Showing posts with label Noraini Bt Osman. Show all posts
Showing posts with label Noraini Bt Osman. Show all posts

Wednesday, October 26, 2011

Kumpulan Syair: Jasa Ibu Bapa

Noorainie mencatat;


Syair Jasa Ibu Bapa

Melepaskan hati yang terbuku,
Pengajaran kepada sekalian anakku;
Moga-moga betul tingkah laku,
Hormati ibu bapa biar terpaku.

Ibu bapa menjaga anaknya,
Sejak kecil hingga dewasa;
Pendidikan juga diberinya,
Melangkah ke universiti adalah doanya.

Adab kepada ibu dan emak,
Jangan sekali berbuat bongkak;
Maksud yang benar jangan disangkak,
Ikut perintahnya jangan diagak.

Rendahkan diri kepada ibu bapa,
Dengan tilik serta rahmatnya;
Mendoakan kedua dengan katanya,
Ya Allah kasihani keduanya.

Jika demikian fardulah anak,
Berbuat baik bapa dan emak;
Sudah terminum susu yang lemak,
Hendaklah taat jangan dicapak.

Kata ibu bapa hendaklah didengar,
Di dalam kitab sudah terlakar;
Jangan dibantah jangan disingkir,
Supaya diri jangan tergelincir.

Adapun tanda anak derhaka,
Menurut perintah ia tak suka;
Di dalam dunia dapat celaka,
Jikalau mati masuk neraka.

Ayuhai anak harapan ibu bapa,
Serta bakal pewaris negara;
Kata ibu bapa jangan dilupa,
Jasa mereka membawa ke syurga.


Monday, October 24, 2011

Sindiran Ibu Menyebabkan Semangat Saya Menjadi Penulis Semakin Membara

Bismillahirahmaanirrahiim

Noorainie mencatat;

Inilah emak yang banyak menyumbangkan kekuatan dan motivasi untuk saya berkarya selama ini.

Bersama-sama emak di Masjidil Haram Makkah

            Saya sudah menulis sejak sekolah rendah lagi. Pada mulanya saya tidak tahu apa yang mendorong saya menulis. Apa yang saya tahu, tidak ada kaum kerabat saya atau saudara-mara yang sebelumnya yang pernah kerjanya menjadi penulis atau pengarang. Tidak pernah saya tahu. Kalau saya tak tahu dan memang ada itu, maafkanlah saya. Tetapi setahu saya, memang tidak ada penulis dari kerabat saya sebelumnya. Apa yang saya tahu, saya kuat membaca. Di mana-mana sahaja. Ibu saya asyik mengutuk saya malas, tunggu makanan siap, tidak mahu tolong kerana kegilaan saya membaca buku atau apa sahaja bahan bacaan yang boleh dibaca. Namun saya tetap membaca dan sesekali saya berhenti lalu membantu ibu di rumah kerana desakannya mengutuk saya! (Hehe, adik-adik, jangan malas tolong ibu di dapur!) Buku teks Bahasa Malaysia Darjah Lima pun dulunya saya hafal! Saya sanggup duduk berjam-jam lamanya di Perpustakaan Kuala Penyu semata-mata hendak membaca. Pegawai yang bertugas di perpustakaan itu pun sudah jemu melihat muka saya yang saban hari duduk di kerusi perpustakaan itu. Dari pembacaan-pembacaan itulah saya berkeinginan untuk menulis. Saya mula berangan-angan agar nama-nama yang tercatat pada buku-buku di perpustakaan itu digantikan dengan nama saya sebagai penulisnya. Alangkah bahagianya kalau impian saya tercapai dalam hidup ini!
Kerana kekerapan saya ke perpustakaan selepas sekolah agama itu pula menyebabkan saya balik lewat ke rumah. Gara-gara kelewatan itulah ibu saya memukul saya dengan sekuat hatinya. Maka, kerana kesakitan-kesakitan pukulan itulah saya berazam hendak menjadi seorang penulis terkenal suatu hari nanti. Ibu hanya tahu memukul saya tanpa usul periksa. (Terima kasih juga saya titipkan kepada ibu kerana kemarahan-kemarahannya menyebabkan saya sentiasa berazam menjadi orang berguna pada masa akan datang.)
Atas keinginan menulis, saya pun mencipta sajak-sajak pendek dan cerita-cerita tentang diri saya. Namun, tulisan-tulisan itu sudah hilang entah ke mana. Pada suatu hari ketika cuti sekolah tahun 1990, saya terdengar melalui Radio Sabah Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) akan menganjurkan Minggu Penulis Remaja (MPR). Saya beriya-iya hendak menyertai MPR itu sebab saya rasa saya hendak jadi penulis. Maka, saya pun meminta kebenaran kakak saya (kebetulan saya tinggal di rumahnya di Kota Kinabalu pada waktu itu). Kakak saya memarahi dan menentang habis-habisan rancangan saya itu. Lagipun pada masa itu saya baru berusia 16 tahun dan belum tahu selok belok Kota Kinabalu. Saya akur dan pendamkan hasrat saya.
Tiba-tiba abang ipar saya, Abu Kassim Mohd Nassir bersetuju untuk membantu saya mengambil borang MPR itu di DBPCS dan menghantarnya semula ke sana. Alangkah bahagianya saya setelah beberapa hari memendam rasa sedih dan murung. Kata-kata kakak, saya ketepikan. Saya pun mengikuti MPR selama lima hari itu. Sejuta terima kasih pun rasanya belum cukup untuk menggambarkan perasaan terharu dan penghargaan kepada abang ipar saya itu. Pada ketika ibu dan kakak saya menentang hasrat saya, muncul insan berhati mulia menghantar nawaitu ikhlas saya untuk menjadi penulis. Bercucuran air mata kesyukuran saya mengiringi azam saya, hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengerti.
Di dalam kursus itulah saya bertemu dengan para penulis terkenal yang sudah lama mencipta nama dalam arena penulisan. Antaranya, Sdr Ali Majod, Sdr Hajah Zaiton Hj Ajmain, Sdr Hajah Asmiah Hj Ajmain, Matlin Dullah (Editor), Sdr Cliff A Kamijan dan ramai lagi. Mengenali para penulis itu dengan lebih dekat, saya pun mula berkeyakinan bahawa suatu hari nanti saya pun boleh menjadi penulis terkenal seperti mereka.
Tetapi selepas saya mengikuti MPR itu, cabaran utama saya ialah apa cerita yang ingin saya ketengahkan? Cerita apa yang sesuai? Lalu, saya pun menulis cerita tentang ayah saya yang gigih di kebunnya. Cabaran kedua pula, saya tidak berani hendak menghantar sajak-sajak saya ke mana-mana. Saya bimbang jika sajak-sajak saya itu kelak dibakulsampahkan oleh editor. Oh, sungguh saya tidak dapat membayangkan kalau tulisan-tulisan tangan saya itu akan dibuang. Jadi, saya simpan semua karya saya itu. Sehinggalah pada tahun 1993, ketika saya sudah menamatkan STPM, saya terjumpa dengan Sdr Matlin Dullah yang masih menjadi Editor di DBPCS. Dia menggalakkan saya menghantar karya-karya saya.
Atas saranannya itu, saya pun menghantar dua buah sajak saya. Sajak pertama saya tersiar bertajuk, “Bapa, keringatmu yang mengalir,” disiarkan di majalah Wadah pada Disember 1993. Kebahagiaan kerana tersiarnya sajak itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mungkin itulah kenangan terindah dalam hidup saya semenjak saya mengikuti MPR tiga tahun lalu. Selepas itu saya terus menghantar sajak-sajak saya ke suratkhabar tempatan dan majalah DBPCS.
Pada tahun 1995, ketika saya menjejak Perpustakaan Kuala Penyu untuk kesekian kalinya, saya terbaca iklan mengenai Peraduan Menulis Cerpen Anjuran Perpustakaan Negeri Sabah. Kebetulan saya menjadi guru sandaran di SMK Kuala Penyu pada waktu itu. Saya pun mengambil sekeping borang yang diletakkan di kaunter perpustakaan itu. Semasa pulang dari perpustakaan itu hati saya berperang hendak menyertai peraduan menulis cerpen atau tidak. Saya berperang kata sendirian.
Saya pun mencubalah menulis cerpen. Kebetulan tarikh menghantar pun semakin dekat. Saya pun memikir-mikir apa yang saya hendak tulis. Saya tidak memandang jauh. Saya hanya melihat ayah saya yang gigih dan tekun mengerjakan kebun getahnya setiap hari tanpa ponteng. Waktunya ialah 5.00 pagi hingga 6.00 petang. Dengan pakaian lusuh dan basikal tuanya itulah dia menghabiskan waktunya di kebunnya. Saya terasa kasihan melihatnya, jatuh sayu pun ada. Apatah lagi, ayah baru sahaja dibuang kerja sebagai ‘opas’ di Pejabat Daerah Kuala Penyu. Hendak menangis pun ada memikir ayah saya. Ini kerana dia telah teraniaya oleh pegawai di pejabatnya namun ayah tidak pernah mengungkap perkataan itu di depan anak-anaknya. Itulah contoh terbaik yang pernah saya tonton seorang lelaki yang penuh dengann sabarnya. Harganya terlalu mahal untuk saya angkat di dalam diri saya sendiri.
Saya pun mengumpul bahan mengenai pemerhatian saya terhadap ayah dan memasukkan beberapa elemen tambahan dalam cerpen itu. Akhirnya terhasillah sebuah cerpen remaja yang bertajuk “Ayah, Keringatmu Yang Mengalir,” dan saya pun mengeposkannya kepada pihak penganjur. Setelah itu perasaan saya berbaur-baur. Boleh diterimakah tema cerpen saya? Menang atau tidak? Cukup perkataan atau terlalu panjang? Saya seperti orang sedang dilamun cinta. Tidur tak lena, resah berpanjangan, mandi bagaikan tidak mandi, makan pun terkenang-kenang cerpen itu. Memang cukup meresahkan dan meletihkan saya.
Akhirnya pada April 1996, saya menerima surat dari Perpustakaan Negeri Sabah, cerpen saya menang tempat ketiga. Saya pun dijemput menerima hadiahnya di Wisma Kewangan. Saya bertemu dengan sahabat saya Robby A kerana kebetulan kami sama-sama menang. Alhamdulillah, kenangan itu tersangat manis untuk dikenang dalam hidup ini dan saya semakin menambahkan peratus keyakinan saya bahawa saya boleh menjadi penulis terkenal.
Kemudian, saya mengikuti bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh Othman Puteh. Pada Ogos 2008 pula saya terpilih mengikuti Bengkel Penulisan Cerpen Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Bogor, Indonesia. Pengalaman berbengkel itu tidak saya sia-siakan.
Waktu saya menulis dari dulu hingga kini adalah pada waktu malam, terutama pada waktu anak-anak kecil saya sudah tidur. Waktu tengah malam terutamanya menjentik ilham saya untuk berbicara bersama aksara laptop. Kadang-kadang, ketukan aksara di laptop saya sahut-menyahut dengan suara anak-anak saya. Saya semakin rancak pula menulis. Apabila idea muncul di mana-mana, saya terus menulisnya di dalam buku catatan saya. Apabila ada kelapangan baru saya menambah plot-plot yang belum menjadi. Kadang-kadang saya tulis sajak sahaja jika waktu tidak mengizinkan saya.
Penghargaan? Saya tidak pernah termimpi akan mendapat penghargaan dalam kerja-kerja menulis saya. Namun, pengiktirafan itu datang tanpa diundang. Jika penghargaan datang, ia adalah bonus buat hasil kerja-kerja menulis saya. Ini kerana, memang saya yang memilih hendak menjadi penulis, tidak ada paksaan sesiapa. Ilham pun lahir tanpa dipinta. Jadi, mendapat kemenangan atau penghargaan bukan soalnya. Apa yang penting saya menulis sepanjang hayat saya, itu pilihan saya dan bukan paksaan sesiapa.
Novel remaja saya yang pertama yang bertajuk “Keringatmu Yang Mengalir” terbitan DBP pada tahun 2002 telah memenangi hadiah utama Peraduan Menulis Novel Remaja anjuran DBPCS. Novel ini lahir atas dorongan suami saya yang kebetulan baru mengetahui yang saya adalah penulis kecil di negeri ini. Setiap malam saya menulis selepas bayi saya tidur. Banyak juga dugaan saya menulis novel ini. Saya hanya berpandukan catatan yang saya buat sewaktu saya bercuti di kampung suami saya di Semporna. Melalui buaian air laut, saya sungguh-sungguh mendapat ilham untuk mencatat apa yang terlintas dalam akal fikir saya tanpa gangguan. Ia mengalir lancar bagai air laut yang mengalir di bawah kolong rumah kampungnya itu. Selepas balik ke rumah saya, saya terus menaip catatan itu tanpa sekatan. Akhirnya terhasillah sebuah novel yang bertajuk “Keringatmu Yang Mengalir.”
Novel ini juga dipilih menerima Hadiah Sastera Sabah (HSS) pada tahun 2001/2002 bagi kategori Novel Remaja. Melalui novel ini juga saya dianugerahi Anugerah Karya Sulung pada tahun 2002 dan seterusnya menerima anugerah Penulis Harapan Negeri Sabah oleh Kerajaan Negeri Sabah iaitu melalui MBBS dan DBPCS pada tahun 2003. Saya sangat-sangat bersyukur dengan penghargaan yang diterima melalui novel pertama saya itu.
Melalui novel dewasa pertama bertajuk “Gendala” saya telah memenangi Hadiah Penghargaan Sempena 40 tahun Negeri Sabah Merdeka Melalui Malaysia pada tahun 2003 anjuran DBPCS. Seterusnya, novel bertajuk “Sindrom Teluk” telah memenangi Hadiah Penghargaan Tunas Cipta pada tahun 2004. Novel dewasa kedua bertajuk “Kembali Sebutir Mutiara” pula telah memenangi Hadiah Saguhati Sempena Sayembara Menulis Novel 50 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007. Saya tidak menyangka saya akan menang dalam sayembara itu. ini disebabkan saingan cukup hebat.
Pada penghujung tahun 2007 saya memenangi Hadiah Saguhati bagi Kategori Menulis Novel Kanak-Kanak. Novel Kanak-Kanak itu bertajuk “Menemui Mantarissa,”. Sejak tahun 2008, saya menulis beberapa buah novel kanak-kanak berunsur Cerita Rakyat. Novel Kanak-Kanak bertajuk “Saiful Dan Badrul Muluk” diterbitkan oleh DBP pada tahun 2010. Sebuah novel kanak-kanak dan Tiga buah buku kanak-kanak pula dalam proses penerbitan.
Sitausi sastera negara sekarang terlalu banyak rencam dan cabarannya. Ramai penulis lahir bagaikan cendawan selepas hujan. Syukur dengan pertambahan itu. Moga-moga kehadiran penulis baru akan merancakkan dan menghasilkan banyak karya berkualiti tinggi untuk kemantapan sastera negara kita. Apatah lagi dengan kerancakan para penulis menerbitkan karya sendiri. Sektor penerbitan sastera hari ini pula semakin berkembang. Antaranya, Alaf21, PTS, Kaki Novel, Creative, Jemari Seni dan NB Kara. Ia akan menjadikan sastera Malaysia lebih maju dan berdaya saing.
Cuma, yang menjadi kerisauan di kalangan kita ini apabila kesusasteraan Melayu tidak lagi dikaji oleh anak-anak Melayu pada hari ini. Kerajaan perlu berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu yang semakin dipinggirkan.
Kesimpulannya, kerja menulis itu kerja sepanjang hayat. 

