Monday, October 1, 2012

Bagaimana Mendapat Idea Menulis Novel atau Cerpen

Asalamualaikum wt.wb. 

Bagaimana Mendapat Idea Menulis Novel atau Cerpen

Memang agak payah juga mendapat idea hendak memulakan penulisan jika beberapa lama berhenti menulis atau masih pada tahap penulis baru. Namun, setiap hari kita berazam hendak menjadi penulis yang baik dan menghasilkan karya-karya berkualiti. Kita harus mencari formula bagaimana mendapatkan idea untuk menghasilkan karya untuk pengisian di dalam novel atau cerpen kita. 

1. Idea yang datang tanpa diduga. Idea kadang-kadang datang pada waktu kita sedang mandi, sedang mencuci pinggan mangkuk, ketika kita sedang memasak, ketika kita hendak solat atau ketika kita hendak bersiar-siar atau sedang membeli-belah. Idea memang datang secara tiba-tiba. Jadi, apa yang harus kita lakukan? Pen dan kertas atau buku nota adalah kawan sejati bagi penulis. Oleh itu, idea yang datang tanpa diundang bagai tetamu yang datang secara tiba-tiba. Tetamu hendaklah dilayan dengan baik dan bersopan-santun sebagaimana tetamu dan tuan rumah. Begitu juga dengan idea, penulis hendaklah terus mencatat idea yang datang itu dengan segera. Ingat, idea itu hanya datang sekali dalam hidup (erk, kadang-kadang, kadang-kadang berulangkali). Idea yang sudah dicatat itu hendaklah dibiarkan dahulu buat sementara waktu. Bawa bertenang diri anda dan fikirkan bahan-bahan luaran yang lain untuk mengembangkan idea yang datang tadi itu. Carilah bahan-bahan berkualiti untuk menggabungjalinkan ia menjadi novel, cerpen atau drama. Selamat Mencuba untuk idea yang datang secara mendadak ini!
  2. Rancang apa yang hendak ditulis. Rancang watak siapa yang terlibat, di mana latar yang digunakan dan bila latar masa. Siapkan sinopsis dan susunan plot cerita. Rancang juga, bilakah masa kita akan menyiapkan keseluruhan novel atau cerpen itu. Rancang dulu semuanya sebelum memulakan proses penulisan anda. Jadi, kita tidak ada alasan tidak ada idea menulis jika kita sudah merancang perjalanan sebuah cerpen atau novel yang hendak kita siapkan.  
3. Pilih masa yang betul-betul sesuai untuk kita memindahkan idea yang sudah kita rancang itu ke atas microsoft word dengan tenang. Contohnya Pak Latif http://zakaria-sungip.blogspot.com menulis pada waktu dinihari iaitu sekitar jam 4 pagi atau jam 5 pagi. Kak Azmah Nordin pula menulis pada waktu pagi hingga tengah hari. Beliau berhenti untuk menyediakan makanan tengah hari dan menyambung lagi pada waktu petangnya. http://azmahnordin.blogspot.com . Saya pernah bertanya bilakah waktunya beliau menulis. Terima kasih Kak Azmah Nordin. Beliau juga guru saya yang tidak lokek memberi tips-tips menulis novel atau cerpen. 

4. Tulislah sesuatu yang sangat dekat dengan diri kita. Contohnya,kita mempunyai anak remaja. Kehidupan anak remaja amat dekat dengan kita dan boleh dijadikan bahan untuk membuat novel atau cerpen. 

5. Hendaklah mendisiplinkan diri dalam berkarya. Jika kita ada idea dan bahan untuk ditulispun, jika kita tidak mempunyai disiplin menulis, tidak ada gunanya. Idea hanya tinggal idea. Jadi, bersungguh-sungguh dan berdisiplinlah dalam menulis!

Inilah sedikit bagaimana mendapatkan idea untuk menghasilkan karya. Para penulis di mana juga berada Selamat Berkarya!

Sunday, September 30, 2012

Menghadiri Perkahwinan

Pada 1 dan 2 September yang lalu saya sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu suami, Encik Elton di Lahad Datu Sabah. Kami tiba di Kampung Bajau Lahad Datu pada 31 Ogos 2012 bersamaan dengan hari kemerdekaan Malaysia. Walaupun sudah lama ia berlalu namun kemeriahannya tetap dirasai oleh kami. Tetamu datang sehingga malam sejak pagi. Kata ayah pengantin, ENcik Elton, jemputan mereka tidak sampai pun 100 orang. Kad jemputan tidak habis diedarkan. Oh, terkejutnya saya. Tetapi lebih menghairankan tetamu yang datang seperti hendak bertemu Siti Nurhaliza pula! Ramainya tetamu! Tuan rumah memasak sehingga tiga kali kerana kehabisan makanan. 

Majlisnya agak meriah juga dan diselangi dengan karaoke dari penyanyi yang agak baik juga serta sumbangan suara orang-orang kampung sendiri. Inilah gambar-gambar yang sempat dikongsikan di dalam blog ini sempat perkahwinan anak sepupu itu. Semoga terhibur dan mendapat idea yang bernas apabila terlihat gambar-gambar yang dimuat turunkan di blog ini. 

Dalam sibuk melayani tetamu yang datang, kami sempat bergambar kenangan. 

Sibuk melayani tetamu. 

Inilah penyanyi yang didatangkan khas pada hari itu, Ben. Hebat!

Beginilah ramainya tetamu yang datang ke majlis itu.

Inilah pengantinnya, Roy dan isterinya. 

Lagi...

sempat bergambar dengan pengantin dan Pak Salleh dan isterinya.

Lagi kemeriahan tetamu menjamu selera.

Mieka dan Putri bergambar kenangan di majlis tersebut.

Lagi, kemeriahan majlis perkahwinan Roy. 

sempat mencuri kesibukan Mieka menjamu selera dengan minuman.
Semoga terhibur ya biarpun penulis blog ini bukan penghibur. 

Friday, September 28, 2012

Sajak: Suara Emak


Suara Emak

Kudengar gemersik suara emak
Bergantung di ingatan
Menerjah igauan
Dalam diam dalam rinduan
Suara emak
Suara garau
Suara parau
Suara berdengung
Suara bersuara
Suara berbicara
Suara benci
Suara marah
Suara meluap-luap resah
Suara mendendangkan kutukan
Siang malam tanpa bosan.

Suara emak
Saling berpusing
Saling bersaing
Suara pengikat menyebat hening!

KK-KP/ 6.5.12

Wednesday, September 26, 2012

Sajak: Kau Yang Kupanggil Sahabat


Saya tujukan sajak ini kepada sesiapa sahaja yang mengenali saya dengan kedekatan di hati dan kemesraan yang pernah terjalin suatu saat yang dipanggil kenangan dan pada waktu akan datang. Semoga sajak ini akan lebih mendekatkan hati kita, mengubah persepsi sesama kita dan mengeratkan lagi kemesraan serta mengukuhkan silaturrahim antara kita. 

Kau yang kupanggil sahabat

Kita sudah melalui sejarah panjang dalam
perhubungan ini. Kita sudah melalui renta yang berulang-ulang
berlilit-lilit terkadang tersadai di perjalanan. Pelbagai cubaan, taktik dan takdir telah
berlaku sepanjang melalui lingkungan persahabatan
agar kita terpisah di tengah danau ini. Namun ternyata kita masih
saling mengongsi dan seiringan nakhodai perjalanan singkat ini.
Pernah kita saling menjeling, marah, mengamuk, benci
dan bertikam tingkah antara satu sama lain. Umpatan menjelma, diam menjamu
mata, bahu berpisah kisah, namun sehingga kini kita tetap masih sejalan
dalam menghitung data hidup. Aneh persembahan kita
namun itulah rencah penjalin  selisihan hidup penuh liku.

Kita takkan berebut apa-apa selepas ini. Kita takkan mengambil hak yang telah termaktub. Kita takkan melakukan penganiayaan. Tetapi, teguhkanlah tali renta persahabatan tanpa mengungkit persengketaan. Aku tidak ke mana-mana dan kau masih di situ bersama-sama aku menjalani perlembahan usang kita. Kita bersatu menjalin perpaduan dan silaturrahim yang berpaut panjang di sepanjang jalanan singkat kita yang entah bilakah berakhirnya...

Kau yang kupanggil sahabat, akan terus kupanggil sahabat
sehingga ke akar usia kita. Semoga saja rimbunan kasih sayang persahabatan kita menjadi lebih diberkati dan memberatkan perjalanan bahagia kita ke kampung abadi. 

15.3.11 – 22.6.11
Kota kinabalu

Monday, September 24, 2012

Cerpen: Tangisan


Cerpen ini sudah lama saya siapkan tetapi saya tidak menghantar ke mana-mana pun penerbitan. Mungkin tahap kualiti tidak sebaik cerpen yang lain tetapi saya berusaha memperbaikinya dari semasa ke semasa. Harap Terhibur walaupun saya bukan penghibur....

