Friday, May 13, 2011

Panduan Umrah

Noraini Osman mencatat untuk kesekian kalinya. Alhamdulillah. 


Assalamu'alaikum wm wbr.


Dengan izin Allah, saya dapat mencatat sesuatu di dalam blog kesayangan saya untuk kali ini. 
Dengan tidak disangka-sangka dan dengan izin Allah sekali lagi, saya bakal menjadi tetamu Allah dalam ziarah umrah bersama ibu saya Puan Siti Zarah Tarip pada 24 Mei 2011 yang akan datang ini InsyaAllah. Pelbagai persiapan telah dilakukan untuk mengerjakan umrah saya untuk kali pertama ini. Saya sentiasa berdoa semoga saya sentiasa diberikan hidayatNya, izin dan kesihatan yang baik untuk mengerjakan umrah yang pertama kali ini. Begitu juga dengan ibu saya. Saya begitu berterima kasih juga kepada Tuan Mohd Saad Hamid kerana menyediakan panduan umrah yang sangat berguna untuk para tetamu Allah untuk kali pertama ke sana. Malah, beliau juga menulis berserta gambar sekali. Ia sungguh berguna sekali bukan sahaja u ntuk saya barangkali malah untuk orang lain juga yang kelak bakal menjadi tetamu Allah di Baitullah. Semoga kita orang Islam semua sentiasa mendapat perlindungan dan rahmat dari Allah SWT. 


Semua entri kali ini saya petik daripada blog http://msaadhamid.blogspot.com Semoga para tetamu kali di tanah suci kali pertama akan mendapat daripada panduan yang diberikan di sini. 

Setelah menyentuh serba sedikit sifat-sifat yang perlu dipupuk di dalam diri, maka di sini saya teruskan dengan rukun  umrah dan dalam entri selanjutnya saya akan sentuh mengenai wajib umrah.

Seperti ibadah-ibadah yang lain, umrah mempunyai rukun yang tertentu dan juga mempunyai tuntutan kewajipan tertentu untuk dilaksanakan. 

Rukun bermaksud perkara-perkara yang mesti dilakukan untuk menjadikan umrah kita sah. Sekiranya tertinggal walaupun satu rukun, atau tidak dilakukan mengikut syarat-syarat yang sepatutnya, maka umrah itu tidak sah dan jemaah masih lagi dalam ihram dan wajib mematuhi segala larangan ihram walaupun telah kembali ke tanah air. Oleh itu rukun umrah adalah teramat penting untuk dijaga atau diperhatikan.

Rukun umrah ada lima iaitu:

1. Berniat ihram umrah
2. Tawaf Kaabah tujuh pusingan
3. Sai'e antara bukit safa dan bukit marwah
4. Bergunting atau bercukur
5. Tertib.

Huraian Rukun Umrah Secara Terperinci 

Rukun Umrah 1 – Niat Ihram

Seperti yang telah dijelaskan dalam entri yang terdahulu, setiap ibadah perlukan dimulai dengan niat. Oleh itu jemaah yang ingin melakukan umrah perlulah memasang niat ihram umrah di miqat (sempadan) yang telah ditetapkan.

Jika tidak berniat sehingga sampai waktu tawaf, maka umrahnya tidak sah. Tetapi jika berniat selepas melepasi sempadan / miqatnya, maka umrahnya tetap sah tetapi perlu membayar dam iaitu menyembelih seekor kibas / kambing. Jika dia tidak berkuasa, hendaklah ia berpuasa 10 hari iaitu 3 hari di Makkah dan 7 hari di tempatnya apabila ia sudah kembali ke tanah air. Jika tidak berupaya berpuasa sebab tua atau gastrik dsb, maka hendaklah ia bersedekah kepada fakir miskin sebanyak 1 cupak setiap hari selama 10 hari (jumlahnya 10 cupak). Jika tidak berkuasa juga, maka tertanggunglah di atas zimmahnya.

Di manakah miqat atau sempadan untuk berniat ihram? Ulasan mengenai miqat ini akan dibuat dalam entrinya yang tersendiri.

Rukun Umrah Ke-2 – Tawaf Mengelilingi Kaabah

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali dengan syarat-syarat tertentu. Sekiranya syarat-syaratnya tidak dilaksanakan maka tawaf tersebut tidak sah, dan jika jemaah tersebut terus melakukan sai'e dan bergunting selepas itu, maka sai'e tidak sah dan dia masih lagi dalam ihram. Oleh itu berhati-hatilah ketika melakukan tawaf.





Dalam gambar kaabah di atas sudut yang sebelah kiri sekali ialah sudut hajar aswad iaitu poin rujukan untuk memulakan tawaf. Juga kelihatan pintu kaabah, maqam Ibrahim dan hijir Ismail (binaan yang  berbentuk ladam kuda bewarna putih di sebelah kanan). Ruang antara sudut hajar aswad dengan pintu kaabah di panggil multazam – tempat mustajab berdoa.

Syarat-Syarat Sah Tawaf (Mengikut Mazhab Syafie)

1. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil (ada wuduk).

2. Suci daripada najis, sama ada pada pakaian, badan, dan tempat tawaf. Atau tidak menanggung najis seperti mendukung kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan, atau mendukung anak yang terkencing / buang air besar dalam pampers.

3. Menutup aurat seperti dalam solat (bagi wanita – seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan).

4. Tawaf mestilah dimulakan dari sudut hajar aswad.

5. Semasa tawaf sentiasa berwaspada supaya kaabah berada di sebelah kiri kita. Bahu kiri mestilah 90 darjah (lebih kurang sahaja) dengan kaabah. Jika bahu terpesong dari kaabah maka pusingan itu terbatal. Jemaah hendaklah mengulangi pusingan yang terbatal tersebut bermula dari tempat yang terbatal, atau mula semula dari sudut hajar aswad. Contoh: Jika dalam pusingan ke 4, badan kita dirempuh oleh seseorang dan badan kita berpusing, maka pusingan ke-4 itu dikira terbatal. Perlu ulang semula pusingan ke-4 sama ada dari sudut hajar aswad atau dari point badan berpusing tadi.

6. Sempurna 7 kali pusingan dengan yakin. Jika ragu-ragu, contohnya, adakah baru 6 pusingan atau sudah 7 kali pusingan. Maka di sini ambillah bilangan yang sedikit iaitu 6 pusingan dan tambahlah tawaf satu pusingan lagi untuk melengkapkannya menjadi 7 pusingan.

7. Tawaf itu dilakukan di dalam masjid dengan niat ibadah (tawaf) semata-mata. Tidak sah tawaf dengan niat mencari kawan (sebab sudah terpisah kerana bersesak-sesak), atau sambil tawaf sambil ambil gambar guna kamera handphone dsb. Jika hati memang meruntun untuk mengambil gambar kenang-kenangan, tunggulah selepas selesai semua rukun umrah – sehingga telah bergunting untuk tahallul – barulah pergi semula di hadapan kaabah untuk ambil gambar. Bab posing ambil gambar depan kaabah ni, pandai-pandailah lakukan. Kalau ternampak oleh pak Arab kamera anda mungkin akan dirampas. Tentang wajar atau tidak untuk berposing dihadapan kaabah ini, tanyalah hati anda sendiri. Niat kita sedari mula bagaimana?

8. Tidak menyentuh mana-mana bahagian kaabah walaupun bingkai kaabah yang dipanggil syazaruan dan tembuk Hijir Ismail atau Rukun Yamani. Sekali lagi sebagai contoh, sekiranya dalam bersesak-sesak badan kita terhimpit ke dinding kaabah walaupun badan tidak berpusing, maka pusingan tawaf tersebut dikira batal dan perlu diulang semula pusingan tersebut.

Sunat-sunat tawaf – dalam entri yang tersendiri.

Rukun Umrah ke-3 – Sai'e

Bermaksud berjalan antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh keliling dengan mengikut syarat-syaratnya. Bagi yang uzur, bolehlah menggunakan kerusi roda dsb. Sekarang ini sudah ada kerusi roda berkuasa bateri yang boleh dikendalikan sendiri oleh jemaah.



Gambar-1: Ke Babus Safa



Gambar-2: Bukit Safa – Tempat Permulaan Sai'e


Gambar-3: Masaa (Laluan Sai'e)



Gambar-4: Bukit Marwah (Tempat Sai'e Berakhir)

Syarat-Syarat Sai'e

1. Hendaklah dilakukan selepas tawaf yang sempurna.

2. Hendaklah dimulakan dari Safa hingga ke Marwah (dikira satu pusingan) dan seterusnya dari Marwah ke Safa (juga dikira satu pusingan). Jadi ada 4 kali perjalanan dari Safa ke Marwah, dan 3 kali perjalan dari Marwah ke Safa. Perjalanan sai'e yang pertama dan yang terakhir adalah dari Safa ke Marwah.

3. Hendaklah sampai ke tempat yang tinggi di Safa dan Marwah. Sekarang ini kawasan berbatu di bukit Safa telah ditutup dengan cermin kaca.





4. Tujuh kali dengan sempurna.

5. Sentiasa niat kerana ibadah umrah, tidak yang lain contoh mencari orang yang terpisah dari kumpulan (sambil bersai'e sambil hati berfikir mencari orang yang hilang tadi). Atau tidak bergambar semasa bersai'e.

6. Sai'e dilakukan di mas'a atau tempat bersai'e iaitu suatu kawasan yang berdinding yang telah dibina oleh kerajaan Arab Saudi.

Jadi untuk bersai'e tidak perlu ada wuduk. Badan boleh berpusing dsb. Tetapi niat sentiasa murni iaitu semata-mata bersai'e umrah sahaja.

Tidak ada sai'e SUNAT tetapi ibadah sai'e itu ada sunat-sunatnya.

Sunat-sunat sai'e – dalam suatu entri yang tersendiri

Rukum Umrah Ke-4 – Bergunting atau Bercukur Bagi Lelaki

Bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut atau afdal bercukur bagi lelakiselepas melakukan 7 kali sai'e dengan sempurna. 

Perlu diambil perhatian, di bukit Marwah ramai kanak-kanak Arab menawarkan diri untuk menggunting rambut jemaah. Mereka ini hanya bermotifkan mencari wang sahaja.  Berhati-hatilah supaya jangan menerima pelawaan mereka untuk menggunting rambut kita setiap kali tiba di bukit Marwah walaupun pusingan sai'e kita masih belum genap 7 kali pusingan.  Kadang-kadang tindakan mereka ini macam memaksa. 

Jika jamaah bergunting sebelum cukup sai'e 7 pusingan, maka jamaah belum bertahallul lagi dan masih dalam ihram serta dikenakan dam.  Dam yang dikenakan ialah menyembelih seekor kibas / kambing ATAU bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan tiap-tiap seorang ATAU berpuasa tiga hari.

Mereka yang tidak mempunyai rambut, hendaklah melalukan mata pisau cukur di atas kepala. Setelah bergunting / bercukur bererti seseorang itu telah bertahallul daripada ihram umrah dan telah bebas dari pantang larang ihram. Sekali umrah sekali bergunting.  Bergunting boleh dilakukan di bukit Marwah atau di kedai-kedai gunting berhampiran.

Rukun Umrah Ke-5 – Tertib

Tertib di sini bererti melakukan rukun secara berurutan satu persatu. Turutannya adalah seperti berikut:
Niat ihram – > Tawaf – > Sai'e – > Bergunting – >Tertib.

Kesimpulan:

1. Para jemaah perlulah mengambil berat tentang syarat-syarat sah setiap rukun umrah. Sebab ia membawa implikasi yang berat iaitu boleh menyebabkan umrah terbatal dan jemaah masih lagi dalam berihram.  Bermakna pantang larang ihram masih tertanggung olehnya walaupun sudah sampai ke tanah air.

2. Kesemua rukun tidak boleh diwakilkan kepada orang lain –  Ia perlu lakukan sendiri oleh jemaah walaupun terpaksa mengupah orang mengusung / menyorong kereta tolak untuk tawaf atau sai'e.

Kredit Foto: CL http://manzlie-makkah.blogspot.com/

Terima kasih sekali lagi kepada Tuan Mohd Saad Hamid yang menulis panduan umrah yang sangat bermanfaat bagi diri saya sendiri. Semoga Allah terus memberikan kekuatan dan rahmatNya kepada kita semua untuk membuat catatan dan sumbangan ilmu yang sangat berguna untuk kita umat Islam akhir zaman ini. InsyaAllah. 

No comments: