Thursday, July 7, 2011

Cerita Mengenai Selawat



Noraini Bt Osman mencatat;


Pada suatu malam, selepas solat Isyak, dan saya berkira-kira hendak tidur tetapi sebelum tidur saya berniat hendak membaca al-Quran. Tetapi saya membatalkan hasrat itu. Saya mengambil tasbih dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebanyak-banyaknya sehingga saya terlelap. Tidak lama kemudian, saya tersedar sesuatu yang tidak enak di luar rumah tetapi saya tidak berani melihat ke luar rumah. Saya agak ketakutan. Kebetulan suami tidak ada kerana bermesyuarat di  Kedah. Saya pun meneruskan zikir saya dengan membaca selawat dan membaca surah ad-Dhuha sebanyak-banyaknya. Kedengaran anjing menyalak dengan kuatnya. Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang berlaku.Tidak lama, saya terlihat lampu menyuluh dengan terang di kawasan rumah. Saya melihat apakah cahaya itu dari tingkap. Saya lihat sebuah kereta peronda polis sudah berada di luar rumah. Saya pun bertanya apakah yang telah berlaku. Rupanya jiran saya yang telah menelefon polis kerana disyaki ada pencuri yang hendak menceroboh kawasan rumah kami. Syukur Alhamdulillah, kami diselamatkan oleh Allah SWT. Tidak lama polis itu pun bergerak dari kawasan rumah kami. Saya sempat mengucapkan terima kasih atas kecekapan mereka.
Oleh itu, saya ingin membawa pembacaan kita kali ini untuk melihat apakah kebaikan atau kelebihan selawat kepada Nabi Muhammad SAW itu. Antara kelebihannya ialah;

Anak Anugerah Ilahi Paling Bermakna


Noraini Bt Osman mencatat setelah sekian lama menyepikan diri. 

Nasib baik paswod tak hilang, kalau hilang, jadi arwah lah blog saya nampaknya. 

Anak Anugerah Ilahi Paling Bermakna


Ada sepasang suami isteri yang datang bersama rombongan kami Umrah pada 24 Mei 2011 hingga 6 Jun 2011 itu belum dikurniakan anak walaupun sudah lama berkahwin. Mereka datang semata-mata hendak memohon zuriat atau anak. Sudah hamper lima tahun mereka berkahwin tetapi belum ada tanda-tanda akan mengandung. Saya teringatkan akan kawan saya di Kota Singapura iaitu Norlela dan suaminya. Dia sudah kahwin selama lapan tahun. Mereka juga sentiasa kepingin menimang cahayamata. Tetapi pada bulan Mac yang lalu kawan saya memberitakan di Facebook yang dia sudah mabuk-mabuk dan muntah-muntah. Baru dia merasa bagaimana sukarnya hendak menjadi ibu. Tahulah saya yang beliau sudah mengandung. Syukur Alhamdulillah. Penantiannya selama lapan tahun sudah membuahkan hasil. Memang sungguh ajaib kuasa Allah. Kawan baik saya juga mendapat anak setelah lebih sepuluh tahun berkahwin. Pasangan yang sudah lama berkahwin jangan putus asa, sentiasalah berdoa agar dikurniakan cahaya mata.
            Berbalik kepada pasangan yang datang bersama-sama saya itu, mereka juga masih terus berusaha untuk mendapatkan anugerah yang paling bermakna sepanjang hidup berpasangan iaitu cahaya mata. Ada seorang ustaz yang menjadi mutawiff sepanjang perjalanan ziarah Madinah-Mekah itu. Beliau berkata, Allah menurunkan ujian kepada pasangan-pasangan yang belum dikurniakan zuriat itu kerana kurangnya memberi sedekah atau kedekut, kikir dan bakhil dengan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Lalu Allah memberikan cubaan dengan tidak dikurniakan anugerah yang paling bermakna itu. Jadi, kata ustaz itu, banyak-banyaklah bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan. Moga-moga dengan ringannya hati dan tangan memberi sedekah, Allah SWT akan memperkenankan permohonan pasangan itu.
            Maka, bermulalah era sedekah pasangan tersebut tadi. Setiap kali selepas solat atau tawaf di masjidil haram, mereka akan bersedekah kepada pekerja yang bekerja di dihadapan kaabah itu sambil meminta mereka didoakan agar dikurniakan cahaya mata. Saya sungguh terharu dengan kesungguhan mereka hendak mendapatkan anak. Sanggup meredah kota Mekah beribu-ribu kilometer dari Kota Kinabalu untuk ke sana semata-mata membawa hajat yang paling besar iaitu dikurniakan anak. Ada pula pasangan pada hari ini sanggup membuang anak di merata-rata tempat. Tetapi ada pula pasangan yang sanggup berhabis wang semata-mata untuk mendapatkan anak. Memang sungguh ajaib kehidupan ini kalau kita nilaikan. Tetapi itulah hakikatnya.
Terkenang pula saya semasa baru kahwin dahulu. Saya dan suami tidak sempat berdoa untuk mendapat anak.  Tidak lama selepas kahwin, saya mengandung dan Alhamdulillah rezeki saya murah dikurniakan harta yang paling bernilai dalam hidup berumahtangga ini iaitu anak. Ini kerana suami saya memang seorang yang sangat pemurah kalau bahagian bersedekah kepada saudaranya yang memerlukan. Syukur Alhamdulillah.
Jadi, kepada pasangan yang sentiasa kepinginkan anugerah yang paling berharga itu, saya berdoa agar dengan kesabaran dan perbelanjaan yang telah dikeluarkan itu, Allah akan mengabulkan permintaan pasangan itu. Hebatnya kuasa Allah tidak ada sesiapa pun dapat membacanya.
Moga-moga juga kita semua umat Muhammad SAW menjadi orang yang sentiasa pemurah dan banyak bersabar. Sesungguhnya orang yang sabar itu akan dibangkitkan kelak bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW. Tidakkah kita mahu bersama-sama dengan Rasulullah SAW kelak?
Sekian dulu untuk kali ini.

Tuesday, May 17, 2011

Kata-Kata Hikmah Daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Noraini Bt Osman mencatat;

        Saya cuba kongsikan kata-kata berhikmah dari Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk sambungan perjuangan bangsa kita dan untuk renungan panjang kita seketika. Moga-moga ia akan memberi kebaikan untuk kita semua. 

50 Perkara daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary:

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya kerana saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tidak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan kerana banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah yang biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya dan saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa kerana tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya.Apa yang tidak mampu saya buat maka saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita.Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan.Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status.ada masa di atas, ada masa di bawah.
12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa DIA boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil, ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik. 15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa.Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.
21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing.Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
25. Orang kata saya tidak ada duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tidak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. perasaan setiap kali mendapat rezeki. Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan .
30. Kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal.Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalau pun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
35. Lifestyle? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju.Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat.Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat saya buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang.Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja, kita belum berjalan lagi.
50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Sumber: http://abraxas248.blogspot.com/2009/04/syed-mokhtar-al-bukhary-50-perkara.html

Kelebihan Surah Al-Waqi'ah

Noraini Bt Osman @ Noorainie Othman Mencatat;

Assalamualaikum wt wb,

Saya memang sering sekali membaca surah al-waqi'ah. Hal ini disarankan oleh seorang pak cik dan seorang kawan semasa saya masih belajar di maktab suatu masa dulu. Terima kasih kepada sahabat saya tersebut dan begitu pak cik Abdul Aziz yang menyebarkan mengenai kelebihan Surah Al-waqi'ah ini. Memang banyak kelebihan surah ini. Dan, saya perturunkan kelebihan yang lebih banyak ini dari laman blog yang saya temui di internet iaitu http://amalan-doa-mustajab.blogspot.com, harap penulis tersebut mendapat lebih keberkatan lagi di atas perkongsian ilmu yang diberikannya bersama kita semua.
Mari kita lihat hadis-hadis mengenai fadhilat surah al-Waqi'ah:

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesiapa membaca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. (Hadis riwayat Baihaqi dari Ibnu Mas'ud r.a.)

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinanselamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
Jelas hadis-hadis Nabi mengenai fadhilat surah al-Waqi'ah ini menyentuh tentang mengelak kemiskinan.  Jika diteliti dengan lebih lanjut lagi, rupa-rupanya miskin dalam definisi apabila dihuraikan melalui Bahasa Arab ialah miskin kesihatan, miskin wang ringgit, miskin jiwa, miskin ilmu dan sebagainya. Definisi miskin ini begitu subjektif bagi bahasa mereka. Ianya bermaksud kekurangan atau perkara yang tiada pada mereka.


Jadi orang yang sedang sakit juga dikatakan miskin, iaitu miskin sihat - tidak sihat. Maka dengan itu ikutilah saranan para Allamah, lazimkanlah membaca surah al-Waqi'ah dan berdoa dengan tulus ikhlas agar Allah SWT menyembuhkan penderitaan yang kita alami dari penyakit yang kronik tersebut.


Di bawah ini dinyatakan kaedah amalan surah al-Waqi'ah yang saya petik daripada Internet.
Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya
  • Bila hendak mengamalkan surah Al-Waqi’ah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Puasanya “tidak memakan sesuatu yang bernyawa / tidak makan ikan, daging, segala haiwan, hanya makan sayur-sayuran sahaja.
  • Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 25 kali. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isya’ pada Jumaat berikutnya.
  • Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 125 kali kemudian selawat 1000 kali.

Semoga kita semua mendapat manfaat dari perkongsian ini. InsyaAllah. 

Menangani Orang Zalim Di sekeliling Kita

Noraini Bt Osman @ Noorainie Othman mencatat;

Assalamualaikum wt.wb, 

Segala puji bagi Allah yang memberikan kudrat dan inayahNya untuk menuliskan mengenai tajuk Menangani Orang Zalim di Sekeliling Kita. Kebelakangan ini orang yang zalim, dengki, iri hati dan dendam semakin berleluasa di mana-mana. Jika kita di tempat kerja, mungkin juga rakan sejawat kita (bukan kita hendak berburuk sangka tetapi inilah hakikatnya sehingga berlaku banyak kemungkaran, nauzubillah) atau mungkin orang atasan kita pun menaruh sesuatu yang tidak menyenangkan kepada kita. Mungkin ada perkara yang kita terlepas cakap, kita lebih berwibawa yang menyebabkan ketua kita menaruh dendam kesumat dan kebenciannya kepada kita, tanpa kita sedari. Jadi, pelbagai perkara mungkar atau terlarang sanggup dilakukan seperti menaahan kenaikan gaji, pengesahan jawatan, menolak sokongan kenaikan pangkat, memberikan komen yang tidak menyenangkan dalam borang sokongan kenaikan pangkat, memalukan kita dalam mesyuarat dan sebagainya. Segala-galanya boleh sahaja dilakukan tanpa mengingati dosa-dosa sendiri demi untuk menyebabkan kehidupan kita kucar-kacir dan hati kita sakit dan hancur berkecai terhadap perbuatannya. 

Saya sebagai hamba Allah yang lemah lagi memohon keampunan dariNya, menyeru agar menyedari dan segera bertaubat kepada orang-orang yang menyimpan iri hati dan menganiaya orang lain agar segera bertaubat kepada Allah dan meminta maaf dengan setulus-tulusnya kepada orang yang telah dianiyanya. Kita takutilah orang yang telah dianiaya atau telah teraniaya. Ini kerana, sesungguhnya, tidak ada hijab atau tabir antara doa orang yang teraniaya dengan Allah SWT. Apa yang sangat ditakuti ialah orang yang teraniaya hilang kesabarannya dan lantas dia mendoakan kehancuran kepada orang zalim tanpa perikemanusiaan yang telah menganiayainya. Subhanallah. 

Oleh itu, jika kita berada di tempat orang yang teraniaya tadi, maka cepat-cepatlah membaca AYAT SATU iaitu ayat dari Surah Asy-Syura ayat 15 yang berbunyi:

Bismillahirahmaanirahim, Allahu rabbuna rabbukum lanaa a'maluuna walakum a' malukum hujjata bainana wabainakumullahu yaj ma' u bainanaa wailaihil masyiir. 

Maksudnya: Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha pemurah. Allah Tuhan Kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amalan-amalan kami dan bagi kamu amalan-amalan kamu. Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu. Allah menghidupkan kita dan kepadaNyalah kita kembali. 


Kaedah Amalan:

1.  Bacalah ayat di atas 7x selepas tiap-tiap solat fardu serta dibayangkan hadir musuh kita itu dan makrifatkan ada dinding antara kita dengan musuh.  Jika tidak berkesempatan, bacalah tiap-tiap lepas solat Subuh dan Maghrib.

2. Jika sedang berhadapan dengan musuh, atau orang-orang yang zalim, atau orang-orang yang ditakuti, atau binatang-binatang buas, maka bacalah ayat ini 1x sahaja, InsyaAllah akan terlepas dari aniaya dan kejahatan mereka -- dengan syarat telah melakukan amalan no.1 di atas dengan istiqamah. Mudah-mudahan kita semua terlepas dari kezaliam orang yang zalim dan teraniaya olehnya. Nauzubillah.  


Jadi, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dengan orang-orang di sekeliling kita yang cuba-cuba menganiaya kita. Baca lah ayat tersebut di atas dengan penuh keyakinan kepada Allah SWT.