
4.   Cari kawan atau isteri atau suami.
5.   Asyik baca doa dengan melihat buku.
6.   Kucup hajar aswad tanpa membetulkan bahu.
7.   Menyentuh dinding kaabah atau hijir Ismail.
8.   Menyentuh syazarwan (bingkai kaabah) atau kelambu kaabah.
9.   Istilam tanpa membetulkan bahu.
10. Membawa beg di dalamnya diletak selipar atau kasut yang bernajis.
11. Mendokong anak lelaki yang belum berkhitan semasa tawaf.
12. Mendokong anak kecil yang buang air kecil atau air besar dalam pampers.
13. Wanita yang melambai atau istilam hajar Aswad dan ternampak lengan tangannya.
14. Tidak menghabiskan keliling hingga sampai di tempat mula tawaf (hajar Aswad).
15. Bahu kiri tidak melurus ke dinding kaabah atau terkeluar dari sasarannya.
adab berdoa perlu dijaga seperti mengucapkan puji-p.ujian kepada Allah dsb.


Bacaan Semasa Tawaf


Antara amalan sunat semasa melakukan tawaf ialah membaca doa, membaca al-quran, atau berzikir.  Persoalannya di sini ialah apa yang hendak dibaca? 
Jawapannya: Para jemaah bebas membaca apa-apa doa atau zikir yang difahaminya. Yang terlebih baik ialah doa-doa yang maa'thur iaitu yang datang daripada Nabi s.a.w. atau pun membaca al-Quran.  Malahan tawaf tetap sah kalau kita tidak membaca apa-apa doa pun. Walau bagaimanapun alangkah ruginya kita jika tidak mengambil kesempatan di tempat yang barakah, yang mana Allah s.w.t. menurunkan 60 rahmah kepada orang yang sedang tawaf, tetapi kita tidak berdoa atau berzikir, atau membaca al-quran.

Pihak Tabung Haji (TH) ada mengeluarkan buku panduan doa untuk para jemaah haji / umrah. Doa-doa tersebut sangat bagus jika dapat dihafal dan dibaca semasa melakukan tawaf atau semasa bersai'e. Namun sayugia diingati bahawa doa-doa tersebut bukanlah doa-doa yang dibaca oleh Nabi s.a.w. Oleh yang demikianjanganlah ada para jamaah menganggap bahawa membaca doa seperti yang telah disusun oleh pihak TH adalah wajib.

Sukacita saya menyarankan di sini iaitu para jemaah aturlah sendiri doa atau zikir yang hendak dibaca semasa melakukan tawaf. Adalah lebih baik lagi jika kita berdoa atau berzikir dengan doa atau zikir yang lazim kita lakukan seharian.  Sebagai contoh:

Pusingan pertama: 
اَسْتَغْفِرَاللهَ
Pusingan kedua:    
سُبْحَانَ الله
Pusingan ketiga:    
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ
Pusingan keempat: 
اللهُ اَكْبَرُ
Pusingan kelima: 
لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّبِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ
Pusingan keenam: 
ياَذَالْجَلاَلِ وَاْلاِكْرَامِ
Pusingan ketujuh: 
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحّمَّدٍ

Dalam setiap pusingan, ketika berada di antara rukun Yamani dan rukun Hajar Aswad bacalah:

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Jadi jika kita melazimi zikir-zikir ini maka dengan automatik kita akan tahu sama ada kita telah cukup tawaf 7 keliling atau sebaliknya.

 Apa yang dinytakan di atas hanyalah sebagai contoh sahaja. Para jemaah bolehlah susun zikir/doa/ayat quran yang ingin dibaca semasa tawaf. Sebagai contoh, para jemaah boleh juga memabaca zikir harian imam Ghazali yang masyhur itu. Yang penting, jangan dibiarkan tawaf kita itu kosong tanpa apa-apa doa. Alangkah bagusnya kalau kita dapat susun bacaan-bacaan tersebut yang sekali gus dapat mengingatkan kita akan bilangan tawaf yang telah kita lakukan. Jadi dapatlah kita elakkan keraguan atau was-was dalam bilangan tawaf yang telah kita lakuk

Rukun Umrah

Setelah menyentuh serba sedikit sifat-sifat yang perlu dipupuk di dalam diri, maka di sini saya teruskan dengan rukun  umrah dan dalam entri selanjutnya saya akan sentuh mengenai wajib umrah.

Seperti ibadah-ibadah yang lain, umrah mempunyai rukun yang tertentu dan juga mempunyai tuntutan kewajipan tertentu untuk dilaksanakan.

Rukun bermaksud perkara-perkara yang mesti dilakukan untuk menjadikan umrah kita sah. Sekiranya tertinggal walaupun satu rukun, atau tidak dilakukan mengikut syarat-syarat yang sepatutnya, maka umrah itu tidak sah dan jemaah masih lagi dalam ihram dan wajib mematuhi segala larangan ihram walaupun telah kembali ke tanah air. Oleh itu rukun umrah adalah teramat penting untuk dijaga atau diperhatikan.

Rukun umrah ada lima iaitu:

1. Berniat ihram umrah
2. Tawaf Kaabah tujuh pusingan
3. Sai'e antara bukit safa dan bukit marwah
4. Bergunting atau bercukur
5. Tertib.

Huraian Rukun Umrah Secara Terperinci 

Rukun Umrah 1 – Niat Ihram

Seperti yang telah dijelaskan dalam entri yang terdahulu, setiap ibadah perlukan dimulai dengan niat. Oleh itu jemaah yang ingin melakukan umrah perlulah memasang niat ihram umrah di miqat (sempadan) yang telah ditetapkan.

Jika tidak berniat sehingga sampai waktu tawaf, maka umrahnya tidak sah. Tetapi jika berniat selepas melepasi sempadan / miqatnya, maka umrahnya tetap sah tetapi perlu membayar dam iaitu menyembelih seekor kibas / kambing. Jika dia tidak berkuasa, hendaklah ia berpuasa 10 hari iaitu 3 hari di Makkah dan 7 hari di tempatnya apabila ia sudah kembali ke tanah air. Jika tidak berupaya berpuasa sebab tua atau gastrik dsb, maka hendaklah ia bersedekah kepada fakir miskin sebanyak 1 cupak setiap hari selama 10 hari (jumlahnya 10 cupak). Jika tidak berkuasa juga, maka tertanggunglah di atas zimmahnya.

Rukun Umrah Ke-2 – Tawaf Mengelilingi Kaabah

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali dengan syarat-syarat tertentu. Sekiranya syarat-syaratnya tidak dilaksanakan maka tawaf tersebut tidak sah, dan jika jemaah tersebut terus melakukan sai'e dan bergunting selepas itu, maka sai'e tidak sah dan dia masih lagi dalam ihram. Oleh itu berhati-hatilah ketika melakukan tawaf.



Syarat-Syarat Sah Tawaf (Mengikut Mazhab Syafie)

1. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil (ada wuduk).

2. Suci daripada najis, sama ada pada pakaian, badan, dan tempat tawaf. Atau tidak menanggung najis seperti mendukung kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan, atau mendukung anak yang terkencing / buang air besar dalam pampers.

3. Menutup aurat seperti dalam solat (bagi wanita – seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan).

4. Tawaf mestilah dimulakan dari sudut hajar aswad.

5. Semasa tawaf sentiasa berwaspada supaya kaabah berada di sebelah kiri kita. Bahu kiri mestilah 90 darjah (lebih kurang sahaja) dengan kaabah. Jika bahu terpesong dari kaabah maka pusingan itu terbatal. Jemaah hendaklah mengulangi pusingan yang terbatal tersebut bermula dari tempat yang terbatal, atau mula semula dari sudut hajar aswad. Contoh: Jika dalam pusingan ke 4, badan kita dirempuh oleh seseorang dan badan kita berpusing, maka pusingan ke-4 itu dikira terbatal. Perlu ulang semula pusingan ke-4 sama ada dari sudut hajar aswad atau dari point badan berpusing tadi.

6. Sempurna 7 kali pusingan dengan yakin. Jika ragu-ragu, contohnya, adakah baru 6 pusingan atau sudah 7 kali pusingan. Maka di sini ambillah bilangan yang sedikit iaitu 6 pusingan dan tambahlah tawaf satu pusingan lagi untuk melengkapkannya menjadi 7 pusingan.

