Monday, February 21, 2011

Bila Waktu Berkarya Yang Paling Aktif

Noraini Bt Osman Mencatat:

Lama juga saya tidak menulis sesuatu di blog saya ni. Agak sibuk sedikit minggu lalu bersambung ke minggu ini. Tambahan anak-anak lagi sakit. Bersambung-sambung pula sakitnya. Sebagai ibu, pastilah kita berasa bimbang dan susah hati dengan kesihatan anak-anak. Namun, hendaknya saya meluangkan masa untuk mencatat sesuatu di blog saya ni tetap meluap-luap rasanya. 

Menyentuh mengenai topik kali ini iaitu waktu berkarya yang paling aktif, banyak orang berlainan pendapat mengenai hal ini. Bagi seseorang penulis yang mapan atau baru, mereka mempunyai waktu berkarya yang berlainan. Bagi diri saya pula, saya mula menghasilkan karya sama ada anak-anak saya sibuk bermain di rumah atau setelah anak-anak sudah tidur pada waktu malam. Bagi saya, kalau saya kenang kembali karya-karya yang sudah diterbitkan, saya hampir tidak percaya itulah adalah hasil pengkaryaan saya selama ini. Lama juga saya merenung dan memikirkan kembali. 

Kemudian ada beberapa lama saya tidak menulis dan memikirkan apa yang telah buat dalam penghasilan karya kreatif selama ini. Baru hujung tahun 2010 dan awal tahun 2011 ini saya mula semula pengkaryaan saya. Pada waktu ini, saya akan mencatat semua idea-idea yang mengalir secara tiba-tiba. Kebanyakan yang sempat adalah sajak-sajak pendek sahaja atau kalau ada masa banyak sikit di bilik guru tu, saya buat bab-bab novel saya di buku catatan saya. Maklumlah dalam kesibukan waktu mengajar tiba-tiba melintas idea tiba-tiba, cepat-cepatlah saya menuliskan di buku catatan. 

Pada waktu malam pula saya memulakan proses menaipnya di komputer itupun kalau saya  tidak penat. Kalau penat, saya tidak akan buat apa-apa. Saya hanya melayani Facebook atau melawat emel-emel saya. Saya akan mula menaip seawal jam 9.00 malam sehingga 12.00 atau 1.00 pagi. Begitulah kebiasaannya. Kalau waktu cuti saya menulis sepanjang hari kalau tidak ada aktiviti ke mana-mana. 


Saya hendak bercerita mengenai otak manusia pula. Otak kita berkaitan juga dengan ruang pengkaryaan dan masa berkarya kita kan. Jadi, pada kesempatan ini saya nak bercerita tentang otak kita ini. Otak kita meliputi
2 jenis iaitu conscious mind iaitu bermaksud minda sedar dan unconscious mind bermaksud minda separa-sedar.

Kita sendiri yang mengawal dan mengarahkan otak untuk mengangkat tangan, mengenyit mata, mula makan, untuk memegang pen,untuk menaip dan berkarya bagi menulis novel. Semuanya dikawal oleh minda sedar kita. Apabila kita tidak memberikan arahan anggota badan kita takkan akan bekerja.

Tetapi kita tidak perlu mengawal setiap pergerakan lidah, bibir, gigi dan air liur dalam mulut kita untuk
membantu proses makan. Ianya dikawal oleh minda separa-sedar tadi. Kita arahkan mulut mengunyah makanan tadi dan kita tak perlu mengarahkan berapa kunyahan gigi yang diperlukan, berapa banyak air liur diperlukan, macam mana pergerakan bibir atau gusi untuk membantu proses tersebut dan sebagainya.Ini semua dikawal otaksepara-sedar kita.



Maksudnya, otak separa-sedar mampu memproses data tanpa kita berikan arahan secara aktif dan teliti, cukup sekadar arahan. 


Kesimpulannya, otak secara sedar atau bawah sedar boleh kita arahkan untuk berkarya apabila ada masa terluang atau apabila ada idea kita untuk menulis karya. Kita arahkanlah bila-bila masa kita mahu. Otak kita sentiasa bekerja untuk kita. Segala-gala karya yang kita hasilkan pada hari ini, ia adalah untuk kepentingan generasi kita pada masa akan datang. Bukan setakat hari ini sahaja. 

Ini kerana, otak adalah kurniaan terhebat yang diberikan TUHAN kepada kita. Gunakanlah otak dengan sebaik-baiknya dan carilah waktu yang sesuai dan sebati dengan kita untuk menghasilkan karya seperti novel, drama, sajak, lirik lagi atau cerpen. 

Kepada semua penulis, Selamat Berkarya!

Sampai di sini dulu untuk kali ini. Kita jumpa di lain kelapangan. 





No comments: