Monday, October 24, 2011

Sindiran Ibu Menyebabkan Semangat Saya Menjadi Penulis Semakin Membara

Bismillahirahmaanirrahiim

Noorainie mencatat;

Inilah emak yang banyak menyumbangkan kekuatan dan motivasi untuk saya berkarya selama ini.

Bersama-sama emak di Masjidil Haram Makkah

            Saya sudah menulis sejak sekolah rendah lagi. Pada mulanya saya tidak tahu apa yang mendorong saya menulis. Apa yang saya tahu, tidak ada kaum kerabat saya atau saudara-mara yang sebelumnya yang pernah kerjanya menjadi penulis atau pengarang. Tidak pernah saya tahu. Kalau saya tak tahu dan memang ada itu, maafkanlah saya. Tetapi setahu saya, memang tidak ada penulis dari kerabat saya sebelumnya. Apa yang saya tahu, saya kuat membaca. Di mana-mana sahaja. Ibu saya asyik mengutuk saya malas, tunggu makanan siap, tidak mahu tolong kerana kegilaan saya membaca buku atau apa sahaja bahan bacaan yang boleh dibaca. Namun saya tetap membaca dan sesekali saya berhenti lalu membantu ibu di rumah kerana desakannya mengutuk saya! (Hehe, adik-adik, jangan malas tolong ibu di dapur!) Buku teks Bahasa Malaysia Darjah Lima pun dulunya saya hafal! Saya sanggup duduk berjam-jam lamanya di Perpustakaan Kuala Penyu semata-mata hendak membaca. Pegawai yang bertugas di perpustakaan itu pun sudah jemu melihat muka saya yang saban hari duduk di kerusi perpustakaan itu. Dari pembacaan-pembacaan itulah saya berkeinginan untuk menulis. Saya mula berangan-angan agar nama-nama yang tercatat pada buku-buku di perpustakaan itu digantikan dengan nama saya sebagai penulisnya. Alangkah bahagianya kalau impian saya tercapai dalam hidup ini!
Kerana kekerapan saya ke perpustakaan selepas sekolah agama itu pula menyebabkan saya balik lewat ke rumah. Gara-gara kelewatan itulah ibu saya memukul saya dengan sekuat hatinya. Maka, kerana kesakitan-kesakitan pukulan itulah saya berazam hendak menjadi seorang penulis terkenal suatu hari nanti. Ibu hanya tahu memukul saya tanpa usul periksa. (Terima kasih juga saya titipkan kepada ibu kerana kemarahan-kemarahannya menyebabkan saya sentiasa berazam menjadi orang berguna pada masa akan datang.)
Atas keinginan menulis, saya pun mencipta sajak-sajak pendek dan cerita-cerita tentang diri saya. Namun, tulisan-tulisan itu sudah hilang entah ke mana. Pada suatu hari ketika cuti sekolah tahun 1990, saya terdengar melalui Radio Sabah Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) akan menganjurkan Minggu Penulis Remaja (MPR). Saya beriya-iya hendak menyertai MPR itu sebab saya rasa saya hendak jadi penulis. Maka, saya pun meminta kebenaran kakak saya (kebetulan saya tinggal di rumahnya di Kota Kinabalu pada waktu itu). Kakak saya memarahi dan menentang habis-habisan rancangan saya itu. Lagipun pada masa itu saya baru berusia 16 tahun dan belum tahu selok belok Kota Kinabalu. Saya akur dan pendamkan hasrat saya.
Tiba-tiba abang ipar saya, Abu Kassim Mohd Nassir bersetuju untuk membantu saya mengambil borang MPR itu di DBPCS dan menghantarnya semula ke sana. Alangkah bahagianya saya setelah beberapa hari memendam rasa sedih dan murung. Kata-kata kakak, saya ketepikan. Saya pun mengikuti MPR selama lima hari itu. Sejuta terima kasih pun rasanya belum cukup untuk menggambarkan perasaan terharu dan penghargaan kepada abang ipar saya itu. Pada ketika ibu dan kakak saya menentang hasrat saya, muncul insan berhati mulia menghantar nawaitu ikhlas saya untuk menjadi penulis. Bercucuran air mata kesyukuran saya mengiringi azam saya, hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengerti.
Di dalam kursus itulah saya bertemu dengan para penulis terkenal yang sudah lama mencipta nama dalam arena penulisan. Antaranya, Sdr Ali Majod, Sdr Hajah Zaiton Hj Ajmain, Sdr Hajah Asmiah Hj Ajmain, Matlin Dullah (Editor), Sdr Cliff A Kamijan dan ramai lagi. Mengenali para penulis itu dengan lebih dekat, saya pun mula berkeyakinan bahawa suatu hari nanti saya pun boleh menjadi penulis terkenal seperti mereka.
Tetapi selepas saya mengikuti MPR itu, cabaran utama saya ialah apa cerita yang ingin saya ketengahkan? Cerita apa yang sesuai? Lalu, saya pun menulis cerita tentang ayah saya yang gigih di kebunnya. Cabaran kedua pula, saya tidak berani hendak menghantar sajak-sajak saya ke mana-mana. Saya bimbang jika sajak-sajak saya itu kelak dibakulsampahkan oleh editor. Oh, sungguh saya tidak dapat membayangkan kalau tulisan-tulisan tangan saya itu akan dibuang. Jadi, saya simpan semua karya saya itu. Sehinggalah pada tahun 1993, ketika saya sudah menamatkan STPM, saya terjumpa dengan Sdr Matlin Dullah yang masih menjadi Editor di DBPCS. Dia menggalakkan saya menghantar karya-karya saya.
Atas saranannya itu, saya pun menghantar dua buah sajak saya. Sajak pertama saya tersiar bertajuk, “Bapa, keringatmu yang mengalir,” disiarkan di majalah Wadah pada Disember 1993. Kebahagiaan kerana tersiarnya sajak itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mungkin itulah kenangan terindah dalam hidup saya semenjak saya mengikuti MPR tiga tahun lalu. Selepas itu saya terus menghantar sajak-sajak saya ke suratkhabar tempatan dan majalah DBPCS.
Pada tahun 1995, ketika saya menjejak Perpustakaan Kuala Penyu untuk kesekian kalinya, saya terbaca iklan mengenai Peraduan Menulis Cerpen Anjuran Perpustakaan Negeri Sabah. Kebetulan saya menjadi guru sandaran di SMK Kuala Penyu pada waktu itu. Saya pun mengambil sekeping borang yang diletakkan di kaunter perpustakaan itu. Semasa pulang dari perpustakaan itu hati saya berperang hendak menyertai peraduan menulis cerpen atau tidak. Saya berperang kata sendirian.
Saya pun mencubalah menulis cerpen. Kebetulan tarikh menghantar pun semakin dekat. Saya pun memikir-mikir apa yang saya hendak tulis. Saya tidak memandang jauh. Saya hanya melihat ayah saya yang gigih dan tekun mengerjakan kebun getahnya setiap hari tanpa ponteng. Waktunya ialah 5.00 pagi hingga 6.00 petang. Dengan pakaian lusuh dan basikal tuanya itulah dia menghabiskan waktunya di kebunnya. Saya terasa kasihan melihatnya, jatuh sayu pun ada. Apatah lagi, ayah baru sahaja dibuang kerja sebagai ‘opas’ di Pejabat Daerah Kuala Penyu. Hendak menangis pun ada memikir ayah saya. Ini kerana dia telah teraniaya oleh pegawai di pejabatnya namun ayah tidak pernah mengungkap perkataan itu di depan anak-anaknya. Itulah contoh terbaik yang pernah saya tonton seorang lelaki yang penuh dengann sabarnya. Harganya terlalu mahal untuk saya angkat di dalam diri saya sendiri.
Saya pun mengumpul bahan mengenai pemerhatian saya terhadap ayah dan memasukkan beberapa elemen tambahan dalam cerpen itu. Akhirnya terhasillah sebuah cerpen remaja yang bertajuk “Ayah, Keringatmu Yang Mengalir,” dan saya pun mengeposkannya kepada pihak penganjur. Setelah itu perasaan saya berbaur-baur. Boleh diterimakah tema cerpen saya? Menang atau tidak? Cukup perkataan atau terlalu panjang? Saya seperti orang sedang dilamun cinta. Tidur tak lena, resah berpanjangan, mandi bagaikan tidak mandi, makan pun terkenang-kenang cerpen itu. Memang cukup meresahkan dan meletihkan saya.
Akhirnya pada April 1996, saya menerima surat dari Perpustakaan Negeri Sabah, cerpen saya menang tempat ketiga. Saya pun dijemput menerima hadiahnya di Wisma Kewangan. Saya bertemu dengan sahabat saya Robby A kerana kebetulan kami sama-sama menang. Alhamdulillah, kenangan itu tersangat manis untuk dikenang dalam hidup ini dan saya semakin menambahkan peratus keyakinan saya bahawa saya boleh menjadi penulis terkenal.
Kemudian, saya mengikuti bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh Othman Puteh. Pada Ogos 2008 pula saya terpilih mengikuti Bengkel Penulisan Cerpen Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Bogor, Indonesia. Pengalaman berbengkel itu tidak saya sia-siakan.
Waktu saya menulis dari dulu hingga kini adalah pada waktu malam, terutama pada waktu anak-anak kecil saya sudah tidur. Waktu tengah malam terutamanya menjentik ilham saya untuk berbicara bersama aksara laptop. Kadang-kadang, ketukan aksara di laptop saya sahut-menyahut dengan suara anak-anak saya. Saya semakin rancak pula menulis. Apabila idea muncul di mana-mana, saya terus menulisnya di dalam buku catatan saya. Apabila ada kelapangan baru saya menambah plot-plot yang belum menjadi. Kadang-kadang saya tulis sajak sahaja jika waktu tidak mengizinkan saya.
Penghargaan? Saya tidak pernah termimpi akan mendapat penghargaan dalam kerja-kerja menulis saya. Namun, pengiktirafan itu datang tanpa diundang. Jika penghargaan datang, ia adalah bonus buat hasil kerja-kerja menulis saya. Ini kerana, memang saya yang memilih hendak menjadi penulis, tidak ada paksaan sesiapa. Ilham pun lahir tanpa dipinta. Jadi, mendapat kemenangan atau penghargaan bukan soalnya. Apa yang penting saya menulis sepanjang hayat saya, itu pilihan saya dan bukan paksaan sesiapa.
Novel remaja saya yang pertama yang bertajuk “Keringatmu Yang Mengalir” terbitan DBP pada tahun 2002 telah memenangi hadiah utama Peraduan Menulis Novel Remaja anjuran DBPCS. Novel ini lahir atas dorongan suami saya yang kebetulan baru mengetahui yang saya adalah penulis kecil di negeri ini. Setiap malam saya menulis selepas bayi saya tidur. Banyak juga dugaan saya menulis novel ini. Saya hanya berpandukan catatan yang saya buat sewaktu saya bercuti di kampung suami saya di Semporna. Melalui buaian air laut, saya sungguh-sungguh mendapat ilham untuk mencatat apa yang terlintas dalam akal fikir saya tanpa gangguan. Ia mengalir lancar bagai air laut yang mengalir di bawah kolong rumah kampungnya itu. Selepas balik ke rumah saya, saya terus menaip catatan itu tanpa sekatan. Akhirnya terhasillah sebuah novel yang bertajuk “Keringatmu Yang Mengalir.”
Novel ini juga dipilih menerima Hadiah Sastera Sabah (HSS) pada tahun 2001/2002 bagi kategori Novel Remaja. Melalui novel ini juga saya dianugerahi Anugerah Karya Sulung pada tahun 2002 dan seterusnya menerima anugerah Penulis Harapan Negeri Sabah oleh Kerajaan Negeri Sabah iaitu melalui MBBS dan DBPCS pada tahun 2003. Saya sangat-sangat bersyukur dengan penghargaan yang diterima melalui novel pertama saya itu.
Melalui novel dewasa pertama bertajuk “Gendala” saya telah memenangi Hadiah Penghargaan Sempena 40 tahun Negeri Sabah Merdeka Melalui Malaysia pada tahun 2003 anjuran DBPCS. Seterusnya, novel bertajuk “Sindrom Teluk” telah memenangi Hadiah Penghargaan Tunas Cipta pada tahun 2004. Novel dewasa kedua bertajuk “Kembali Sebutir Mutiara” pula telah memenangi Hadiah Saguhati Sempena Sayembara Menulis Novel 50 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007. Saya tidak menyangka saya akan menang dalam sayembara itu. ini disebabkan saingan cukup hebat.
Pada penghujung tahun 2007 saya memenangi Hadiah Saguhati bagi Kategori Menulis Novel Kanak-Kanak. Novel Kanak-Kanak itu bertajuk “Menemui Mantarissa,”. Sejak tahun 2008, saya menulis beberapa buah novel kanak-kanak berunsur Cerita Rakyat. Novel Kanak-Kanak bertajuk “Saiful Dan Badrul Muluk” diterbitkan oleh DBP pada tahun 2010. Sebuah novel kanak-kanak dan Tiga buah buku kanak-kanak pula dalam proses penerbitan.
Sitausi sastera negara sekarang terlalu banyak rencam dan cabarannya. Ramai penulis lahir bagaikan cendawan selepas hujan. Syukur dengan pertambahan itu. Moga-moga kehadiran penulis baru akan merancakkan dan menghasilkan banyak karya berkualiti tinggi untuk kemantapan sastera negara kita. Apatah lagi dengan kerancakan para penulis menerbitkan karya sendiri. Sektor penerbitan sastera hari ini pula semakin berkembang. Antaranya, Alaf21, PTS, Kaki Novel, Creative, Jemari Seni dan NB Kara. Ia akan menjadikan sastera Malaysia lebih maju dan berdaya saing.
Cuma, yang menjadi kerisauan di kalangan kita ini apabila kesusasteraan Melayu tidak lagi dikaji oleh anak-anak Melayu pada hari ini. Kerajaan perlu berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu yang semakin dipinggirkan.
Kesimpulannya, kerja menulis itu kerja sepanjang hayat. 

Tunas Cipta, Jun 2011

No comments: