Monday, January 31, 2011

Tanah waris dan alkisahnya

Noraini Bt Osman mencatat;

Sudah lama tidak bercakap tentang tanah, apatah lagi tanah waris. Saya ada juga menulis tentang tanah dalam cerpen-cerpen saya. Ya tanah tetapi bukan tanah waris. Manalah saya tahu saya ada tanah waris. Saya tak tahu langsung. Apa yang saya tahu, tanah waris bapa di Kampung Jangkit yang ditanami dengan getah. Bapa memang rajin berbudi kepada tanah semasa usianya. Saya memang salute bapa!

Tetapi tanah waris yang akan saya perkatakan ini memang agak pelik bunyinya. Tanah itu dari waris arwah abang kepada bapa. Dia meninggalkan sedikit tanah 'CL' kepada kami semua sebagai warisnya. Hebat sungguh arwah pak Tua itu. Saya menggelarnya Pak Tua, sebab dia anak sulung dalam adik beradik.

Tup, tup tanah itu hendak dijual! Heboh satu famili! Kenapa kami semua sibuk? Sebab Pak Tua tak ada warisnya yang sah. Pak Tua tidak berkahwin sepanjang hidupnya. Oh itulah sebabnya. Tiba-tiba kami semua dipanggil kerana tanah itu sudah dijual. Waris-warisnya yang terlibat akan diberikan harga tanah itu. Syukurlah tetapi yang masalahnya tanah waris itu dijual tanpa pengetahuan kami semua yang amat berhak ke atas geran itu. Tanah sudah dijual oleh salah seorang yang berhak kepada geran tanah itu dan kami tak dapat buat apa-apa. Sabar sajalah! Cuma diharap yang menjual tanah itu tidak akan memperlakukan penipuan kerana setiap inci penipuan yang dilakukannya dia akan bertanggungjawab kepada ketidakberkatan dalam rezekinya. Hanya Allah Sahaja yang Tahu dan Mengerti.

Sayang sekali tanah waris itu dijual. Duduknya di dalam bandar (CL) dan dibeli oleh Cina. Memang sukar hendak diambil balik. Kalaulah saya ada wang untuk menebusnya, akan saya tebus untuk anak cucu saya kemudian hari. Jangan anak cucu saya merempat di tanah sendiri. Ya Allah Tolonglah hambaMu ini...

Begitulah tanah waris yang mendapat pertikaian dari banyak pihak sebagai ahli yang berhak tetapi dinafikan haknya. Khabarnya, sewaktu Pak Tua meninggal dunia, salah seorang waris itu menyelongkar rumahnya untuk mendapatkan geran berharga berjuta itu. Kasihan, sampai begitu sekali sakitnya. Siapakah yang ada penawarnya???

Sunday, January 30, 2011

Labuan dan Sekolah Agama

Noraini Bt Osman mencatat,

27 Januari 2011 termaktub dalam sejarah hari ini. Aku menjejak bumi Labuan. Wilayah Persekutuan Labuan yang cukup sinonim dengan tempat lahirku namun boleh dikira dengan jari berapa kali aku ke sana. Memang boleh dibilang dengan jari. Mungkin kekurangan dana pada waktu sekolah dulu menyebabkan aku hanya memandang Labuan dari simpang antara Kuala Penyu, Beaufort dan Menumbok. Di situlah aku selalu memandang jauh tapi dekat.

Aku datang lagi ke bumi Labuan dengan menaiki feri dari Kota Kinabalu. 3 jam perjalanan kurasakan terlalu lama. Aku sudah tidak sabar menatap wajah Labuan walaupun sudah berpuluh tahun aku menahan sabar hendak ke bumi di pesisir lautan itu. Labuan masih serupa dulu. Masih macam dulu, kedai-kedainya juga suram dan semuanya masih macam dulu. Tidak banyak perubahan di sebelah bandarnya. Kecuali ada beberapa bangunan yang sedang didirikan.

Aku ke Labuan kerana kebetulan anakku Mieka Annisa mendapat tawaran belajar di Sekolah Menengah Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMAIWP) dalam tingkatan satu.

Aku datang dengan harapan. Aku berdoa agar anak sulungku ini akan mendapat pendidikan yang sempurna dan terbaik dari sekolah agama ini. Kebetulan minggu depan cuti tahun Baru Cina, anakku dibawa semula ke Kota Kinabalu. Persekolahan akan bermula pada 7 Feb 2011 bersamaan hari Isnin.

Selepas kami mengelilingi satu Labuan bersama kawan suami Suhaili di Labuan, kami balik ke terminal bot dan feri. Selepas membeli beberapa bungkus coklat kami pun balik menaiki bot laju menuju ke Menumbok. Sampai di sana kami menaiki teksi Unser dengan tambang RM30 seorang.

Begitulah Wilayah Persekutuan Labuan. Sehari di Labuan, aku terasa penat sekali. Kebetulan dua hari sebelum itu aku demam baru mula baik. Mungkin kesunyian di Labuan menyebabkan aku rindu akan senandung suasana di Kota Kinabalu.

Mudah-mudahan Labuan akan membawa sinar cemerlang kepada anak-anak yang baru mendaftar di SMAIWP Labuan itu.

Saturday, January 8, 2011

Khasiat Pisang


Noraini Bt Osman Mencatat;

Kali ini saya ingin bercerita mengenai pisang. Ketika saya ke Miri pada bulan Disember 2010 yang lalu, saya sempat menjenguk pasar di Miri sebelum saya balik ke Kota Kinabalu Sabah. Saya pun terlihat pisang tembaga. warnanya agak kemerahan, merah hati. Saya pun membeli. Dua sikat saya dapat dalam RM3.50. Sungguh murah kalau dibandingkan di tempat saya sendiri.
         Kemudian, saya membeli juga beberapa jenis pisang yang lain. Saya ghairah membeli pisang bersama kawan saya Welnee. Memang sungguh menggembirakan membeli pisang di pasar Miri, Sarawak. Kawan-kawan saya pun hairan kenapa kami membeli pisang di Miri sedangkan banyak lagi pisang di Sabah. Kami hanya tergelak. Saya pun mahu bercerita mengenai khasiat pisang.
     Pisang mengandungi 3 jenis gula semula jadi - sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang dibuat menunjukkan 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang
dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. Bukan itu sahaja, pisang juga sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

     Pisang juga boleh mengurangkan beberapa jenis penyakit. Antaranya; tekanan, PMS, anemia, tekanan darah tinggi, kuasa minda, penghadaman, keletihan, panas jantung, demam pagi, gigitan nyamuk, saraf, obesiti dan tekanan kerja, ulser, kawalan suhu, seasonal Affective Disorder (SAD), ketagihan rokok dan tembakau, stress, strok dan lain-lain penyakit kulit.

    Mungkin inilah masanya kita menggunakan frasa: Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor.
    Perhatian: Jangan sekali-kali menyimpan pisang di dalam peti sejuk.

Kesimpulannya ialah: Pisang adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan selalu sihat dan bahagia setiap masa.

    Jadi, itulah sebabnya kenapa saya bercerita mengenai pisang pada kali ini. Selamat mengamalkan makan pisang sebiji sehari.Semoga kita semua terjauh sedikit demi sedikit daripada doktor kerana penyakit-penyakit yang tidak mengenal saudara dalam dunia serba moden ini.

Saturday, January 1, 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Noraini Bt Osman Mencatat:

Tahun 2010 sudah dengan selamatnya meninggalkan kita. Kini tahun 2011 menjelang. Selamat Tahun Baru untuk semua. Selamat memasang azam baru. Selamat memasang visi dan misi baru untuk tahun 2011 ini. Selamat memasang mimpi-mimpi indah yang bakal jadi kenyataan pada tahun ini. Kalau tahun 2010 impi dan azam kita tidak menjadi kenyataan, jangan lupa kita masih ada tahun 2011 untuk terus berusaha dan menaruh harapan. jangan lupa kita masih ada tahun yang lain dan lain lagi.

Jangan lupa berdoa agar mimpi dan visi itu akan menjadi nyata, InsyaAllah.