Tunas Cipta, Jun 2011

Saturday, October 8, 2011

Akibat Ilmu

Noorainie mencatat;

Assalamualaikum wt wb.
Sudah lama saya tidak buat entri dalam blog saya ini. Ada kesibukan sedikit. Kali ini saya ingin mencatat mengenai ilmu di mana kita mendapat kebahagiaan dan kecelakaan akibatnya ilmu. Itupun, kita mengamalkan ilmu yang kita ada secara sederhana dan mengikut kemampuan kita.
Tanda-tanda kebahagiaan


1.. Tiap bertambah ilmunya bertambah pula rendah hatinya.
2.. Tiap bertambah amalnya bertambah pula takutnya kepada Allah.
3.. Tiap bertambah umurnya, beransur kurang lobanya terhadap keduniaan.
4.. Tiap bertambah harta dan kekayaannya, bertambah pula pemurahnya.
5.. Tiap bertambah pangkat dan kedudukannya, bertambah dekatnya pada orang ramai.


Tanda-tanda kecelakaan.


1.. Tiap bertambah ilmunya, bertambah pula sombongnya.
2.. Tiap bertambah amalnya, bertambah congkaknya.
3.. Tiap bertambah umurnya, bertambah pula lobanya kepada harta.
4.. Tiap bertambah harta dan kekayaannya, bertambah bakhilnya.
5.. Tiap bertambah pangkat dan kedudukannya, bertambah jauhnya dari orang ramai.


Jadi, jika dengan ilmu kita memiliki kesenangan atau kecelakaan, ingat-ingatlah diri kita sebelum ini. Timbang-timbanglah di mana kesilapan kita. Semoga kita termasuk di dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat.

