Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Monday, September 24, 2012

Cerpen: Tangisan


Cerpen ini sudah lama saya siapkan tetapi saya tidak menghantar ke mana-mana pun penerbitan. Mungkin tahap kualiti tidak sebaik cerpen yang lain tetapi saya berusaha memperbaikinya dari semasa ke semasa. Harap Terhibur walaupun saya bukan penghibur....

Cerpen


Tajuk: Tangisan 

Karya : Noorainie Othman





            Betapa jiwanya tertekan amat dengan apa yang berlaku pada ketika ini. Tidak ada sesiapa yang mampu mempertahankannya lagi hatta sebuah undang–undang juga sudah tidak mampu memutarkan kebenaran lagi. Dia benar–benar diburu bayangan ngeri apabila mengingati pesta besar–besaran yang diadakan oleh puak Mastoi yang berkedudukan tidak jauh dari tempat tinggalnya. Maut bagaikan sudah memanggilnya tatkala terdengar bunyi–bunyian tidak jauh dari rumahnya. Hancur hatinya mengenangkan pesta yang ditujukan buat dirinya itu! Lebih hancur hatinya apabila mereka telah merancang kematiannya dengan cara yang paling ngeri untuk membalas rumpunan  dendam yang bermaharajalela sekian lama itu!
Ngerinya mengalahkan sebuah kematian yang bakal tiba di sisi hayatnya! Ayahnya  hanya memandangnya sayu, namun pandangan sayu itulah yang terlalu menghambat emosi remajanya pada ketika ini. Barangkali kalau ibunya masih hidup, keadaan dirinya tidak begini, malah lebih terurus. Bagaimana Mukhtar Mai anak gadis kelahiran Meerwala Jatoi di daerah Multan ini menghadapi kehidupannya selepas menerima ancaman demi ancaman dalam usianya yang belum pun menjejak dua puluhan? Mukhtar Mai lebih kecewa dengan apa yang sedang berlaku kepadanya kini berbanding perbuatan empat lelaki empat tahun yang lalu!
Mengingati semua laki–laki ganas yang pernah meninggalkan parut duka dalam hidupnya ini, dia sekali lagi terluka, malah berduka selamanya. Namun, lukanya lebih menyirap apabila pembebasan keempat–empat lelaki itu. Entah kenapa undang–undang yang telah dicipta amat mudah pula diperkotak–katikkan oleh pihak–pihak tertentu yang menyebelahi lelaki yang telah menjahanamkan dirinya. Dia benar–benar kecewa. Mahkamah Tinggi Pakistan yang telah memberikan kata putus untuk memenjarakan keempat laki–laki itu, kini telah bebas sebebasnya. Dia seribu kali lebih menderita apabila memikirkan kegembiraan laki–laki dan puak Mastoi telah yang mengadakan pesta pembebasan itu. Alangkah terlukanya seorang gadis yang kehilangan hak dan harga diri sepertinya ini.
“Oh, Tuhan saya tidak mahu hidup lagi! Saya tidak mahu meneruskan kehidupan lagi. Saya menerima ancaman bunuh berkali–kali. Mereka juga telah mewar–warkan akan ‘menghilangkan’ kehidupan saya daripada kawasan ini! Saya ingin mati, ayah!”
Pada malam pembebasan keempat–empat laki–laki jalang itu dia menghunuskan keputusan dalam dirinya. Sesungguhnya dia tidak sanggup menghadapi semua keganasan yang bakal berlaku itu seorang diri. Dia belum cukup kuat menghadapi pembebasan mereka apatah lagi apabila empat tahun yang lalu, mereka telah dijatuhkan hukuman bunuh, namun hari ini detik ini dia terpaksa menghadapi kekejangan keterkejutan itu apabila mereka datang dengan dendam yang berkobar! Bagaimanakah dia menghadapi semuanya sendirian? Alangkah sukarnya kehidupan ini apabila undang–undang manusia menjadi permainan hidup bagi mereka yang suka mempersendakan kehidupannya?
“Bersabarlah nak! Kematian dengan cara membunuh diri sangat jauh menyimpang daripada dalam agama kita nak! Bersabarlah nak. Yakinlah Allah akan membantu orang –orang yang teraniaya!”
Ayah penyaksi kebejatan anak gadisnya itu ternyata lebih tabah berbanding dirinya yang menerima musibah ini. Empat  tahun yang berlalu bukan satu jangka masa yang panjang bagi dirinya yang menerima tamparan yang paling hebat dalam kejadian malam itu. Ia sangat menyakitkan! Malah, terlalu mencelakakan! Terlalu menyakitkan penodaan itu! Kalau lah dia mempunyai waktu untuk melarikan diri pada malam laknat itu, alangkah baiknya, dia tidak akan menerima hukuman dunia yang paling berat seperti hari ini!
“Saya tidak yakin lagi hendak hidup ayah! Saya rasa hidup saya disembelih ayah? Ayah tidak menanggung bebannya, tapi Mai ayah! Mai yang menghadapinya!”  jawabnya menjuakkan kata –kata yang selama beberapa ini memburu kalung takutnya. Wajah sayu ayah dipandangnya tegang. Dia benar –benar kehilangan tegar untuk menghadapi suasana genting ini keseorangan.
“Jangan menyalahkan takdir anakku. Kita semua merasai apa yang sedang berlaku ini. Banyakkan berdoa dan fikirkan sesuatu yang positif yang akan berlaku kepadamu kini!”
“Nasib cerah bagaimana, ayah? Bukankah nasib malang sedang mengejar saya! Hidup seribu kali lebih malang berbanding kehidupan gadis –gadis lain di Multan ini ayah! Bukankah maut hendak mengambil nyawa saya, ayah! Apa lagi harapan yang tinggal kepada saya?” soalnya seperti berputus asa kepada apa yang berlaku kepadanya. Ayah di hadapannya hanya menggeleng –gelengkan kepalanya.
“Jangan berputus asa terhadap kematian nak. Kalau kita berputus asa terhadap kehidupan ini, maka syaitan akan bertempik gembira dengan apa yang kau lakukan nak! Sedarlah nak! Ugutan bukan bermakna maut, lihat sinar rembulan yang setiap hari menyinarkan cahayanya. Bukankah kau juga harus bangkit daripada kemurungan itu, seperti semalam, langit mendung dan bulan tenggelam?”
Dia sedar pihak berkuasa yang sentiasa mengawasi dinding rumah kayu mereka ini pun belum tentu akan memberikan ketenteraman seratus peratus kepada ancam ugut yang mengusik tenangnya kini. Dia tuntas bimbang dengan apa yang sedang bergolak. Tambahan pula negara yang sedang didudukinya ini pula bukanlah sebuah negara yang benar –benar selamat untuknya memperjuangkan harga diri dan hak –hak kewanitaannya. Apatah lagi beratus –ratus wanita dan anak gadis menjadi mangsa rogol di sini. Dia benar –benar ngeri namun, di negara inilah dia telah menumpangkan hayatnya selama ini sekalipun tempatnya berteduh ini. Dia sedar apa yang berlaku.
Dia ingin menangis namun bertahun –tahun ini dia telah menangis dan air mata bukan lagi pelerai lega yang selalu menemaninya beberapa tahun lalu. Ah, berapa ratus orang kah gadis muda sepertinya ini yang menghadapi gelodak rasa sepertinya ini tetapi berapa orang kah di antara mereka yang membawa keganasan pihak lelaki yang mengkal akalnya kepada pihak berwajib yang sesungguhnya? Dia menghayun persoalan yang mencengkam pemikirannya selama ini namun semuanya tetap tidak akan mendapat jawapan total daripada dirinya.
Mukhtar Mai hanya mampu menelan bilah–bilah derita itu apabila mengingati sengketa yang bermula lebih empat tahun yang lalu. Satu ketika adik lelakinya dituduh mencabuli seorang gadis puak Mastoi dan sebagai galang gantinya, dirinya menjadi mangsa. Dirinya terpaksa dikorbankan dalam sebuah peristiwa menyayat hati yang tidak mungkin akan terlepas dari simpulan kenangan hidupnya. Empat laki–laki berwajah binatang itu memperlakukan dirinya seperti binatang dengan berganti –ganti dan ayahnya menjadi penonton yang setia dengan senapang di kepala! Adilkah semua yang telah berlaku? Tanpa bukti dan tanpa hak, dirinya dijadikan mangsa dalam sebuah pesta jalang itu, akhirnya dia terpaksa tunduk kepada keadaan itu!
Namun, demi sebuah sisa harga diri yang telah terkoyak rabak itu, Mukhtar Mai bangun membuka langkah dalam diam. Dia tidak mahu haknya sebagai wanita yang diperkotak–katikkan. Cukuplah undang –undang negaranya itu sendiri  yang menyebabkan mereka gadis dan wanita tertindas di negara sendiri. Dengan sedikit azam dan kekuatan yang ada, dia bangkit membuka cerita di lelembar undang –undang yang sedia tergubal itu. dia mendakwa mereka di Mahkamah Anti Keganasan  dan mendapat mereka semua bersalah. Namun dua tahun kemudian, Mahkamah Tinggi Lahore membatalkan keputusan Mahkamah Anti Keganasan itu. Sesuatu yang menjadikan tidurnya berbantalkan sengsara dan berselimutkan derita yang amat. Layakkan seorang gadis muda sepertinya menggalas beban yang seberat itu menjelang hari jadinya yang kedua puluh ini? Bukankah kematian sedang mengintainya, memburunya dengan cara yang paling ngeri sekali! Mukhtar Mai menghembus nafas payah, tangkal perih menguasainya. Tanjak kekuatan benar –benar tidak terbukti dalam hidupnya ini.
Muhktar Mai meneliti bukti–bukti yang pernah diutarakannya kepada Mahkamah Anti Keganasan di tengah wilayah Punjab itu empat tahun yang lalu. Pembebasan lelaki itu bagaikan dirinya yang telah membohongi pihak Mahkamah Keganasan Remaja! Hatinya terdera amat! Namun dia benar–benar terjebak ke sungai sebak dengan apa yang baru menimpa ketenangannya selama ini. Walaupun dia belum mendapat tenang yang membahagiakannya selepas trauma yang masih bergayut di pintu hidupnya ini, namun dia tetap boleh menarik nafas lega dengan penangkapan ke atas mereka dan menunggu beberapa bulan daripada Mahkamah Agung Pakistan, dia benar–benar terdera dengan nasib yang menimpa! Kalaulah boleh waktu itu diundurkan kembali, alangkah baiknya!

                                                           ************

            Dia berikrar akan tetap mempertahankan haknya yang sudah tidak mempunyai hak! Dia berikrar akan meneguhkan keyakinan dan jati dirinya di medan percaturan dendam yang belum menemui titik penghujung ini lagi. Dia telah berjanji akan mempertaruhkan tangkal keberanian dan tuntas yakinnya demi menguburkan sungai sebaknya selama ini. Dia menyergap rumpun keyakinan betapa tombol azam yang sudah dibangunkannya kini akan mampu menyepuh duka yang selama ini berkunjung di tubir hati mudanya ini. Dia juga berjanji akan pasrah dengan keputusan yang tetap diambil oleh laki–laki merengkuh haknya namun untuk kali kedua ini dia telah mendirikan janji untuk mempertahankan haknya, malah bukan berdiri di atas kemajuan sendiri tetapi dirinya cuba membentangkan cara–cara agar gadis–gadis sepertinya yang ternoda kesuciannya dengan cara yang paling ganas, akan melakukan kaedah yang sama seperti dirinya. Dia berharap tindakan sulungnya ini bakal melonjakkan suluh kejayaan kepada insan–insan terpedaya seperti dirinya ini pada masa –masa akan datang.
            Bukan niatnya mempertahankan harga diri yang kian terkoyak, namun dia sebenarnya cuba merobohkan tembok tekal yang berdiri di antara garis –garis kekal yang mendarah daging dalam undang–undang negara perang ini. Dia tetap bersyukur kerana masih terus menjadi warga Meerwala Jatoi di daerah Multan ini yang tetap kental menghadapi bongkah–bongkah waktu yang membebankannya. Dia berjanji akan terus menjadi guru paling berdedikasi di daerah ini walaupun dia sebenarnya terpaksa berhadapan dengan sekian banyaknya tentangan untuk menunjal harga keyakinan dirinya yang dibangunkan dalam sukar ini. Selingkar usia berdarah ini harus diteruskan dengan perca–perca kekuatan dan bukannya ketakutan!
            “Terimalah lelaki itu, Mai. Dia ikhlas ingin memperisterikanmu!” sayup benar suara ayahnya pada malam yang semakin larut itu.
            “Wajarkah dia menerima diri Mai yang bukan Mukhtar Mai yang dulu, ayah? Mai sudah tercemar!” jawabnya perlahan. Dia benar–benar merasa tidak layak untuk menjadi Mukhtar Mai yang dulunya memiliki sekental kekuatan dan sumur jati diri dalam yang sentiasa mengalir dalam dirinya.
            “Dia ikhlas!” jawab ayahnya mengulangi apa yang selalu dikatakannya. Ayahnya hanya menunggu anggukannya. Dalam suram cahaya lampu minyak tanah dia hanya tersenyum. Ada sirah–sirah kegembiraan bertindih dalam pahit yang menetas perlahan. Kalaulah ayahnya memahami!


Sunday, September 23, 2012

Cerpen: Kahwin


Cerpen

Tajuk: Kahwin



“Bila kau hendak kahwin dengan dia, Mah? Ke hulu ke hilir dengannya, kau laratkah menanggung dosa kering begitu? Mak dan bapa ni malu tak terkisah! Manusia apa kau ni Mah! Sudah tua tapi masih tak sedar akan dosa! Dosa kau dulu tu belum kira lagi, ni dah cari dosa baru! Macamana lagi mak nak ajar kau nak?” berdesing anak telingaku mendengar ungkapan emak. Aku tidak menyangka emak akan sewenangnya menyatakan hasrat hati yang berselirat itu tambahan dengan wajah lesu di hadapannya ini.
Mahu sahaja aku memarahi mulut lancang emak yang menuduh aku yang bukan-bukan. Bulat mataku menatap wajah tua itu. Baru sahaja aku meletakkan punggungku di atas sofa merah hati, aku terus diserbu dengan kata-kata yang menyakitkan malah meluruhkan tangkai jantungku yang semakin kuat berdenyut ini, adakah patut? Tidak sepatutnya emak menyambut kedatanganku dengan kata-kata itu meskipun aku bukanlah anak kesayangannya. Aku benar-benar terhenyak letih dengan hentakan kata emak.
Ayah duduk di hujung ruang tamu sambil menghadap televisyen bagaikan pura-pura tidak mendengar patah demi patah ungkapan menyakitkan emak. Ayah buat-buat tidak tahu apa yang sedang berlaku. Dadaku berkecamuk di dalam hanya Tuhan sahaja yang mengerti. Wajah kelat emak kupandang sekilas. Marah benar pula emak kepadaku, tiba-tiba sahaja meletupkan amarahnya. Tidak terjangka di akalku dia akan marah demikian rupa pada hari kedatanganku ke kampung ini. Entah dari siapakah dia mencungkil cerita, sukar hendak kutelah.  
Petang itu, aku baru sahaja balik  dari Kota Kinabalu, aku mengambil cuti dua hari demi untuk melepaskan rindu kepada emak dan ayah yang sudah lama tidak kulawati. Entah kenapa rindu dendamku membuak untuk emak dan ayah yang hanya tinggal berdua itu tetapi lain pula onar yang kuterima. Tahukah emak betapa rindu menjelma di dadaku ini?
            “Lelaki tu sudah masuk Islam kah belum Mah? Kau jawab betul-betul! Kau jangan nak permainkan semua orang di sini, aku tak suka! Aku tak mahu anak aku buat hal yang tak senonoh di bandaraya tu! Aku tak tahu tapi Tuhan tahu Mah!” aku memandang kehairanan wajah emak. Tiba-tiba sahaja menyuarakan tentang lelaki di hadapanku. Punggungku belum pun panas dan perutku yang lapar belum pun kenyang dan air pun belum menitik di bibirku ini namun dia sudah membalun aku dengan perangai lamanya. Membiarkan anak-anak kenyang dengan kata-katanya. Sungguh tidak patut wanita setuaku ini dikatakan begitu. Fikirku agak tersinggung. Namun, aku cuba meredakan keadaan.
            “Lelaki   mana pula ni mak? Tak faham saya mak cakap apa. Tiba-tiba sahaja mak menghambur dan marahkan saya! saya penat ni mak!” kataku sambil lewa walaupun rasa terkejut masih menakluki aku. Beg hitamku kuletakkan di birai pintu masih di situ. Mukaku berkerut dengan telatah emak yang tidak berubah. Tahukah emak aku adalah wanita dewasa sepertinya juga. Telah dua kali ditinggalkan suami dan akhirnya terduduk lesu di pinggir pintu rumah emak ini.
            “Lelaki mana kata kau, tu lah ‘jantan’ yang kau bawa balik hari tu! Pakai kopiah konon tapi rupanya belum masuk Islam! Jantan apa tu namanya? Mak bapaknya mana dan dari mana asal usulnya? Aku ni sudah tak tahan dengan cacian orang tahu tak?” sahut emak lagi sambil duduk mendepani aku di sofa merah hati itu.  Berbulu telingaku mendengar ungkapan emak. Sesungguhnya aku hanya sekadar kenalan baru buat lelaki itu apabila pertama kali aku masuk ke syarikat keselamatan itu. Sepatutnya emak berterima kasih kepada lelaki itu kerana mengenalkan anaknya ini kepada ketua di syarikat yang baik dan seterusnya membantu aku bekerja di syarikat keselamatan itu. Ini tidak, emak mengutuk lelaki itu pula. Hairan aku dengan sikap emak yang tanpa usul periksa! Aku tidak mahu mengetahui siapakah yang punya angkara, tetapi kesal mengusuti akalku ini.
            “Entah! Kenapa pula mak sebut dia, Mah bukan nak kahwin dengan dia! Dia kan rakan sekerja Mah! Kami hanya kawan biasa saja mak! Tak ada pun merancang nak kahwin! Dari siapa mak dengar cakap-cakap yang tak baik ni mak? Saya tahu jaga diri mak! Dua kali terkena, cukuplah. Saya tak akan ulangi lagi mak!” kataku perlahan, menarik nafas yang semput di hujung dadaku ini. Emak masih tidak percaya dengan pernyataan itu. Aku hanya memberitahu dia perkara yang sebenar. Kalau emak tidak percaya itu terpulang kepada dia.
“Yang kau tak tahu asal usul bangsa  orang tu kenapa? Yang tak bekerja tetap itulah yang kausuka! Aku hairan betul dengan citarasa kau ni Mah! Dulu si Baharuddin yang gemuk tu pun tak ada kerja tetap juga! Yang kedua ni pun sama juga! Lelaki begitu juga yang kau suka! Mak betul-betul tak tahulah dengan nasib yang menimpa kau ni! Tak serik-serik dengan kesusahan! Kasihan mak tengok kau ni tapi kau yang tak tahu nak cari laki yang baik!” kata emak dengan lebih panjang lebar. Aku tergegau dengan katanya. Tidak menyangka tengah hari yang masih menyala ini emak masih menuduh aku yang bukan-bukan.
“Mak, itu namanya takdir! Kenapa mak nak menolak takdir dan segalanya sudah berlalu! Saya pun tak mahu nak menyebut hal tu lagi, tapi mak suka-suka nak sebut benda yang dah berlalu! Tapi, saya sebut sekali lagi, antara saya dengan lelaki tu tak ada apa-apa, hanya kawan biasa!” kataku dengan marah yang bertumpuk di hati. Perkara yang sudah kututup dari diari lamaku, cuba diselak kembali. Entah kenapa sikap emak yang suka mengungkit perkara yang sudah lepas.
“Kawan, kawan! Sejak dulu kawan saja yang kausebut! Kawan tu juga yang kau kahwin! Mak sudah faham dengan kau ni, Mah! Jangan lagi kau nak cakap yang bukan-bukan kepada mak! Jangan kali ini pun kau nak memalukan mak! Cukuplah sekali kau malukan mak dengan kahwin di tempat orang! Ada ayah, tapi ayah kau buat macam tunggul di rumah ini! Entah, nak jadi apa kau ni Mah! Dah tu tak sampai beberapa tahun, dah cerai! Tu yang aku sudah tak mahu masuk campur urusan kau! Kali ni aku nak ingatkan saja!” kata emak lagi. Emak memang suka mengungkit perkara yang tidak dapat kujelaskan.
Aku benar-benar tertekan dengan sikap emak. Elias, lelaki yang emak maksudkan itu yang kebetulan kubawa pulang ke kampung dua bulan yang lepas untuk berjumpa dengan mereka, memang disambut dengan baik pada mulanya tetapi apabila emak mengetahui Elias tidak ada pekerjaan tetap emak mula berasa berang dengan diriku. Aku berasa malu dengan apa yang menimpa kemudiannya. Emak benar-benar sudah dapat membuat aku lebih menjadi malu. Apakah yang dia mahukan dalam hidup anak-anaknya sebenarnya?
            “Kenapa kau diam? Memang seumur hidup kau nak hidup susah rupanya! Kau tak ingat selama kau tinggal dengan suami kau yang sebelum ni kau hidup susah nak! Kenapa kau tak serik-serik lagi? Kalau mak, dah begitu lama tertekan, cukuplah sekali itu sahaja. Baik lagi mak balik kampung dan kerja di sini, jaga anak-anak yang kian membesar! Kau tu apa nak jadi, asyik tunggu kerja di bandar tu dengan gaji yang tak seberapa! Sudah-sudahlah tu Mah! Hentikan lah perangai buruk kau tu! Telinga mak ni sebenarnya sudah penuh dengan cercaan orang terhadap kau, tapi kau macam tak tahu malu!” tekan emak lagi.
Aku menundukkan kepalaku. Rambutku yang kubiar panjang separas bahu itu kubiarkan lepas. Malah, rambut hadapanku yang agak panjang, kubiarkan sahaja. Ia akan menutup air mataku yang berkumpul dengan banyak di birai mataku. Elias yang kebetulan baru kukenali dan ingin mengenali ibu bapaku ketika itu tidak kutahu di manakah lelaki itu. Lelaki dusun itu begitu jujur hendak mengenali keluargaku walaupun aku sudah berterus-terang kepadanya yang aku pernah bernikah sebelum ini. Aku juga telah mempunyai dua orang anak dari bekas suamiku. Salahkah aku berterus-terang kepadanya? Aku ingin agar dia berfikir semula jika dia mempunyai hasrat hendak menikahiku dalam waktu terdekat ini. Namun, duda anak dua itu hanya mendiamkan dirinya dengan senyuman yang dikulum penuh makna. Salahkah aku berterus terang kepadanya?
            “Mak, saya bukannya nak kahwin dengan dia! Tak ada perancangan pun kami nak kahwin! Kami hanya sahabat, rakan sekerja mak! Kebetulan Mah balik ke kampung hari tu kami nak bercuti dan dia teringin nak berkenalan dengan mak dan ayah. Bukan niat Mah nak mengulangi kehidupan yang lalu mak tetapi entahlah, kalau dia yang nak jumpa mak dan ayah, takkan saya nak marah dia pula!” kataku perlahan sebelum air mataku mengalir lancar di tebing pipiku ini.
Aku tidak tahan dengan kata-kata emak namun itulah hakikat yang terpaksa kuterima. Bukan mudah menjadi seorang janda dalam usia semuda ini. Namun, aku tidak menjadikan alasan janda sebagai tiket untuk menuntut belas kasihan daripada sesiapa, walaupun dari ahli keluargaku sekalipun. 
            “Ah tak percaya aku dengan kau tu Mah! Dah hampir tiga puluh lima umur kau, mak dah masak dengan perangai kau tu! Kalau kau dah bawa lelaki tu pulang ke rumah ni mesti ada sesuatu yang akan berlaku!” kata emak lagi. Mata yang dijerut kedut itu sangat tajam memaku tingkahku. Kelu rasanya lidahku, tidak sanggup mendengar ucapan emak.
Aku seperti kehilangan kata. Aku tahu emak memang sudah masak dengan diriku ini tetapi aku berani berkata bahawa lelaki yang kubawa balik ke rumah emak ini adalah sahabatku sahaja. Aku pun sudah berjanji dengan lelaki yang bekerja sebagai Ketua Pengawal Keselamatan di sebuah syarikat swasta itu agar dia tidak perlu menanam niat menikahiku. Lagipun kami berlainan agama meskipun dia sudah menggunakan nama Islam dalam pergaulan seharian. Namun, dia memberitahuku yang dia belum memeluk agama Islam meskipun bertahun-tahun dia sudah menggunakan nama itu, Elias! 
Dia sukakan nama Elias itu, itulah sebabnya dia menggunakan nama itu sejak bertahun lamanya. Malah, sejak dia menceraikan isteri Dusunnya dia sudah tidak menggunakan nama asalnya Alwinleo. Aku pun hairan kenapa dia tidak mahu menggunakan namanya yang diberikan oleh ibu bapanya itu,mungkin dia menyenangi agama Islam. Tidak pernah sesekali aku bertanya kenapa. Antara kami hanya berhubung kerana pekerjaan kami yang sama di bangunan Wisma Merdeka itu. Percayakah emak kalau kuberitahu kepadanya demikian?
Aku pandang wajah emak yang dikelilingi kedut itu. Tambahan pula dia semakin mengerutkan keningnya ketika melihat ke arahku yang ada masalah aku.  Aku tahu dalam diam emak begitu sayangkan aku walaupun aku telah mengecewakan hatinya namun aku juga tidak berhasrat hendak mengecewakannya kali ini. Aku tidak menganggap Elias adalah bakal suamiku walaupun dia mengikuti aku ke kampung ku. Aku tidak menganggap Elias itu adalah kekasihku walaupun kami menyewa bilik di bumbung yang sama. Aku sedar hakikat hidupku. Aku hanya menganggap dia sebagai sahabat dan rakan karibku tempat aku melepaskan perasaanku. Tidak pernah lebih daripada itu. Entahlah kalau Elias mempunyai perasaan yang lain kepadaku. Itu bukan urusanku untuk mengetahuinya. Cukuplah kalau sekali aku memberitahunya yang aku adalah janda bekas diceraikan oleh dua orang suami.
Apa yang penting sekarang aku mula belajar kehilangan seorang yang bernama lelaki selepas aku suamiku, Baharuddin hampir tiga tahun yang lalu selepas aku melahirkan anak kedua kami. Dia pergi tanpa khabar. Aku berserah sendiri tetapi sebenarnya aku lebih banyak menunggu kehadirannya semula dalam hidupku ini. Tetapi, aku tidak tahu di manakah dia! Sampai kini dia tidak pernah muncul!
“Percayalah Mah kali ni mak! Mah merayu! Jangan terlalu menyiksa batin Mah! Mah bekerja sekarang pun semata-mata untuk anak-anak Mah yang dua orang tu! Tak ada niat Mah nak kahwin lagi. Biarlah Mah janda sampai….”
“Sudahlah Mah, janganlah kau nak mengaku yang bukan-bukan depan mak ni! Mak ni tahu dah, malah dah masak dengan perangai kau tu! Satu lagi ceraikan kau, satu lelaki lagi kau ambil! Bukan pandai nak serik! Mak pun tak faham sudah dengan anak sendiri! Malah, seolah-olah mak tak pandai nak didik anak sendiri! Mak malu nak! Kenapa kau tak macam anak mak yang lain? Berkahwin dan hidup bahagia macam orang lain? Kau tak teringin nak bahagia?” kata mak lagi. Merintih jiwa tua itu memikirkan tindakanku. Ah, aku tidak sengaja menyakiti hatinya. Kalau dia terasa aku sewajarnya memohon ampun.
Mata emak yang cengkung itu kupandang. Benarkah wanita tua di depanku itu berasa malu dengan tindakanku? Emak memang serius hendak mengata aku ingin bernikah dengan lelaki dengan yang kubawa balik ke kampungku ini. Emak bagaikan dapat membaca hatiku ini. Padahal aku tidak berniat hendak kahwin lagi selepas sahaja Tamrin menceraikan dengan talak satu. Lelaki keturunan Bugis yang mengaku bekerja tetap di Syarikat Telekom itu benar-benar menyakitkan hati kalau cuba-cuba kuingati. Dia juga mengaku yang dirinya bujang walhal isterinya masih berada di Tawau dengan dua orang anak perempuan. Tidak pernah aku mengingatinya lagi. Aku sudah menganggap dia sudah mati. Aku benar-benar sakit hati dengan tipu daya lelaki itu. Entah kalau aku berjumpa sekali lagi, mungkin dia akan kubunuh! Biarkan aku ditangkap oleh polis, asalkan hatiku puas kerana termakan kata-kata lelaki penipu itu dua tahun lebih yang lalu!
“Kalau mak tak mahu percaya, terpulanglah! Tetapi saya memang tidak mahu bernikah lagi mak! Cukuplah dua kali tu Mah menderita mak! Mah tak mahu kahwin lagi, percayalah! Tapi kalau mak tak mahu percaya pun terpulanglah! Esok Mah balik! Takut kalau lama-lama di sini Mah ni akan lebih memalukan mak! Kasihan mak!” kataku perlahan tetapi nada suaraku agak tegas. Beg pakaianku yang masih berada di pintu rumah kupandang. Beg itu akan berada di situ kerana esok pagi aku akan balik semula ke Kota Kinabalu.
“Memanglah kau sudah menconteng arang ke muka aku, kau tahu tak? Kau sepatutnya tak bawa lelaki yang bukan muhrim balik ke rumah nii! Kau asyik nak conteng dosa ke dalam diri kau! Aku pun tak tahu nak cakap apa dengan kau ni Mah! Aku tak percaya kalau kau tak faham dosa pahala langsung! Dulu aku didik kamu dengan ajaran agama walaupun anak aku ramai! Ayah kau ajar mengaji tapi sampai sekarang kau masih tak faham-faham nak! Entahlah, kenapa anak mak yang seorang ini begini hidupnya!” kali ini emak sudah beraku dan berkau dengan aku.
Aku terkilan juga dengan kata-kata emak tetapi kata-katanya itu ada benarnya. Entah kenapa aku tidak berkeras untuk membawa Elias balik ke rumah ayah ini. Ya, sepatutnya aku tidak membawa Elias ke rumah ayah ini nanti apa orang kampung cakap kepada emak dan ayah. Apatah lagi aku sudah dua kali berkahwin. Tentu tak manis kalau membawa lelaki balik ke rumah. Entah kenapa aku tergamak membawa lelaki Dusun itu ke kampungku ini! Entah kenapa! Aku tiba-tiba berasa menyesal dengan apa yang berlaku tetapi mungkin sudah disuratkan aku membawa Elias yang baru kukenali itu ikut balik ke kampung di bumi aku dilahirkan dan dibesarkan.
“Mak memang selalu nak cari pasal dengan Mah! Mak selalu cari kesalahan Mah! Mentang-mentanglah Mah ni tak ada pelajaran, mak perlekehkan anak mak ini! Anak mak yang lain tak pula mak benci sangat! Tapi kenapa Mah ini mak benci sangat! Mah tak tahu apa kesalahan Mah yang tak boleh diampunkan! Sedangkan Tuhan pun mengampunkan hamba-Nya inikan pula mak sendiri!” kataku mula berasa sendu. Mataku kukesat dengan lenganku.
Sebentar tadi sendu itu sudah surut tetapi apabila mengenangkan emak yang selalu meleteriku dan tidak menyokong segala tindakanku menyebabkan aku mula teringat yang  emak memang tidak menyukai anak ketiganya ini. Malah, aku terasa selama hampir empat puluh tahun umurku ini, aku masih menganggap emak melayan aku macam anak tiri!
“Astaqhfirullah al’aziim…apa yang sudah jadi dengan kau ni nak? Mak tak pernah bezakan anak-anak mak! Kenapa kau anggap mak perlekehkan kau? Mak sayangkan semua anak mak nak tulah sebabnya mak mahu anak mak ni ubah sikit perangai tu! Jangan terburu-buru memilih jodoh nak!” kata emak pula. Aku sudah tidak mahu menerima kata-kata emak. Malah aku membenci emak kerana membezakan kasih sayangnya selama ini. Barangkali  kerana sikap emak yang membezakan kasih sayangnya menyebabkan kehidupanku menjadi berantakan dan tidak seperti anak-anak emak yang lain. Entah kenapa emak menjadi begitu. Selama ini aku begitu terseksa dengan kasih emak yang tidak rata. sesungguhnya pengakuan emak itu tidak lagi termasuk dalam senarai kepercayaanku. Emak sering menipu aku! entah siapa aku ini di dalam pandanganya? 

Saturday, September 22, 2012

Cerpen: Di Hujung Pelangi



Saya kongsikan sebuah lagi karya cerpen hasil nukilan anak saudara Amy Sharimie di blog ini. Pasti anda akan suka membacanya. Percayalah...

Cerpen Remaja
Tajuk : Di hujung pelangi

Kelam kabut Marisa masuk ke kelas apabila bunyi loceng menandakan waktu rehat sudah pun tamat. Kalut dia mencari latihan matematik yang diberikan Cikgu Masri tempoh hari. Pucat lesi mukanya apabila menyedari latihan itu belum siap. Ah, kenapa harus dia terlupa untuk menyiapkan latihan tersebut!
‘Alamak…matilah aku kali ni.. latihan 2.1 muka surat 56 belum siap lagi rupanya,’ katanya mengeluh, sambil membelek buku latihan yang dijumpai bawa laci meja . Terbayang dia denda yang akan diberikan oleh Cikgu Masri kepadanya nanti. Semalam dia tidak dapat menyiapkan latihan itu kerana dia perlu menghadiri sesi latihan untuk pertandingan bahas yang diadakan 3 hari lagi. Masanya agak terhad sejak kebelakangan ini, sibuk dengan pelbagai aktiviti ko–kurikulum. Cepat-cepat dia meminjam buku rakannya Zaldie.
“Nah, kan aku dah cakap jangan tangguh kerja tu, tapi kau degil.. kan sekarang kelam kabut salin kerja aku ni..,”ujar Zaldie sambil menyerah bukunya kepada Marisa. Dia masih boleh bersyukur kerana rakan sekelasnya itu masih sudi meminjamkan dia buku latihannya. Ah, berbaloikah kerja yang dilakukannya itu!
“Alah..sekejap saja ni..empat soalan lagi yang belum siap..,” pantas jari jemari Marisa menyalin satu persatu jawapan dari buku latihan Zaldie itu.
“Amboi–amboi bila tak siap kerja baru nak cari aku ya..nanti bila dah jumpa buah hati kau  si Hanif tu dah tak ingat aku lagi..ya lah kan.. siapalah aku ni tempat mesin fotostat saja..” nada suaranya agak merajuk. Bagi Zaldie gadis dihadapannya kini cukup pakej sebagai gadis menawan, apatah lagi pernah menyandang gelaran Ratu Muslimah di sekolah mereka. Tetapi Marisa agak dingin dengan lelaki yang cuba meluahkan perasaan mereka. Hanif pelajar sekelas dengan Marisa, sudah berapa kali mengutus surat namun tidak sepucuk pun dibalas olehnya.
“Hish..apa yang kau mengarut ni Zaldie.. nanti aku belanja makan ais krim. Nah, ambil balik buku kau ni. Terima kasih banyak mesin fotostatku!” Marisa tersenyum sambil menghulurkan buku latihan itu. Zaldie hanya mencebik. Zaldie agak lembut berbanding rakan-rakan lelaki yang lain,dia suka membantu dan gemar menyakat kawan-kawan perempuannya.
Selang beberapa minit Cikgu Masri masuk ke kelas sambil membawa rotan sebesar jari yang tidak pernah ditinggalkannya apabila masuk mengajar. Kecut perut pelajar olehnya yang memang terkenal dengan denda yang pelik. Nasib baiklah tidak ibu bapa yang datang membuat aduan mengenai perbuatan gurunya itu! Kalau tidak nahas juga cikgunya yang seorang itu! Maklumlah ibu bapa sekarang ni, begitu memberikan hak dan tumpuan kepada anak mereka dan bukannya sudi mendengar apa yang dikatakan oleh seseorang guru tersebut! Nasiblah!
Petang itu selesai solat Asar, sedang Marisa duduk berehat di biliknya, dia diberitahu malam ini ada latihan perbahasan lagi dengan rakan-rakan sepasukannya yang terdiri daripada pelajar senior tingkatan 6. Marisa kebingungan sama ada hendak pergi atau tidak kerana dia perlu menghadiri kelas tambahan Matematik yang diadakan Cikgu Masri malam ini juga. Marisa berkira-kira sendiri.
“..Lusa dah nak bertanding, bila lagi nak bersedia ni..? Hmm..lepas ni apalagi denda Cikgu Masri kat aku ni?” Spontan ligat otaknya membayangkan wajah bengis gurunya itu. Pernah dia didenda bersama 2 orang rakan sekelasnya berdiri di hadapan perhimpunan sambil berikrar dan disaksikan guru-guru serta para pelajar. Malu juga dia ketika itu gara–gara  tidak masuk ke kelas dan tidak dapat menyiapkan latihan yang diberikannya dengan segera kerana mengikuti pertandingan syarahan Majlis Tilawah Al–Quran. Cikgu Masri pantang apabila pelajar-pelajarnya tidak menyegerakan tugasan yang diberikannya walau apa jua alasan yang diajukan. Pernah juga Marisa dimarahi di hadapan rakan-rakannya kerana menggunakan waktu prep untuk mengadakan latihan kawad Persatuan Puteri Islam, dia sebagai pengerusi bertanggungjawab meminta kebenaran dengan warden bertugas kebetulan hari itu Cikgu Masri adalah warden bertugas. Teruk juga dia dimarahi ketika itu. Tidak cukup dengan denda, ceramah percuma pasti tidak dilupakan, terpaksalah seisi kelas menadah telinga untuk mendengar apa sahaja yang ingin diperkatakan oleh guru mereka itu. Setitik nila rosak susu sebelanga apabila seorang pelajar membuat kesalahan pasti yang lain turut terkena tempiasnya.
Malam ini, Marisa terpaksa mengorbankan kelas tambahan itu kerana memikirkan dia sebagai pembahas kedua perlu banyak persediaan untuk berhujah dan membidas pihak lawan. Dia mahu megharumkan nama sekolahnya dengan tampil sebagai pembahas terbaik tahun ini. Marisa redha apa sahaja denda yang akan dijatuhkan kepadanya nanti dan pastinya Zaldie menjadi mangsanya menyalin segala kerja sekolahnya. Dia tersenyum sendiri. Bingkas dia bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan badan.
                       
           *  *  *  

Marisa merupakan anak sulung 2 orang adik beradik. Sejak kebelakangan ini fikirannya agak bercelaru. Berita yang baru sampai ke telinganya benar-benar membuatkan dia runsing memikirkannya.
‘Hai…ibu kahwin kali ketiga.. Apa lagi yang mengganggu janji ibunya itu?” Keluhnya pelahan. Begitulah yang di khabarkan  oleh neneknya tempoh hari. Entah mengapa fikirannya lebih tertumpu kepada berita itu. Sejak kecil lagi dia kurang diberikan perhatian apatah lagi oleh ibu kandungnya sendiri. Sebaik lahir dia dipelihara oleh neneknya di kampung. Ibunya ke bandar mencari kerja. Bapa..? Dia tidak sempat menatapi dengan lebih dekat wajah seorang ayah. Apatah lagi mengenali bapanya dengan lebih rapat lagi dan merasai kasih sayang seorang bapa. Jauh panggang dari api. Bapanya telah lama menghilangkan diri. Ibunya pula sekali sekala sahaja datang menjenguk di kampung. Marisa dan adiknya seperti anak yatim piatu saja layaknya apa tidaknya ibu bapa ada tapi tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anak. Dia dan adiknya dipelihara oleh neneknya yang hanya berjaja kuih muih secara kecil–kecilan. Hasil daripada jualan itulah neneknya menyara Marisa dua beradik. Jasa neneknya itu tidak akan dilupai hingga akhir hayat. Sehinggalah Marisa diterima masuk di sekolah agama yang berasrama penuh ini. Tahun ini Marisa akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia. Tapi..entahlah emosinya agak terganggu dek masalah keluarga yang tidak pernah surut. Lepas satu-satu lagi menimpa yang membuatkannya agak tertekan.
Kali pertama ibunya berkahwin dengan bapanya, rumahtangga mereka tidak berkekalan akibat sikap bapanya yang panas baran dan tidak mempunyai persefahaman dengan ibunya. Mereka bercerai ketika Marisa masih kecil dan tidak mengerti apa-apa. Marisa amat kesal kerana ibunya tidak serik-serik berkahwin lagi untuk kali kedua, 4 tahun yang lepas. Lebih malang lagi jodoh ibunya dengan warga Indonesia sehinggalah anak yang dilahirkan ibunya iaitu adik tiri Marisa tidak mempunyai surat beranak pengesahan warganegara Malaysia. Aduhai…remuk redam hati Marisa apatah lagi ibunya jarang memberikan perhatian dan memberi perbelanjaan mereka adik beradik.  Selang tiga tahun kemudian ibunya berpisah lagi. Hal ini membuatkan Marisa agak trauma dengan perkahwinan sehingga dia tidak melayan laki–laki yang cuba menghampirinya. Harapan Marisa ibunya akan insaf dan akan membela mereka adik beradik dengan penuh kasih sayang walau tiada lelaki di sisi. Ternyata ibu Marisa tidak betah hidup sendiri, di saat-saat dia akan menghadapi peperangan minda, ibunya mencipta onar lagi kali ketiga!
Puas dia menasihati ibunya tapi ibarat mencurah air ke daun keladi. Neneknya sudah berbuih mulut menasihati dan menghalang perkahwinan itu. Tapi ibu Marisa mengendahkannya. Marisa amat kecewa dengan tindakan ibunya itu. Pekerjaan ibunya pun tidak dapat menjamin ekonomi keluarga. Sehinggalah sanggup menggadai maruah diri dengan tinggal bersekedudukan dengan lelaki yang bukan muhrim dan bukan beragama Islam. Masya-Allah... inilah dugaan hidup yang terpaksa dilaluinya. Marisa amat sayangkan ibunya kerana tanpa ibunya dia tidak akan berada di muka bumi ini. Namun apakan dayanya hanya seorang anak yang tidak mampu membuat apa–apa. Dia tidak sanggup menghadapi kenyataan ini. Tapi dia sedar  hidup mesti berani terima kenyataan. Perasaan malu memang ada, dia sebagai pelajar sekolah agama tapi ibunya tidak mampu di bimbing sudah terpesong agak jauh. Bapanya..? Usah cerita, hilang tanpa berita, mati tanpa kubur, tanpa nisan sebagai tanda. Haram menghulurkan nafkah kepada anak-anak, lepas bebas tidak bertanggungjawab. Marisa lebih suka hidup berdikari di asrama.
Hidupnya dibelenggu dengan pelbagai masalah. Hendak mengadu dengan siapa..? Nenek..? Tidak! Marisa tidak ingin membebankan neneknya lagi. Setiap kali dia menghadapi pelajaran, dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian, pasti fikirannya melayang memikirkan perihal ibunya. Dia tidak tahu bagaimana untuk menyedarkan ibunya lagi. Marisa cuba berlagak ceria di hadapan rakan-rakannya dan merahsiakan apa yang terbuku di dada, tetapi dalam hatinya hujan tak berhenti, entah bila cerah bertandang. Kebahagiaan keluarga amat dinanti. Benarlah kata orang, setitik kasih keluarga takkan sama selaut kasih manusia. Jauh di sudut hatinya mengharapkan ibunya kembali ke pangkal jalan. Mengasihi anak–anak setulus hati!
“Hoi mak cik..! Takkan baru sekejap aku tinggalkan kau dah termenung. Oo..ingatkan Hanif ya..” Sergah Malina sambil ketawa mengekek melihat reaksi Marisa dikejutkan, berkerut dahi Marisa dibuatnya. Serta merta akalnya yang berserabut seribu itu  terhenti setakat itu sahaja.
“Ya Allah..Kau ni Mal..Terkejut aku tau!” Marisa mengurut dadanya kerana teperanjat, dicubitnya lengan Malina. Sudahlah penat dia menunggu sejak tadi, kini  disergah pula oleh rakannya itu.
“Aduh..sakitlah Risa… Maaf ya buat kau tertunggu-tunggu, bukan apa banyak pula kerja aku kat kelas tu!”Ujar Malina sambil menggosok lengannya yang dicubit Marisa. Marisa hanya tersenyum melihat telatah rakannya itu.
“Hmm..itulah kau buat aku terkejut lagi, dahlah mari kita naik asrama. Kita dah agak lewat ni, nanti pagar dikunci pula,” ajak Marisa kapada Malina.
“Baiklah, tuan puteri pengarang jantung hati Panglima Hanif,ha..ha..,”merah padam muka Marisa dek gurauan Malina. Pantas jarinya mencubit lengan Malina sehingga mengadu kesakitan rakannya itu. Mereka berjalan beriringan menuju ke asrama puteri sambil ketawa riang.
Malina merupakan sahabatnya yang agak rapat dan boleh dipercayai. Malina suka mengenakan dia dengan Hanif, jejaka tinggi lampai dan mempunyai perwatakan menarik. Tetapi langsung tidak menarik minatnya terhadap lelaki itu.
*  *  *  

            Cikgu Masri sudah berapa kali bertanya kepada Marisa mengenai keputusan peperiksaan percubaannya agak merosot. Sebagai guru kelas dia perlu peka terhadap masalah para pelajarnya.
            “Marisa Adnan, jumpa saya selepas waktu kelas nanti,” ujar Cikgu Masri serius.
Marisa hanya mengangguk perlahan sambil membelek kertas markah ujian Matematiknya yang  memperolehi markah agak rendah berbanding rakan-rakannya yang lain. Dia agak malu dengan markah begitu, namun dia sedar selama ini dia kurang menumpukan perhatian kepada pelajaran di kelas.
Berat langkahnya menuju ke bilik guru untuk bertemu degan dengan Cikgu Masri. Pelbagai persoalan yang timbul dibenaknya. Dia cuba mencipta alasan apabila ditanya nanti. Marisa menarik perlahan kerusi dihadapan meja Cikgu Masri setelah Marisa memberi salam dan disuruh duduk. Guru yang berusia tiga puluh lima tahun itu tenang menuturkan kata-katanya. Namun mengundang resah di hati Marisa. Cikgu Masri faham apa yang bermain di fikiran Marisa dia cuba bercakap secara diplomasi dengan pelajarnya itu. Dia tahu Marisa dirundung masalah, masakan keputusannya merundum jatuh. Dia takut Marisa kecundang dalam peperiksaan sebenar nanti. Marisa agak keberatan membuka pekung di dada namun kesungguhan Cikgu Masri untuk membantunya membuatkan dia rasa terharu. Satu persatu diceritakannya kepada Cikgu Masri, ada sebak dalam nada yang diucapkannya. Cikgu Masri cuba membantu pelajarnya itu. Dia mahu Marisa muncul sebagai salah  pelajar terbaik dalam peperiksaan SPM.
“Saya harap bermula hari ini, awak akan melupakan sementara apa yang sedang berlaku! Awak mesti menumpukan perhatian awak kepada pelajaran awak, Marisa! Semua pelajar ada masalah tersendiri tetapi hanya orang yang tahu mengendalikan masalahnya sahaja yang akan berjaya! Saya harap pelajar itu adalah awak!” kata–kata Cikgu Masri menunu obor semangatnya untuk terus menggapai kejayaan dalam hidupnya!
Sejak dari itu Marisa telah berubah dia tidak lagi memikirkan perihal ibunya dia menjalani kehidupannya sebagai seorang pelajar atas dorongan kawan–kawannya  dan Cikgu Masri sebagai mentornya.
Peperiksaan SPM bermula, Marisa menjawab dengan tekun dan penuh keyakinan. Baginya masalah biar tertinggal dahulu yang penting masa depannya terjamin dengan kejayaan yang akan diperolehinya nanti.
            Hari yang ditunggu–tunggu  telah tiba, keputusan SPM diumumkan hari ini. Marisa berjaya menjadi pelajar terbaik di samping rakan-rakannya yang lain seperti Zaldie, Malina dan ramai lagi. Dia amat bersyukur kerana semangatnya hampir luntur tetapi atas asuhan, bimbingan dan sokongan semangat Cikgu Masri dia berjaya memperolehi 10A1. Marisa mengucapkan jutaan terima kasih kepada gurunya itu. Gurunya hanya tersenyum gembira kerana anak didiknya berjaya.
            Ketika Marisa dan Malina hendak melangkah keluar daripada pagar sekolah tiba–tiba  satu suara menegurnya dari belakang.
            “ Assalamualaikum..Risa, tahniah aku ucapkan pada kau.” ujar Hanif sambil merenung gadis di hadapannya. Serba salah Marisa, dia memberi isyarat kepada Malina agar berlalu dari situ dahulu. Dia tersenyum kepada Hanif.
            “Waalaikumsalam..terima kasih Hanif, awak pun tidak kurang hebatnya 7A1, tahniah saya ucapkan juga.” Hanif hanya menganguk perlahan ada debar dalam hatinya begitu juga dengan Marisa. Terasa berat mulutnya untuk meluahkan kata-kata.
            “Sekian lama saya menanti jawapan dari awak… sudikah awak jadi teman saya,” bergetar suaranya mengharap sesuatu daripada Marisa. Marisa juga agak terkejut dengan pertanyaan itu.
            “Saya sudah lama jadi teman awak tapi hanya sebagai sahabat  biarlah kasih yang ada tu di simpan di sudut hati. Pertemuan di tangan Tuhan, perjalanan hidup kita masih jauh Hanif. Saya minta diri dulu.” Marisa hanya tersenyum, Hanif tersenyum pahit, ada kekeruhan di wajahnya.
Marisa berpaling dan terus beredar dari situ. Dalam hatinya mengharapkan Hanif bertemu dengan gadis yang lebih baik daripadanya. Dia masih belum bersedia untuk menyandang gelaran yang diminta oleh jejaka di hadapannya itu. Marisa masih menanti sinar bahagia keluarganya yang belum kunjung tiba. Dia teringat kata-kata pujangga, kadang-kadang Allah hilangkan matahari dan kita tercari-cari di manakah sinarnya, kadang-kadang Allah sembunyikan bulan dan kita menunggu di manakah cahayanya. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan pelangi indah dan Marisa menanti dengan penuh sabar di hujung pelangi.



Tuesday, August 28, 2012

Flora


Cerpen Remaja

Tajuk: Flora


            “Flora, saya nak jumpa kamu pada pukul 10.00 pagi nanti!” suara lunak Cikgu Elisa mengejutkan Flora yang sedang terkial–kial menyiapkan latihan matematik yang diberikan.
Reseptor derianya yang peka secara otomatik berputar memikirkan segala punca yang menyebabkan Cikgu Elisa yang sedang berdiri di hadapannya itu memanggilnya secara tiba–tiba. Kebetulan pukul 10. 00 pagi adalah waktu rehat bagi mereka. pantas matanya menyoroti Cikgu Elisa yang sudah pun bergerak dan kelihatan kemas dengan baju kebaya merah hatinya pada hari itu.
            Pelajar Tingkatan Satu Alfa yang berjumlah 44 orang itu pun sudah diburu seribu satu macam persoalan. Mereka berpandangan sesama sendiri apabila mendengar namanya disebut oleh mulut mungil milik Cikgu Elisa itu. dia tidak menyangka namanya akan dipanggil oleh cikgu yang cantik manis itu. biasanya Cikgu Elisa akan memanggil nama Ibrahim, Johan atau Diana gadis Dusun yang bermata kuyu itu untuk membantunya menghantar buku–buku ke bilik guru. Seketika itu kehairanan para pelajar Tingkatan Satu Alfa bercambah dan bertukar menjadi ejekan, cebikan bibir dan lontaran kata –kata yang menyakitkan hatinya, sebaik sahaja Cikgu Elisa melangkahkan kakinya keluar dari kelas itu.
            Flora sangat terasa hati dengan tindakan drastik rakan–rakan sekelasnya termasuk Diana, gadis manis yang sekampung dan suku Dusun sepertinya. Tetapi dia sedar Diana adalah gadis Dusun Tanaman yang jauh lebih sempurna berbanding dirinya. Sedangkan dirinya hitam manis dan bukan seperti gadis Dusun yang lain. Seketika itu juga dia ingin menangis tetapi dia malu dan bimbang diejek lagi.
            “Bah, jaga kau Flora! Itulah kau selalu ponteng sekolah. Siapa suruh kau pemalas datang sekolah!” Anita di sebelahnya yang bersebelahan kampung dengannya berbisik kepadanya. Flora tidak memberi reaksi dengan kata-kata rakannya itu. Namun hatinya juga sudah dipancing takut dengan panggilan Cikgu Elisa sebentar tadi. Cikgu Elisa setahunya juga guru dari suku Dusun Tatana benar-benar menimbulkan rasa yang menakutkan dalam dirinya.
            “Flora, aku tahu kenapa Cikgu Elisa nak jumpa kau! Kau selalu curi baju kawan-kawan kau di asrama kan! Jangan-jangan Cikgu sudah tahu tindakan kau yang suka mencuri tu!” Johan bersuara lantang menguja kesabarannya. Dia ingin benar mencubit bibir lantang menyuarakan kata–kata yang menyenangkan hatinya itu.
            “Itulah siapa suruh kau jadi pencuri!” suara Donny pula memecah disambut hilai tawa rakan–rakannya yang lain. Menggigil tubuh Flora mendengar tuduhan itu. Hanya dijelingnya Donny. Sebenarnya dia mahu sahaja melempang muka atau tubuh Donny dengan buku teks matematiknya tetapi terpaksa ditahannya. Nanti lain kes pula timbul. Mahu tidak mahu dia diam sahaja.
            “Barangkali badan kau busuk Flora! Cikgu Elisa tidak tahan mencium bau badan kau tu! Jangan-jangan dia mahu bagi minyak wangi tak?” sekali lagi kata-kata Johan bangat memperlinya.
            “Hey…Johan, Donny! Jaga mulut kau sikit ya! Aku ni miskin-miskin pun tidak kacau orang tau! Jangan kau pandai-pandai tuduh ya! Jangan-jangan kau yang pencuri!” suara hilai tawa rakan-rakannya hilang bersama teriakannya. Dia benar-benar terasa terbeban dengan apa yang baru dikatakan oleh rakan-rakannya itu.
            “Kau ingat air telaga di kampung Batu Empat tu bersih sangat? Kau pun bau juga! Kau ingat badan kau tak  bau, Johan, Danny!” jawabnya lagi. Dia ingin menangis sejak namanya disebut oleh Cikgu Elisa apatah lagi dengan ejekan kawan-kawannya. Airmatanya terlalu murah apabila mendengar sindiran rakan-rakan sekelasnya yang nakal dan tidak bertimbangrasa itu.
            ‘Kenapalah Cikgu Elisa nak jumpa aku? Aku mana ada salah! Tapi mana tahu dia nampak kesalahan yang aku lakukan? Tetapi kenapa bukan guru disiplin yang panggil aku?’’ soalnya dalam hati, ketika Cikgu Aziman sudah tercegat di depan kelasnya.  Cikgu Aziman meletakkan semua buku yang baru dibawanya dari bilik guru.
            ‘Ah, aku janji tak akan cakap apa-apa dengan Cikgu Elisa.’ Bisik hati Flora lagi. suara Cikgu Aziman yang sering dikaitkan dengan Cikgu Elisa tidak lagi mendapat perhatiannya. Malah senyum dan suara lantang Cikgu Elisa amat menarik perhatiannya. Sesekali suara Cikgu Elisa melintas di akal fikirnya.
            “Kalau kamu ada masalah Flora, jangan sekali=kali malu berjumpa dengan Cikgu! Ini tidak cikgu perhatikan kamu diam dan termenung saja apabila cikgu mengajar! Macam ada sesuatu yang mengganggu kamu! Entah-entah kamu ada boyfriend tak?” suara Cikgu Elisa muncul lagi dengan pandangannya yang menarik. Flora sekali lagi terkejut dengan perkataan ‘boyfriend’. Perkataan itu pun tidak difahaminya ini kan pula mengamalkannya. Lagipun, kalau satu kelas tidak menyukainya, siapa yang hendak menjadi ‘boyfriend’nya? Jijik dia dituduh begitu.
            Hai buntu fikiran aku! Kenapa pula aku menjadi takut sedangkan aku tidak buat apa-apa yang salah dengan Cikgu Elisa tu? Tapi dari nada suara wanita muda itu seperti menyimpan sesuatu! Ah, biarkanlah, sabarlah hati, waktu rehat jam 10.00 pagi sudahpun dekat. Buat apa aku nak takut! Bisik Flora sendirian. Dia benar-benar tidak dapat memfokuskan apa yang sedang diajarkan oleh Cikgu Aziman. Dia hanya mencatatkan sedikit nota yang diberikan tetapi tumpuannya gagal ditumpahkan kepada Cikgu Aziman yang mengajar penuh dedikasi di hadapannya.
            “Hai, kamu Flora, fahamkah dengan apa yang cikgu ajarkan?” Sekali dia diserang rasa terkejut dengan pertanyaan Cikgu Aziman yang spontan. Dia terpinga-pinga dan menggelengkan kepalanya.
            “Sa..saya tak apa-apa Cikgu! Saya ok!” jawabnya perlahan-lahan.
            “Tapi dari muka awak tu macam ada masalah!” jawab lelaki yang hampir sebaya dengan Cikgu Elisa itu,  bezanya Cikgu Aziman nampak lebih matang disebabkan kulit Cikgu Aziman yang lebih gelap.
            Ketika loceng rehat dibunyikan, hati Flora semakin tidak keruan. Dadanya berdebar kencang. Baju kurungnya basah oleh peluh. Akalnya mendesah tidak selesa. Pelbagai pertanyaan muncul dalam benaknya. Apa yang sebenarnya Cikgu Elisa mahu?
            ‘Kenapa ya Cikgu Elisa nak berjumpa dengan aku? Persoalan itu masih memenuhi benaknya ketika dia menapakkan langkah-langkah kecilnya menuju ke bilik guru yang bertentangan dengan Kelas Satu Alfa itu. Entah-entah Cikgu Elisa sudah tahu yang Flora pernah mengambil biskut dan baju kurung kesayangan Rozana, anak saudara Cikgu Elisa dua minggu yang lalu. Atau dia telah tahu yang dirinya pernah mengambil wang saku kepunyaan Rozana yang sebelum ini tidak diketahuinya anak saudara Cikgu itu. tapi, kalau pasal itu pastilah Cikgu Amri, warden asrama yang menghukumnya bukan Cikgu Elisa.  Kata Elisa memujuk hatinya yang resah. Peluh renik bagaikan hujan lebat semakin membasahi tubuhnya.
            ‘Entahlah, apakah yang akan dibincangkan oleh Cikgu Elisa, dia tidak tahu!’ bisiknya lagi apabila berada di hadapan bilik guru. Gementar tubuhnya menjadi-jadi.
            Perasaan sedih dan terkilan pun asa. Selama ini tidak ada sesiapa yang mempedulikannya. Semenjak ibu bapanya meninggal dunia ketika dia berumur lima tahun akibat kemalangan jalan raya, hanya neneknya sahaja yang memberikan perhatian kepadanya. Pakcik-pakciknya selalu memarahinya kerana dirinya dianggap menyusahkan mereka. Dia cukup terkilan dengan hal yang berlaku.
            “Selamat pagi Cikgu Elisa!” kata Flora sambil memandang wajah tenang Cikgu Elisa yang sedang duduk memeriksa buku-buku latihan. Ketenangan wajah Cikgu Elisa semakin menakutkannya.
            “Selamat pagi. Duduk di kerusi tu Flora!” kata Cikgu Elisa tipis. Dia masih meneruskan kerjanya. Flora semakin kehairanan dengan tindakan Cikgu Elisa.
            “Hmm…kenapa cikgu panggil saya?” tanya Flora perlahan. Suaranya gugup.
            “Tentulah ada hal cikgu panggil kamu Flora. Kalau tidak buat apa cikgu nak panggil!” jawab Cikgu Elisa, perlahan tetapi Flora terasa sesuatu dengan suara lunak Cikgu Elisa itu.
“Kenapa kamu tidak pernah lulus dalam ujian bulanan yang diadakan Flora? Tengok, markah ujian bulanan kamu bulan ni hanya 36 peratus! Baguskah macam ni? Bukan sebulan tapi setiap kali ujian kamu tidak dapat menjawab! Malah kamu tidak pernah menunjukkan usaha untuk lulus dalam peperiksaan!” tukasnya perlahan tetapi suaranya begitu menyucuk di liang pendengaran Flora.
Rasanya dia ingin menangis di hadapan guru Matematiknya yang selalu mengambil berat tentang dirinya. Setahunya hanya neneknya sahaja mempedulikannya. Tetapi neneknya sudah tua.
“Flora, dalam kelas kamu termenung dan suka menyendiri! Kamu ada masalah? Apa sebenarnya yang berlaku? Kamu tidak pernah memberi perhatian setiap kali cikgu masuk ke kelas dan mengajar! Kenapa? Kamu ada ‘boyfriendkah? Takkan baru Tingkatan Satu sudah ada kawan lelaki?” soal Cikgu Elisa bertalu. Flora menggeleng-gelengkan kepalanya.
Lama juga guru muda yang baru setahun mengajar di sekolahnya itu memandangnya. Flora tidak mampu membalasnya. Dia hanya tertunduk ke lantai. Perkataan kawan lelaki cukup menyakitkan hatinya. Mengingati Johan dan Donny sahaja dia begitu sakit hati dan dilanda malu dengan ejekan bertalu rakan sekelasnya itu. Inikah pula berkawan dengan budak-budak lelaki yang menyakitkan hatinya itu. Kalaulah Cikgu Elisa tahu apa yang terjadi kepadanya!
            “Boleh tak kalau Flora ceritakan masalah Flora, mana tahu kalau-kalau cikgu dapat membantu…” Cikgu Elisa menyambung bicaranya. Flora masih terdiam dengan pertanyaan cikgunya itu. Guru ini selalu mengambil berat tentang dirinya.
            Perkataan masalah yang disebut oleh Cikgu Elisa juga amat menyentak sanubarinya. Benarlah telahan Flora betapa selama ini Cikgu Elisa selalu memerhatikan dirinya, malah membuat penilaian terhadap dirinya. Sesekali Flora menarik nafas perit dengan pertanyaan Cikgu Elisa yang dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya. Seketika perasaan malu pula yang menyerbu hatinya.
            “Saya tidak ada masalah cikgu. Saya sama macam orang lain!” antara dengar dengan tidak Flora bersuara. Sebenarnya dia tidak tergamak hendak berbohong kepada Cikgu Elisa tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu guru muda itu terlalu memfokuskan dirinya.
            “Flora saya faham kedudukan kamu. Jangan kamu nak berselindung lagi. Ni ada laporan mengenai diri kamu. Saya sedang memegangnya dan akan membuat laporan tentang hal ini!” bagai hendak terbakar perasaan Flora dengan apa yang baru ditunjukkan oleh Cikgu Elisa yang berkening hitam itu.
            “Flora, untuk pengetahuan kamu, dulu cikgu masa kecil pun miskin juga tahu! Tapi cikgu menjadikan kemiskinan sebagai faktor pendorong untuk maju dalam pelajaran bukan gagal dalam pelajaran tau! Cikgu belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga cikgu masuk universiti! Kamu tak mahu masuk universiti macam cikgu, tolong keluarga menjadi orang berguna?” suara cikgu Elisa membakar semangatnya. Dia teringat neneknya yang sudah tua yang tidak berdaya melakukan apa-apa. Pelbagai penyakit menimpa nenek. Penyakit kencing manis, darah tinggi dan berkudis di kakinya. Sukar sekali keadaan neneknya. Hendak menunggu bantuan badan kebajikan yang hanya RM60.00 sebulan? Apakah semua itu mencukupi untuk membiayai dia dan seorang adik lelakinya yang masih kecil? Hatinya berkeliwang bertanya-tanya sendiri.
            “Saya tidak ada apa-apa masalah Cikgu. Tapi…saya rasa rendah diri kerana kawan-kawan di kelas mengejek saya kerana saya miskin, baju saya  buruk dan saya tidak mampu membeli barang-barang berjenama macam mereka cikgu! Tapi, saya juga macam orang lain, ingin belajar!” perlahan Flora membuka ceritanya. Sebak membumbui dirinya.
            “Jangan peduli cakap-cakap mereka. takkan cakap-cakap mereka yang menyebabkan Flora tidak mahu belajar. Sepatutnya Flora mesti berusaha membuktikan Flora boleh berjaya macam orang lain yang mampu! Biarlah orang tidak tahu tentang kemiskinan kita, kesusahan kita tapi yang penting Flora sentiasa bersemangat untuk belajar! Orang Dusun tidak pernah putus asa Flora!” Cikgu Elisa masih mencungkil semangatnya. Dia pula semakin bersemangat dengan kata-kata perangsang gurunya itu.
            “Saya tidak ada sesiapa lagi di dunia ini cikgu! Saya ada nenek dan adik saja. Pak cik-pakcik saya selalu memukul saya. Mereka kata saya dan adik menyusahkan mereka! Itulah sebabnya saya tidak ada tempat mengadu! Saya sangat sedih!” Flora menyambung ceritanya.
            “Sekarang kamu tinggal di mana Flora?” tanya Cikgu Elisa lagi.
            “Saya tinggal di asrama cikgu. Setiap hujung bulan saya balik ke rumah nenek di Batu Empat, Jalan Bundus!” jawab Flora seperti menahan esaknya. Mata Cikgu Elisa tetap memerhatikannya.
            “Baik, saya mahu sekarang, kamu tak usah fikir benda lain lagi. Mulai sekarang kamu hendaklah belajar. Kerana pihak sekolah sedang memikirkan bantuan dan biasiswa yang akan diberikan kepada kamu. Cikgu juga akan membantu kamu setiap bulan ya. Jangan susah. Kamu akan dibantu!” Flora sangat gembira dengan berita yang baru diberitahu oleh cikgu Elisa. Dia sangat gembira dengan berita itu.
            “Terima kasih cikgu. Saya seperti baru mendapat ibu bapa yang telah meninggal tiga tahun yang lalu!” jawab Flora dengan gembira dan senyuman yang terukir di bibirnya.
            “Sama-sama. Flora boleh jumpa cikgu kalau ada masalah ya! Cikgu sedia membantu kamu! Sekarang kamu boleh balik ke kelas ya. Jangan peduli lagi dengan kata-kata kawan-kawan yang mengejek kamu!” jawab Cikgu Elisa lagi. Flora bagaikan mendapat semula ibunya yang telah meninggal dunia kerana kemalangan. Senyuman manis cikgu nya itu mengingatkan dia kepada ibunya yang berkulit cerah dan selalu memujuknya. Kini dia sudah ada dengan Cikgu Elisa yang baik hati. Mungkin Tuhan mendengar permohonannya.  

Daily Express, 1996

Sekelumit Semangat Ini


Cerpen


Sekelumit Semangat Ini
  

            ‘Sesebuah pertemuan yang menyimpul makna yang berpanjangan tidak semestinya diiringi dengan pertautan empat bebola mata antara kita. Bukankah lebih baik bertemu di dalam alam pertautan batin antara kenangan–kenangan semalam dan merajut harapan-harapan yang positif akan datang, sekiranya kejauhan telah menjarakkan kita! Itu pun, sekiranya kita sama-sama ingin menghayati pertemuan yang amat bermakna dalam hidup kita yang singkat ini sebenarnya…!

            Kata-kata sahabatku yang amat akrab denganku ketika masih di bangku sekolah dahulu masih mengeram di kepala ingatku hingga sekarang. Ketika itu kami sama –sama menongkah cabaran persekolahan di daerah pedalaman ini. Sudah lebih enam tahun kami tidak pernah bersua lagi. Satu jangka masa yang agak lama juga tetapi kami tidak dapat mengelakkan perpisahan ini. Sebuah perpisahan sementara yang harus diterima oleh semua orang dalam erti kata yang sebenarnya.
            Namun, dalam beberapa tahun awal perpisahan kami, dia begitu rajin menitipkan warkah-warkah bisunya dan sesekali kudengar suaranya lewat telefon. Tiga tahun kebelakangan ini aku langsung tidak mendapat berita daripadanya. Barangkali sahabatku yang penuh semangat itu sudah pun menamatkan pengajiannya di Semenanjung. Masihku ingat dia selalu mendesakku agar memohon sekali lagi untuk masuk ke universiti. Dengan keputusan yang tidak memuaskan hatiku itu, aku hanya layak menjadi guru di daerahku ini. Entahlah, aku tidak mampu mengotakan permintaannya yang satu itu ketika itu. tetapi suatu hari nanti aku pasti akan ke sana juga kerana aku telah menggantungkan setingginya cita-citaku yang terbengkalai di tengah jalan semusim lalu.
            Ah, barangkali ingatanku terlalu sarat terhadap seorang sahabat hingga aku tidak tertanggung menahannya! Rindukah itu, Min? Kaulah itu Jasmina seorang sahabat yang bermakna di hatiku ini!
            Wajah Jasmina pula yang tertayang segar di skrin mataku. Bagaimana harus aku melupakannya? Walhal ingatanku terhadapnya terlalu hingga kini. Bagaikan si dara yang merindui udanya pula diriku ini. Kerana sebuah persahabatan yang terbina dulu adalah sebuah persahabatan yang tulus nilainya. Kata-kata pun tidak mampu menggambarkan kehabtan dan kewajaran sebuah ikatan yang pernah terbina. Alangkah!

                                               ***

            “Apa khabar kau sekarang, Annisa? Bagaimana keadaanmu sekarang? Suatu hari pada hari yang panas terik aku bertemu dengan sahabatku itu. namun persoalan yang dikemukakan kepadaku amat sukar hendak kujawab, malah seperti beralun di telinga hatiku ini. Lewat suratnya Jasmina pun menukilkan persoalan yang sama kepadaku. Aku menjadi tidak pandai menjawab soalannya itu. Hal ini kutelah apabil Jasmina sering tidak berpuash hati dengan jawapan yang kuberikan. Sering dia mengatakan bahawa aku sahabatnya yang suka menyimpan rahsia. Terlalu  berahsia, katanya semenjak kami dipisahkan oleh kejauhan. Kami telah saling membawa haluan sendiri  selepas tamat persekolahan Tingkatan Enam. Tetapi kami masih berpeluang berhubung lewat cerita bisu.
            “Seperti yang kausaksikan sekarang inilah!” jawabku setelah suasana bungkam menguasai  kami.
Aku tahu Jasmina tidak sabar hendak mendengar ceritaku yang terbaru. Aku sedar aku tidak mahu menceritakan hakikatnya tetapi aku menjadi serba salah kerana telah menyakiti hatinya. Jasmina semakin menajamkan pandangannya kepadaku, sedaya upaya aku cuba turut membalas pandangannya dan menguraikan sebuah senyuman yang beberapa minit ini kututp dengan tabir selambaku. Jasmina pula sempat mengoleskan senyumannya buatku. Secebis kasihanku pula tumbuh kepadanya kerana Jasmina yang begitu ikhlas mengasihi persahabatan kami selama ini. Hakikatnya, hanya Allah yang tahu perasaanku. Pun aku selalu berdoa agar persahabatan yang terjalin akan kekal berpanjangan. Moga-moga!
            “Aku ingin sama-sama berkongsi kegembiraan dan keperitan bersamamu Nissa. Bukankah selama ini kita tidak pernah menyimpan rahsia antara satu sama lain? Bukankah merahsiakan sesuatu antara kita akan merenggangkan hubungan silaturrahim kita? Bukankah telah setahun kita tidak bertemu tentu banyak cerita yang berlaku antara kita?” Jasmina bagaikan memerangkap aku dengan hujahnya.
Aku sedar segalanya tetapi mulutku bagai terkunci rapat untuk mengatakan sesuatu kepadanya. Aku pun tidak tahu bagaimana hendak memujuk Jasmina agar mempercayai punca rasa diamku selama ini. aduh, alangkah pahitnya mengungkapkan cerita yang perit maknanya.
            “Maafkan aku Min, bagiku segala –gala sudah berlalu. Kata orang tua –tua, yang berlalu biarkanlah berlalu. Jangan selalu nak diingatkan, nanti diri sendiri yang semakin parah!” ujarku kepada Jasmina. Aku pun tidak tahu di mana aku mendapat kekuatan itu. pedih meranjauiku di mana –mana. Cuma aku berharap agar Jasmina akan lebih memahami keinginanku pada saat –saat seperti ini.
            “Nissa, kau akan lebih tenang seandainya ada orang tempat kau meluahkan kesakitan hatimu. Aku masih seperti dulu Nissa, mendengarkan apa sahaja bicaramu. Aku akan lebih gembira kalau Nissa masih macam dulu juga.” Aku hanya mendengarkan apa yang diungkapkan oleh sahabatku itu. sesekali mata kami beradu pandang.
            “Annisa, aku teringat kata –kata Prof Hamka bahawa janganlah kita berasa kalah atau berkecil hati  apabila kita tidak memenangi sesuatu pertandingan. Sebaliknya cubalah kita turut merasai kegembiraan sahabat kita yang menang itu. Kerana di hadapan kita masih terbentang jalan yang luas untuk mencapai puncak jaya dalam kehidupan ini!” kata –kata Jasmina bagaikan pakar psikologi yang menasihatiku. Jasmina tahu aku lebih pendiam bnerbanding dengan dirinya. Itu memang sikap semula jadiku yang sudah diketahui oleh sahabat rapatku itu.
            “Jangan biarkan dirimu terkatung–katung dibawa perasaan sendiri Nissa hanya kerana dia…”
            “Cukuplah tu Min, jangan kau sebut lagi si keparat yang cuba menghancurkan masa depanku itu!” dengan tangkas tegas kutebas kata –kata Jasmina yang cuba memerangkap aku sebenarnya. Aku pun tidak ingin Jasmina menyebut atau mengungkit nama dan cerita yang selama ini ingin kulupakan. Terasa diri ini baru disedarkan dari mimpi yang panjang. Terasa diri ini pula yang diperbodohkan. Aduh, apakah seorang perempuan sepertiku ini hanya layak menelan serpihan kekecewaan yang darahnya berjejeran hingga ke hari ini? Apakah hanya aku yang pula yang akan merasai kesakitan yang maha panjang itu, sahabatku? Ah, aku kaku menahannya, walhal di hadapanku sekarang adalah sahabatku yang cukup kekar peribadinya jika dibandingkan dengan diriku ini.
            “Maafkan aku Nissa. Aku sepatutnya lebih berhati –hati betapa kekuatna dirimu seperti tika kita di bangku sekolah dahulu. Namun, aku perlumengucapkan syabas kepadamu Nissa. Syabas kerana sepanjang pemerhatianku inilah kali pertama aku mendengar kau begitu tegas kepada dirimu mudah –mudahan juga kepada hatimu. Selaku sahabatmu ingin kucanangkan kegembiraanku terhadap perubahanmu!” tambah Jasmina dengan senyuman manis nya kulihat matanya pun turut tersenyum. Ah, banyak lagi perkara yang menyelimuti kepalaku ini. haruskah kuberitahu kepada sahabatku yang seorang ini! Hatiku berperang sendiri.
            “Bukan kau sahaja yang pernah mengalami kekecewaan dalam bercinta Nissa. Ah, ditinggalkan kekasih bukan masanya untuk bersedih sahabatku. Masa sekarang adalah untuk membina peribadi, menguatkan keyakinan diri, mengutuhkan kerjaya dan bukannya bersedih dengan percintaan yang tidak kesampaian! Berfikirlah dari persfektif yang lebih luas Nissa, bukan hanya memikirkan sesutau yang negatif!” aku kematian kata –kata. Jasmina juga berhenti sambil memmerhatikan aku yang bungkam seketika. Diamku bukannya merajuk sebaliknya memikirkan kebenaran kata –katanya.
            “Apakah perancangan masa depanmu selepas ini Nissa? Apakah kau akan belajar lagi?” tanya Jasmina lagi tiba –tiba mengubah tajuk perbualan kami. Mataku dipandangnya kejap. Aku tahu dia ingin mengetahui perkembangan diriku. Aku hanya memberitahunya pengalaman baruku menoreh getah–getah ayah di daerahku di Kuala Penyu. Dia terkejut dengan ceritaku itu.
            “Bila–bila masa dan di mana–mana pun kita masih boleh belajar lagi kan? Bukankah belajar adalah tugas kita sepanjanga hayat? Usah kau susah hati terhadap aku, aku tahu di mana aku berdiri dan bagaimana harus membina tapa kukuh dalam hidup ini. aku sedang menunngu panggilan masuk ke maktab perguruan. Tengoklah nanti! Kau tahu juga kan, sejak kita di bangku sekolah aku sangat mementingkan kejayaan dalam hidupku, mungkin nasib belum menyebelahi aku? Aku yakin sekali gagal bukan selamanya gagal dalam hidup ini! Aku yakin tentang hal itu!”kali ini Jasmina pula yang termangu–mangu mendengar ungkapanku. Wajahnya yang bujur sirih itu semakin cantik dengan sepasang mata ala kucing yang cukup istimewa. Aku suka memandang matanya lama–lama.
            “Min, matamu sungguh cantik, lentik bentuknya macam mata kucing!” ujarku semabil bergurau dan menunggu reaksinya sewaktu aku masih di bangku sekolah dulu. Kali ini pun kuulangi kata–kata itu. Dia hanya tersenyum dengan gurauan yang hanya sesekali sahaja.
            “Jangan menghina aku Nissa. Mentang–mentanglah aku ni tidak memiliki wajah yang comel sepertimu, kau hina pula mataku ya?” Jasmina seperti tersinggung dengan pernyataanku namun itulah kebenaran yang selalu kuberitahu kepadanya. Aku sebenarnya tidak suka beselindung dengan sesuatu yang wajar kupuji.
            “Ala…comel macam aku ni pun, kena tinggal juga. Kononnya orang tu berjanji nak sehidup semati, ni tak mati lagi pun dah mati tak berkubur!” jawabku perlahan. Jasmina hanya tersenyum. Ada kepahitan dalam senyuman itu. Aku tahu dia memahami apa maksudku.
            “Nissa aku harap selepas ini aku harap ada insan lain yang akan bertandang di hatimu! Moga–moga kau akan lebih mencapai takah demi takah kejayaan dalam bidang yang kau minati!” ujar Jasmina lagi. Aku hanya mampu mengangguk kerana aku tahu di hadapanku jalan–jalan kejayaan itu masih berbalam–balam.
            “Aku harap aku akan terus begini selepas ini, mengejar aku yang telah tertinggal jauh di belakangmu ini! Aku harap kita akan seiring nanti!” jawabku perlahan. Kulihat Jasmina hanya menggeleng–gelengkan kepalanya.
            “Sekarang pun kau sudah mendahului aku. Kau lebih matang dalam mendepani kehidupanmu! Kau seperti tidak bersyukur dengan apa yang kau perolehi.” jawab Jasmina lagi.
            “Retapi aku lebih pesimistik berbanding dirimu Min! Aku terasa sungguh kerdil sekali di sisimu!” ujarku lagi perlahan. Kali ini mata Jasmina semakin membesar seperti kecewa dalam ungkapanku.
            “Jangan begitu Nissa! Kau sepatutnya lebih kuat mendepani kehidupan ini. Aku yakin kau akan berjaya suatu hari nanti. Kita kan masih muda, bukankah masih banyak ruang untuk kita menggapai kejayaan itu?” Jawab Jasmina memujuk diriku lagi. Aku mengangguk perlahan. Mencari kebenaran dalam kata–kata itu.
            “Terima kasih Min kerana sikapmu yang tidak pernah putus menasihatiku menyebabkan aku ingin kembali menjadi manusia positif di dalam memegang prisip hidupku  ini. Aku selalu berdoa agar kau juga akan berjaya dalam idupumu Min!” ucapku ketika perpisahan sementara memaksa kami untuk memilih ke rumah masing –masing. Namun sesautu yang telah dikatakan oleh Jasmina akan selalu kuabadikan dalam cepu ingatku ini. Jemari Jasmina pun masih hangat dalam genggemanku ini, bagai aku yang menggenggam erat kata–katanya selama ini. Dialah yang selalu menyiramkan aku dengan selaut kata–kata semangat kepadaku biarpun lewat coretan bisu yang hadir pada setiap bulan kepadaku. Terima kasih Min! 
            Ah, sesungguhnya perpisahan sementara ini menyebabkan aku mengerti dan sering berdoa agar suatu hari persahabatan kami yang murni akan dipertemukan lagi dalam pertemuan yang indah dan diberkati. Aku sesungguhnya amat merindui persahabatan yang tulus ikhlas seperti ini! Di bandaraya yang sesak dengan jalinan rencam manusia ini, masihkah kutemui manusia sepertimu Jasmina! Sesuatu yang amat sukar kumengerti!

                                               ***

            “Annisa, aku dengar kau baru menang pertandingan menulis cerpen baru –baru ini? Betulkah? Tahniah dari aku!” suatu hari aku digegaukan oleh suara Jasmina lewat corong telefon rumahku. Suaranya hangat dan ceria.
            “Hai siapa lagi yang jadi pengintip kau ni? Jauh di Kuala Lumpur pun kau tahu tentang aku?” soalku menyuntik minatnya.
            “Hiss kau ni? KL dengan Sabah ni bukannya jauh sangat. Dua jam dah sampai! Kebetulan aku baru balik, aku praktikal di sini, di daerahku. Ketika membelek –belek surat khabar lama aku terpandang ceritamu! Takkan namamu salah dicetak pula?” rasa hilang mengantukku mendengar suaranya yang ceria itu. apatah lagi dengan tawanya.
            “Ya macam tu lah ceritanya. Min, kau ingat tak tentang seorang puteri raja yang bernama Galoh Cendera Kirana dalam Hikayat Panji Semirang? Puteri Galoh Cendera yang pendiam dan lemah lembut itu akhirnya bertukar watak demi membuktikan cintanya yang tidak berbelah bahagi kepada Raden Inu yang cuba direbut  oleh adik tirinya, Puteri Galoh Adjeng. Akhirnya dia berhasil merebut cintanya setelah bertahun menanggung penderitaan. Kita temui dalam kelembutan wanita ada kekuatannya yang semula jadi juga kan? Bagai Puteri Galoh Cendera Kirana, kita pun rupanya boleh menjadi puteri moden yang siap dengan kekuatan peribadi itu di hutan pemodenan kini? Begitukan wanita bersemnagat waja yang menjadi impian kita Min?”kataku dengan panjang lebar. Aku pasti Jasmina akan gembira dengan perubahan yang kulakukan itu.
            “Bagus Nissa! Aku suka dengan semangat yang baru kau temui. Itulah semangat pedalaman namanya! Semanagat semasa kita sama–sama belajar di SMK Gunsanad yang menyimpan pelbagai kenangan yang sangat ceria dan menggembirakan kitaberdua. Aku harap kitaberdua akan menjadi Raden Galoh Cendera Kirana yang optimstik dan penuh cita–cita untuk maju dan berjaya dalam kehidupan yang sementara ini!” balas Jasmina lagi menutup bicara kami pada malam itu. aku pun ingin bermimpi yang indah –indah setiap malam, mimpi tentang kejayaan kami!

 Wadah,  1999