Monday, October 1, 2012

Bagaimana Mendapat Idea Menulis Novel atau Cerpen

Asalamualaikum wt.wb. 

Bagaimana Mendapat Idea Menulis Novel atau Cerpen

Memang agak payah juga mendapat idea hendak memulakan penulisan jika beberapa lama berhenti menulis atau masih pada tahap penulis baru. Namun, setiap hari kita berazam hendak menjadi penulis yang baik dan menghasilkan karya-karya berkualiti. Kita harus mencari formula bagaimana mendapatkan idea untuk menghasilkan karya untuk pengisian di dalam novel atau cerpen kita. 

1. Idea yang datang tanpa diduga. Idea kadang-kadang datang pada waktu kita sedang mandi, sedang mencuci pinggan mangkuk, ketika kita sedang memasak, ketika kita hendak solat atau ketika kita hendak bersiar-siar atau sedang membeli-belah. Idea memang datang secara tiba-tiba. Jadi, apa yang harus kita lakukan? Pen dan kertas atau buku nota adalah kawan sejati bagi penulis. Oleh itu, idea yang datang tanpa diundang bagai tetamu yang datang secara tiba-tiba. Tetamu hendaklah dilayan dengan baik dan bersopan-santun sebagaimana tetamu dan tuan rumah. Begitu juga dengan idea, penulis hendaklah terus mencatat idea yang datang itu dengan segera. Ingat, idea itu hanya datang sekali dalam hidup (erk, kadang-kadang, kadang-kadang berulangkali). Idea yang sudah dicatat itu hendaklah dibiarkan dahulu buat sementara waktu. Bawa bertenang diri anda dan fikirkan bahan-bahan luaran yang lain untuk mengembangkan idea yang datang tadi itu. Carilah bahan-bahan berkualiti untuk menggabungjalinkan ia menjadi novel, cerpen atau drama. Selamat Mencuba untuk idea yang datang secara mendadak ini!
  2. Rancang apa yang hendak ditulis. Rancang watak siapa yang terlibat, di mana latar yang digunakan dan bila latar masa. Siapkan sinopsis dan susunan plot cerita. Rancang juga, bilakah masa kita akan menyiapkan keseluruhan novel atau cerpen itu. Rancang dulu semuanya sebelum memulakan proses penulisan anda. Jadi, kita tidak ada alasan tidak ada idea menulis jika kita sudah merancang perjalanan sebuah cerpen atau novel yang hendak kita siapkan.  
3. Pilih masa yang betul-betul sesuai untuk kita memindahkan idea yang sudah kita rancang itu ke atas microsoft word dengan tenang. Contohnya Pak Latif http://zakaria-sungip.blogspot.com menulis pada waktu dinihari iaitu sekitar jam 4 pagi atau jam 5 pagi. Kak Azmah Nordin pula menulis pada waktu pagi hingga tengah hari. Beliau berhenti untuk menyediakan makanan tengah hari dan menyambung lagi pada waktu petangnya. http://azmahnordin.blogspot.com . Saya pernah bertanya bilakah waktunya beliau menulis. Terima kasih Kak Azmah Nordin. Beliau juga guru saya yang tidak lokek memberi tips-tips menulis novel atau cerpen. 

4. Tulislah sesuatu yang sangat dekat dengan diri kita. Contohnya,kita mempunyai anak remaja. Kehidupan anak remaja amat dekat dengan kita dan boleh dijadikan bahan untuk membuat novel atau cerpen. 

5. Hendaklah mendisiplinkan diri dalam berkarya. Jika kita ada idea dan bahan untuk ditulispun, jika kita tidak mempunyai disiplin menulis, tidak ada gunanya. Idea hanya tinggal idea. Jadi, bersungguh-sungguh dan berdisiplinlah dalam menulis!

Inilah sedikit bagaimana mendapatkan idea untuk menghasilkan karya. Para penulis di mana juga berada Selamat Berkarya!

1 comment:

marlia nuraisyah said...

terima kasih membantu saya.:) hehe, saya berminat sungguh nak menulis novel kanak-kanak tpi this is my first time nak menulis dan saya akan cuba yg terbaik. semoga Allah merahmati awak.