Monday, March 14, 2011

Hikmah Ayat seribu Dinar

Noraini Bt Osman Mencatat;

Sebenarnya banyak hikmah yang boleh kita perolehi jika kita banyak membaca dan mengamalkan ayat seribu dinar atau surat At-Talaq ayat 2-3. Kita amalkan dengan ikhlas. Amalkan membaca ayat 1000 dinar setiap kali selepas solat fardhu, sebelum pergi ke pejabat atau tempat kerja, dan sebelum tidur. Bacalah sebanyak 3 atau 5 atau 7 kali. Hanya orang-orang yang mengamalkannya yang dapat memperihalkan kemujaraban ayat ini. Subhanallah.. hikmahnya hanya Allah swt yang Maha Mengetahui lagi Maha Pemberi nikmat yang banyak. Kita sebagai manusia dan hamba Allah hendaklah banyak berusaha. Di bawah ini juga saya turunkan untuk dijadikan perkongsian kita bersama lagi hikmah atau kelebihan ayat seribu dinar ini. Amalkan lah dengan seikhlas-ikhlasnya selepas kita solat fardhu atau ketika kita bekerja dan berada di dalam perjalanan. InsyaAllah. Bacalah cerita di bawah ini. 

Ini ayat seribu dinar namanya, ayat ini diamal oleh seorang hamba yang mendapat hikmat ini dari Nabi Allah Khidhir ketika belayar di laut dengan berkata berkat amal ayat ini hamba itu mendapat kemuliaan dan menjadi raja. Ayat ini mengandungi seribu faedah jikalau di amalkan tiap-tiap kali lepas sembahyang sebanyak tiga kali, insya’Allah akan beroleh seribu faedah, barang siapa yang beramal ayat ini Allah taala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut. Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya’Allah si pesakit akan sembuh. Jikalau mendapat sebarang kesusahan yang amat berat, kesusahan kerana kezaliman orang-orang tamak, oleh peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Negara, beramallah selalu dengan ayat ini selepas daripada sembahyang lima waktu, mudah-mudahan segala kesusahan mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala. Jikalau masuk berperang menentang musuh, tiada binasa oleh terbakar, jika di pukul dengan besi tiada lut dan tiada binasa dari sebarang benda yang bahaya, hendaklah beramal ayat ini dan bertawakkal kepada Allah, baca ayat ini sesudah sembahyang lima waktu, baca ketika hendak tidur tiga kali, baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga kali.


Sekian dulu perkongsian kita kali ini. Semuanya di dalam rahsia demi rahsia dari Ilahi. Waallahu 'alam bisawaab.

Monday, February 28, 2011

Nikmat Buah Delima

Noraini Bt Osman Mencatat:

Tahukah anda, buah delima adalah buah dari syurga?

Firman Allah SWT dalam surah Al An'am ayat 99 bermaksud, "Dan Dialah yang menurunkan hujan. Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon tamar (kurma) dari moyang-moyangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan Kami jadikan kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima yang bersamaan bentuk, rupa dan rasa dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah dan ketika ia masak. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan Kekuasaan Kami bagi orang-orang yang beriman."

Nabi Muhammad SAW bersabda, 

"Tak satupun buah delima yang kalian tanam melainkan ia dibuahi dengan biji buah delima syurga."

Harb dan yang lainnya meriwayatkan dari Ali Bin Abi Talib bahawa Rasulullah SAW bersabda;

"Makanlah buah delima berserta minyak atau lemaknya kerana ia dapat mengaktifkan pencernaan. 

Banyak khasiat dan nikmat yang terkandung dalam jus buah delima. 

Ingin tahu lebih lanjut mengenai buah delima, layari laman web: www.pomepureasia.com

Wednesday, February 23, 2011

Syair Sebuah Kisah

Noraini Bt Osman Mencatat:

Di sini saya perturunkan sebuah syair yang baru sahaja saya cipta untuk anak saya. Maisharah bakal mengikuti pertandingan bersyair pada hari Jumaat bersamaan dengan 25.2.11 ini. 

Dengarlah ini sebuah kisah, 
Di SK Mutiara saya bersekolah;
Sekolah Harapan Negara tunggaknya wadah, 
Di sini bermula sebuah sejarah. 


Dari PASTI belajar di sini, 
Menajaring ilmu menjana impi;
Guru berbakti menabur budi, 
Bagi meneruskan sebuah generasi. 


Cikgu Florence guru besar dedikasi, 
Mantadbir sekolah penuh berbakti;
Cikgu Dayang Lamiah selalu motivasi, 
Guru kelas saya yang disayangi. 


Menjadi insan berilmu sebuah misi, 
Berkepribadiaan mulia di dalam diri;
Setakat ini saya berpuisi, 
Di lain kesempatan bertemu lagi. 

Inilah yang saya sempat kongsikan buat kali ini. Kita bertemu lagi di lain catatan. Semoga kita terus diberikan kesihatan untuk meneruskan sebuah kehidupan yang lebih bermakna. 

Monday, February 21, 2011

Hari Puisi Nasional dan Sebuah Sajak

Noraini Bt Osman Mencatat:

Hari Puisi Nasional akan berlangsung tidak lama lagi dan semua penulis dari seluruh Sabah, Sarawak, Semenanjung, Indonesia dan Brunei akan berkampung di Resort Binsuluk Membakut pada 25 - 27 Februari 2011 ini iaitu (Jumaat hingga Ahad). Bagi penulis-penulis dari luar Sabah, nikmatilah keindahan negeri Di Bawah Bayu ini. 