Tuesday, September 20, 2011

Cerpen Rabiyatul Iman

Noorainie Othman mencatat;


Saya baru terbaca sebuah cerpen saya yang bertajuk "Rabiyatul Iman" yang pernah tersiar dalam majalah Wadah pada tahun 2010. Saya hendak mengambil inisiatif terbaru dari cerpen itu. Saya nak buat sesuatu, tunggulah sedikit waktu lagi. Cerpen ini lahir daripada kebakaran yang berlaku di Kampung Air Semporna. Idea awal itu menyebabkan saya menghantar dua watak utama untuk duduk di sana. Harap-harap pembaca boleh berikan komen dan berkongsi sesuatu dari cerpen remaja yang tak sebaik mana pun! Apa-apapun, marilah teruskan membaca cerpen ciptaan Noraini Bt Osman. Harap gembira!

Tajuk: Rabiyatul Iman
Oleh: Noraini Bt Osman
Terbitan: Wadah, DBP Cawangan Sabah

AKU ingin menjadi pendampingmu yang setia sepanjang hayatmu, rayu gadis itu dalam tulisannya.
            Aku lipat surat biru itu. Kuletakkan di bawah bantal. Setiap malam setelah melunaskan tugasku, aku akan melihat kembali surat itu dan membacanya sepenuh hati. Kertas biru lembut itu semakin kusam lantaran surat itu sudah terlalu sering kubelek dan kubaca. Mencari makna sebenar. Isi suratnya tidaklah terlalu panjang sehingga aku sudah dapat menghafal isinya. Tetapi, aku sangsi dengan keinginan-keinginan yang dinyatakannya. Benarkah dia setulus itu? Bagiku, bukan mudah mencari pendamping yang setia dalam zaman serbanya moden alaf 21 ini. Tingkahku sendiri.
            Aku percaya kau adalah lelaki terbaik buatku. Aku tak peduli kalau kau berasa ganjil dengan sikapku yang melamarmu. Lagipun, dalam zaman moden ini tidak salahkan kalau gadis yang melamar lelaki. Maka, aku tidak berasa bersalah melamarmu menjadi suamiku. Jadi, Haqeem, apakah kau sudi menjadi suamiku?
            Kali pertama aku melihatnya sedang memasuki ruang pejabat tempatku bekerja dengan senyuman manisnya dengan gaya keanak-anakannya. Ketika itu, aku sedang sibuk memerhatikan orang ramai yang lalu-lalang di kawasan pejabat tempatku bekerja. Dia berbicara sambil menangis dan memberitahu telefonnya sering sahaja digunakan oleh pihak lain. Gadis itu suka sahaja bermain dengan kata-kata, entah benar entah tidak, bisikku dalam hati.
            ”Ini bukan nombor yang saya kenali. Orang-orang kampung juga tidak mengenali nombor ini. Mungkin nombor ini adalah nombor orang yang menipu saya. Saya tidak mahu membayar bil-bil kalau bukan nombor yang saya kenali!” katanya menunjukkan kedegilannya. Aku hanya menjadi pendengar akan kata-kata penerangannya.
Benarkah dia tertipu? Itulah yang menyebabkan dia datang ke pejabat telekomunikasi ini untuk membuat laporan. Para pegawai tempatku bertugas ini memberikan layanan yang baik kepadanya. Demi untuk menyelamatkan seorang pelanggan yang menggunakan talian telefon selular jenama mereka. Katanya, telefonnya digunakan untuk membantu orang-orang kampung yang kesusahan atau ada keperluan. Aku hanya berdiri dengan telinga tegang sambil mendengar hujahnya.
Dia duduk sopan dengan baju kurung birunya dan bertudung labuh berwarna kelabu. Namun, mulutnya petah berbicara sejak masuk ke pejabat ini. Gadis gila, desahku sendirian sambil meluruskan pinggangku yang duduk sejak dua jam lalu.
            Dia berlalu lantas melihat aku sekilas. Aku hanya tersenyum. Biasa, aku harus melayani sesiapa sahaja dengan senyuman. Sudah menjadi tugasku menghormati setiap pelanggan yang datang ke ruang pejabat awam ini.
            Untuk kali kedua, aku bertemu lagi dengannya. Mungkin kerana kesan senyuman manisnya tempohari menyebabkan aku masih mengingatinya. Dia berdiri di sisi jalan raya dan matanya tajam memandangku.
Nampaknya dia bertambah kerap pula ke bandar ini. Kali ini aku hendak membeli makanan di sebuah gerai berdepan dengan seberang jalan tempatku bertugas. Perutku melentus-lentus laparnya. Usah dikirakan bunyi gendang di perutku saat ini. Aku memang lapar sekali.
Waktu itu aku baru sahaja melintas jalan di jalan raya yang sedang sibuk dengan kereta. Biasalah, waktu tengahari, orang awam berpusu-pusu hendak keluar mencari makan. Kulihat dia sedang asyik memandangku dan tangannya penuh dengan bakul-bakul plastik berisi barangan. Aku kasihan juga melihatnya.
Ringan sahaja mulutnya menegurku. Aku kekagetan sekali. Gadis ini berani pula menegur seseorang yang tidak dikenali.
”Maafkan saya saudara. Bolehkah saya meminta bantuan? Kebetulan tidak ada bas mini yang mengambil penumpang sekarang ni. Bolehkah saya dihantarkan ke suatu tempat, tidak jauh dari sini. Oh ya, kenalkan saya Rabiyatul Iman.” Katanya tanpa segan. Senyumnya meluru ke mukaku. Aku pula membalasnya dengan senyuman yang bagaikan ditampal dengan paksaan.
`Eh, gadis ini berani-beraninya! Minta hantar lagi! Tidak ditahunya aku ini sedang memikir-mikir kalau-kalau minyak motorku sampai hingga tiga hari untuk ulang alik ke rumah dan pejabat! Ni, dia minta hantar lagi! Cukupkah minyak motorku itu? Kebetulan minyak petrol sudah naik sebulan yang lalu. Tetapi gajiku tidak pernah pula dinaikkan. Elaun pun belum dibayar. Harga barangan pun naik 100%. Aduh, gawat juga kalau menghantar gadis ini lagi! Tidak takutkah dia kalau aku ni penjahat yang hendak mempengapa-apakannya?` Bisikku sendiri.
”Saya akan bayar minyak motornya nanti, jangan susah!” katanya itu seolah dia tahu apa yang bergolak dalam perasaanku saat itu. Aku mengangguk.
Makanan di gerai tepi jalan langsung belum dapat kujamah demi melihat dia menegurku. Matanya yang jernih itu sempat kutangkap dengan mataku yang sedari tadi kularikan dari memandangnya.
”Saya mahu membawa barang-barang ini ke dewan besar tu!” katanya memanjangkan bibirnya ke hujung sana seolah-olah dewan besar yang dimaksudkannya itu sangat dekat.
`Apakah yang boleh kukatakan? Waktu kerjaku sedang berjalan. Aku ke sini hendak membeli makanan, tidak sampai pun sepuluh minit. Kalau menghantar dia tentunya lebih setengah jam. Apakah yang hendak kukatakan kepada ketua tempatku bekerja kalau aku tidak bertugas dalam setengah jam? Perlahan, kuhela nafas panjang dan aku cuba mengangguk. Entah kenapa, aku bagaikan dirasuk untuk bersetuju membantu gadis ini.`
Kuambil motorsikalku. Di situlah kami berkenalan. Walaupun suaranya timbul tenggelam oleh deruman motorsikalku dan kenderaan di sekitarnya, namun suaranya tetap kudengari. Dia masih belajar di sebuah maktab perguruan di bandar ini dalam pengajian Bahasa Melayu. Dia suka menjalankan kerja-kerja sukarelawan di sekitar Tawau dan Semporna. Juga, mendekati orang-orang yang ditimpa kesusahan. Di lain waktu yang bersisa, dia menulis cerpen-cerpen dan dihantar ke suratkhabar di negeri ini dan di peringkat nasional.
”Nama kamu siapa? Kalau boleh saya ingin tahu,” Soalnya sambil mengeratkan pautannya di pinggangku, mungkin dia sendiri tidak biasa menaiki motor burukku ini. Atau, aku membawa motorsikalku terlalu laju.
”Saya Haqeem. Saya asal dari Kota Kinabalu tetapi ayah saya berasal dari sini. Saya tinggal dengan datuk dan nenek di Kampung Air.” kataku. Dia diam sahaja, tidak mencelah ketika aku bercakap. Aku juga memberitahunya, aku baru sahaja lulus dari Universiti Malaysia Sabah tetapi belum mendapat pekerjaan tetap. Biasa, kelulusan tinggi belum menjamin pekerjaan di sini.
”Bagus juga begitu. Sekarang adalah waktunya untuk kita semua bersatu padu bagi membangun negeri kita sambil membuat kebajikan. Jangan terus menyesal kalau kau belum dapat pekerjaan tetap. Usiamu masih muda, masih boleh berusaha membuat banyak kebaikan dan kebajikan! Hidup ini pun adalah untuk membuat sebanyak-banyak kebaikan, baru dapat masuk syurga kan!” katanya penuh semangat. Aku mengangguk mendengar falsafah positifnya. Jarang kudengar gadis yang begitu optimis.
Setelah kejadian itu, aku dan Rabiyatul Iman tidak terlalu akrab. Melainkan dia meminta aku membantu apa-apa yang patut di tempat-tempat berlakunya kemalangan. Aku akan membantunya kalau kebetulan aku tidak bertugas. Lama-kelamaan, rakan-rakannya yang lain pun menelefon aku kalau mereka memerlukan bantuan. Dari kenalannya aku tahu banyak perkara mengenai dirinya.
”Dia anak perempuan sulung dalam keluarganya. Dia kuat semangat,”
”Dia dari keturunan baik-baik. Moyangnya pernah menjadi orang kuat politik di tanah seberang. Ada seorang pak ciknya pernah menjadi mayor.”
”Moyangnya mati ditembak. Moyang perempuannya pernah diculik dan mati oleh penculik dari seberang. Ayah dan ibunya juga pernah diculik dan dibawa ke Selatan Filipina. Tetapi sudah dapat diselamatkan dengan bantuan kerajaan Malaysia sedikit masa lalu.”
”Ibunya berjualan kuih-muih di pasar. Ayahnya bekas guru.”
”Rabiyatul Iman penulis yang prolifik. Sekarang, dia sedang menulis novel kedua. Tak lama lagi novel pertamanya bakal terbit.”
”Membuat kebajikan, dia tak pernah diberikan gaji. Namun, namanya naik melonjak. Disayangi semua orang di sini!”
Aku hanya menjadi pendengar yang setia. Tidak memberikan sebarang komen terhadap cerita-cerita yang diberitahukan kepadaku. Bagiku, ia hanya maklumat biasa kalau aku mengenali seseorang. Tidak ada kelebihannya, hanya sekadar pengetahuanku.
Namun, sesuatu yang tidak begitu kusukai mengenai Rabiyatul Iman ialah dia terlalu berani dan aktif dalam aktiviti kebajikannya. Wajahnya muncul di suratkhabar. Malah, dia selalu bertindak sendirian. Aku sering menasihatinya agar dia tidak terlalu aktif dalam bidangnya yang satu itu. Aku bimbang pelajarannya akan terganggu dan kehidupan peribadinya juga diteliti.
”Aku berniat membantu manusia sesama manusia. Aku menyampaikan kebenaran dan bantuan yang patut kuberikan.” katanya. Matanya bersinar memandangku.
”Tapi, kau tu perempuan. Lagi, kau masih belajar. Kau seharusnya menumpukan waktu untuk pelajaranmu.” Nasihatku pada suatu hari. Dia hanya tersengih-sengih memandangku.
”Terima kasih nasihatmu. Kita harus berani menempuh apa sahaja cabaran kalau kita memang sudah bertekad melakukan sesuatu kebajikan.” Katanya. Aku berfikir sesaat. Ada benarnya juga kata-katanya itu.
”Asal kau tahu sahaja. Aku takut sesuatu berlaku kepadamu.” balasku.
Aku menganggap Rabiyatul Iman sebagai adikku sendiri. Sama seperti Adawiyah dan Maisharah, adik-adik kandungku.
Sejak hari itu, aku tidak bertemu lagi dengan Rabiyatul Iman. Mendengar suaranya juga tidak. Aku juga meneruskan kerjaku itu di samping melamar kerja-kerja yang ada di suratkhabar atau secara online di internet yang sesuai dengan kelulusanku. Aku tidak mahu juga terus-terusan bekerja di syarikat itu dengan gaji harian. Suatu hari aku harus menjawat jawatan yang baik sesuai dengan kelulusanku. 
Sebulan, dua bulan, tiga bulan aku tidak berjumpa dengannya. Aku tidak terasa apa-apa. Aku hanya menganggap dia sebagai adikku. Mungkin dia sibuk dengan pelajarannya menyebabkan dia tidak mahu menghubungiku. Atau dia sibuk menulis novelnya menyebabkan masanya tersita untuk itu sahaja. Aku tidak peduli.
Namun, hari ini terlalu mengejutkan aku. Aku menerima sepucuk surat daripadanya.
Aku ingin menjadi pendampingmu yang setia sepanjang hayatmu Haqeem. 
            Aku percaya kau adalah lelaki terbaik buatku. Aku tak peduli kalau kau berasa ganjil dengan sikapku melamarmu. Lagipun, dalam zaman moden ini boleh saja gadis melamar lelaki menjadi suaminya. Maka, aku tidak berasa bersalah melamarmu menjadi suamiku. Jadi, Haqeem, apakah kau sudi menjadi suamiku?
Sejujurnya aku tidak memiliki perasaan yang istimewa kepada Rabiyatul Iman. Malah, aku tidak pernah memberikan dia harapan. Aku hanya bersikap baik kepadanya. Menghulurkan bantuan yang sesama manusia perlukan. Aku hanya bersimpati, kagum terhadap dirinya yang tidak pernah berhenti-henti melakukan kebajikan kepada orang lain di sekelilingnya. Aku tidak boleh menjadi sebaik dia.
Aku sendiripun memang menaruh hati kepada seorang gadis yang lain. Gadis yang sudah lama kukenali. Kukenali sewaktu aku belajar di universiti dahulu. Dia bukan Rabiyatul Iman tetapi dia adalah Nurul Hana. Aku tertarik kepada keperibadian dan keayuannya tentunya. Hujung bulan ini aku berniat ke Kota Kinabalu dan melamarnya menjadi isteriku. Keluargaku juga sudah tahu akan niatku itu.
Namun, bagaimana kusampaikan hal ini kepada Rabiyatul Iman yang mengharapkan aku? Dadaku bergegar hebat, seolah dilanda malapetaka pula.
* Dan, malapetaka di hatiku ini tidak kusangka menjadi malapetaka pada pagi ini di Kampung Air Semporna.
Aku, keluarga ayahku yang tinggal di sini dan seluruh masyarakatnya semuanya panik dan hilang punca. Malapetaka itu telah memusnahkan semua harta, rumah datuk dan nenek, tempat aku menumpang tinggal di sini. Kebetulan pagi tadi aku sempat memasukkan surat Rabiyatul Iman ke dalam poket seluarku. Mujurlah!
Entah mengapa aku begitu resah sekali mengingati Rabiyatul Iman yang melamar aku. Aku begitu menyukai Nurul Hana tetapi aku tidak mampu melupakan Rabiyatul Iman, gadis berkulit hitam manis, bibirnya agak tebal dan senyumannya mekar di wajah. Gadis itu gigih dan hebat, ah, mungkin aku terlalu berlebihan dalam memujinya. Nurul Hana? Wajah putih itu menari-nari dengan senyumannya manisnya di depanku. Dia seorang gadis yang bersopan santun, pemalu dan lemah lembut. Bagaimana kalau aku diberikan peluang memilih? Siapakah yang seharusnya kupilih? Hatiku menjadi tidak senang jadinya. Bukankah aku sudah meletakkan Nurul Hana di puncak nurani? Atau, aku harus memilih kedua-duanya?
”Lariiiiiiii! Api!!!! Api!!! Cepat selamatkan diriiii!”
Aku terkejut sekali dengan teriakan orang kampung yang penuh cemas dan ketakutan. Kulihat di depanku semua orang berlari meninggalkan rumah dengan api yang besar sudah menjilat sebahagian kawasan perumahan di Kampung Air itu. Waktu itu, aku masih menjinjing sebuah plastik yang berisi kuih-muih, lato dan ikan tongkol bakar untuk santapan pagi dan makan tengahari datuk dan nenek. Kebetulan, kedua-dua orang tua itu tidak boleh makan lambat, jadi aku harus awal membelikan makanan mereka.
Aku terkejut dengan teriakan orang kampung. Aku gugup. Panik. Apa aku tidak tersalah lihat?
Tidak ada waktu untuk memasuki kawasan rumah datuk. Separuh rumahnya sudah dimakan api besar. Api sudah menjulang naik berkepul-kepul dengan asap hitam dan putih. Bahang panas hampir membakar mukaku. Terdengar letupan beberapa kali. Aku pun mencari nenek dan datuk kalau aku terjumpa mereka dalam himpitan manusia-manusia cemas dan hampir histeria itu. Aku tidak melihat bayangan mereka dalam ratusan manusia yang sudah berlari meninggalkan kawasan perumahan itu. Aku juga harus menyelamatkan diri. Aku takut tubuhku bakal terkorban kalau aku terus mencari nenek dan datuk. Selebihnya aku berserah kepada Tuhan.
Kini, datangkah Rabiyatul Iman membuat kebajikan ketika kami memerlukan bantuan? Soalku sendiri dalam tengkumus harap.
Asap masih menakluk pandangan kami. Aku terkapar dan gugur seketika, tidak tahan dengan asap hitam yang memualkan. Aku pitam seketika.
”Di manakah aku?”
Di rumah rehat kami ditempatkan rupanya. Aku batuk berkali-kali setelah tersedar. Asap hitam itu menerkam kerongkonganku dan masuk ke dalam paru-paruku. Barang-barang belianku tidak tahu di mana. Nanar mataku melihat rumah-rumah di Kampung Air yang sudah tinggal tunggul-tunggul hitam. Hanya sebuah masjid berdiri di tepinya. Masjid itu masih kukuh tidak dijilat api. Pasukan bomba baru datang setelah api yang menyala tadi beransur padam. Padam apabila tidak ada apa-apa yang hendak dibakar lagi.
Pertama kali dalam seumur hidupku aku berasa sesak dan sangat tersiksa. Apakah yang telah berlaku kepada datuk yang kakinya hilang sebelah? Nenek Mariam yang masih pening-pening tadi?
Rabiyatul Iman datangkah menghulurkan bantuan? Ah, kenapa aku sangat mengharapkan Rabiyatul Iman menghulurkan kebajikan saat ini?
Kuseluk poket seluarku. Surat Rabiyatul Iman telah pun renyuk dan sekujur pedih bertaut di dalamnya. Entah kenapa duka merambat nuraniku.
***
Keluarga ayah iaitu datuk dan nenek masih trauma dengan keadaan yang menimpa. Aku sendiri masih tidak mampu melupakan api yang menjulang tinggi dan membesar dalam sekelip waktu itu. Kami masih ditempatkan di rumah rehat bersama dengan mangsa-mangsa kebakaran yang lain. Dua puluh lima orang kehilangan hak tempat tinggal dan harta seluruhnya. Belum lagi dikira ahli keluarganya yang lain. Khabarnya, kerajaan akan menggantikan rumah-rumah yang terbakar itu dengan rumah-rumah baru sedikit masa nanti. Syukurlah.
Banyak juga orang menghulurkan bantuan. Namun aku tidak melihat di manakah Rabiyatul Iman menghulurkan kebajikannya pada saat aku terduga begini. Kenapa Rabiyatul Iman mendiamkan dirinya saat aku dirundung malapetaka  begini? Di manakah dia? Apakah dia tidak mendengar berita yang mewartakan mengenai kebakaran di sini? Marahkah dia tatkala aku tidak membalas surat cintanya? Bisikku redam memikirkannya. Entah mengapa aku begitu melankolik sekali, padahal aku lelaki yang gagah dan tabah kukira. 
Kulihat orang ramai berkerumun. Aku menghampiri mereka.
”Pada waktu kejadian, Rabiyatul Iman sedang tidur di rumahnya, kebetulan dia bercuti di sini. Pada waktu petang barulah dia akan kembali ke maktab. Sayang, dia ditemui rentung di biliknya. Ayah dan emaknya kebetulan keluar menjual di pasar. Nasibnya tidak baik, mungkin dia terlalu penat menyebabkan dia tidak sedar akan keriuhan orang kampung menyelamatkan diri dari nyalaan api.” jelas jiran dan sahabat baiknya, Zaharah. Bulat mataku mendengarnya. Semua orang kampung sudah berkerumun di sisi Zaharah. Mereka hendak mendapatkan maklumat mengenai gadis berani itu. Sedu-sedan orang ramai menjamu penglihatanku.
”Oh, tak sangka! Dia juga tinggal di sini? Benarkah?” Zaharah yang sudah merah matanya hanya mengangguk. Mataku marak menangkap kata-kata Zaharah.
”Rabiyatul Iman!” Jeritku tegang.
Sesungguhnya aku berharap dia masih bernyawa dan bersama-sama denganku di saat aku kesusahan begini. Rupanya dia lebih parah daripadaku. Dia hilang nyawa dan hilang harapannya untukku. Rahangku mengejang, pandanganku berasap sama seperti asap tebal yang memusnahkan tempat tinggal kami. Bayangan wajah Rabiyatul Iman, ketabahannya, keberaniannya, kegigihannya, kerajinannya dan segala aksinya terlayar kemas di pandanganku.
Kulihat kembali suratnya yang hampir renyuk. Sudah kuhafal isinya. Rupanya isi suratnya juga turut termuat di dalam novelnya yang baru diterbitkan sebulan lalu.
Aku ingin menjadi pendampingmu yang setia sepanjang hayatmu Haqeem. 
            Aku percaya kau adalah lelaki terbaik buatku. Aku tak peduli kalau kau berasa ganjil dengan sikapku melamarmu. Lagipun, dalam zaman moden ini tidak salahkan kalau gadis yang melamar lelaki. Maka, aku tidak berasa bersalah melamarmu menjadi suamiku. Jadi, Haqeem, apakah kau sudi menjadi suamiku?
Lalu, dalam susah payah kuraih tangannya, kugenggam jari-jemarinya dan kukucup dahinya perlahan. Rabiyatul Iman menunduk. Kuucapkan sepenuh keikhlasanku kepadanya. Ucapan itu tidak ada tertulis di dalam novelnya yang bertajuk, ”Rabiyatul Iman Kembali”.  Ucapan itu milikku.
Aku ingin menjadi suamimu walaupun aku bukan lelaki terbaik untukmu.
Aku percaya kau boleh menjadi pendamping setiaku sepanjang hayatku. Kau adalah gadis yang berani, tabah dan berbudi tinggi yang pernah kutemui dalam hidupku. Rabiyatul Iman, apakah kau sudi menjadi isteriku yang abadi?
Untuk pertama kalinya kulihat Rabiyatul Iman mengangguk, sejak aku bertemu dengannya. Wajahnya berseri sekali di dalam tudung labuhnya yang kelabu. Ajaib, dia begitu cantik sekali. Kenapa kini baru aku menyedarinya? Dia tersipu malu di bawah lambaian matahari senja yang begitu indah sekali.
Rabiyatul Iman tidak akan pernah hilang dari hidupku. Dia akan menjadi isteriku yang abadi sepanjang hayatku ini.
Serasa sesak nafasku ketika sepasang bibirku mengucup dahinya yang dingin. Kulihat dia sudah menutup matanya. Abadi selamanya.


*  Kebakaran yang berlaku di Kampung Air, Semporna pada 22 Januari 2007.

Iramanis-KK/12-15.8.08/selasa/9-11.55pm

Monday, September 12, 2011

Singgah Di Pine Resort Kundasang

Noorainie Osman mencatat;

Kami balik semula ke Kota Kinabalu pada 3 September 2011 bersamaan hari Sabtu. Hasrat hendak ke Tawau tidak kesampaian. Kelmarin disangka baru hari Khamis rupanya sudah hari Jumaat. Subhanallah, memang sudah berumur ni banyak pula bingungnya. Pada jam 9.00pagi, kami pun bertolak dari Pekan Semporna menuju ke Kota Kinabalu.
Beberapa daerah akan dilalui sepanjang perjalanan itu. Kunak- kami singgah mengisi minyak dan bersarapan di sana. Perut sudah berkeroncong. Lahad datu- Kami singgah untuk makan tengah hari. Telupid - Kami singgah sekali membeli minyak kereta. Hujan lebat berserta angin kencang turun dengan lebatnya. Kami mengambil keputusan bermalam di Kundasang kerana hujan yang tersangat lebatnya. Ada kereta yang berhenti di tepi jalan kerana tidak berani hendak meneruskan perjalanan dalam kegelapan dan kelebatan hujan. Ranau- di Ranau kami mengisi perut di sebuah restoran Jawa makan sup campur. Hmm, enak!
Oleh kerana jam sudah pukul 6.30 petang, kami pun check in di Pine Resort Kundasang. Bilik Deluxe dengan harga lebih kurang RM300++ termasuk makan. Maka, terbayarlah impian kami, selama ini kami sering mengimpikan tidur di salah sebuah resort di Kundasang yang anginnya nyaman, segar dan Gunung Kinabalu menjadi sandarnya.Di Kundasang inilah kami mengabadikan gambar kenangan yang tidak terungkap indahnya di mata, di hati dan di jiwa.
Gambar 3 tahun lalu
Mieka Annisa (Tidak ada dlm gambar di bawah)

Abang Jaini, Hakimi, suami, Putri Adawiyah, Penulis, Rabiyatul Iman, Maisharah 
Keesokan harinya selepas bersarapan di cafe resort tersebut, kami pun berangkat pulang. Kami tiba di Kota Kinabalu lebih kurang pada pukul 11.00 pagi. Oh sungguh seronoknya!

Thursday, September 1, 2011

Meriahnya HAri Raya Aidil Fitri

Noraini Bt Osman Mencatat;

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua sanak saudara, teman-teman, ahli keluarga dan sesiapa sahaja yang mengenali diri ini di mana juga berada. Semoga Syawal yang menjelma akan kita temui lagi pada tahun yang mendatang. InsyaAllah.

Tahun 2011, saya beraya di kampung suami saya. Saya juga tidak melupakan ahli keluarga saya di Kuala Penyu. Saya dan keluarga melawat ibu saya pada 27 - 29 Ogos 2011. Rasanya saya tidak mahu berganjak pulang namun apakan daya saya. Suami saya dan anak-anak juga ingin mejenguk sanak-saudara mereka di daerah Semporna.

Alangkah gembiranya meneruskan perjalanan menuju ke Semporna. Hari pertama kami memulakan perjalanan kami ke Semporna dan tiba di situ pada pukul 8.00 malam.

Hari raya kedua, tidak ada majlis apa-apa yang dilakukan. Dapatlah kami berehat setelah semalaman dipenuhi dengan duduk di kerusi kereta. Sempat juga saya memperbaiki mana-mana novel yang belum siap.

Hari raya ketiga, majlis potomg jambul anak saudara suami dan majlis bersunat dua puteri kami iaitu Puteri Adawiyah dan Rabiyatul Iman. Suasana agak meriah. Terharu juga dengan bantuan saudara-mara yang ada di sekitar Kampung Air ini.

Hari raya keempat kami akan beraya ke Tawau pula. Sudah lama juga kami tidak menjengah daerah itu. Tentu banyak perubahan pastinya.

Kalau tidak ada aral melintang, kami akan balik semula ke Kota Kinabalu pada 3 Sept 2011 hari Sabtu.

Tuesday, May 17, 2011

Kata-Kata Hikmah Daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Noraini Bt Osman mencatat;

        Saya cuba kongsikan kata-kata berhikmah dari Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk sambungan perjuangan bangsa kita dan untuk renungan panjang kita seketika. Moga-moga ia akan memberi kebaikan untuk kita semua. 

50 Perkara daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary:

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya kerana saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tidak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan kerana banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah yang biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya dan saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa kerana tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya.Apa yang tidak mampu saya buat maka saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita.Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan.Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status.ada masa di atas, ada masa di bawah.
12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa DIA boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil, ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik. 15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa.Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.
21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing.Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
25. Orang kata saya tidak ada duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tidak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. perasaan setiap kali mendapat rezeki. Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan .
30. Kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal.Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalau pun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
35. Lifestyle? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju.Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat.Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat saya buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang.Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja, kita belum berjalan lagi.
50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Sumber: http://abraxas248.blogspot.com/2009/04/syed-mokhtar-al-bukhary-50-perkara.html