Cerpen


Tajuk: Tangisan 

Karya : Noorainie Othman





            Betapa jiwanya tertekan amat dengan apa yang berlaku pada ketika ini. Tidak ada sesiapa yang mampu mempertahankannya lagi hatta sebuah undang–undang juga sudah tidak mampu memutarkan kebenaran lagi. Dia benar–benar diburu bayangan ngeri apabila mengingati pesta besar–besaran yang diadakan oleh puak Mastoi yang berkedudukan tidak jauh dari tempat tinggalnya. Maut bagaikan sudah memanggilnya tatkala terdengar bunyi–bunyian tidak jauh dari rumahnya. Hancur hatinya mengenangkan pesta yang ditujukan buat dirinya itu! Lebih hancur hatinya apabila mereka telah merancang kematiannya dengan cara yang paling ngeri untuk membalas rumpunan  dendam yang bermaharajalela sekian lama itu!
Ngerinya mengalahkan sebuah kematian yang bakal tiba di sisi hayatnya! Ayahnya  hanya memandangnya sayu, namun pandangan sayu itulah yang terlalu menghambat emosi remajanya pada ketika ini. Barangkali kalau ibunya masih hidup, keadaan dirinya tidak begini, malah lebih terurus. Bagaimana Mukhtar Mai anak gadis kelahiran Meerwala Jatoi di daerah Multan ini menghadapi kehidupannya selepas menerima ancaman demi ancaman dalam usianya yang belum pun menjejak dua puluhan? Mukhtar Mai lebih kecewa dengan apa yang sedang berlaku kepadanya kini berbanding perbuatan empat lelaki empat tahun yang lalu!
Mengingati semua laki–laki ganas yang pernah meninggalkan parut duka dalam hidupnya ini, dia sekali lagi terluka, malah berduka selamanya. Namun, lukanya lebih menyirap apabila pembebasan keempat–empat lelaki itu. Entah kenapa undang–undang yang telah dicipta amat mudah pula diperkotak–katikkan oleh pihak–pihak tertentu yang menyebelahi lelaki yang telah menjahanamkan dirinya. Dia benar–benar kecewa. Mahkamah Tinggi Pakistan yang telah memberikan kata putus untuk memenjarakan keempat laki–laki itu, kini telah bebas sebebasnya. Dia seribu kali lebih menderita apabila memikirkan kegembiraan laki–laki dan puak Mastoi telah yang mengadakan pesta pembebasan itu. Alangkah terlukanya seorang gadis yang kehilangan hak dan harga diri sepertinya ini.
“Oh, Tuhan saya tidak mahu hidup lagi! Saya tidak mahu meneruskan kehidupan lagi. Saya menerima ancaman bunuh berkali–kali. Mereka juga telah mewar–warkan akan ‘menghilangkan’ kehidupan saya daripada kawasan ini! Saya ingin mati, ayah!”
Pada malam pembebasan keempat–empat laki–laki jalang itu dia menghunuskan keputusan dalam dirinya. Sesungguhnya dia tidak sanggup menghadapi semua keganasan yang bakal berlaku itu seorang diri. Dia belum cukup kuat menghadapi pembebasan mereka apatah lagi apabila empat tahun yang lalu, mereka telah dijatuhkan hukuman bunuh, namun hari ini detik ini dia terpaksa menghadapi kekejangan keterkejutan itu apabila mereka datang dengan dendam yang berkobar! Bagaimanakah dia menghadapi semuanya sendirian? Alangkah sukarnya kehidupan ini apabila undang–undang manusia menjadi permainan hidup bagi mereka yang suka mempersendakan kehidupannya?
“Bersabarlah nak! Kematian dengan cara membunuh diri sangat jauh menyimpang daripada dalam agama kita nak! Bersabarlah nak. Yakinlah Allah akan membantu orang –orang yang teraniaya!”
Ayah penyaksi kebejatan anak gadisnya itu ternyata lebih tabah berbanding dirinya yang menerima musibah ini. Empat  tahun yang berlalu bukan satu jangka masa yang panjang bagi dirinya yang menerima tamparan yang paling hebat dalam kejadian malam itu. Ia sangat menyakitkan! Malah, terlalu mencelakakan! Terlalu menyakitkan penodaan itu! Kalau lah dia mempunyai waktu untuk melarikan diri pada malam laknat itu, alangkah baiknya, dia tidak akan menerima hukuman dunia yang paling berat seperti hari ini!
“Saya tidak yakin lagi hendak hidup ayah! Saya rasa hidup saya disembelih ayah? Ayah tidak menanggung bebannya, tapi Mai ayah! Mai yang menghadapinya!”  jawabnya menjuakkan kata –kata yang selama beberapa ini memburu kalung takutnya. Wajah sayu ayah dipandangnya tegang. Dia benar –benar kehilangan tegar untuk menghadapi suasana genting ini keseorangan.
“Jangan menyalahkan takdir anakku. Kita semua merasai apa yang sedang berlaku ini. Banyakkan berdoa dan fikirkan sesuatu yang positif yang akan berlaku kepadamu kini!”