7. Tawaf itu dilakukan di dalam masjid dengan niat ibadah (tawaf) semata-mata. Tidak sah tawaf dengan niat mencari kawan (sebab sudah terpisah kerana bersesak-sesak), atau sambil tawaf sambil ambil gambar guna kamera handphone dsb. Jika hati memang meruntun untuk mengambil gambar kenang-kenangan, tunggulah selepas selesai semua rukun umrah – sehingga telah bergunting untuk tahallul – barulah pergi semula di hadapan kaabah untuk ambil gambar. Bab posing ambil gambar depan kaabah ni, pandai-pandailah lakukan. Kalau ternampak oleh pak Arab kamera anda mungkin akan dirampas. Tentang wajar atau tidak untuk berposing dihadapan kaabah ini, tanyalah hati anda sendiri. Niat kita sedari mula bagaimana?

8. Tidak menyentuh mana-mana bahagian kaabah walaupun bingkai kaabah yang dipanggil syazaruan dan tembuk Hijir Ismail atau Rukun Yamani. Sekali lagi sebagai contoh, sekiranya dalam bersesak-sesak badan kita terhimpit ke dinding kaabah walaupun badan tidak berpusing, maka pusingan tawaf tersebut dikira batal dan perlu diulang semula pusingan tersebut.

Rukun Umrah ke-3 – Sai'e

Bermaksud berjalan antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh keliling dengan mengikut syarat-syaratnya. Bagi yang uzur, bolehlah menggunakan kerusi roda dsb. Sekarang ini sudah ada kerusi roda berkuasa bateri yang boleh dikendalikan sendiri oleh jemaah.

Rukum Umrah Ke-4 – Bergunting atau Bercukur Bagi Lelaki

Bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut atau afdal bercukur bagi lelakiselepas melakukan 7 kali sai'e dengan sempurna.

Perlu diambil perhatian, di bukit Marwah ramai kanak-kanak Arab menawarkan diri untuk menggunting rambut jemaah. Mereka ini hanya bermotifkan mencari wang sahaja.  Berhati-hatilah supaya jangan menerima pelawaan mereka untuk menggunting rambut kita setiap kali tiba di bukit Marwah walaupun pusingan sai'e kita masih belum genap 7 kali pusingan.  Kadang-kadang tindakan mereka ini macam memaksa. 


Jika jamaah bergunting sebelum cukup sai'e 7 pusingan, maka jamaah belum bertahallul lagi dan masih dalam ihram serta dikenakan dam.  Dam yang dikenakan ialah menyembelih seekor kibas / kambing ATAU bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan tiap-tiap seorang ATAU berpuasa tiga hari.

Mereka yang tidak mempunyai rambut, hendaklah melalukan mata pisau cukur di atas kepala. Setelah bergunting / bercukur bererti seseorang itu telah bertahallul daripada ihram umrah dan telah bebas dari pantang larang ihram. Sekali umrah sekali bergunting.  Bergunting boleh dilakukan di bukit Marwah atau di kedai-kedai gunting berhampiran.

Rukun Umrah Ke-5 – Tertib

Tertib di sini bererti melakukan rukun secara berurutan satu persatu. Turutannya adalah seperti berikut:
Niat ihram – > Tawaf – > Sai'e – > Bergunting – >Tertib.

Kesimpulan:

1. Para jemaah perlulah mengambil berat tentang syarat-syarat sah setiap rukun umrah. Sebab ia membawa implikasi yang berat iaitu boleh menyebabkan umrah terbatal dan jemaah masih lagi dalam berihram.  Bermakna pantang larang ihram masih tertanggung olehnya walaupun sudah sampai ke tanah air.

2. Kesemua rukun tidak boleh diwakilkan kepada orang lain –  Ia perlu lakukan sendiri oleh jemaah walaupun terpaksa mengupah orang mengusung / menyorong kereta tolak untuk tawaf atau sai'e.

Kredit Foto: CL http://manzlie-makkah.blogspot.com/

Terima kasih kepada blog msaadhamid.blogspot.com, moga perkongsian ini akan menambahkan lagi pahala dan keberkatan kita semua di dunia dan akhirat. 

No comments: