Wednesday, July 11, 2012

Yang kupinta

Yang kupinta hanya tulusmu
yang kuharap hanya pedulianmu
yang kumahu hanya jalan-jalan terang 
menuju ke perlembahan suci 
impian semua insaniah
yang kuimpikan hanya
bunga-bunga cinta yang sentiasa
meriah di taman perjalanan cinta kita
yang kuangankan hanyalah
cahaya kasih kita
sentiasa bergemerlapan di taman kesementaraan 
tempatnya kita melakar sejarah kehidupan ini


Tidak ada lain kupinta
hanya pimpinanmu memimpin tangan naifku ini
ke sana sini 
dengan hidayah dan cinta kasih tanpa tara. 


FlatSKMutiaraKK/10..7.12

Sejujurnya aku... (Buat Emak)



Sejujurnya aku...tak ingin menyakiti hatimu
sejujurnya aku tak mahu mengecewakanmu
Sejujurnya aku begitu tulus menyayangimu
dalam hati hanya untukmu
dalam jiwa hanya mendoakanmu
dalam ingat hanya ingatan untukmu
dalam mimpi hanya termimpikanmu


Oh, bisakah kau maafkan aku
jika benar aku telah terkasarkan bahasaku
oh bisakah ada penawar kata
untuk kita memulakan mesra 
seperti ketika aku anak-anak dulu
kaumarahi kemudian kaupujuk aku, 
kaupeluk aku, seolah-olah itulah kemaafan kita berdua.  
benar aku tidak berdusta
sejujurnya aku dambakan senyum damaiku
memamahi hatimu
sejujurnya aku inginkan kuasa katamu
menenangkan kolam resahku. 


Mungkinkah ini hanya lautan ujian buat kita
kalau sahaja esuk matahari sudah membuka cahayanya
kemesraan kita pun bertaut kembali dan 
senyuman dan sekelumit kemaafanmu pun terhadiah untukku. 
Kalaulah ia bisa menjadi kuasa benar, 
sungguh akulah anakmu paling bertuah di dunia ini
bagai menerima hadiah dari kayangan!


10.7.12/FlatSKMutiaraKK

Di bawah Payung Kesepian




Berada di bawah payung kesepian
Aku tiba-tiba menjadi hamba kerinduan
Kepada Kinabalu
Tubuhnya merentangi hatiku
Hijaunya mengusik kasihku
Tika rinduku menusuk kalbu
Di Telang Usan ini.

Berada di bawah payung kesepian ini
Aku tiba-tiba menjadi pengenang abadi
Kepada tunas kecintaan yang ditinggali
Sementara aku musafir di sini
Di Telang Usan Miri ini.

Terima kasih juga
Telang Usan
Kerana meminjamkan haba kasih sayangmu
Kepada aku yang kembara sedikit waktu
Di ruang Dialog Teluk penuh warna indah ini.

18.12.10/ Telang Usan Miri-Kota Kinabalu. 

Tuesday, July 10, 2012

Cinta


Jangan pernah Kauizinkan aku
berhenti mencintaiMu
Ya Allah, betapa aku terasa getar indah 
di lubuk  cinta ini
aku tewas oleh kerdip sinar pandangMu. 


Padang Berampah Sipitang- Kota Kinabalu/16.6.12

Orang Mukmin

Orang mukmin dalam lima keadaan yang menyusahkan, iaitu:


1. Mukmin yang dengki
2. Munafiq yang membenci
3. Orang Kafir yang memeranginya
4. Nafsu yang melawan untuk mengalahkannya
5. Syaitan yang sentiasa berjanji menyesatkannya.


Jadi, fikir-fikirkanlah kekuatan dan kelemahan antara kita. 


Sebarkanlah salam antara kamu sesama Islam.