“Nasib cerah bagaimana, ayah? Bukankah nasib malang sedang mengejar saya! Hidup seribu kali lebih malang berbanding kehidupan gadis –gadis lain di Multan ini ayah! Bukankah maut hendak mengambil nyawa saya, ayah! Apa lagi harapan yang tinggal kepada saya?” soalnya seperti berputus asa kepada apa yang berlaku kepadanya. Ayah di hadapannya hanya menggeleng –gelengkan kepalanya.
“Jangan berputus asa terhadap kematian nak. Kalau kita berputus asa terhadap kehidupan ini, maka syaitan akan bertempik gembira dengan apa yang kau lakukan nak! Sedarlah nak! Ugutan bukan bermakna maut, lihat sinar rembulan yang setiap hari menyinarkan cahayanya. Bukankah kau juga harus bangkit daripada kemurungan itu, seperti semalam, langit mendung dan bulan tenggelam?”
Dia sedar pihak berkuasa yang sentiasa mengawasi dinding rumah kayu mereka ini pun belum tentu akan memberikan ketenteraman seratus peratus kepada ancam ugut yang mengusik tenangnya kini. Dia tuntas bimbang dengan apa yang sedang bergolak. Tambahan pula negara yang sedang didudukinya ini pula bukanlah sebuah negara yang benar –benar selamat untuknya memperjuangkan harga diri dan hak –hak kewanitaannya. Apatah lagi beratus –ratus wanita dan anak gadis menjadi mangsa rogol di sini. Dia benar –benar ngeri namun, di negara inilah dia telah menumpangkan hayatnya selama ini sekalipun tempatnya berteduh ini. Dia sedar apa yang berlaku.
Dia ingin menangis namun bertahun –tahun ini dia telah menangis dan air mata bukan lagi pelerai lega yang selalu menemaninya beberapa tahun lalu. Ah, berapa ratus orang kah gadis muda sepertinya ini yang menghadapi gelodak rasa sepertinya ini tetapi berapa orang kah di antara mereka yang membawa keganasan pihak lelaki yang mengkal akalnya kepada pihak berwajib yang sesungguhnya? Dia menghayun persoalan yang mencengkam pemikirannya selama ini namun semuanya tetap tidak akan mendapat jawapan total daripada dirinya.
Mukhtar Mai hanya mampu menelan bilah–bilah derita itu apabila mengingati sengketa yang bermula lebih empat tahun yang lalu. Satu ketika adik lelakinya dituduh mencabuli seorang gadis puak Mastoi dan sebagai galang gantinya, dirinya menjadi mangsa. Dirinya terpaksa dikorbankan dalam sebuah peristiwa menyayat hati yang tidak mungkin akan terlepas dari simpulan kenangan hidupnya. Empat laki–laki berwajah binatang itu memperlakukan dirinya seperti binatang dengan berganti –ganti dan ayahnya menjadi penonton yang setia dengan senapang di kepala! Adilkah semua yang telah berlaku? Tanpa bukti dan tanpa hak, dirinya dijadikan mangsa dalam sebuah pesta jalang itu, akhirnya dia terpaksa tunduk kepada keadaan itu!
Namun, demi sebuah sisa harga diri yang telah terkoyak rabak itu, Mukhtar Mai bangun membuka langkah dalam diam. Dia tidak mahu haknya sebagai wanita yang diperkotak–katikkan. Cukuplah undang –undang negaranya itu sendiri  yang menyebabkan mereka gadis dan wanita tertindas di negara sendiri. Dengan sedikit azam dan kekuatan yang ada, dia bangkit membuka cerita di lelembar undang –undang yang sedia tergubal itu. dia mendakwa mereka di Mahkamah Anti Keganasan  dan mendapat mereka semua bersalah. Namun dua tahun kemudian, Mahkamah Tinggi Lahore membatalkan keputusan Mahkamah Anti Keganasan itu. Sesuatu yang menjadikan tidurnya berbantalkan sengsara dan berselimutkan derita yang amat. Layakkan seorang gadis muda sepertinya menggalas beban yang seberat itu menjelang hari jadinya yang kedua puluh ini? Bukankah kematian sedang mengintainya, memburunya dengan cara yang paling ngeri sekali! Mukhtar Mai menghembus nafas payah, tangkal perih menguasainya. Tanjak kekuatan benar –benar tidak terbukti dalam hidupnya ini.
Muhktar Mai meneliti bukti–bukti yang pernah diutarakannya kepada Mahkamah Anti Keganasan di tengah wilayah Punjab itu empat tahun yang lalu. Pembebasan lelaki itu bagaikan dirinya yang telah membohongi pihak Mahkamah Keganasan Remaja! Hatinya terdera amat! Namun dia benar–benar terjebak ke sungai sebak dengan apa yang baru menimpa ketenangannya selama ini. Walaupun dia belum mendapat tenang yang membahagiakannya selepas trauma yang masih bergayut di pintu hidupnya ini, namun dia tetap boleh menarik nafas lega dengan penangkapan ke atas mereka dan menunggu beberapa bulan daripada Mahkamah Agung Pakistan, dia benar–benar terdera dengan nasib yang menimpa! Kalaulah boleh waktu itu diundurkan kembali, alangkah baiknya!