Sebuah sajak saya bertajuk "Duka" telah tersiar di Utusan Borneo pada hari Ahad 20.2.11 yang lalu. Di sini saya perturunkan sajak tersebut untuk tatapan para penulis atau sesiapa sahaja yang berpeluang membaca sajak tersebut. Sajak itu didedikasikan untuk anak saya yang berada di Labuan tetapi mati-mati mahu pindah sekolah ke Kota Kinabalu semula. Sebagai ibu saya kesal sekali tetapi apa boleh buat, dia belum biasa berjauhan dengan ibu bapa kesayangannya di KK ni. 


Duka
(Dedikasi Buat Mieka Annisa Bt Ben)
Oleh: Noraini Bt Osman

Duka bukan putik
Terus mengalirkan air mata

Duka bukan titik
Mengakhiri pertemuan

Duka bukan detik
Mengakui kekalahan

Duka bukan terletak
Pada garis pemisah
Kota Kinabalu-Kuala Penyu-Menumbok-Labuan

Di situ terbentang
Jalan putih nan terang
Kau bertiti di atasnya
Penuh lurus yakin pasti dan percaya!

Kota Kinabalu-Labuan
7.2.11, 11.20am
Dihantar ke SUratkhabar Utusan Borneo pada 12.2.11

Bila Waktu Berkarya Yang Paling Aktif

Noraini Bt Osman Mencatat:

Lama juga saya tidak menulis sesuatu di blog saya ni. Agak sibuk sedikit minggu lalu bersambung ke minggu ini. Tambahan anak-anak lagi sakit. Bersambung-sambung pula sakitnya. Sebagai ibu, pastilah kita berasa bimbang dan susah hati dengan kesihatan anak-anak. Namun, hendaknya saya meluangkan masa untuk mencatat sesuatu di blog saya ni tetap meluap-luap rasanya. 

Menyentuh mengenai topik kali ini iaitu waktu berkarya yang paling aktif, banyak orang berlainan pendapat mengenai hal ini. Bagi seseorang penulis yang mapan atau baru, mereka mempunyai waktu berkarya yang berlainan. Bagi diri saya pula, saya mula menghasilkan karya sama ada anak-anak saya sibuk bermain di rumah atau setelah anak-anak sudah tidur pada waktu malam. Bagi saya, kalau saya kenang kembali karya-karya yang sudah diterbitkan, saya hampir tidak percaya itulah adalah hasil pengkaryaan saya selama ini. Lama juga saya merenung dan memikirkan kembali. 

Kemudian ada beberapa lama saya tidak menulis dan memikirkan apa yang telah buat dalam penghasilan karya kreatif selama ini. Baru hujung tahun 2010 dan awal tahun 2011 ini saya mula semula pengkaryaan saya. Pada waktu ini, saya akan mencatat semua idea-idea yang mengalir secara tiba-tiba. Kebanyakan yang sempat adalah sajak-sajak pendek sahaja atau kalau ada masa banyak sikit di bilik guru tu, saya buat bab-bab novel saya di buku catatan saya. Maklumlah dalam kesibukan waktu mengajar tiba-tiba melintas idea tiba-tiba, cepat-cepatlah saya menuliskan di buku catatan. 

Pada waktu malam pula saya memulakan proses menaipnya di komputer itupun kalau saya  tidak penat. Kalau penat, saya tidak akan buat apa-apa. Saya hanya melayani Facebook atau melawat emel-emel saya. Saya akan mula menaip seawal jam 9.00 malam sehingga 12.00 atau 1.00 pagi. Begitulah kebiasaannya. Kalau waktu cuti saya menulis sepanjang hari kalau tidak ada aktiviti ke mana-mana. 


Saya hendak bercerita mengenai otak manusia pula. Otak kita berkaitan juga dengan ruang pengkaryaan dan masa berkarya kita kan. Jadi, pada kesempatan ini saya nak bercerita tentang otak kita ini. Otak kita meliputi
2 jenis iaitu conscious mind iaitu bermaksud minda sedar dan unconscious mind bermaksud minda separa-sedar.

Kita sendiri yang mengawal dan mengarahkan otak untuk mengangkat tangan, mengenyit mata, mula makan, untuk memegang pen,untuk menaip dan berkarya bagi menulis novel. Semuanya dikawal oleh minda sedar kita. Apabila kita tidak memberikan arahan anggota badan kita takkan akan bekerja.

Tetapi kita tidak perlu mengawal setiap pergerakan lidah, bibir, gigi dan air liur dalam mulut kita untuk
membantu proses makan. Ianya dikawal oleh minda separa-sedar tadi. Kita arahkan mulut mengunyah makanan tadi dan kita tak perlu mengarahkan berapa kunyahan gigi yang diperlukan, berapa banyak air liur diperlukan, macam mana pergerakan bibir atau gusi untuk membantu proses tersebut dan sebagainya.Ini semua dikawal otaksepara-sedar kita.



Maksudnya, otak separa-sedar mampu memproses data tanpa kita berikan arahan secara aktif dan teliti, cukup sekadar arahan. 


Kesimpulannya, otak secara sedar atau bawah sedar boleh kita arahkan untuk berkarya apabila ada masa terluang atau apabila ada idea kita untuk menulis karya. Kita arahkanlah bila-bila masa kita mahu. Otak kita sentiasa bekerja untuk kita. Segala-gala karya yang kita hasilkan pada hari ini, ia adalah untuk kepentingan generasi kita pada masa akan datang. Bukan setakat hari ini sahaja. 

Ini kerana, otak adalah kurniaan terhebat yang diberikan TUHAN kepada kita. Gunakanlah otak dengan sebaik-baiknya dan carilah waktu yang sesuai dan sebati dengan kita untuk menghasilkan karya seperti novel, drama, sajak, lirik lagi atau cerpen. 

Kepada semua penulis, Selamat Berkarya!

Sampai di sini dulu untuk kali ini. Kita jumpa di lain kelapangan.