                                                           ************

            Dia berikrar akan tetap mempertahankan haknya yang sudah tidak mempunyai hak! Dia berikrar akan meneguhkan keyakinan dan jati dirinya di medan percaturan dendam yang belum menemui titik penghujung ini lagi. Dia telah berjanji akan mempertaruhkan tangkal keberanian dan tuntas yakinnya demi menguburkan sungai sebaknya selama ini. Dia menyergap rumpun keyakinan betapa tombol azam yang sudah dibangunkannya kini akan mampu menyepuh duka yang selama ini berkunjung di tubir hati mudanya ini. Dia juga berjanji akan pasrah dengan keputusan yang tetap diambil oleh laki–laki merengkuh haknya namun untuk kali kedua ini dia telah mendirikan janji untuk mempertahankan haknya, malah bukan berdiri di atas kemajuan sendiri tetapi dirinya cuba membentangkan cara–cara agar gadis–gadis sepertinya yang ternoda kesuciannya dengan cara yang paling ganas, akan melakukan kaedah yang sama seperti dirinya. Dia berharap tindakan sulungnya ini bakal melonjakkan suluh kejayaan kepada insan–insan terpedaya seperti dirinya ini pada masa –masa akan datang.
            Bukan niatnya mempertahankan harga diri yang kian terkoyak, namun dia sebenarnya cuba merobohkan tembok tekal yang berdiri di antara garis –garis kekal yang mendarah daging dalam undang–undang negara perang ini. Dia tetap bersyukur kerana masih terus menjadi warga Meerwala Jatoi di daerah Multan ini yang tetap kental menghadapi bongkah–bongkah waktu yang membebankannya. Dia berjanji akan terus menjadi guru paling berdedikasi di daerah ini walaupun dia sebenarnya terpaksa berhadapan dengan sekian banyaknya tentangan untuk menunjal harga keyakinan dirinya yang dibangunkan dalam sukar ini. Selingkar usia berdarah ini harus diteruskan dengan perca–perca kekuatan dan bukannya ketakutan!
            “Terimalah lelaki itu, Mai. Dia ikhlas ingin memperisterikanmu!” sayup benar suara ayahnya pada malam yang semakin larut itu.
            “Wajarkah dia menerima diri Mai yang bukan Mukhtar Mai yang dulu, ayah? Mai sudah tercemar!” jawabnya perlahan. Dia benar–benar merasa tidak layak untuk menjadi Mukhtar Mai yang dulunya memiliki sekental kekuatan dan sumur jati diri dalam yang sentiasa mengalir dalam dirinya.
            “Dia ikhlas!” jawab ayahnya mengulangi apa yang selalu dikatakannya. Ayahnya hanya menunggu anggukannya. Dalam suram cahaya lampu minyak tanah dia hanya tersenyum. Ada sirah–sirah kegembiraan bertindih dalam pahit yang menetas perlahan. Kalaulah ayahnya memahami!